Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 February, 2010

Projek Bandar Baru Fasa I Sri Aman kini 60 peratus siap - Harden


Caption: TERTARIK...Harden (dua dari kanan) sedang menyaksikan persembahan kebudayaan ketika berlangsungnya program terbabit baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (8 Feb) – Projek pembinaan Bandar Baru Sri Aman di kawasan Jalan Resa bagi peringkat Fasa I kini sudah mencapai tahap 60 peratus siap demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Projek yang dilaksanakan oleh pihak LCDA dengan kerjasama pihak pemaju kata beliau mencakupi pembinaan sejumlah 48 buah unit lot kedai dalam kawasan Bandar Baru Sri Aman bagi peringkat Fasa I itu.

“Turut dibina menerusi perlaksanaan projek Bandar Baru Sri Aman bagi peringkat Fasa I ini ialah tempat parkir kenderaan yang lebih luas bagi menyelesaikan masalah kesesakan parkir kenderaan dalam bandar ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja tamat Program Pentas Tahun Baru Cina Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman 2010 di Mini Stadium Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu pihak LCDA menurut Harden juga akan membina sebuah hotel bertaraf tiga bintang dan sebuah Pasar Tamu Sri Aman yang baru sepertimana yang dicadang oleh Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) bagi projek Fasa II Bandar Baru Sri Aman selepas ini.

Manakala bagi projek peringkat Fasa III pembinaan Bandar Baru Sri Aman pula, pihak LCDA menurut beliau akan membina sebanyak 50 unit lot kedai tambahan menerusi projek itu.

“Secara keseluruhannya projek pembinaan Bandar Baru Sri Aman bagi peringkat Fasa I hingga Fasa III telah melibatkan tanah berkeluasan tiga hektar dan kita mensasarkan sekurang-kurangnya ketiga-tiga projek terbabit siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kita berharap agar projek ini nanti akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan terhadap penduduk Sri Aman. Bagaimanapun kelancaran projek ini bergantung kepada pihak pemaju dan LCDA yang melaksanakan projek berkenaan,” katanya sambil menambah projek terbabit membabitkan kos bernilai jutaan ringgit.

Terdahulu Harden telah menyaksikan Program Pentas Tahun Baru Cina RTM Sri Aman 2010 yang dijayakan oleh lima orang penyanyi Cina tempatan dari dalam kawasan Sri Aman.

Program ini yang bakal disiarkan semula menerusi Bahagian Perkhidmatan Cina RTM Sri Aman pada 14 Februari kelak turut diserikan dengan persembahan Wusyu, tarian dan cabutan tiket bertuah.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan dan Desmond Douglas Jerukan, wakil Pengurus RTM Sri Aman, Ruth Apong, para ketua kaum dan penduduk dalam bandar ini.

Tamat.



No comments:

Post a Comment