Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 February, 2010

JKR Sri Aman kemuka pelan naiktaraf Loji Air Empago - Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Rabu (3 Feb) – Loji Rawatan Air Empango dijangka mampu menampung keperluan bekalan air bersih terhadap 70,000 orang penduduk di Sri Aman sekiranya pelan rancangan untuk menaiktaraf loji terbabit diluluskan oleh kerajaan pada tahun ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata Loji Rawatan Air Empango di Bayai pada masa sekarang hanya menampung keperluan bekalan air bersih terhadap 40,000 penduduk di Sri Aman dengan jumlah kapisiti pengeluaran air sebanyak 13.3 Juta Liter Sehari (MLD).

“Pelan rancangan ini telah pun dihantar kepada pihak kementerian termasuk Jabatan Kerja Raya bagi tujuan kelulusan projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Empango di Bayai.

“Sekiranya pelan rancangan bernilai RM45 juta ini diluluskan kelak maka Loji Rawatan Air Empango akan mampu menghasilkan sejumlah 30 MLD bekalan air bersih terhadap 60,000 hingga 70,000 penduduk dalam kawasan Sri Aman selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Penyerahan Tapak Projek Naiktaraf AC Pipes Sri Aman bagi peringkat Fasa I di belakang bangunan Puspakom, Jalan Brayun Sri Aman hari ini.

Bagaimanapun Harden bercadang untuk projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Empango ini mungkin akan dilaksanakan bagi peringkat Fasa I sekiranya kerajaan meluluskan jumlah peruntukan yang kurang dari nilai kos anggaran asalnya sebelum ini iaitu RM45 juta.

“Saya yakin bahawa kerajaan akan meluluskan pelan rancangan untuk menaiktaraf loji terbabit pada tahun ini. Sekiranya diluluskan maka penduduk dari kawasan Batu Lintang dan Lingga juga bakal menikmati bekalan air bersih selepas ini,” katanya.

Buat masa sekarang Loji Rawatan Air Empango di Bayai hanya mampu menyalurkan bekalan air bersih terhadap 40,000 penduduk dari kawasan bandar Sri Aman, Melugu dan Gran.

Terdahulu Harden telah menyaksikan majlis penyerahan kontrak oleh Jurutera Bahagian, JKR Sri Aman iaitu Meehan Jorai kepada Pengarah Urusan syarikat Sarwaga Sdn Bhd, Haira Salleh yang bertanggungjawab bagi melaksanakan Projek Naiktaraf AC Pipes Sri Aman bagi peringkat Fasa I.

Projek Naiktaraf AC Pipes Sri Aman bagi peringkat Fasa I yang meliputi dua buah kawasan di Sri Aman telah menelan kos perbelanjaan bernilai RM4,258,181 bermula dari 29 Januari hingga 28 November tahun ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah (Pembangunan) JKR Sarawak, Zuraimi Sabki, Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Mudin, Jurutera Bekalan Air JKR Sri Aman, Oliver Ngabong, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Tamat.









No comments:

Post a Comment