Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 February, 2010

Kerajaan optimis bekalan api dan air boleh diperluas di Sarawak - Tengah


Caption: TINJAU...Pengurus Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai, Lubok Antu, Azhari Mohtar (kiri sekali) sedang memberi penerangan kepada Haji Mohammad (dua kiri), Tengah (dua kanan) dan Entrie (kanan) sekali ketika berlangsungnya sesi lawatan itu.

LUBOK ANTU, Khamis (18 Feb) – Kerajaan Negeri optimis bahawa mereka mampu memperluaskan akses penduduk terhadap kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) dan bekalan air bersih di seluruh kawasan Sarawak berdasarkan kepada peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat selepas ini.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan kerja ke Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai, Lubok Antu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga) Brunei, Pehin Orang Kaya Seri Dewa Major Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Daud hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, Kuala Lumpur kelmarin mengumumkan Kerajaan Pusat mensasarkan penyediaan kemudahan RES sebanyak 95 peratus kawasan manakala 90 peratus kawasan lagi bagi kemudahan bekalan air bersih di seluruh Sarawak menjelang tahun 2012 kelak.

“Kerajaan Negeri mampu meningkatkan kadar liputan kedua-dua kemudahan ini di Sarawak berbanding dengan kadar liputan yang sedia ada sekarang iaitu 57 peratus untuk bekalan air bersih dan 67 peratus untuk RES.

“Bagaimanapun usaha keras oleh kerajaan amat diperlukan bagi tujuan penambahan jumlah liputan kemudahan RES dan air bersih pada tahun seterusnya berdasarkan kepada faktor geografi dan topografi penempatan penduduk terutama dari kawasan luar bandar dalam negeri ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sumber bekalan elektrik alternatif akan disediakan untuk penduduk di kawasan yang masih belum menerima kemudahan RES begitu juga dengan bekalan air bersih selepas ini.

Selain itu ketika ditanya mengenai usaha terkini kerajaan berhubung projek penyediaan kedua-dua kemudahan bekalan terbabit di Sarawak, Tengah menjelaskan bahawa sejumlah RM400 juta diperuntukan bagi menjayakan projek terbabit untuk tempoh tahun 2010 dan 2011.

“RM250 juta diperuntukan untuk tujuan penyediaan kemudahan RES di Sarawak manakala selebihnya iaitu RM100 juta untuk penyediaan kemudahan bekalan air Retrokulasi dan RM50 juta lagi untuk kemudahan bekalan air alternatif.

“Justeru adalah amat perlu wujudnya hubungan kerjasama antara penduduk, kerajaan dan kontraktor selepas ini demi membolehkan kadar liputan kedua-dua kemudahan terbabit dipertingkat pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Mohammad sambil diiringi oleh Tengah bersama Menteri Muda Kemudahan Bekalan Air, Slyverster Entrie Munan dan para rombongan yang lain tiba di Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai pada jam 10 pagi.

Setelah mendengar taklimat yang berlangsung di Bilik Persidangan Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai terbabit, beliau bersama rombongan kemudiannya meluangkan masa selama setengah jam untuk meninjau stesen terbabit sebelum berangkat ke Mukah pada jam 12 tengahari.

Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai, Lubok Antu kini menghasilkan sejumlah 108 megawatt tenaga elektrik semenjak ia mula beroperasi pada tahun 1984 dahulu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment