Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 February, 2010

Persatuan Warisan Budaya juara zikir marhaban


Caption: BERTENAGA...Salah sebuah kumpulan wanita sedang berentap dalam pertandingan Zikir Marhabban di Masjid Bandar Sri Aman malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (25 Feb) – Kumpulan Persatuan Warisan Budaya Melayu muncul juara kategori lelaki bagi Pertandingan Zikir Marhabban bersempena sambutan Maulidur Rasul 1431 H / 2010 M dengan tema Hijrah dengan tema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ bertempat di Dewan Mini, Masjid Bandar Sri Aman malam tadi.

Kumpulan juara dari Kampung Hulu Sri Aman yang diketuai oleh Haji Awang Ismail Haji Awang Wai dinobat sebagai pemenang setelah persembahannya berjaya meyakinkan para juri yang menghakimi pertandingan tersebut.

Dengan kemenangan ini kumpulan Persatuan Warisan Budaya Melayu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM420.

Kedudukan naib juara dan tempat ke-3 masing-masing disandang oleh Kumpulan Masjid Lama dari Kampung Tengah dan Kumpulan An Nur juga dari kampung yang sama. Kedua-dua pasukan ini membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM380 dan RM360.

Pertandingan Zikir Marhabban bagi kategori wanita menyaksikan kumpulan Nur Ridhwah dari Kampung Hilir Stumbin yang diketuai oleh Dayang Jamailah Awang Ujai muncul juara.

Kemeangan Kumpulan Nur Ridhwah yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM420 turut diiringi oleh kumpulan Nur Firdausi dan Nur Falah yang memperoleh kedudukan tempat ke-2 dan ke-3 bagi kategori berkenaan.

Sementara itu Pertandingan Berzanji menyaksikan Haji Awang Ismail bin Haji Awang Wai dari Kampung Hulu Pasir Panas Sri Aman muncul juara bagi kategori lelaki pertandingan.

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah tunai bernilai RM200. Manakala itu Salleh Haji Taha dari Kampung Hilir dan Shapiee Aini dari Rumah Rehat Kerajaan, Sri Aman muncul pemenang tempat ke-2 dan ke-3 bagi kategori tersebut.

Kedua-dua mereka juga turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM180 dan RM160 untuk setiap seorang.

Hajah Dayang Kamariah Haji Abang Fauzan dari Kampung Hilir Sri Aman pula muncul juara bagi kategori wanita Pertandingan Berzanji manakala Rosella Ibrahim dan Hajah Talhah Haji Abdul Rahim pula masing-masing menduduki tempat ke-2 dan ke-3 bagi kategori itu.

Ketiga-tiga peserta terbabit turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200, RM180 dan RM160 untuk setiap seorang. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri yang seterusnya merasmikan pertandingan itu malam tadi.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Haji Sarkawai, Pengerusi jawatankuasa majlis, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar, Haji Mostapa Salleh dan para ketua kaum.

Sejumlah 13 buah kumpulan mengambil bahagian dalam Pertandingan Zikir Marhabban manakala 11 peserta individu pula mengambil bahagian dalam pertandingan Berzanji bermula 20 Februari lalu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment