Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 February, 2010

Kena tumbuk sebab mahu curi motorsikal

SRI AMAN, Jumaat (26 Feb) – Seorang lelaki mabuk telah menerima ‘hadiah’ berupa tumbukan pada bahagian kening kepalanya setelah cubaan beliau untuk mencuri sebuah motorsikal berdekatan sebuah restoran tempatan dalam bandar ini gagal sekitar jam 9.30 malam kelmarin.

Sebelum berlakunya kejadian, lelaki mabuk berkenaan dipercayai cuba memulas kepala motorsikal milik seorang artis rakaman tempatan dari bandar ini di belakang premis restoran berkenaan.

Setelah gagal memulas kepala motorsikal tersebut, lelaki mabuk terbabit kemudiannya bergerak ke bahagian sisi kedai terbabit dan cuba memulas kepala motorsikal milik pengurus restoran berkenaan.

Tanpa menghiraukan kehadiran pelanggan di restoran terbabit, tindakan lelaki mabuk itu telah dikesan oleh seorang tukang masak dalam kedai berkenaan dan seterusnya memaklumkan perkara itu kepada pengurusnya.

Pengurus restoran berkenaan kemudiannya bertindak pantas menahan lelaki mabuk berkenaan yang kelihatan cuba menyorong motorsikal terbabit keluar dari premis restoran berkenaan.

“Anak pengurus restoran berkenaan kemudiannya menumbuk kening lelaki mabuk terbabit setelah mendapati bahawa lelaki itu benar-benar mahu mencuri motorsikal berkenaan.

“Setelah diberi amaran, pemilik restoran terbabit kemudiannya bertindak melepaskan lelaki mabuk tersebut tanpa mengadu perkara ini ke Balai Polis Sri Aman untuk tindakan lanjut,” kata seorang pelanggan yang menyaksikan kejadian tersebut.

Pemilik restoran terbabit ketika ditemui menjelaskan bahawa beliau melepaskan lelaki berkenaan setelah mengambilkira keadaan lelaki tersebut yang berada dalam pengaruh alkohol.

“Tindakan lelaki itu yang cuba mencuri di depan khalayak ramai sememangnya amat berani. Bagaimanapun dia dalam keadaan mabuk lalu melepaskan dia selepas itu (setelah memberikan tumbukan di kening kepala),” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment