Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 February, 2010

Jangan salahguna PIBG - Rayong


Caption: TAHNIAH...Rayong (kanan) sambil disaksikan oleh Mohamad (tengah) ketika sedang menyampaikan piala kepada seorang pelajar pada kejohanan berkenaan.

ENGKILILI, Selasa (16 Feb) – Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan politik demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Menurut beliau terdapat sesetengah pihak yang membabitkan guru dan ibubapa yang menjadikan PIBG sebagai platform untuk menyebarkan fahaman politik terhadap sekolah masing-masing sebelum ini.

“Lebih mengecewakan ialah PIBG digunakan oleh mereka untuk menyebarkan fahaman politik terhadap golongan terpelajar dan bukan pelajar bagi menentang pihak Barisan Nasional (BN) dalam negeri ini.

“PIBG ditubuhkan untuk membolehkan ibubapa dan guru memperjuangkan isu yang berkaitan dengan akademik dan kokurikulum pelajar. Justeru perkara terbabit (penyalahgunaan PIBG) haruslah dihentikan selepas ini,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Belapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili di padang sekolah terbabit baru-baru ini.

Beliau juga melahirkan rasa bimbang sekiranya para pelajar dipengaruhi untuk tujuan politik yang negatif sekiranya tindakan sesetengah pihak yang menyalahgunakan PIBG tersebut tidak ditangani pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu melihat para pelajar menjadi alat politik untuk menentang kerajaan selepas ini. Pelajar adalah permata negara dan untuk itu adalah wajar sekiranya PIBG tidak disalahgunakan bagi tujuan politik pada masa hadapan,” katanya sambil menambah bahawa isu politik wajar dikendalikan oleh wakil rakyat dan bukannya mereka.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 untuk PIBG SMK Engkilili dan RM3,000 untuk Persatuan Amataur Olahraga Sri Aman.

Terdahulu Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak telah merasmikan majlis berkenaan. Hadir sama ialah Yang Dipertua PIBG SMK Engkilili, Andrew Bugek Ipang dan Pengetua SMK Engkilili, Haji Mohamad bin Obey.

Tamat.


No comments:

Post a Comment