Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 January, 2010

Semai jati diri dalam remaja - Mong


Caption: TAHNIAH...Mong (dua kiri) sedang menyampaikan sijil kepada peserta kursus sambil diperhatikan oleh Abang Gani (kiri), Haji Wan (kanan) dan Shamshuddin (dua kanan) ketika berlangsungnya majlis tersebut.


SRI AMAN, Rabu (6 Jan) - Remaja pada hari ini perlu mempunyai jati diri yang kukuh untuk menghadapi cabaran dunia globalisi pada masa akan datang demikian menurut Menteri Muda Permodenan Pertanian (Penyelarasan dan Penyelidikan), Mong anak Dagang.


Menurutnya remaja harus mempunyai sifat jati diri amat penting demi menepis pengaruh luar yang datang dari kecanggihan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada masa sekarang.


“Remaja perlu awas dengan segala pengaruh negatif yang mereka terima hasil daripada kecanggihan dunia ICT pada masa sekarang. Justeru adalah amat penting bagi semua pihak untuk membimbing golongan remaja kita berhubung perkara ini demi mengelakkan mereka dari terjebak ke dalam kancah gejala sosial akibat perkara tersebut selepas ini,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap semasa menutup rasmi Kursus Motivasi Remaja Cemerlang 2009 di Dewan Mesyuarat Kompleks Sukan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman baru-baru ini.


Selain itu kekuatan dan kecemerlangan sesebuah negara menurut Mong bergantung sepenuhnya terhadap sumber tenaga manusia dan bukannya pembangunan fizikal semata-mata.


Dengan katanya golongan remaja yang sedia ada sekarang perlu menyemai sikap positif dalam diri masing-masing dan perlu bersedia untuk menjadi pelapis kepimpinan negara di masa akan datang.


Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Hashim, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Mohamad, Temenggong Tan Chong Meng, Pengerusi Pengelola Haji Wan Masra Tku Udin dan ketua kaum dalam bandar ini.


Majlis ini merupakan anjuran Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah (JKKD) Sri Aman dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Syakirin, Gabungan 7 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muhibbah dan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sri Aman.


Pada majlis yang sama, Mong telah mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Sri Aman.


Dalam pada itu, seramai 80 orang belia dari daerah Sri Aman menyertai kursus berkenaan yang bertujuan untuk mendedahkan ilmu pengetahuan dan maklumat berkenaan dengan remaja kepada para peserta disamping untuk menjelaskan hak kanak-kanak dan menyedarkan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa, ahli keluarga serta masyarakat setempat.


Tamat...


No comments:

Post a Comment