Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 February, 2010

Lelaki rugi RM20K : cermin kereta dipecah pencuri


Caption: MALANG...Cermin tingkap kenderaan milik mangsa telah dipecahkan oleh penjenayah yang mahu mencuri wang dari dalam kenderaannya kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (5 Feb) – Seorang lelaki mengalami kerugian sebanyak RM20,000 apabila penjenayah bertindak memecahkan cermin tingkap kenderaan pacuan empat rodanya untuk mencuri beg galas yang disimpan dalam kenderaannya lewat pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad ketika dihubungi berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang minum di sebuah kedai dalam bandar ini sebaik sahaja selesai melakukan urusan perbankan sebelum jam 11 pagi.

“Mangsa menyimpan sejumlah RM20,000 di dalam sebuah beg galas yang turut mengandungi lain-lain dokumen penting sebaik sahaja selesai urusan perbankan di sebuah bank dalam bandar ini.

“Beg galas terbabit diletakkan oleh mangsa di bawah tempat duduk pemandu dalam kenderaan Hiluxnya dan pergi ke sebuah kedai untuk minum sebelum berlakunya kejadian terbabit,” katanya.

Ketika sedang minum, mangsa kata Jusoh telah mendengar bunyi penggera kecemasan dari kenderaannya yang parkir tidak jauh dari lokasi tempat mangsa dipercayai sedang minum waktu itu.

Bunyi penggera keselamatan berkenaan katanya menyebabkan mangsa bergegas memeriksa kenderaan Hiluxnya dan mendapati bahawa cermin di kedudukan tempat memandu pecah.

“Mangsa kemudiannya mendapati beg galas yang mengandungi wang tunai dan lain-lain dokumen penting telah hilang di bawah tempat duduk pemandu terbabit. Kejadian ini menyebabkan mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 11 pagi,” katanya.

Menerusi hasil siasatan awal terhadap kes terbabit pihak polis menurut Jusoh percaya bahawa saspek adalah merupakan orang yang pernah melakukan beberapa kes jenayah yang sama sebelumnya dalam bandar ini.

“Maklumat yang telah kita diperolehi mengenai saspek ini masih belum mencukupi. Justeru saya meminta orang ramai untuk tampil menemui pihak polis sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai kes ini,” katanya.

Jusoh juga menasihatkan orang ramai dalam bandar untuk tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan masing-masing terutamanya komputer riba (laptop), wang tunai dan sebagainya.

Terdahulu sumber dari tempat kejadian memberitahu bahawa kejadian terbabit berlaku di hadapan bangunan yang terletak di laluan Jalan Main Bazaar. Mangsa yang dipercayai berasal dari Lubok Antu itu bertindak mengeluarkan duit tersebut untuk membayar gaji pekerjanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment