Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 February, 2010

46 penduduk terima pampasan tanah, 77 terima surat tanah - Majuan

SRI AMAN, Selasa (23 feb) – Seramai 46 orang penduduk dari kawasan Bahagian Sri Aman menerima bayaran wang pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM430,171.89 untuk dua projek pembinaan jalan raya di sini.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Majuan Jeraie berkata dua projek pembinaan jalan raya yang membabitkan 46 pemilik tanah itu ialah cadangan pembinaan Jalan Balau / Banting dan Jalan Sri Aman / Emplam Road (Jalan Basi), Sri Aman.

“Projek pertama iaitu Jalan Balau / Banting membabitkan seramai 22 orang pemilik tanah dengan keluasan keseluruhan tanah yang terlibat adalah 46.28 hektar dan jarak jalan 9.5 kilometer.

“Jumlah keseluruhan pampasan tanah untuk jalan yang bakal menghubungkan kawasan Bukit Balau dan Banting, Lingga ini ialah RM124,695.86,” katanya pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Projek kedua pula iaitu Jalan Sri Aman / Emplam Road kata beliau membabitkan sejumlah 24 orang pemilik tanah keluasan keseluruhan tanah yang terlibat adalah 111.41 hektar dan jarak jalan 22 kilometer.

Bagaimanapun nilai bayaran pampasan terhadap projek kedua ini menurut Majuan hanya melibatkan tiga kilometer pertama dengan jumlah bayaran keseluruhan mencatatkan nilai RM305,476.03.

“Projek itu akan menghubungkan Jalan Brayun dan Sri Aman / Betong Trunk Road. Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman telah pun siap melakukan kerja bagi mengukur tanah bagi kedua-dua projek itu pada tahun lepas,” menurut beliau.

Selain beliau menerusi majlis itu juga turut menyatakan bahawa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman kini sudah pun meluluskan 300 permohonan surat hakmilik tanah penduduk pada tahun ini.

“300 daripada 872 permohonan surat hakmilik tanah telah kita luluskan pada tahun ini. Selebihnya 472 permohonan masih lagi dalam proses oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman pada masa sekarang,” menurut beliau.

Beliau turut menambah bahawa sejumlah 77 orang penduduk dari 10 buah kawasan termasuk Klauh, Undup, Bijat, Skrang, Lesong, Bukit Besai, Lingga, Simanggang, Selanjan dan Marup menerima surat hakmilk tanah pada majlis ini.

Terdahulu Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber, Haji Naroden bin Haji Majais telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman yang bermula pada jam 10.30 pagi hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Timbalan Residen Sri Aman (Sosial), Felicia Tan dan Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Mudin.

Tamat.

1 comment: