Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 February, 2010

Jeti DID dan wharf Sri Aman jadi tumpuan kaki pancing


Caption: JANGAN DAPAT BOYAK (buaya) SUDAH LAH...Edwin (kiri) sedang membantu Vyonnie (kanan) untuk mengatur pancingnya sebelum memulakan aktiviti berkenaan di Jeti DID baru-baru ini.

SRI AMAN, Sabtu (20 Feb) – Jika mahu memancing ikan atau udang di Bandar Sri Aman mungkin Jeti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) atau Taman Tebingan Sungai Batang Lupar boleh menjadi lokasi tumpuan mereka selepas ini.

Ini kerana Jeti DID yang terletak di Kampung Hilir Sri Aman dilihat begitu strategik untuk mana-mana kaki pancing yang mahu meraih tangkapan ikan atau udang secara sederhana di Sungai Batang Lupar sebelum ini.

Tambahan pula kewujudan pondok baru yang dibina bersama dengan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman dilihat membuka lebih banyak ruang untuk penduduk mencari lokasi memancing masing-masing baru-baru ini.

Seorang guru dari SMK Melugu, Vyonnie Maclean Pugie, 30, ketika ditemui baru-baru ini nyata memanfaatkan waktu cuti sekolahnya untuk memancing ikan di Jeti DID Sri Aman dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar.

“Baru-baru ini saya telah berjaya memperoleh sebanyak lima ekor Ikan Semilang dan tujuh ekor Belukang ketika memancing ikan di dua buah lokasi terbabit iaitu Jeti DID Sri Aman dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar.

“Walaupun hasilnya tidak banyak namun saya berasa cukup berpuashati untuk meluangkan masa dengan memancing ikan di lokasi-lokasi strategik dalam bandar Sri Aman ini,” menurut beliau.

Bagi Edwin Nanggah, 33, kaki pancing di bandar ini seharusnya bersyukur kerana kerajaan telah menyediakan lokasi yang baik untuk penduduk melaksanakan aktiviti memancing tanpa mengira masa lebih-lebih lagi dengan terbina Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman sebelum ini.

“Bagaimanapun untuk mengalakkan lagi aktiviti memancing di bandar ini saya rasa ada baik untuk kerajaan mempertingkatkan lagi kemudahan jeti yang terdapat di belakang Jabatan Saliran dan Pengairan Sri Aman ini,” katanya.

Edwin yakin Jeti DID Sri Aman dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman mampu menjadi lokasi memancing yang popular di kalangan kaki pancing di masa akan datang.
Tamat.


No comments:

Post a Comment