Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 February, 2010

Pertahankan perpaduan - Simoi


Caption: SUMBANGAN TBC...Simoi (tengah) sedang menyampaikan hamper Tahun Baru Cina kepada salah seorang penduduk (tiga kanan) di Pekan Lingga ketika berlangsungnya Tahun Baru Cina di situ Ahad lepas.

LINGGA, Selasa (16 Feb) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri menasihatkan para rakyat untuk mengutamakan hubungan perpaduan di antara kaum dalam negeri ini.

Dengan menjadikan perpaduan sebagai intipati utama dalam keperluan hidup, rakyat di negeri ini khususnya menurut beliau mampu hidup dalam keadaan aman damai dan bebas daripada masalah rusuhan kaum.

Beliau demikian ketika mengadakan kunjungan ke rumah para Ketua Kaum Cina di Pekan Lingga, Sri Aman dan seterusnya menyampaikan hamper Tahun Baru Cina di situ bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina 2009 pada hari Ahad lalu.

“Hasil berkat kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, kerajaan Barisan Nasional (BN) ternyata berjaya mewujudkan keadaan politik yang stabil di negeri ini semenjak 30 tahun lalu.

“Perpaduan yang wujud menerusi faktor kestabilan politik hasil pimpinan beliau haruslah dipelihara oleh semua rakyat dalam negeri ini tanpa mengira mereka berketurunan kaum Cina, Melayu dan Dayak,” katanya.

Selain itu kata Simoi, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dalam negeri ini dianggap amat penting untuk membolehkan kerajaan BN melaksana pelbagai pelan pembangunan yang bakal membawa faedah untuk rakyat.

Pelan pembangunan ini menurut beliau termasuklah projek penyediaan kemudahan infrastruktur dan keperluan asas, perhubungan, pendidikan, peningkatan taraf ekonomi dan sosial untuk rakyat.

“Bagaimanapun untuk menjayakan kesemua pelan pembangunan ini faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum memainkan peranan utama kerana tanpa faktor ini kerajaan BN tidak akan dapat melaksanakan pelan terbabit.

Justeru Simoi meminta para rakyat untuk menghargai keamanan dan kesejahteraan hidup yang mereka nikmati sekarang ke arah merancakkan lagi pelan pembangunan rakyat di negeri ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.23 Lingga, Bakthiar Mathan, Ketua Wanita PBB N.23 Lingga, Balkis Abdul Wahid, Ahli Majlis Tertinggi Wanita PBB Sarawak, Kaunselor Mas Shamsiah Haji Maslem, Pemanca Abang Bohari, Kaunselor Mohd Taha Tongkol serta para ahli PBB yang lain.

Tamat.


No comments:

Post a Comment