Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 February, 2010

Ibubapa jangan waspada anak-anak dalami matapelajaran masing-masing


Caption: TAHNIAH...Pengetua SMK Melugu, Haji Hosaini sedang menyampaikan sijil kepada Ellygina Lemba anak Collin ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (12 Feb) – Ibubapa tidak harus berasa waspada sekiranya anak-anak berniat untuk mendalami matapelajaran utama seperti Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik di sekolah selepas ini.

Menteri Muda Pelancongan (Penyelarasan dan Penyelidikan) Mong anak Dagang berkata niat anak-anak untuk mendalami matapelajaran terbabit dianggap cukup baik selaras dengan perkembangan dunia moden di masa akan datang.

“Ada ibubapa yang gusar melihat niat anak masing-masing berhubung isu ini. Mereka tidak yakin dan juga bimbang sekiranya anak mereka gagal menguasai matapelajaran terbabit.

“Bagi saya gagal atau tidak itu bukan masalah utama. Pentingnya di sini ialah ibubapa itu sendiri perlu memberi semangat terhadap niat anak masing-masing kerana ia berkaitrapat dengan masa depan hidup mereka sendiri selepas itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2009 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu kelmarin.

Selain itu Mong juga menasihatkan para pelajar agar tidak menyalahguna wang yang disalurkan oleh ibubapa masing-masing ketika berada di bangku sekolah selepas ini.

“Ada yang guna duit ibubapa untuk tujuan yang salah. Jika begini mereka secara tidak langsung telah mensia-siakan usaha ibubapa masing-masing yang bersusah payah mencari duit untuk perbelanjaan sekolah anak-anak sebelum ini.

“Gunakan duit yang diberikan oleh ibubapa dengan sebaiknya dan balas jasa mereka dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam bidang akademik masing-masing selepas itu,” katanya.

Terdahulu Mong telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada pihak SMK Melugu pada majlis berkenaan. Sejumlah 175 orang pelajar Tahun 1, 2 dan 4 SMK Melugu bagi tahun 2009 telah menerima sijil menerusi majlis yang berlangsung pada hari ini.

Hadir sama ialah wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Limok Shem, Yang Dipertua PIBG SMK Melugu, Rigi Gu, Pengetua SMK Melugu, Haji Hossain Fauzi, Penolong Kanan 1, Horida Hosai dan Penolong Kanan HEM, Andin Simanggang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment