Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 February, 2010

RM4.3 juta naiktaraf paip bekalan air di Sri Aman


Caption: RASMI...Meehan (kiri) menyampaikan dokumen kontrak kepada Haira (kanan) sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Oliver, Harden, Penghulu Haji Abdul Samad dan Bujang Mudin di sini hari ini.

SRI AMAN, Rabu (3 Feb) – Kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kini melaksanakan projek menaiktaraf saluran paip bekalan air sepanjang 11,843.34 meter bagi peringkat Fasa I di dua buah kawasan dalam Bahagian Sri Aman.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata kerja naiktaraf saluran paip bekalan air ini akan meliputi kawasan Jalan Brayun dan juga dari simpang jalan SALCRA Pakit hingga ke Entulang Danau dalam laluan Jalan Serian / Engkilili.

“Kerja menaiktaraf saluran paip yang bermula 29 Januari hingga 28 November tahun ini bertujuan untuk mengurangkan masalah tekanan air yang rendah terhadap penduduk dalam kawasan Sri Aman sebelum ini.

“Ia disebabkan oleh masalah kebocoran saluran paip air yang menggunakan jenis paip Asbestos (AC Pipes) sebelum ini. Oleh itu kerajaan telah memperuntukan wang sejumlah RM4,258,181 bagi melaksanakan kerja mengantikan saluran paip sedia ada kepada jenis paip OD HDPE selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Tapak Projek Naiktaraf AC Pipes Sri Aman bagi peringkat Fasa I di belakang bangunan Puspakom, Jalan Brayun Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden turut menambah bahawa projek naiktaraf terbabit turut membabitkan kerja pemasangan paip jenis 160mm dan 225 mm OD HDPE sepanjang 2,739.93 meter dalam kawasan projek berkenaan.

“Dengan adanya projek ini maka kerajaan berharap agar masalah tekanan air rendah di kalangan penduduk dalam Bahagian Sri Aman dapat diatasi selepas ini menjelang tahun hadapan,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah (Pembangunan) JKR Sarawak, Zuraimi Sabki, Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Mudin, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai, Jurutera Bekalan Air JKR Sri Aman, Oliver Ngabong, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Terdahulu Harden telah menyaksikan majlis penyerahan kontrak oleh Meehan kepada Pengarah Urusan syarikat Sarwaga Sdn Bhd, Haira Salleh yang bertanggungjawab bagi melaksanakan projek itu selepas ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment