Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 February, 2010

Mong minta jasa baik kerajaan bina jalan ke Banting


Mugshot: MONG DAGANG

SRI AMAN, Isnin (22 Feb) - Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan & Penyelarasan), Mong anak Dagang memohon jaya baik kerajaan untuk membina jalan raya sepanjang 13 kilometer dari Bukit Balau ke Banting.

Menurut beliau penduduk dari kawasan terbabit sehingga kini masih lagi menggunakan sungai untuk tujuan pengangkutan yang secara tidak langsung terdedah kepada bahaya serangan buaya dari sungai berkenaan.

“Terdapat 10 buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah yang sehingga kini hanya dapat dihubungi melalui sungai Klauh dengan menggunakan perahu panjang.

“Penduduk amat memerlukan kemudahan jalan raya ini bukan sahaja untuk menjual hasil tani mereka ke bandar Sri Aman malah demi mengurangkan risiko serangan buaya terhadap penduduk kampung di situ,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau, Sri Aman hari ini.

Mong menambah bahawa terdapat beberapa kes serangan buaya terhadap penduduk di kawasan Banting dan ia menyebabkan penduduk berdepan dengan risiko yang tinggi ketika menggunakan laluan sungai berkenaan.

“Kerajaan menurut beliau pernah mengumumkan janji terbabit ketika pilihan raya kecil Bukit Begunan pada Mac 1997 bagi membina jalan raya walaupun hingga ke hari ini janji itu masih belum ditunaikan.

“Justeru saya juga ingin memohon jasa baik Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan projek pembinaan jalan raya ke Banting ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK)10,” katanya.

Sementara itu Mong juga mendedahkan masih terdapat 550 buah keluarga dari 33 buah rumah panjang sepanjang jalan Lachau sehingga Selanjan Angkong dan tiga buah sekolah rendah dalam kawasan DUN beliau yang masih belum dibekalkan kemudahan RES hingga sekarang.

“Isu jalan raya yang masih belum diturap dan ketiadaan bekalan elektrik di kawasan luar bandar menjadi isu hangat yang sering dibangkitkan oleh parti pembangkang acapkali menjelang pilihan raya DUN atau Umum. Justeru saya meminta pihak kerajaan memberi perhatian berhubung isu ini,” katanya.

Terdahulu Najib telah menyempurnakan Majlis Perasmian Projek RES yang menelan kos berjumlah RM13.2 juta untuk 2,800 penduduk dari lapan buah rumah panjang di kawasan Lachau.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafiee Apdal, para menteri dan menteri muda kabinet Kerajaan Negeri Sarawak, wakil rakyat BN, pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di situ.


Tamat…





No comments:

Post a Comment