Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 February, 2010

KPDNKK Simanggang buat sportcheck barang kawalan


Caption: SERIUS...Para penguatkuasa PPDNKK Sri Aman ketika sedang melakukan pemeriksaan di Pasar Tamu Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (11 Feb) – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan Dan Koperasi (PPDNKK) Bahagian Sri Aman telah melancarkan pemeriksaan berhubung perlaksanaan Skim Kawalan Harga (SKH) bersempena sambutan Tahun Baru Cina 2010 di sekitar premis dalam bandar ini kelmarin.

Pemeriksaan yang membabitkan seramai sembilan orang penguatkuasa dari Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK Sri Aman itu telah bermula seawal jam 9 pagi di Pasar Tamu Sri Aman.

Walaupun tiada sebarang tangkapan dibuat, pemeriksaaan berhubung perlaksanaan SKH Tahun Baru Cina yang berkuatkuasa dari 10 (kelmarin) hingga 21 Februari ini turut dilakukan terhadap beberapa buah premis perniagaan dalam bandar ini.

Ia bertujuan bagi memastikan para peniaga mematuhi peraturan perletakkan tanda harga berwarna merah jambu terhadap barangan kawalan dan harga jualan tidak melebihi harga maksimum barangan kawalan terbabit.

Kegagalan peniaga untuk mematuhi penguatkuasaan SKH Tahun Baru Cina ini akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga 1946 yang mana tertuduh boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 hingga RM7,500 jika disabitkan bersalah berhubung perkara ini.

Terdahulu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman telah mengumumkan sejumlah 11 barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit menerusi SKH bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina berkuatkuasa kelmarin.

Ia adalah Ayam Hidup, Ayam Standard, Ayam Super, Telur Ayam Gred A, Telur Ayam Gred B, Telur Ayam Gred C, Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), Ikan Bawal Putih, Udang Putih Besar, Daging Babi (Belly), Daging Babi ( Kulit dan Lemak), Telur Ayam Gred A, B dan C.

Bagi empat kawasan itu, harga maksimum (syiling) sekilogram jualan barangan kawalan seperti Ayam Hidup adalah RM6.70, Ayam Standart RM8, Ayam Super RM8.80, Kubis bulat import RM3, Ikan Bawal Putih RM35, Udang Putih Besar RM25, Daging Khinzir (Belly) RM17 dan Daging Khinzir (Kulit dan Lemak) RM11.

Manakala harga maksimum syiling bagi Telur Ayam Gred A sebiji ialah 34 sen, Telur Ayam Gred B pula ialah 33 sen sebiji dan gred C pula ialah 32 sen sebiji.

Untuk itu para peniaga runcit di kawasan Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu diingatkan agar tidak menjual barangan terkawal ini melebihi harga maksimum syiling seperti mana yang telah dinyatakan di atas.

Orang ramai dari keempat-empat kawasan daerah berkenaan juga dinasihatkan untuk menghubungi pihak KPDNKK Sri Aman menerusi talian 083-323836 jika terdapat peniaga yang bertindak melanggar skim kawalan harga terkawal ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment