Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 January, 2010

Sukan Paintball di Sri Aman mulai dibuka


Caption: MAU LAWAN KA?Pasukan Bulldog yang diketuai oleh Patrick Michael (tiga kiri) adalah merupakan penduduk Sri Aman yang mula menjinakkan diri dalam sukan terbabit sekarang.

SRI AMAN, Selasa (6 Jan) – Jika penduduk gemarkan sukan bercorak aksi lasak maka sukan Paintball mungkin merupakan jawapan terbaik bagi mereka yang mahu menceburi sukan terbabit dalam bandar Sri Aman mulai sekarang.

Dengan tapak permainan berkeluasan setengah ekar, Borneo Paintball Scenario Sri Aman yang terletak bertentangan dengan kawasan Penjara Pusat Sri Aman kini menawarkan sukan terbabit kepada penduduk semenjak ia mula dibuka pada 1 Disember tahun lepas.

Sambil dikendalikan oleh syarikat ASC Event Management yang mendapat kontrak menguruskan permainan itu oleh Borneo Paintball Scenario Santubong, Borneo Paintball Scenario Sri Aman sememangnya menjanjikan aksi permainan lasak yang mencabar dikalangan pemainnya walaupun ia baru mula dibuka di sini.

Salah seorang pemilik bersama syarikat terbabit iaitu Albert Mering Jok ketika dihubungi menjelaskan bahawa beliau bersama rakan kongsinya iaitu Aries Rollad Sabang cuba mengangkat Sri Aman ke satu peringkat tahap permainan sihat yang lebih baru berbanding lain-lain sukan yang sedia ada sekarang.

“Borneo Paintball Scenario telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk sebelum ini semenjak ia mula diperkenalkan di kawasan Kuching pada tiga tahun lepas.

“Justeru untuk memperluaskan aktiviti sukan ini dikalangan penduduk maka saya bersama rakan kongsi iaitu Aries cuba membawa penduduk Sri Aman ke satu bidang sukan yang baru dengan memperkenalkan Borneo Paintball Scenario di sini semenjak Disember tahun lepas,” katanya.

Untuk mencuba sukan Paintball di gelanggang Borneo Paintball Scenario Sri Aman ini katanya, setiap pemain perlu menempah masa untuk bermain sukan ini dengan bayaran berjumlah RM50 per individu.

Menerusi bayaran ini, setiap pemain kata Albert akan diberikan senapang semi automatik atau mechanical marker, 100 biji pallet (peluru cat), topeng pelindung muka, pelindung leher dan baju perlindungan.

“Bayaran RM50 bagi seorang pemain ini membolehkan mereka diperuntukan masa permainan selama satu hari dengan syarat sekiranya tiada pihak lain yang turut menempah permainan terbabit dalam hari sama dengan mereka.

“Mereka boleh bermain secara individu atau berkumpulan dalam sukan paintball di sini. Namun jika dimainkan secara berkumpulan maka sebuah pasukan yang berentap hanya dihadkan penyertaan seramai 10 orang sahaja,” jelas beliau.

Justeru mereka yang ingin menempah dan ingin mengetahui lebih lanjut tentang sukan ini di Borneo Paintball Scenario Sri Aman boleh menghubungi beliau sendiri menerusi talian telefon 019-8893610 atau menghubungi Aries di talian 0198273030.

Borneo Paintball Scenario Sri Aman yang berkeluasan setengah ekar kini mempunyai landskap berbukit dengan tambahan bunker (kubu perlindungan) berkayu atau papan dan tong dram sebagai lokasi perlindungan.

Albert dan Aries akan meneruskan usaha untuk mempertingkatkan landskap permainan sukan paintball yang lebih baik di Borneo Paintball Scenario Sri Aman di masa akan datang demi menarik penyertaan lebih ramai penduduk.

Tamat.


No comments:

Post a Comment