Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 February, 2010

Harden hulur bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran


Caption: PRIHATIN...Harden (kanan) menyerahkan bantuan kepada Rahman (kiri) ketika berlangsungnya upacara ringkas terbabit hari ini.

SRI AMAN, Ahad (28 Feb) – Beberapa buah persatuan dari sekitar Bandar Sri Aman telah turun padang untuk menghulurkan bantuan berupa wang dan barangan keperluan hidup kepada sebuah keluarga mangsa kejadian kebakaran di Kampung Muhibbah hari ini.

Terdahulu Keluarga Abdul Rahman bin Haji Ramli, 50, dari Kampung Muhibah ditimpa musibah pada jam 7.30 pagi hari ini apabila kediaman berupa rumah kayu mereka musnah dijilat api yang dipercayai datang dari bahagian dapur rumah terbabit.

Rombongan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang yang diketuai oleh pengerusinya merangkap Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah turun padang untuk menyampaikan bantuan kewangan bernilai RM1,000 kepada keluarga mangsa berkenaan.

Dua buah lagi persatuan yang turut tampil memberikan bantuan kepada keluarga mangsa kejadian kebakaran itu adalah Persatuan Soon Heng Simanggang dan Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang.

Naib pengerusi Persatuan Soon Heng Simanggang, Law Eng Han telah mewakili persatuannya untuk menyampaikan sumbangan peribadi berupa wang bernilai RM500 kepada keluarga mangsa.


Manakala itu Persatuan Che Chuan Khor Moral cawangan Simanggang menghulurkan sumbangan wang tunai bernilai RM300 beserta keperluan makanan seperti beras, biskut dan juga telur kepada keluarga malang terbabit.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang, Kapitan Kuek Aik Seng, Setiausaha Sulit Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Jerome Runggol bersama dua orang penasihat Parti SUPP Cawangan Simanggang, Pemanca Sii Toh Peng dan Penghulu Lee Siang Hua.

Harden ketika ditemui pada majlis itu menasihatkan para penduduk terutamanya mereka tinggal di rumah kayu untuk lebih berhati-hati selepas ini berhubung kejadian malang yang telah menimpa keluarga Rahman berkenaan.

“Pastikan barangan keperluan yang menggunakan punca elektrik atau bahan api diawasi sepenuhnya ketika anda berada di rumah terutamanya sekali ketika waktu tidur malam untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment