Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 February, 2010

Penduduk miliki telur Itik ganjil


Caption: GANJIL...Telur ayam (kiri) mempunyai saiz yang besar berbanding telur itik (kiri) milik seorang lelaki di sini. Bagaimanapun kebiasaan telur itik mempunyai saiz lebih besar berbanding telur ayam.

SRI AMAN, Ahad (28 Feb) – Seorang penduduk dari kawasan Jalan Batang Lupar, Sri Aman terkejut apabila seekor itik betina peliharaannya melahirkan saiz telur yang lebih kecil berbanding telur ayam biasa.

Sambil mendakwa kejadian tersebut adalah pelik, pemiliknya yang enggan mendedahkan nama sebenar kepada Utusan Sarawak memberitahu beliau menyedari kejadian terbabit apabila menjengok kandang itik pemeliharaannya tiga hari lepas.

“Memang menjadi rutin saya pada setiap hari untuk menjengok kandang itik dan ayam saya di belakang rumah pada waktu setiap petang.

“Bagaimanapun ketika memeriksa sarang milik seekor itik betina di situ saya berasa cukup terkejut apabila mendapati saiz telurnya lebih kecil berbanding biasa dan lebih kecil daripada telur ayam,” menurut beliau ketika ditemui.

Ketika disukat, pemiliknya mendapati bahawa kesemua lima biji telur itik terbabit mempunyai ukuran sepanjang dua hingga lima sentimeter berbanding 15 sentimeter bagi standart saiz biasa sebelum ini.

“Itik betina saya pernah melahirkan beberapa biji telur sebelumnya dan pernah tidak memiliki telur yang mempunyai saiz yang luarbiasa kecilnya pada kali ini.

“Justeru saya menganggap kejadian ini sebagai ganjil. Kesemua lima biji telur berkenaan telah saya simpan untuk kenangan dan tidak akan dijual kepada mana-mana pihak yang mahu memilikinya,” menurut beliau.

Tamat.


Gerai Jualan Beraneka meriahkan Cap Goh Mei





Caption: MERIAH...Para pengunjung kelihatan sedang membanjiri kawasan Gerai Jualan Beraneka di laluan Jalan Kapitan yang diadakan sempena perayaan Cap Goh Mei malam tadi.


SRI AMAN, Ahad (28 Feb) – Suasana sambutan Pesta Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman 2010 telah dimeriahkan lagi dengan aktiviti Gerai Jualan Beraneka berlangsung di beberapa batang jalan dalam bandar ini bermula 26 Februari lalu.

Aktiviti Gerai Jualan Beraneka terbabit terletak di laluan Jalan Market dan Jalan Kapitan atau lebih mudah terletak di bersebelahan kawasan Market Terbuka (Open Air) Sri Aman.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak bermula 26 Februari lalu mendapati bahawa Gerai Jualan Beraneka ini telah menarik ratusan orang pengunjung bermula dari tarikh berkenaan hingga malam tadi.

Gerai Jualan Beraneka ini didapati menawarkan pelbagai produk jualan barangan yang menarik antaranya pakaian, barangan kraftangan, buku, sticker kenderaan, cadar tilam, beg mini dan sebagainya.

Malahan terdapat sebilangan peniaga yang menjual produk anak pokok buah-buahan dan juga makanan kepada mana-mana pengunjung yang hadir di tapak Gerai Jualan Beraneka iti.

Dengan berlangsungnya aktiviti seumpama ini tambah lagi dengan penganjuran Pesta Ria Sri Aman, suasana sambutan Pesta Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman dijangka berlangsung dengan penuh menarik sehingga ia tamat pada malam ini (28 Feb).

Pesta Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman 2010 kini telah dimasukkan ke dalam takwin kalendar aktiviti perayaan di Bahagian Sri Aman.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha Pejabat Residen Sri Aman dan Persatuan Soon Heng Simanggang untuk mengangkat prestij Sri Aman selaku bandar perlancongan di masa akan datang.

Tamat.


Harden hulur bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran


Caption: PRIHATIN...Harden (kanan) menyerahkan bantuan kepada Rahman (kiri) ketika berlangsungnya upacara ringkas terbabit hari ini.

SRI AMAN, Ahad (28 Feb) – Beberapa buah persatuan dari sekitar Bandar Sri Aman telah turun padang untuk menghulurkan bantuan berupa wang dan barangan keperluan hidup kepada sebuah keluarga mangsa kejadian kebakaran di Kampung Muhibbah hari ini.

Terdahulu Keluarga Abdul Rahman bin Haji Ramli, 50, dari Kampung Muhibah ditimpa musibah pada jam 7.30 pagi hari ini apabila kediaman berupa rumah kayu mereka musnah dijilat api yang dipercayai datang dari bahagian dapur rumah terbabit.

Rombongan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang yang diketuai oleh pengerusinya merangkap Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah turun padang untuk menyampaikan bantuan kewangan bernilai RM1,000 kepada keluarga mangsa berkenaan.

Dua buah lagi persatuan yang turut tampil memberikan bantuan kepada keluarga mangsa kejadian kebakaran itu adalah Persatuan Soon Heng Simanggang dan Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang.

Naib pengerusi Persatuan Soon Heng Simanggang, Law Eng Han telah mewakili persatuannya untuk menyampaikan sumbangan peribadi berupa wang bernilai RM500 kepada keluarga mangsa.


Manakala itu Persatuan Che Chuan Khor Moral cawangan Simanggang menghulurkan sumbangan wang tunai bernilai RM300 beserta keperluan makanan seperti beras, biskut dan juga telur kepada keluarga malang terbabit.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang, Kapitan Kuek Aik Seng, Setiausaha Sulit Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Jerome Runggol bersama dua orang penasihat Parti SUPP Cawangan Simanggang, Pemanca Sii Toh Peng dan Penghulu Lee Siang Hua.

Harden ketika ditemui pada majlis itu menasihatkan para penduduk terutamanya mereka tinggal di rumah kayu untuk lebih berhati-hati selepas ini berhubung kejadian malang yang telah menimpa keluarga Rahman berkenaan.

“Pastikan barangan keperluan yang menggunakan punca elektrik atau bahan api diawasi sepenuhnya ketika anda berada di rumah terutamanya sekali ketika waktu tidur malam untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Tamat.

Sebuah keluarga dari Kampung Muhibbah tinggal sehelai sepinggang - rumah anggus




Caption:

1.MUSNAH...Pihak bomba sedang bertungkus lumus memadam api kebakaran yang memusnahkan rumah keluarga Rahman hari ini.



2. MALANG...Keluarga Abdul Rahman ketika ditemui pada kejadian terbabit hari ini.

SRI AMAN, Ahad (28 Feb) – Sebuah keluarga dari Kampung Muhibbah, Sri Aman ditimpa nasib malang apabila rumah mereka musnah dijilat api menerusi kejadian yang dipercayai berlaku sekitar awal hari ini.

Keluarga mangsa iaitu Abdul Rahman bin Haji Ramli, 50, bersama seorang isteri dan tiga orang anaknya sedang tidur nyenyak sebelum itu ketika api dipercayai mula muncul dari kawasan dapur dalam kediaman rumah papan milik keluarga berkenaan.

Manakala itu seorang lagi anak mangsa tidak berada di rumah pada waktu berlakunya kejadian memandangkan dia telah pergi ke rumah neneknya di Kampung Stawang pada waktu malam sebelumnya.

“Ketika bangun jam 7.30 pagi, saya amat terkejut apabila mendapati api mula marak dari bahagian dapur rumah sebaik sahaja membuka pintu bilik tidur kami empat beranak.

“Menyedari api telah marak dari kawasan dapur saya terus berteriak dan bertindak pantas menyelamatkan anak-anak dan isteri saya yang masih berada di dalam bilik tidur pada waktu pagi berkenaan,” kata Rahman ketika ditemui Utusan Sarawak pada kejadian itu.

Selain menyelamatkan anak dan isterinya ketika itu, beliau juga turut bertindak menyelamatkan beberapa buah dokumen penting ketika kediamannya mula musnah dijilat api pada waktu berkenaan.

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Sebelum jam 8 pagi kesemua bahagian rumah kediaman kami empat beranak musnah dijilat api sehingga saya tidak dapat bertindak apa-apa untuk menyelamat harta benda penting yang lain,” katanya.

Bomba kemudiannya tiba di tempat kejadian dan bertindak memadam api kebakaran sehingga ia dikawal sepenuhnya menjelang jam 9.30 pagi.

Walaupun kejadian terbabit tidak meragut nyawa Rahman sekeluarga namun punca api terbabit mula marak dari kawasan dapur rumah mereka masih lagi tidak dapat diketahui sehingga sekarang.

Tamat.



Harden sampai RM107k kepada 17 penerima


Caption: UNTUK ALBUM...Harden (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama penerima geran ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Ahad (28 Feb) – Sejumlah 17 buah persatuan termasuk gereja dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima geran peruntukan daripada Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis pada majlis yang berlangsung di Pejabat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Simanggang hari ini.

Penerima peruntukan geran daripada Harden ini terdiri dariapda 10 buah JKKK, empat buah Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), empat buah persatuan dan tiga buah gereja dari Sri Aman.

Kesemua nilai peruntukan bagi tahun 2009 yang disampaikan sendiri oleh beliau bermula jam 9 pagi kepada 17 buah persatuan dan gereja berkenaan mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM107,000.

Harden yang juga merupakan Pengerusi SUPP cawangan Simanggang mahu para penerima memanfaatkan sebaik mungkin peruntukan yang mereka terima daripada kerajaan selepas ini.

“JKKK terutamanya perlu membawa kesemua ahli untuk membincangkan langkah bagi menggunakan geran yang mereka terima selepas ini agar ia memberi faedah secara menyeluruh terhadap penduduk masing-masing.

“Jika salah cara digunakan maka kerugian akan ditanggung oleh JKKK dan seluruh penduduk di bawah jagaan masing-masing selepas ini,” menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang.

Selain itu Harden juga mengingatkan penduduk agar terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diteraju oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud selepas ini.

Ini kerana penduduk di Sarawak menurut beliau masih memerlukan kepimpinan BN untuk menjayakan perlaksanaan Gelombang Ke-2 Dasar Politik Pembangunan di masa akan datang.

“Perlaksanaan projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) masih memerlukan sokongan teguh daripada penduduk dalam negeri ini untuk memastikan ia berjaya dalam tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.


Hadir sama pada majlis penyerahan geran berkenaan ialah Pemanca Samuel Lawin, Pemanca Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua, Kapitan Kuek Aik Seng serta ahli-ahli parti yang lain.
Tamat.


26 February, 2010

5,000 penduduk sertai perarakan Maulidur Rasul


Caption: MERIAH...Kontinjen dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman sedang berarak melintasi laluan Jalan Astana bersempena perarakan Maulidur Rasul hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (26 Feb) – Sambutan Maulidur Rasul 1431H / 2010M Peringkat Negeri yang berlangsung di Bandar Sri Aman telah sampai ke tahap kemuncaknya menerusi acara perarakan pada waktu pagi hari ini.

Perarakan sempena Maulidur Rasul terbabit telah melibatkan penyertaan sejumlah 5,000 orang kakitangan kerajaan, swasta dan orang awam menerusi 122 buah kontinjen dari Sri Aman, Kuching, Serian, Betong dan Sarikei.

Sebelum bermulanya perarakan terbabit, Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin bersama Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah dan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud tiba di Padang Lama KPSU Sri Aman pada jam 7.40 pagi.

Setelah selesai ucapan perasmian oleh Taib dan Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Datuk Haji Daud Abdul Rahman, perarakan kemudiannya dimulakan dengan Tun Salahuddin bersama isteri mengetuai perarakan berkenaan bermula dari Padang Lama KPSU Sri Aman bermula jam 8.15 pagi.

Perarakan yang turut diketuai juga oleh Taib itu juga mula bergerak merentasi Jalan Astana menuju ke Jalan Main Bazaar, Jalan Nanas, Jalan Stawang, Jalan Pasir Panas, Jalan Hospital dan Jalan Resak sebelum kembali semula ke Padang Lama KPSU Sri Aman itu.

Secara keseluruhannya upacara perarakan ini telah menempuh perjalanan sejauh 4.5 kilometer dan ia secara tidak langsung menarik perhatian para penduduk bukan beragama Islam dalam bandar ini yang ingin menyaksikan acara terbabit dengan lebih dekat di sepanjang jalan.

Segala urusan program perarakan ini juga berjalan dengan lancar apabila pihak polis dengan kerjasama RELA, Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain agensi bertindak mengawasi beberapa laluan jalan yang ditutup bagi menjayakan upacara perarakan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Datuk Haji Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis dan ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri turut hadir sama bagi menjayakan acara perarakan yang berlangsung selama satu jam itu.

Terdahulu Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah bersama Taib telah menghadirkan diri di Masjid Bandar Sri Aman untuk menyaksikan Majlis Ceramah Agama dan Zikir Maulud pada jam 6.40 petang kelmarin.

Majlis Ceramah Agama dan Zikir Maulud yang berlangsung sehingga jam 9 malam itu dijayakan dengan ceramah khas Maulidul Rasul oleh Pendakwah dan Perunding Motivasi dari Majlis Islam Sarawak iaitu Haji Kipli Haji Yassin.

Tamat.


Terap Jihad untuk jayakan ekonomi Sarawak kata Taib







Caption:

1. MULA...Tun Salahuddin (tengah) sambil diapit oleh Taib (kiri) ketika memulakan acara perarakan Maulidur Rasul di Padang Lama KPSU Sri Aman hari ini.

2. 1MALAYSIA...Taib (tengah) sambil diapit oleh Simoi (kanan) dan Harden (kiri) kelihatan ceria ketika berarak merentasi laluan Jalan Hospital hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (26 Feb) – Nilai ajaran Islam terutamanya konsep Jihad perlu disemai dikalangan rakyat mulai sekarang bagi membangunkan sumber manusia dalam negara ini khususnya Sarawak.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata ini kerana kerajaan amat memerlukan sumber manusia yang berkebolehan dalam mengendalikan projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) dan Empangan Hidroelektrik Bakun dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Konsep Jihad boleh diguna untuk mencari dan melantik para individu yang dilihat berkemampuan dalam mengerakkan jentera pembangunan ekonomi lebih-lebih lagi apabila Sarawak mahu mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030 nanti.

“Kita mahu tahap pendapatan ekonomi rakyat dapat ditingkatkan dari status pertengahan bagi masa sekarang kepada tahap status berpendapatan tinggi menjelang tahun itu nanti (2030),” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa konsep Jihad tidak seharusnya dinilai dari segi aspek yang berkaitan dengan peperangan namun sebaliknya perlu dilihat dari segi aspek kemajuan hidup manusia pada masa seterusnya.

Taib berkata demikian ketika berucap merasmikan Acara Perarakan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1431 H / 2010 M Peringkat Negeri bertempat di Padang Lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman hari ini.

Selain itu kerajaan menurut beliau juga mensasarkan penyediaan sejumlah 1.5 juta pekerjaan terhadap rakyat dalam negeri ini menjelang tahun 2030 nanti menerusi perlaksanaan projek SCORE dan lain-lain sumber ekonomi Sarawak.

“Malahan kajian menunjukkan bahawa projek Empangan Hidroelektrik Bakun mampu menjana sejumlah 20,000 megawat elektrik apabila ia sudap siak kelak selain dari nilai pelaburan SCORE yang bakal mencecah nilai RM100 billion pada tahun 2030 nanti.

“Nilai ini mengambarkan peningkatan taraf ekonomi yang tinggi di Sarawak dalam tempoh 20 tahun akan datang. Justeru rakyat perlu menyahut seruan Jihad kerajaan untuk menjayakan projek ekonomi terbabit demi kebaikan pihak di Sarawak selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin bersama Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Datuk Haji Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari bandar ini.

Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah bersama Pehin Sri Taib telah mengetuai perarakan sejauh 4.5 kilometer dalam bandar ini yang membabitkan seramai 5,000 peserta bermula jam 8 pagi hari ini.

Tamat.




Kena tumbuk sebab mahu curi motorsikal

SRI AMAN, Jumaat (26 Feb) – Seorang lelaki mabuk telah menerima ‘hadiah’ berupa tumbukan pada bahagian kening kepalanya setelah cubaan beliau untuk mencuri sebuah motorsikal berdekatan sebuah restoran tempatan dalam bandar ini gagal sekitar jam 9.30 malam kelmarin.

Sebelum berlakunya kejadian, lelaki mabuk berkenaan dipercayai cuba memulas kepala motorsikal milik seorang artis rakaman tempatan dari bandar ini di belakang premis restoran berkenaan.

Setelah gagal memulas kepala motorsikal tersebut, lelaki mabuk terbabit kemudiannya bergerak ke bahagian sisi kedai terbabit dan cuba memulas kepala motorsikal milik pengurus restoran berkenaan.

Tanpa menghiraukan kehadiran pelanggan di restoran terbabit, tindakan lelaki mabuk itu telah dikesan oleh seorang tukang masak dalam kedai berkenaan dan seterusnya memaklumkan perkara itu kepada pengurusnya.

Pengurus restoran berkenaan kemudiannya bertindak pantas menahan lelaki mabuk berkenaan yang kelihatan cuba menyorong motorsikal terbabit keluar dari premis restoran berkenaan.

“Anak pengurus restoran berkenaan kemudiannya menumbuk kening lelaki mabuk terbabit setelah mendapati bahawa lelaki itu benar-benar mahu mencuri motorsikal berkenaan.

“Setelah diberi amaran, pemilik restoran terbabit kemudiannya bertindak melepaskan lelaki mabuk tersebut tanpa mengadu perkara ini ke Balai Polis Sri Aman untuk tindakan lanjut,” kata seorang pelanggan yang menyaksikan kejadian tersebut.

Pemilik restoran terbabit ketika ditemui menjelaskan bahawa beliau melepaskan lelaki berkenaan setelah mengambilkira keadaan lelaki tersebut yang berada dalam pengaruh alkohol.

“Tindakan lelaki itu yang cuba mencuri di depan khalayak ramai sememangnya amat berani. Bagaimanapun dia dalam keadaan mabuk lalu melepaskan dia selepas itu (setelah memberikan tumbukan di kening kepala),” katanya.

Tamat.

Proaktif laksana aktiviti Islam - Simoi


Caption: MINAT...Simoi (tengah) ketika sedang menyaksikan pertandingan Zikir Marhabban di sini malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (25 Feb) – Masyarakat Islam dari sekitar daerah ini dinasihatkan untuk lebih proaktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti atau program supaya daya pemahaman terhadap ilmu ajaran Islam sentiasa meningkat dalam diri masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata perlaksanaan aktiviti keagamaan Islam ini juga dianggap sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan hubungan tali persaudaraan sesama umat dikalangan mereka.

“Hubungan persaudaraan dalam kelompok masyarakat Islam boleh menjadi goyah sekiranya mereka ini memiliki ilmu pengetahuan dan tahap pemahaman terhadap Islam begitu cetek.

“Sebab itulah masyarakat Islam perlu rajin melaksanakan pelbagai program seperti majlis tilawah Al-Quran ini kerana pemahaman terhadap ajaran Islam harus dipertingkat dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Berzanji dan Zikir Marhabban bersempena sambutan Maulidur Rasul 1431 H / 2010 M dengan tema Hijrah dengan tema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ bertempat di Dewan Mini, Masjid Bandar Sri Aman malam tadi.

Selain itu kata Simoi sekiranya masyarakat Islam di daerah ini tidak mengambil berat tentang perlunya seseorang umat itu untuk mempertingkat ilmu agama dalam jiwa masing-masing nescaya pihak tertentu akan bertindak mengambil kesempatan bagi memecahbelahkan perpaduan ummah.

“Umat Islam kini berdepan dengan pelbagai masalah gejala sosial seperti sumbang mahram, ketagihan dadah dan banyak lagi yang ternyata mampu merosakkan minda setiap umat Islam.

“Masalah ini jika tidak diatasi boleh menyebabkan pegangan agama masing-masing terhadap Islam akan menjadi lemah dan seterusnya menjurus kepada perpecahan diklaangan masyarakat Islam,” katanya.

Simoi menerusi ucapannya juga turut menasihatkan masyarakat Islam untuk mengutamakan aset kebendaan (material aset) dan keagamaan (spiritual aset) secara seiring demi memastikan Islam bangun secara menyeluruh di masa akan datang.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Haji Sarkawai, Pengerusi jawatankuasa majlis, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar, Haji Mostapa Salleh dan para ketua kaum.

Sejumlah 13 buah kumpulan mengambil bahagian dalam Pertandingan Zikir Marhabban manakala 11 peserta individu pula mengambil bahagian dalam pertandingan Berzanji bermula 20 Februari lalu.

Tamat.


Persatuan Warisan Budaya juara zikir marhaban


Caption: BERTENAGA...Salah sebuah kumpulan wanita sedang berentap dalam pertandingan Zikir Marhabban di Masjid Bandar Sri Aman malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (25 Feb) – Kumpulan Persatuan Warisan Budaya Melayu muncul juara kategori lelaki bagi Pertandingan Zikir Marhabban bersempena sambutan Maulidur Rasul 1431 H / 2010 M dengan tema Hijrah dengan tema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ bertempat di Dewan Mini, Masjid Bandar Sri Aman malam tadi.

Kumpulan juara dari Kampung Hulu Sri Aman yang diketuai oleh Haji Awang Ismail Haji Awang Wai dinobat sebagai pemenang setelah persembahannya berjaya meyakinkan para juri yang menghakimi pertandingan tersebut.

Dengan kemenangan ini kumpulan Persatuan Warisan Budaya Melayu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM420.

Kedudukan naib juara dan tempat ke-3 masing-masing disandang oleh Kumpulan Masjid Lama dari Kampung Tengah dan Kumpulan An Nur juga dari kampung yang sama. Kedua-dua pasukan ini membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM380 dan RM360.

Pertandingan Zikir Marhabban bagi kategori wanita menyaksikan kumpulan Nur Ridhwah dari Kampung Hilir Stumbin yang diketuai oleh Dayang Jamailah Awang Ujai muncul juara.

Kemeangan Kumpulan Nur Ridhwah yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM420 turut diiringi oleh kumpulan Nur Firdausi dan Nur Falah yang memperoleh kedudukan tempat ke-2 dan ke-3 bagi kategori berkenaan.

Sementara itu Pertandingan Berzanji menyaksikan Haji Awang Ismail bin Haji Awang Wai dari Kampung Hulu Pasir Panas Sri Aman muncul juara bagi kategori lelaki pertandingan.

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah tunai bernilai RM200. Manakala itu Salleh Haji Taha dari Kampung Hilir dan Shapiee Aini dari Rumah Rehat Kerajaan, Sri Aman muncul pemenang tempat ke-2 dan ke-3 bagi kategori tersebut.

Kedua-dua mereka juga turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM180 dan RM160 untuk setiap seorang.

Hajah Dayang Kamariah Haji Abang Fauzan dari Kampung Hilir Sri Aman pula muncul juara bagi kategori wanita Pertandingan Berzanji manakala Rosella Ibrahim dan Hajah Talhah Haji Abdul Rahim pula masing-masing menduduki tempat ke-2 dan ke-3 bagi kategori itu.

Ketiga-tiga peserta terbabit turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200, RM180 dan RM160 untuk setiap seorang. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri yang seterusnya merasmikan pertandingan itu malam tadi.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Haji Sarkawai, Pengerusi jawatankuasa majlis, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar, Haji Mostapa Salleh dan para ketua kaum.

Sejumlah 13 buah kumpulan mengambil bahagian dalam Pertandingan Zikir Marhabban manakala 11 peserta individu pula mengambil bahagian dalam pertandingan Berzanji bermula 20 Februari lalu.

Tamat.

Pemuda terjun dari tingkap cuba bunuh diri


Caption: PERIKSA...Seorang ahli keluarga mangsa sedang memeriksa lokasi di mana seorang lelaki cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat berkenaan kelmarin.


SRI AMAN, Khamis (25 Feb) - Seorang pemuda berusia 28 tahun nyaris maut setelah dipercayai terjun dari bangunan rumah kedai setinggi tiga tingkat yang terletak di Taman Sri Jaya, Sri Aman dekat sini lewat petang kelmarin.


Mangsa yang masih bujang itu dipercayai cuba membunuh diri dengan bertindak terjun dari tingkap rumahnya dari aras tingkat tiga bangunan sebuah rumah kedai dekat situ sekitar jam 6.30 petang.


Kakak mangsa ketika ditemui menjelaskan adiknya itu mengalami banyak masalah sebelum ini dan mendorong mangsa untuk membunuh diri sebagai jalan mudah untuk menyelesaikan masalah.


"Tindakan mangsa terjun dari tingkap rumah hanya disedari oleh saya apabila terdengar teriakkan orang ramai dari kawasan bawah bangunan yang mengatakan 'ada orang terjatuh'.


“Setelah mendengar teriakan orang ramai terbabit berhubung perkara itu saya kemudian melihat ke bawah bangunan dan mendapati bahawa adik saya dalam keadaan tertiarap atas jalan raya,” katanya.


Kakak kepada mangsa kemudiannya bergegas turun ke bawah rumah untuk mendapatkan adiknya yang dipercayai mengalami kecederaan patah tangan sebelah kiri dan cedera di bahagian pinggang.


Orang ramai kemudiannya bertindak menghantar mangsa ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk tujuan rawatan lanjut. Kejadian terbabit telah menyebabkan berlakunya kesesakan jalan selama setengah jam di kawasan Srijaya Park.


Tamat.....


24 February, 2010

PERSONALITI MINGGU INI


NAMA: Nelson Naga Alam


UMUR: 47 - 49 Tahun
ASAL: Batang Ai, Lubok Antu
PEKERJAAN: Pegawai Imigresen, Pejabat Lubok Antu
CODE NAME: Piak - piak
HOBI: Piak piak

1,000 penduduk banjiri Pekan Engkilili saksikan Juntoi




Caption:

1. TAHUN HARIMAU... Patung Harimau sebagai menandakan Tahun Harimau bagi Kalendar Lunar Kaum Cina pada tahun ini diarak ketika berlangsungnya perayaan Cap Goh Mei di Engkilili malam tadi.

2. TUAH...Penduduk sedang menerima Angpow tahun baru ketika berlangsungnya perarakan Cap Goh Mei di Engkilili malam tadi.

ENGKILILI, Rabu (24 Feb) – 1,000 penduduk membanjiri kawasan Pekan Engkilili untuk menyaksikan acara perarakan secara besar-besaran bersempena dengan sambutan perayaan Cap Goh Mei anjuran gabungan persatuan kaum Cina Engkilili malam tadi.

Perarakan bersempena dengan perayaan Cap Goh Mei yang disertai oleh 10 buah kenderaan berhias dari pelbagai persatuan kaum Cina di Lubok Antu, Sri Aman dan Engkilili itu bermula dari kawasan Gerai Baru Majlis Daerah Lubok Antu / Engkilili bermula jam 6.30 petang.

Dari kawasan gerai baru terbabit, kesemua peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan ini telah berarak mengelilingi Pekan Engkilili selama hampir dua jam sebelum mereka menuju ke Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu.

Kesemua peserta perarakan ini kemudiannya berpusing di kawasan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu dan menuju pulang ke kawasan gerai baru menjelang jam 9 malam.

Sambutan perayaan Chap Goh Meh kali ini juga boleh dianggap unik kerana ianya bukan sahaja membabitkan penyertaan penduduk kaum Cina malahan penduduk kaum bumiputera yang lain.

Seorang penduduk iaitu Morgan Alban @ Subramaniam Marimutu, 27, dari kawasan Nyakai, Sri Aman berpendapat bahawa acara perarakan bersempena sambutan perayaan Chap Goh Meh 2010 ini mampu menjadi daya tarikan utama pengunjung ke Pekan Engkilili pada masa akan datang.

“Moga-moga acara perarakan bersempena dengan sambutan perayaan Chap Goh Meh 2010 ini dapat diadakan semula dengan pembaharuan yang lebih menarik berbanding sebelumnya demi menarik pengunjung ke pekan ini,” katanya.

Tamat.



Beberapa batang jalan di sri aman ditutup sempena perarakan maulidur rasul 26 Feb ini


Mugshot: DSP MAT JUSOH MUHAMMAD (handsome man)

SRI AMAN, Rabu (24 Feb) – Pihak polis akan menutup beberapa laluan jalan dalam bandar ini bagi memberi laluan kepada aktiviti perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada 26 Februari ini kata Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad.

Polis akan menutup laluan bermula dari Padang Lama KPSU Sri Aman menuju ke Jalan Astana, Main Bazaar, Kampung Tengah, Kampung Hulu, Jalan Nanas, Jalan Pasir Panas menuju ke kawasan bulatan di Sabu, Jalan Hospital dan Jalan Abang Aing hingga menuju ke Padang Lama KPSU Sri Aman.

“Pihak kita akan menutup serta mengawal kesemua laluan jalan raya terbabit bermula dari jam 6.30 pagi untuk memudahkan aktiviti perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul pada tarikh yang dimaklumkan.

“Justeru para pengguna kenderaan yang sering menggunakan laluan ini diingatkan agar memilih laluan alternatif yang lain sekiranya ingin melaksanakan urusan harian masing-masing pada masa itu,” katanya.

Selain itu beliau juga meminta kerjasama penduduk dari kawasan Kampung Tengah dan Hulu untuk tidak meletakkan kenderaan masing-masing di bahu jalan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalulintas pada waktu perarakan berkenaan.

“Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul ini dijangka tamat pada jam 10 pagi. Sehingga waktu terbabit saya menasihatkan penduduk untuk menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Foochow sekiranya mahu ke pusat bandar.

“Bagaimanapun penduduk yang sering menggunakan laluan Jalan Astana harus menunggu sehingga tamatnya perarakan terbabit kerana ia merupakan satu-satunya laluan untuk menghubungi lain-lain kawasan dari jalan terbabit,” katanya.

Tamat.

Manfaat kemudahan pembangunan - Simoi


Caption:TAHNIAH...Simoi (dua kanan) sedang menyampaikan hadiah insentif pelajar cemerlang kepada salah seorang pelajar sambil diperhatikan oleh Bakthiar (kanan), Wan Mazehi (dua kiri) dan Balkis (kiri) semasa berlangsungnya majlis berkenaan dekat sini baru-baru ini.

LINGGA, Rabu (24 Feb) – Rakyat perlu memanfaatkan peluang yang disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mencakupi projek penyediaan kemudahan infrastruktur, asas, perhubungan, pendidikan, peningkatan taraf hidup ekonomi dan sebagainya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri berkata peluang seumpama ini hanya datang apabila rakyat sentiasa menaruh kepercayaan kepada kerajaan BN bagi menerajui pembangunan di seluruh kawasan dalam negeri ini.

Pembinaan Kampung Baru Seduku misalannya menurut Simoi yang kini sedang giat dilaksanakan dalam kawasan Lingga sekarang bakal menjadi pemangkin utama terhadap kerancakkan proses pembangunan dalam kawasan ini di masa akan datang.

“Apabila ia sudah siap kelak nescaya pelbagai aktiviti pertanian komersial akan dilaksana di sini sehingga membuka ruang kepada pembinaan kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan sebagainya. Justeru rakyat perlu mengambil peluang tersebut selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.23 Lingga dengan kerjasama PBB Ranting Kawasan Lingga bertempat di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Lingga baru-baru ini.

Peluang seumpama ini kata Simoi juga tidak akan datang sekiranya rakyat bertindak untuk tidak menyokong BN sebaliknya menyokong pihak pembangkang yang mereka harapkan mampu mengubah corak hidup masing-masing pada masa hadapan.

“Peluang pembangunan dari kerajaan BN untuk rakyat di seluruh negeri Sarawak ini sebenarnya tidak ubah seperti perpatah ‘Itik Bertelurkan Emas’ dimana sokongan padu mereka terhadap kerajaan akhirnya dibalas dengan projek pembangunan,” tambah beliau.


Hadir sama pada majlis berkenaan, Pegawai Tadbir Sarawak daerah kecil Lingga, Wan Mazehi Haji Wan Akil, Timbalan Pengerusi PBB N.23 Lingga, Bakthiar Mathan, Ketua Wanita PBB N.23 Lingga, Balkis Abdul Wahid, para ketua jabatan dan ketua kaum di sini.


Pada majlis yang sama, Simoi telah menyampaikan hadiah insentif pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009 untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Pahlawan Lingga, SK St. Dunstan Lingga dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Lingga.


Tamat.

23 February, 2010

Jangan dengar hasutan orang berhubung isu tanah - Naroden


Caption: MANFAATKAN...Naroden (kiri) sedang menyampaikan cek kepada penerima (kanan) sambil disaksikan oleh (dari kiri) Felicia, Simoi, Majuan, Harden dan Masir pada majlis itu.

SRI AMAN, Selasa (23 Feb) – Dakwaan mengenai kononnya kerajaan akan mengambilalih tanah milik rakyat sebaik sahaja surat hakmilik tanah mereka tamat tempoh selepas ini adalah tidak benar sama sekali.

Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber, Haji Naroden bin Haji Majais berkata ia adalah merupakan dakwaan yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk mengurangkan pengaruh kerajaan terhadap rakyat menjelang pilihan raya negeri ini nanti.

“Itu bukan dasar Kerajaan Negeri untuk mengambilalih tanah rakyat sekiranya surat hakmilik tanah mereka tamat tempoh sepertimana yang didakwa oleh pihak tertentu pada masa sekarang.

“Kerajaan sebaliknya telah bertimbang rasa dengan rakyat sebelum ini dengan membenarkan mereka memperbaharui surat hakmilik tanah masing-masing tanpa mengira waktu disamping bayaran premium tanah secara ansuran,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Bagaimanapun surat hakmilik tanah milik rakyat kata Naroden mungkin tidak akan diperbaharui semula sekiranya tanah terbabit termaktub dalam rancangan pembangunan kerajaan selepas ini.

“Namun begitu kita akan menggunakan saluran atau prosedur yang sah terhadap mana-mana tanah rakyat yang termaktub dalam rancangan pembangunan kerajaan selepas ini seperti pembayaran wang pampasan terhadap pemilik tanah itu sendiri.

“Justeru jangan dengar hasutan pihak lain berhubung isu ini. Rakyat terutamanya pemilik tanah harus berpandangan lebih jauh untuk menentukan masa hadapan ekonomi dan pendidikan keluarga masing-masing selepas ini,” katanya.

Naroden turut menambah keselesaan hidup rakyat akan dapat dicapai sekiranya projek pembangunan dilaksana berdekatan dengan penempatan rakyat itu sendiri iaitu di atas tanah milik masing-masing.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Timbalan Residen Sri Aman (Sosial), Felicia Tan, Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Mudin dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Majuan Jeraie.

Naroden dan Harden pada majlis itu menyampaikan cek pampasan yang mencatatkan nilai keselurun berjumlah RM430,171.89 kepada 46 orang penerima dan surat hakmilik tanah kepada 77 orang penerima pada majlis itu.

Tamat.

Simunjan dan Gedong bakal berubah wajah - Naroden


Caption: UNTUK ALBUM...Naroden (duduk tengah) bersama dengan (dari kanan sekali) Bujang, Masir, Harden, Majuan, Simoi dan Felicia ketika merakamkan gambar kenangan bersama penerima pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Selasa (23 Feb) – Kawasan Simunjan dan Gedong akan berubah wajah selepas ini apabila kemudahan infrastruktur dinaiktaraf di kawasan terbabit menerusi peruntukan kerajaan bernilai RM137.2 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber, Haji Naroden bin Haji Majais berkata peruntukan berkenaan bakal memberi impak positif terhadap penduduk dari kedua-dua kawasan dengan bermulanya projek terbabit pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, pembinaan jalan baru dari Pekan Simunjan ke Gedong yang menelan kos bernilai RM123 juta akan menjimat masa perjalanan penduduk lebih daripada setengah jam berbanding sebelum ini.

“Manakala RM3 juta dari jumlah itu pula telah diluluskan untuk projek mendalami Sungai Simunjan. Jika projek itu sudah siap dilaksanakan kelak maka masalah banjir yang sering melanda penduduk Simunjan akan dapat ditangani selepas ini,” menurut beliau.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja tamat Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Sambil mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan Najib berhubung masalah ini, Naroden juga berharap agar projek terbabit akan dapat memberi manfaat kepada 100,000 penduduk dari kawasan Simunjan, Sri Aman dan Betong di masa akan datang.

“Saya yakin kesemua projek ini akan memberi transformasi besar terhadap wajah pembangunan di kawasan Simunjan. Diharap agar projek pembinaan jalan Simunjan – Gedong, jalan Kampung Pantong (RM9 juta) , Simunjan dan projek mendalami Sungai Simunjan akan dapat berjalan lancar tahun ini,” katanya.

Naroden juga berkata bahawa penduduk di kawasan Simunjan sememangnya berasa amat gembira berhubung peruntukan bernilai RM137.2 juta yang diumumkan oleh Najib di situ kelmarin.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Timbalan Residen Sri Aman (Sosial), Felicia Tan, Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Mudin dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Majuan Jeraie.

Naroden dan Harden pada majlis itu menyampaikan cek pampasan yang mencatatkan nilai keselurun berjumlah RM430,171.89 kepada 46 orang penerima dan surat hakmilik tanah kepada 77 orang penerima pada majlis itu.

Tamat.


46 penduduk terima pampasan tanah, 77 terima surat tanah - Majuan

SRI AMAN, Selasa (23 feb) – Seramai 46 orang penduduk dari kawasan Bahagian Sri Aman menerima bayaran wang pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM430,171.89 untuk dua projek pembinaan jalan raya di sini.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Majuan Jeraie berkata dua projek pembinaan jalan raya yang membabitkan 46 pemilik tanah itu ialah cadangan pembinaan Jalan Balau / Banting dan Jalan Sri Aman / Emplam Road (Jalan Basi), Sri Aman.

“Projek pertama iaitu Jalan Balau / Banting membabitkan seramai 22 orang pemilik tanah dengan keluasan keseluruhan tanah yang terlibat adalah 46.28 hektar dan jarak jalan 9.5 kilometer.

“Jumlah keseluruhan pampasan tanah untuk jalan yang bakal menghubungkan kawasan Bukit Balau dan Banting, Lingga ini ialah RM124,695.86,” katanya pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Projek kedua pula iaitu Jalan Sri Aman / Emplam Road kata beliau membabitkan sejumlah 24 orang pemilik tanah keluasan keseluruhan tanah yang terlibat adalah 111.41 hektar dan jarak jalan 22 kilometer.

Bagaimanapun nilai bayaran pampasan terhadap projek kedua ini menurut Majuan hanya melibatkan tiga kilometer pertama dengan jumlah bayaran keseluruhan mencatatkan nilai RM305,476.03.

“Projek itu akan menghubungkan Jalan Brayun dan Sri Aman / Betong Trunk Road. Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman telah pun siap melakukan kerja bagi mengukur tanah bagi kedua-dua projek itu pada tahun lepas,” menurut beliau.

Selain beliau menerusi majlis itu juga turut menyatakan bahawa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman kini sudah pun meluluskan 300 permohonan surat hakmilik tanah penduduk pada tahun ini.

“300 daripada 872 permohonan surat hakmilik tanah telah kita luluskan pada tahun ini. Selebihnya 472 permohonan masih lagi dalam proses oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman pada masa sekarang,” menurut beliau.

Beliau turut menambah bahawa sejumlah 77 orang penduduk dari 10 buah kawasan termasuk Klauh, Undup, Bijat, Skrang, Lesong, Bukit Besai, Lingga, Simanggang, Selanjan dan Marup menerima surat hakmilk tanah pada majlis ini.

Terdahulu Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber, Haji Naroden bin Haji Majais telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Dan Surat Hakmilik Tanah di Dewan Suarah Sri Aman yang bermula pada jam 10.30 pagi hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Timbalan Residen Sri Aman (Sosial), Felicia Tan dan Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Mudin.

Tamat.

Promosikan budaya menerusi persatuan - Harden


Caption: SELAMAT TAHUN BARU...Harden (enam kiri), Dr. Ngu (lima kiri), Sii Toh Peng (empat kiri), Lee Siang Hua (kiri), Robin (dua kanan) dan Wong (empat kanan) serta yang lain memotong kek ketika berlangsungnya majlis berkenaan.


SRI AMAN, Selasa (23 Feb) – Persatuan atau kelab berperanan penting dalam mempromosi kebudayaan dan adat resam kaum terhadap seluruh penduduk berbilang kaum dalam negeri ini.


Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata ini kerana persatuan mempunyai akses yang lebih menyeluruh terhadap penduduk di kawasan masing-masing selama ini.


“Persatuan Cina, Iban atau Melayu sebenarnya boleh memperluaskan lagi usaha untuk memperkenalkan budaya serta adat resam kaum masing-masing dengan mengadakan pelbagai aktiviti selepas ini.


“Dengan adanya usaha sebegini, saya yakin bahawa budaya dan adat resam kaum dapat diketengahkan terhadap lain-lain kaum dengan harapan agar kita semua dapat mempelajari budaya terbabit di masa akan datang,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Tahun Baru Cina 2010 anjuran Kelab Hok Lin Sri Aman di sini malam kelmarin.


Selain itu katanya aktiviti kebudayaan yang dimainkan secara aktif oleh persatuan secara tidak langsung dapat memelihara budaya dan adat resam kaum itu sendiri dikalangan generasi muda selepas ini.


“Paling penting ialah semua persatuan menarik kemasukan ahli baru yang terdiri daripada kalangan anak-anak muda agar warisan ini akan dapat diperturunkan kepada generasi baru yang akan datang.


“Dengan berbuat demikian budaya dan adat resam nenek moyang kita akan pupus lebih-lebih lagi apabila kepesatan teknologi dunia kian mengambilalih cara hidup penduduk pada waktu sekarang,” katanya.


Hadir sama ialah Pemanca Sii Toh Peng, Pengerusi Persatuan Foochow Simanggang, Datuk Dr. Ngu Piew Seng, Kapitan Wong Kah Ling, Penghulu Lee Siang Hua, Kaunselor Robin Hii serta para ahli kelab yang lain.


Pada pada itu, majlis makan malam berkenaan turut dimeriahkan dengan acara memotong kek Tahun Baru Cina dan penyampaian angpau kepada golongan warga emas.


Tamat....

22 February, 2010

Perpaduan penentu pembangunan negara - Harden


Caption: TANDA INGATAN....Tan Chong Meng (lima kanan) sedang menyampaikan cenderahati kepada Harden (lima kiri) ketika berlangsungnya program itu. Turut kelihatan ialah Masir (empat kanan) dan Simoi (tujuh kanan).


pix oleh KAPITAN YAP KUAT KEE


SRI AMAN, Isnin (22 Feb) – Kejayaan pembangunan sesebuah negara bergantung penuh kepada hubungan perpaduan yang wujud dikalangan penduduk berbilang kaum dalam sesebuah kawasan itu.

Justeru Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis mahu semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini khususnya di Sri Aman untuk merenungkan perkara ini sedalam-dalamnya sebelum bertindak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan masalah perkauman di antara mereka.

“Perpaduan kaum yang utuh menjurus kepada keadaan politik yang stabil. Ia merupakan kunci utama kepada kelancaran projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan di seluruh kawasan dalam negeri ini.

“Jika hubungan perpaduan ini gagal maka kita boleh menyaksikan kejatuhan sebuah negara yang hanya disebabkan berlakunya persengketaan kaum sehingga menjurus kepada kemerosotan ekonomi dan sosial penduduk itu sendiri,” menurut beliau.


Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Malam Kebudayaan dan Kesenian 1 Malaysia bersempena Pesta Cap Goh Mei 2010 di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar malam tadi.


Selain itu beliau juga mahu penduduk agar sentiasa mengadakan pelbagai program secara usahasama dengan lain-lain kaum demi mengeratkan lagi hubungan perpaduan di antara mereka selepas ini.

“Malahan adalah cukup positif sekiranya persatuan atau mana-mana pertubuhan dalam kawasan Sri Aman mengadakan aktiviti kebudayaan yang membabitkan semua kaum di kawasan ini.

“Ini akan mengalakkan pertukaran maklumat mengenai budaya dan adat resam mengikut etnik masing-masing. Justeru diharap agar lebih banyak pertubuhan bertindak proaktif dalam menjayakan program itu di masa akan datang,” menurut beliau.


Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman (Sosial), Felicia Tan, Pengerusi Simanggang Soon Heng Society, Temenggong Tan Chong Meng, Pengerusi Pengelola Pesta Cap Goh Mei 2010, Lau Eng Hui, ketua-ketua jabatan serta ketua kaum yang lain.


Malam Kebudayaan dan Kesenian 1 Malaysia ini adalah merupakan anjuran Kelab Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sri Aman, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak dan Simanggang Soon Heng Society.


Wakil rakyat BN perlu rajin turun padang - Taib




Caption:

1.INGIN TAHU...Najib (tengah) sambil diiringi oleh Taib (kiri beliau) dan Jabu (kiri sekali) ketika meninjau pameran mini mengenai projek RES di Lachau pada majlis itu.

2.SELAMAT DATANG...Taib ketika disambut oleh ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan dan ADUN Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi.

SRI AMAN, Isnin (22 Feb) – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan luar bandar dinasihat agar lebih rajin ‘turun padang’ untuk memastikan arus pembangunan dalam kawasan pilihan raya masing-masing berkembang dari masa ke semasa.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata usaha terbabit amat penting demi merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan dalam dan luar bandar dalam negeri ini di masa akan datang.

“Proses pembangunan luar bandar telah menjadi fokus utama kerajaan pada sekarang dan ia menuntut usaha gigih kesemua wakil rakyat kita (BN) untuk memantau dan merangka pelbagai pelan penting untuk memajukan kawasan masing-masing selepas ini.

“Jika wakil rakyat kita rajin bekerja maka tidak mustahil kawasan luar bandar akan cepat membangun atau seiring dengan kemajuan yang dikecapi oleh penduduk di kawasan bandar pada masa akan datang,” menurut beliau.

Beliau turut menambah bahawa sekiranya tranformasi pembangunan berjalan dengan lancar di kawasan luar bandar maka nescaya akan lebih peruntukan kerajaan bakal disalurkan bagi tujuan pembangunan selepas itu.

Taib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di Rumah Radin, Ulu Lachau, Lachau kira-kira 56 kilometer dari bandar Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga menyarankan golongan cerdik pandai yang berasal dari kawasan luar bandar sebelum ini untuk bersedia membantu kerajaan bagi membangunkan kawasan luar bandar masing-masing selepas ini.

“Kerajaan memerlukan kepakaran dan pengetahuan mereka tentang keadaan kawasan luar bandar di negeri ini sebelum kerajaan melaksana pelbagai projek pembangunan yang dapat menguntungkan penduduk di situ.

“Justeru golongan cerdik pandai (dari luar bandar) yang kini bekerja di bandar perlu bersedia membantu kerajaan berhubung rancangan terbabit selepas ini,” menurut beliau.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan Majlis Perasmian Projek RES yang menelan kos berjumlah RM13.2 juta untuk 2,800 penduduk dari lapan buah rumah panjang di kawasan Lachau.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafiee Apdal, para menteri dan menteri muda kabinet Kerajaan Negeri Sarawak, wakil rakyat BN, pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di situ.

Tamat.



Mong minta jasa baik kerajaan bina jalan ke Banting


Mugshot: MONG DAGANG

SRI AMAN, Isnin (22 Feb) - Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan & Penyelarasan), Mong anak Dagang memohon jaya baik kerajaan untuk membina jalan raya sepanjang 13 kilometer dari Bukit Balau ke Banting.

Menurut beliau penduduk dari kawasan terbabit sehingga kini masih lagi menggunakan sungai untuk tujuan pengangkutan yang secara tidak langsung terdedah kepada bahaya serangan buaya dari sungai berkenaan.

“Terdapat 10 buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah yang sehingga kini hanya dapat dihubungi melalui sungai Klauh dengan menggunakan perahu panjang.

“Penduduk amat memerlukan kemudahan jalan raya ini bukan sahaja untuk menjual hasil tani mereka ke bandar Sri Aman malah demi mengurangkan risiko serangan buaya terhadap penduduk kampung di situ,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau, Sri Aman hari ini.

Mong menambah bahawa terdapat beberapa kes serangan buaya terhadap penduduk di kawasan Banting dan ia menyebabkan penduduk berdepan dengan risiko yang tinggi ketika menggunakan laluan sungai berkenaan.

“Kerajaan menurut beliau pernah mengumumkan janji terbabit ketika pilihan raya kecil Bukit Begunan pada Mac 1997 bagi membina jalan raya walaupun hingga ke hari ini janji itu masih belum ditunaikan.

“Justeru saya juga ingin memohon jasa baik Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan projek pembinaan jalan raya ke Banting ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK)10,” katanya.

Sementara itu Mong juga mendedahkan masih terdapat 550 buah keluarga dari 33 buah rumah panjang sepanjang jalan Lachau sehingga Selanjan Angkong dan tiga buah sekolah rendah dalam kawasan DUN beliau yang masih belum dibekalkan kemudahan RES hingga sekarang.

“Isu jalan raya yang masih belum diturap dan ketiadaan bekalan elektrik di kawasan luar bandar menjadi isu hangat yang sering dibangkitkan oleh parti pembangkang acapkali menjelang pilihan raya DUN atau Umum. Justeru saya meminta pihak kerajaan memberi perhatian berhubung isu ini,” katanya.

Terdahulu Najib telah menyempurnakan Majlis Perasmian Projek RES yang menelan kos berjumlah RM13.2 juta untuk 2,800 penduduk dari lapan buah rumah panjang di kawasan Lachau.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafiee Apdal, para menteri dan menteri muda kabinet Kerajaan Negeri Sarawak, wakil rakyat BN, pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di situ.


Tamat…





500 penduduk jayakn program seni 1malaysia


Caption: DEMI KESIHATAN...Felicia (kiri), Tan Chong Meng (dua kiri) serta yang lain ketika menyertai Program Senam Seni 1 Malaysia di sini hari ini.


SRI AMAN, Ahad (21 Feb) – Program Senam Seni 1 Malaysia Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini telah dimeriahkan menerusi kehadiran 500 orang penduduk dari kawasan bandar Sri Aman.


Program Senam Seni yang bermula dari jam 7 pagi hingga jam 9 pagi itu adalah anjuran Kelab Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak dan Simanggang Soon Heng Society.


Pengerusi Simanggang Soon Heng Society, Temenggong Tan Chong Meng ketika ditemui memberitahu program terbabit adalah merupakan salah satu acara untuk menyemarakkan lagi suasana sambutan Pesta Cap Goh Mei pada 28 Februari kelak.


"Program ini merupakan salah satu daripada program pengisian Pesta Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman 2010 yang julung kalinya dianjurkan secara besar-besaran pada tahun ini.


"Sambutan hari pertama Pesta Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman 2010 ini akan diteruskan lagi dengan Malam Kesenian dan Kebudayaan 1 Malaysia yang akan berlangsung pada sebelah malam," menurut beliau.


Selain itu Tan juga melahirkan rasa terharu terhadap sokongan penduduk Sri Aman yang sama-sama turun padang untuk menjayakan Senam Seni 1 Malaysia pada hari ini di Taman Tebingan Sungai Sri Aman.


Justeru beliau berharap agar sambutan warga Sri Aman akan menjayakan beberapa acara menarik yang telah dinyatakan dalam media sebelum ini sehingga ke acara perarakan pada 28 Februari ini.


Terdahulu Program Senam Seni ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Residen Bahagian Sri Aman (Sosial), Felicia Tan, Pengerusi Pengelola Senam Seni 1 Malaysia, Lau Eng Hui, Setiausaha Simanggang Soon Heng Society, Goh Kaw Sze, para ketua jabatan serta ketua kaum yang lain.


Dalam pada itu, program senam seni ini turut dimeriahkan dengan Persembahan line dance oleh Kawaii Girls and New Boys, Sri Aman serta cabutan nama bertuah.


Tamat.

KPSU anjur bengkel penulisan skrip


Caption: UNTUK ALBUM....Zaidi (duduk empat kiri), Jamilah (duduk tiga kiri) dan Abang Safian (duduk tiga kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta bengkel di sini kelmarin.

oleh Mat Top bin Mat Tompel

SRI AMAN, Ahad (21 Feb) – Pejabat Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Bahagian Sri Aman telah menganjurkan Bengkel Teater dan Bengkel Penulisan Skrip Drama Pentas Peringkat Bahagian Sri Aman 2010 di sini kelmarin.


Bengkel Teater dan Bengkel Penulisan Skrip Drama Pentas Peringkat Bahagian Sri Aman 2010 yang bermula dari 17 hingga 20 Februari lalu ini melibatkan penyertaan seramai 25 orang penggiat seni teater dan penulisan skrip drama pentas dari sekitar daerah Sri Aman.


Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan tentang asas lakonan, pengarahan dan penulisan skrip kepada para peserta.


“Bengkel Teater dan Bengkel Penulisan Skrip Drama Pentas ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan tentang memproduksikan sebuah pementasan teater dan juga penulisan skrip drama pentas," katanya.


Selain itu bengkel ini juga menurut beliau akan membolehkan para peserta mengetahui teknik asas lakonan disamping mendidik mereka tentang teknik asas penulisan skrip, pengarahan dan juga proses ke arah produksi.


Setelah menghadiri bengkel ini, pihaknya berharap agar para peserta akan dapat memproduksikan sebuah pementasan teater dan penulisan yang kemas dan teratur selepas ini.


Terdahulu, majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel telah disempurnakan oleh Pegawai Tadbir Sosial di Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Zaidi Haji Sarkawi.


Hadir sama ialah wakil Penolong Kebudayaan Bahagian Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sarawak, Jamilah Adnan, wakil Penguasa KPSU Sri Aman, Abang Safian Abang Ibrahim, Penceramah Penulisan Skrip Drama Awang Bujang Awang Hamdan, Penceramah Teater, Malik Hassan, Penghulu Bengkel, Ahmad Faizal Osman.


Tamat....


AJK Masjid Pengurusan Masjid Jamek dan MIS anjur Kem Matematik




Caption:

1. TELITI...Para murid kelihatan serius ketika mengikuti bengkel berkenaan kelmarin.

2. TEKUN...Para guru yang sedang Kem Lonjakan Matematik di sini kelmarin.

oleh Seliman Senin, PPD Betong

Betong, Ahad (22 Feb) - Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak telah menganjurkan Kem Lonjakan Matematik untuk murid sekolah rendah dalam daerah Betong bermula kelmarin hingga hari ini.

Kem Lonjakan Matematik yang berlangsung di Dewan Al-Husna Masjid Jamek Betong ini telah dihadiri seramai 98 orang murid Tahun 2 dari tujuh buah sekolah rendah dalam daerah ini dan turut mendapat kerjasama daripada Unit SABERKAS Kampung Hilir / Hulu Betong.

Sekolah rendah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Kadir Betong, SK Sebemban Spaoh, SK Tg Assam Spaoh, SK Balingan Spaoh, SK Serembang Spaoh, SK Spaoh dan SK Datuk Bandar Debak.

Setiausaha Unit SABERKAS Kampung Hilir / Hulu Betong, Seliman Senin ketika dihubungi memberitahu program yang mula menampakkan peningkatan dari segi pengetahuan pelajar tentang ilmu Matematik ini adalah lanjutan daripada program yang pernah dijalankan pada tahun lepas dengan anjuran bersama oleh Majlis Islam Sarawak

“Program ini telah dikendalikan oleh tiga orang pesara guru yang bertugas di Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak yang mengendalikan sepenuhnya Kem terbabit bersama pelajar.

“Turut menjayakan program ini ialah seorang pensyarah dari Institut Perguruan Batu Lintang yang mengendalikan slot terbabit bersama 20 guru pengiring dari sekolah yang terlibat sama dalam program ini,” katanya.

Manakala itu orang ramai terutamanya ibubapa juga turut dijemput sama untuk menghadiri satu slot program ini yang dirancang bagi tujuan pendedahan masing-masing terhadap Kem Lonjakan Matematik.

Untuk itu seorang guru kaunseling dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) BM Saratok telah bertindak sebagai fasilitator untuk mengendalikan slot terbabit bersama ibubapa.

“Mereka juga tidak ketinggalan untuk terlibat sama dan dijemput untuk diberi satu slot sebagai perangsang kepada mereka untuk mendidik anak-anak mereka di rumah,” katanya.

Difahamkan bahawa Unit SABERKAS Kampung Hilir / Hulu Betong juga tidak ketinggalan untuk terlibat sama dalam mengendalikan hal pengurusan makanan dan minuman ketika berlangsungnya program itu.

Tamat.



20 February, 2010

Jeti DID dan wharf Sri Aman jadi tumpuan kaki pancing


Caption: JANGAN DAPAT BOYAK (buaya) SUDAH LAH...Edwin (kiri) sedang membantu Vyonnie (kanan) untuk mengatur pancingnya sebelum memulakan aktiviti berkenaan di Jeti DID baru-baru ini.

SRI AMAN, Sabtu (20 Feb) – Jika mahu memancing ikan atau udang di Bandar Sri Aman mungkin Jeti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) atau Taman Tebingan Sungai Batang Lupar boleh menjadi lokasi tumpuan mereka selepas ini.

Ini kerana Jeti DID yang terletak di Kampung Hilir Sri Aman dilihat begitu strategik untuk mana-mana kaki pancing yang mahu meraih tangkapan ikan atau udang secara sederhana di Sungai Batang Lupar sebelum ini.

Tambahan pula kewujudan pondok baru yang dibina bersama dengan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman dilihat membuka lebih banyak ruang untuk penduduk mencari lokasi memancing masing-masing baru-baru ini.

Seorang guru dari SMK Melugu, Vyonnie Maclean Pugie, 30, ketika ditemui baru-baru ini nyata memanfaatkan waktu cuti sekolahnya untuk memancing ikan di Jeti DID Sri Aman dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar.

“Baru-baru ini saya telah berjaya memperoleh sebanyak lima ekor Ikan Semilang dan tujuh ekor Belukang ketika memancing ikan di dua buah lokasi terbabit iaitu Jeti DID Sri Aman dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar.

“Walaupun hasilnya tidak banyak namun saya berasa cukup berpuashati untuk meluangkan masa dengan memancing ikan di lokasi-lokasi strategik dalam bandar Sri Aman ini,” menurut beliau.

Bagi Edwin Nanggah, 33, kaki pancing di bandar ini seharusnya bersyukur kerana kerajaan telah menyediakan lokasi yang baik untuk penduduk melaksanakan aktiviti memancing tanpa mengira masa lebih-lebih lagi dengan terbina Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman sebelum ini.

“Bagaimanapun untuk mengalakkan lagi aktiviti memancing di bandar ini saya rasa ada baik untuk kerajaan mempertingkatkan lagi kemudahan jeti yang terdapat di belakang Jabatan Saliran dan Pengairan Sri Aman ini,” katanya.

Edwin yakin Jeti DID Sri Aman dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman mampu menjadi lokasi memancing yang popular di kalangan kaki pancing di masa akan datang.
Tamat.


Kerajaan pastikan 56 projek tebatan banjir berjalan lancar - Uggah


Mugshot: DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS

DEBAK, Sabtu (21 Feb) - Kerajaan akan memastikan agar pembinaan kesemua 56 buah projek tebatan banjir di negara ini dapat dilaksanakan dengan penuh lancar pada tahun ini demikian menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas.

Pembinaan projek tebatan banjir yang menelan kos bernilai RM1 bilion itu menurut Uggah dijangka akan memberi faedah terhadap 400,000 penduduk dalam negara ini apabila ia sudah siap kelak.

“Ia merupakan salah satu usaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mengurangkan masalah banjir yang sering melanda penduduk dalam negara ini.

“Justeru dengan siapnya 56 buah projek terbabit pada masa akan datang maka diharap agar kesemua 400,000 penduduk di negara ini akan memperoleh manfaat daripadanya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Anthony Angkau, Menyalin Baru, Debak, Betong kelmarin.

Selain itu Uggah turut memberitahu bahawa perlaksanaan projek tebatan banjir itu juga adalah merupakan salah satu daripada Kunci Penunjuk Prestasi atau KPI Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah berjaya membina sejumlah 42 tebatan banjir dengan membabitkan kos perlaksanaan bernilai RM1.2 bilion pada tahun lepas.

“Disamping memberi fokus terhadap projek pembinaan tebatan banjir, KPI ke-2 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ialah untuk memastikan kualiti udara yang baik di negara ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menetapkan sasaran sebanyak 90 peratus daripada jumlah keseluruhan bilangan hari bagi tahun ini bebas daripada gejala jerebu.

“Malahan pihak kementerian juga memberi tumpuan terhadap tahap kebersihan sungai di negara walaupun ia bukan sebahagian daripada KPI. Bagaimanapun saya berharap agar Sistem Tagang dapat diperluas untuk memulihara sungai dalam negeri ini,” katanya.

Tamat.


Pesta Cap Goh Mei berlabuh tirai malam ini! (21 Feb)


Caption: TUMPUAN...Banner acara Malam Kebudayaan dan Kesenian 1 Malaysia yang bakal menggegarkan bandar Sri Aman pada 21 Februari ini.


SRI AMAN, Sabtu (20 Feb) - Pesta Cap Goh Mei Bahagian Sri Aman 2010 yang julung kali dianjurkan secara besar-besaran bersama dengan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan Simanggang Soon Heng Society akan berlabuh tirainya pada 21 Februari (Ahad) ini.


Jawatankuasa Pengelola merangkap Setiausaha Simanggang Soon Heng Society, Goh Kaw Sze menerusi kenyataan media hari ini memberitahu acara pembukaan dimulakan secara berwarna-warni bermula jam 7 pagi pada 21 Februari ini dengan acara Senam Seni 1 Malaysia.


Acara yang dikendalikan oleh Kelab Rekreasi Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sri Aman, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak serta Simanggang Soon Heng Society bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman ini nanti bakal dimeriahkan dengan kehadiran sekitar 500 orang penduduk dari sekitar Sri Aman.


Dalam pada itu kata Goh lagi, Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Penyelarasan) dan Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Mong Dagang juga dijangka akan turut hadir memeriahkan suasana program ini nanti.


Bukan setakat itu sahaja, penduduk setempat yang menyertai senaman ini nanti turut dimeriahkan dengan persembahan oleh Kumpulan line dance kanak-kanak Kawaii Boys and New Girls.


Selain itu, cabutan bertuah juga turut disediakan kepada para pengunjung yang menyertai acara ini nanti. Justeru itu katanya, penduduk setempat disekitar daerah Sri Aman adalah dijemput hadir bagi memeriahkan acara ini nanti.


“Pada sebelah malamnya akan diadakan Malam Kebudayaan dan Kesenian 1 Malaysia yang memaparkan acara persembahan dari pelbagai kumpulan etnik di negara ini bermula jam 8 malam di Pentas Sementara, Taman Tebingan Sungai Batang Lupar.


“Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis merupakan tetamu kehormat acara ini nanti,” katanya.


Pelbagai persembahan menarik diadakan pada malam itu antaranya ialah Persembahan Kebudayaan dan Kesenian Tarian Singa Simanggang Soon Heng Society, Seni Mempertahankan Diri Wushu Engkilili, Tarian Tradisional Cina SJKC Chung Hua Simanggang, Tarian Zapin Surong Dayong, Ngajat Iban SIDS dan Burdah Persatuan Sinar Budaya Sri Aman.


Turut diadakan juga katanya ialah persembahan Tandak Melayu Persatuan Warisan Budaya Kampung Hulu, Peragaan Pakaian Tradisional 7 etnik utama Sarawak, Persembahan lagu secara isyarat Persatuan Buddha SMK Saint Luke dan Tarian Rampaian 1 Malaysia oleh KPSUSri Aman.


Tamat....


Simoi sumbang wang Khairat kepada empat keluarga


Caption: PRIHTAIN...Simoi (tiga kiri) sedang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang waris sambil diperhatikan oleh Bahtiar (dua kiri), Haji Sohor (kanan) serta yang lain pada majlis itu.


SRI AMAN, Jumaat (19 Feb) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri tampil untuk membantu mengurangkan beban empat buah keluarga dari Kampung Hilir yang dilanda kesusahan sebelum ini.


Beliau menyalurkan sumbangan berupa wang tunai bernilai RM200 masing-masing untuk keluarga Allahyarhamah Isah binti Ogok, Allahyarham Jemat bin Tamin, Allahyarham Amir bin Mersit dan Allahyarham Mohd Ezariff bin Haji Jeman.


Sumbangan terbabit telah disumbangkan oleh Simoi sendiri kepada waris keluarga Allahyarhamah dan Allahyarham menerusi majlis yang berlangsung di kediaman waris terbabit kelmarin.


Terdahulu Simoi ketika ditemui menjelaskan bahawa beliau sememangnya menyumbang sebanyak RM200 kepada penduduk yang mengalami kematian ahli keluarga dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga selama ini.


“Ia dinamakan bantuan sumbangan Khairat. Sumbangan itu diperuntuk dari Tabung Khairat saya sendiri kepada mana-mana penduduk tanpa mengira kaum dan agama yang mengalami kematian ahli keluarga sebelum ini.


“Jika ada berlaku kematian dalam kawasan DUN Lingga saya akan turun padang untuk melawat keluarga si mati. Ini kepritahinan dan tanggungjawab saya selaku wakil rakyat di sini,” katanya sambil menambah sememangnya menjadi prinsip BN untuk membantu kebajikan penduduk di negeri ini.


Bagaimanapun penduduk dalam kawasan DUN Lingga diminta memaklumkan kepada beliau sekiranya berlaku hal kematian yang membabitkan ahli keluarga mereka selepas ini.


“Saya akan menghantar wakil sekiranya tidak dapat datang menziarahi mereka. Namun jika penduduk dalam DUN Lingga mengalami hal kematian yang membabitkan ahli keluarga masing-masing maka sila maklumkan saya,” katanya.


Turut hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan, Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.23 Lingga, Bahtiar Mathan, Bendahari PBB N23 Lingga, Haji Awang Sohor serta ahli-ahli PBB yang lain.


Tamat....


Tradisi 'ngabang' erat perpaduan kaum - Uggah


Caption: UCAP SELAMAT...Uggah (tengah) dan Lawson (dua kanan) ketika bersama tetamu undangan yang lain pada ucap selamat sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini malam tadi.


news source: http://sarawakupdate.com


SPAOH, Jumaat (19 Feb) – Tradisi kunjung-mengunjung ketika perayaan membolehkan semua kaum saling memahami adat resam dan kebudayaan masing-masing demikian menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Dato Sri Douglas Uggah Embas.


Sambil menekankan tradisi terbabit harus dikekalkan, budaya seumpama ini kata beliau secara tidak langsung akan menambahkan lagi semangat perlaksanaan 1Malaysia dikalangan penduduk berbilang kaum dari masa ke semasa.


“Keunikan kaum di Malaysia ialah mereka dapat bersama-sama meraikan pelbagai perayaan utama yang berlangsung dalam negara ini pada setiap tahun seperti perayaan Tahun Baru Cina, Krismas, Gawai dan Hari Raya.


“Ini membuktikan bahawa kita semua saling faham memahami antara satu sama lain disamping merasai suasana setiap perayaan yang dirai oleh pelbagai kaum dalam negara ini,” katanya.


Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena perayaan ulang tahun Ke-50 Persatuan Tiong Hua dan Tahun Baru Cina 2010 bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Spaoh, Betong malam tadi.


Selain itu Uggah juga mahu perpaduan kaum terus disemai memandangkan ia dapat menjamin kesejahteraan negeri dan negara sambil membuktikan bahawa 1Malaysia adalah untuk semua kaum.


Uggah pada majlis itu merakamkan penghargaan kepada kaum Cina yang turut serta memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya dan seterusnya berharap agar sokongan tersebut dapat diteruskan demi untuk kesinambungan pembangunan yang berterusan.


Beliau juga turut mengumumkan peruntukan bantuan sejumlah 75 buah unit tangki air dengan kapisiti muatan 400 gelen kepada masyarakat Cina bagi menangani krisis gangguan bekalan air bersih di Spaoh semenjak kebelakangan ini.


Terdahulu, Uggah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Lawson Chuat telah menyampaikan insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009, angpau Tahun Baru Cina dan penyampaian cenderahati kepada mantan pengerusi Persatuan Tiong Hua serta pelbagai cenderahati lain dalam majlis tersebut.


Uggah juga turut menyumbang peruntukan berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Tiong Hua Spaoh manakala Lawson pula menyumbang peruntukan untuk Persatuan Tiong Hua dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) kepada beberapa sekolah di kawasan Spaoh yang masing-masingnya berjumlah RM5,000.


Untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, Uggah dan Lawson telah meluluskan peruntukan berjumlah RM20,000 untuk makmal komputer (pembelian peralatan dan baikpulih) disamping menyumbang lima buah kompter baru untuk kegunaan pelajar sekolah tersebut.


Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, Kapitan Goh Leng Thong, Setiausaha Politik Kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Dr Richard Rapu, para ketua jabatan kerajaan serta ketua kaum yang lain.
Tamat....


Benak angkat Sri Aman - Mong


Caption: TERUSKAN USAHA...Mong (tengah) sambil disaksikan Shamshuddin (tengah) ketika sedang menyampaikan sijil kepada seorang peserta malam tadi.

news by Rosita Apong,

RTM Sri Aman


SRI AMAN, Jumaat (19 Feb) - Fenomena Benak di Sungai Batang Lupar mula mengangkat Sri Aman sebagai salah sebuah lokasi pelancongan popular di negeri ini demikian menurut Menteri Muda Pelancongan (Penyelarasan dan Penyelidikan), Mong anak Dagang.

Disamping mengangkat populariti Sri Aman, Benak menurut beliau juga merupakan salah satu faktor penting yang menjana perkembangan industri pelancongan di Bahagian Sri Aman selepas ini.

“Namun untuk bergantung sepenuhnya kepada Benak dalam memajukan industri pelancongan Sri Aman mungkin agak sukar untuk dilaksanakan.

“Oleh yang demikian pihak yang berkaitan perlu mengetengahkan lain-lain produk yang mempunyai potensi untuk dibangunkan terutama sekali yang berkaitan dengan pelancongan alam semulajadi,” katanya.

Dengan berbuat demikian kata Mong ia sekaligus membolehkan Bahagian Sri Aman mencapai matlamatnya sebagai hub pelancongan alam semulajdi di Sarawak di masa akan datang.

Beliau yang juga Menteri Muda Pertanian meluahkan pandangan ini ketika berucap merasmikan Malam Penghargaan Bagi Peserta Ekspedisi Gunung Lesong 2009 di Rumah Rehat Sri Aman malam tadi.

Selain beliau juga berpendapat bahawa aktiviti pengembaraan ke kawasan hulu di beberapa batang sungai seperti Ulu Lemanak, Ulu Engkari, Ulu Batang Ai dan Ulu Skrang perlu diketengahkan dengan lebih meluas selepas ini.

“Selain itu keindahan serta keunikan Gunung Lesung di Banting, Lingga juga boleh dimajukan sebagai produk pelancongan. Dengan berbuat demikian kita akan dapat mempromosi keunikan alam semulajadi di Sri Aman kepada pelancongan luar di masa akan datang,” menurut beliau.

Mong pada majlis itu turut melahirkan rasa bangga terhadap usaha Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Negeri Sarawak (MAKSAK) Sri Aman yang telah memulakan langkah pertama mempromosi produk pelancongan Sri Aman melalui Ekspedisi Gunung Lesong pada tahun lepas.

“Justeru saya mencadangkan agar MAKSAK Sri Aman mengadakan program yang serupa dengan menerokai potensi Banjaran Kelingkang yang telah menjadi sempadan Malaysia / Indonesia sebelum ini,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Mohamad Yusli Nassir, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Sarawak (JASA) Bahagian Sri Aman, Whelthon Lumpoi dan para ketua jabatan yang lain.


Mong pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Kelab Rekreasi Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sri Aman. Tamat.

18 February, 2010

Kerajaan optimis bekalan api dan air boleh diperluas di Sarawak - Tengah


Caption: TINJAU...Pengurus Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai, Lubok Antu, Azhari Mohtar (kiri sekali) sedang memberi penerangan kepada Haji Mohammad (dua kiri), Tengah (dua kanan) dan Entrie (kanan) sekali ketika berlangsungnya sesi lawatan itu.

LUBOK ANTU, Khamis (18 Feb) – Kerajaan Negeri optimis bahawa mereka mampu memperluaskan akses penduduk terhadap kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) dan bekalan air bersih di seluruh kawasan Sarawak berdasarkan kepada peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat selepas ini.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan kerja ke Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai, Lubok Antu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga) Brunei, Pehin Orang Kaya Seri Dewa Major Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Daud hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, Kuala Lumpur kelmarin mengumumkan Kerajaan Pusat mensasarkan penyediaan kemudahan RES sebanyak 95 peratus kawasan manakala 90 peratus kawasan lagi bagi kemudahan bekalan air bersih di seluruh Sarawak menjelang tahun 2012 kelak.

“Kerajaan Negeri mampu meningkatkan kadar liputan kedua-dua kemudahan ini di Sarawak berbanding dengan kadar liputan yang sedia ada sekarang iaitu 57 peratus untuk bekalan air bersih dan 67 peratus untuk RES.

“Bagaimanapun usaha keras oleh kerajaan amat diperlukan bagi tujuan penambahan jumlah liputan kemudahan RES dan air bersih pada tahun seterusnya berdasarkan kepada faktor geografi dan topografi penempatan penduduk terutama dari kawasan luar bandar dalam negeri ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sumber bekalan elektrik alternatif akan disediakan untuk penduduk di kawasan yang masih belum menerima kemudahan RES begitu juga dengan bekalan air bersih selepas ini.

Selain itu ketika ditanya mengenai usaha terkini kerajaan berhubung projek penyediaan kedua-dua kemudahan bekalan terbabit di Sarawak, Tengah menjelaskan bahawa sejumlah RM400 juta diperuntukan bagi menjayakan projek terbabit untuk tempoh tahun 2010 dan 2011.

“RM250 juta diperuntukan untuk tujuan penyediaan kemudahan RES di Sarawak manakala selebihnya iaitu RM100 juta untuk penyediaan kemudahan bekalan air Retrokulasi dan RM50 juta lagi untuk kemudahan bekalan air alternatif.

“Justeru adalah amat perlu wujudnya hubungan kerjasama antara penduduk, kerajaan dan kontraktor selepas ini demi membolehkan kadar liputan kedua-dua kemudahan terbabit dipertingkat pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Mohammad sambil diiringi oleh Tengah bersama Menteri Muda Kemudahan Bekalan Air, Slyverster Entrie Munan dan para rombongan yang lain tiba di Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai pada jam 10 pagi.

Setelah mendengar taklimat yang berlangsung di Bilik Persidangan Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai terbabit, beliau bersama rombongan kemudiannya meluangkan masa selama setengah jam untuk meninjau stesen terbabit sebelum berangkat ke Mukah pada jam 12 tengahari.

Stesen Janakuasa Elektrik Batang Ai, Lubok Antu kini menghasilkan sejumlah 108 megawatt tenaga elektrik semenjak ia mula beroperasi pada tahun 1984 dahulu.

Tamat.


Seorang lelaki cedera, seorang ditahan - kes tembak di Batu Lintang

SRI AMAN, Khamis (18 Feb) – Seorang lelaki mengalami cedera di bahagian leher dan punggung dipercayai setelah terkena tembakan senjata api daripada seorang lelaki lain menerusi kejadian yang berlaku di kawasan Bagunan, Sungai Tengak, Batu Lintang, Sri Aman sekitar jam 5 petang kelmarin.

Menurut sumber, mangsa yang dipercayai terkena tembakan senjata api itu dikenali sebagai Ain anak Renang, 49, dari Rumah Umpol, Sungai Tengak, Batu Lintang, Sri Aman.

Sebelum berlakunya kejadian kata sumber, mangsa dipercayai sedang duduk di ‘empara’ (pelantar duduk berkayu) atas sebatang Pokok Beringin dengan bertujuan untuk memburu haiwan liar yang datang memakan buah di bawah pokok terbabit.

Setelah penantiannya tidak berhasil, mangsa kemudiannya dipercayai turun dari pokok berkenaan untuk pulang ke rumah sebelum terdengar bunyi tembakan senjata api tidak jauh dari situ.

“Mangsa dikatakan terlentang setelah berlakunya tembakan berkenaan. Dipercayai bahawa tembakan itu datangnya dari seorang lelaki yang mungkin menyangka bahawa mangsa adalah ‘babi hutan’ yang sedang mencari buah di bawah pohon berkenaan,” kata sumber.

Menyedari mangsa adalah manusia, lelaki kemudiannya dipercayai bergegas pulang ke rumah panjang untuk memaklumkan perkara itu terhadap penduduk yang lain sebelum menyerah diri di Balai Polis Batu Lintang.

Mangsa yang terkena tembakan tersebut kata sumber akhirnya berjaya ditemui penduduk rumah panjangnya sendiri di lokasi kejadian setelah perkara terbabit dimaklumkan oleh penghuni rumah panjang lelaki berkenaan.

“Ain kemudiannya dikejarkan ke Hospital Bahagian Sri Aman sekitar jam 7 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak, Kuching, sekitar jam 10.30 malam untuk rawatan lanjut,” kata sumber.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 malam.

“Si penembak kini sedang ditahan untuk tujuan siasatan lanjut di Balai Polis Sri Aman. Kita juga turut merampas satu senapang patah daripada lelaki berkenaan bersama dengan empat biji peluru hidup dan satu kelonsong peluru,” katanya.

Tamat.

Amalkan KOnsep Rumah Terbuka semasa perayaan - Harden


Caption: UNTUK ALBUM...Harden (duduk kiri) dan Pemanca Sii (duduk kanan) ketika berlangsungnya kunjungan Tahun Baru Cina di sini kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (18 Feb) – Konsep Rumah Terbuka dan amalan kunjung-mengunjung semasa musim perayaan dapat memupuk dan meningkatkan semangat perpaduan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini menerusi gagasan 1 Malaysia.


Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata, kedua-dua konsep itu adalah medan terbaik untuk penduduk yang berbeza agama dan budaya untuk mengeratkan tali silaturahim di antara satu sama lain.


"Amalan ini perlu diteruskan bukan sahaja ketika sambutan Hari Raya malah pada sambutan Tahun Baru Cina, Gawai Dayak, Krismas mahupun Deepavali.


"Melalui amalan murni terbabit kesemua penduduk akan dapat memahami serta menghormati agama, kebudayaan dan adat resam lain-lain kaum dalam negeri untuk sepanjang masa,”menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkenaan.


Harden berkata demikian ketika ditemui pada sesi kunjungan ke rumah ketua kaum Cina dalam Bandar Sri Aman bersempena dengan sambutan hari ke-4 Tahun Baru Cina 2010 kelmarin.


Selain itu penduduk berbilang kaum dalam negeri ini harus menanam dan menyemai semangat perpaduan untuk menjamin sebuah negara yang bebas serta bersatu padu ke arah menuju Wawasan 2020.


"Pertekankan elemen bekerjasama dan tolenrasi dalam amalan hidup seharian. Dua faktor ini dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dikalangan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini di masa akan datang,” katanya.


Terdahulu Francis telah menceriakan suasana sambutan Tahun Baru Cina di Sri Aman dengan mengadakan kunjungan ke rumah para ketua kaum dan peniaga Cina bermula 14 hingga 17 Februari lalu.

Beliau telah mengadakan kunjungan ke rumah Temenggung Tan Chong Meng, Pemanca Sii Toh Peng, Penghulu Lee Shiang Hua, Kapitan Kuek Aik Seng, Penghulu Lee Tong Seng, Kapitan Bong Teck Choi, Kanselor Jimmy Chong, Lau Ngee Mung, Robert Khee Hang dan ramai lagi.

Kunjungan Harden ke rumah ketua kaum dan peniaga Cina di Bandar Sri Aman turut disertai oleh ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang.

Tamat.