Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 February, 2010

5,000 penduduk sertai perarakan Maulidur Rasul


Caption: MERIAH...Kontinjen dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman sedang berarak melintasi laluan Jalan Astana bersempena perarakan Maulidur Rasul hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (26 Feb) – Sambutan Maulidur Rasul 1431H / 2010M Peringkat Negeri yang berlangsung di Bandar Sri Aman telah sampai ke tahap kemuncaknya menerusi acara perarakan pada waktu pagi hari ini.

Perarakan sempena Maulidur Rasul terbabit telah melibatkan penyertaan sejumlah 5,000 orang kakitangan kerajaan, swasta dan orang awam menerusi 122 buah kontinjen dari Sri Aman, Kuching, Serian, Betong dan Sarikei.

Sebelum bermulanya perarakan terbabit, Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin bersama Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah dan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud tiba di Padang Lama KPSU Sri Aman pada jam 7.40 pagi.

Setelah selesai ucapan perasmian oleh Taib dan Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Datuk Haji Daud Abdul Rahman, perarakan kemudiannya dimulakan dengan Tun Salahuddin bersama isteri mengetuai perarakan berkenaan bermula dari Padang Lama KPSU Sri Aman bermula jam 8.15 pagi.

Perarakan yang turut diketuai juga oleh Taib itu juga mula bergerak merentasi Jalan Astana menuju ke Jalan Main Bazaar, Jalan Nanas, Jalan Stawang, Jalan Pasir Panas, Jalan Hospital dan Jalan Resak sebelum kembali semula ke Padang Lama KPSU Sri Aman itu.

Secara keseluruhannya upacara perarakan ini telah menempuh perjalanan sejauh 4.5 kilometer dan ia secara tidak langsung menarik perhatian para penduduk bukan beragama Islam dalam bandar ini yang ingin menyaksikan acara terbabit dengan lebih dekat di sepanjang jalan.

Segala urusan program perarakan ini juga berjalan dengan lancar apabila pihak polis dengan kerjasama RELA, Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain agensi bertindak mengawasi beberapa laluan jalan yang ditutup bagi menjayakan upacara perarakan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Datuk Haji Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis dan ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri turut hadir sama bagi menjayakan acara perarakan yang berlangsung selama satu jam itu.

Terdahulu Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah bersama Taib telah menghadirkan diri di Masjid Bandar Sri Aman untuk menyaksikan Majlis Ceramah Agama dan Zikir Maulud pada jam 6.40 petang kelmarin.

Majlis Ceramah Agama dan Zikir Maulud yang berlangsung sehingga jam 9 malam itu dijayakan dengan ceramah khas Maulidul Rasul oleh Pendakwah dan Perunding Motivasi dari Majlis Islam Sarawak iaitu Haji Kipli Haji Yassin.

Tamat.


No comments:

Post a Comment