Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 January, 2010

Sub station elektrik bernilai RM25 juta bakal dibina di Abok, Pantu


Caption: SERONOK...Snowdan (tengah) sedang mencuba Tarian Poco-Poco bersama penduduk Selantik Ili, Pantu sebaik sahaja tamat majlis baru-baru ini.

PANTU, Ahad (10 Jan) – Projek penyediaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di daerah kecil Pantu, Sri Aman akan mula dilaksana sekiranya cadangan mengenai pembinaan stesen pencawang elektrik (sub station) di kawasan Abok, Pantu diluluskan dalam tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan berkata cadangan mengenai pembinaan stesen pencawang elektrik di Abok, Pantu itu nanti bertujuan untuk mengatasi masalah penjanaan kuasa elektrik yang lemah sekiranya kemudahan RES disalurkan dalam kawasan itu kelak.

“Kerajaan sebelum ini mendapati bahawa penduduk dalam kawasan Pantu akan menghadapi masalah penjanaan kuasa elektrik yang lemah sekiranya bekalan RES disambungkan dari Simunjan ataupun Sri Aman.

“Justeru untuk mengatasi masalah ini pihak Kementerian Kemudahan Awam telah bercadang untuk membina stesen pencawang elektrik berkuasa 275 / 33 kV stepdown sub di Abok pada tahun ini dengan kos pembinaan dijangka mencatat nilai antara RM20 hingga RM25 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Hearold Ernest, Kampung Selantik Ili dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman baru-baru ini.

Sekiranya cadangan mengenai stesen pencawang elektrik di Abok itu nanti diluluskan maka penduduk Pantu menurut Snowdan bakal menikmati bekalan RES menjelang akhir tahun ini ataupun pada tahun 2011 kelak.

“Kerajaan mahu memberikan yang terbaik untuk penduduk. Kita tidak mahu membina kemudahan yang pada akhirnya nanti akan mendatangkan rasa tidak puashati dikalangan penduduk.

“Justeru saya berharap agar penduduk di Pantu untuk bersabar dan terus memberikan kerjasama terhadap kerajaan bagi membolehkan kejayaan usaha penyaluran bekalan RES di situ nanti,” katanya.

Terdahulu Snowdan telah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM142,000 kepada 35 buah penerima dari kawasan DUN beliau.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk, wakil Tuai Rumah dari kawasan Zon C, Tr Johnny anak Lumi, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Selantik Ili, Tr Hearold Ernest dan para ketua kaum dari kawasan ini.

Tamat.






1 comment:

  1. kita orang khasnya penduduk kawasan pantu berharap usaha YB Snowdan tidak akan men sia-siakan rakyat kawasan PANTU.

    ReplyDelete