Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 February, 2010

Proaktif laksana aktiviti Islam - Simoi


Caption: MINAT...Simoi (tengah) ketika sedang menyaksikan pertandingan Zikir Marhabban di sini malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (25 Feb) – Masyarakat Islam dari sekitar daerah ini dinasihatkan untuk lebih proaktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti atau program supaya daya pemahaman terhadap ilmu ajaran Islam sentiasa meningkat dalam diri masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata perlaksanaan aktiviti keagamaan Islam ini juga dianggap sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan hubungan tali persaudaraan sesama umat dikalangan mereka.

“Hubungan persaudaraan dalam kelompok masyarakat Islam boleh menjadi goyah sekiranya mereka ini memiliki ilmu pengetahuan dan tahap pemahaman terhadap Islam begitu cetek.

“Sebab itulah masyarakat Islam perlu rajin melaksanakan pelbagai program seperti majlis tilawah Al-Quran ini kerana pemahaman terhadap ajaran Islam harus dipertingkat dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Berzanji dan Zikir Marhabban bersempena sambutan Maulidur Rasul 1431 H / 2010 M dengan tema Hijrah dengan tema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ bertempat di Dewan Mini, Masjid Bandar Sri Aman malam tadi.

Selain itu kata Simoi sekiranya masyarakat Islam di daerah ini tidak mengambil berat tentang perlunya seseorang umat itu untuk mempertingkat ilmu agama dalam jiwa masing-masing nescaya pihak tertentu akan bertindak mengambil kesempatan bagi memecahbelahkan perpaduan ummah.

“Umat Islam kini berdepan dengan pelbagai masalah gejala sosial seperti sumbang mahram, ketagihan dadah dan banyak lagi yang ternyata mampu merosakkan minda setiap umat Islam.

“Masalah ini jika tidak diatasi boleh menyebabkan pegangan agama masing-masing terhadap Islam akan menjadi lemah dan seterusnya menjurus kepada perpecahan diklaangan masyarakat Islam,” katanya.

Simoi menerusi ucapannya juga turut menasihatkan masyarakat Islam untuk mengutamakan aset kebendaan (material aset) dan keagamaan (spiritual aset) secara seiring demi memastikan Islam bangun secara menyeluruh di masa akan datang.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Haji Sarkawai, Pengerusi jawatankuasa majlis, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar, Haji Mostapa Salleh dan para ketua kaum.

Sejumlah 13 buah kumpulan mengambil bahagian dalam Pertandingan Zikir Marhabban manakala 11 peserta individu pula mengambil bahagian dalam pertandingan Berzanji bermula 20 Februari lalu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment