Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 January, 2010

Saya tidak jual tanah penduduk di Lingga!!- Simoi


Caption: LAWAT...Simoi (tengah) sambil diapit oleh Kanselor Mas Shamsiah Haji Maslem melawat beberapa gerai pertandingan gubahan bunga dan masakan ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Ahad (31 Jan) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri kesal dengan khabar angin oleh pihak tertentu yang mendakwa beliau menjual tanah dengan nilai mencecah RM8 juta dalam kawasan DUN Lingga sebelum ini.

Beliau mula mendapat tahu mengenai khabar angin terbabit menerusi Khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS) apabila pergi menunaikan Ibadah Haji dan Hajah di Mekah pada musim Haji tahun lepas.

“Saya didakwa menjual tanah di sebuah kawasan seberang dalam DUN Lingga ini kepada pihak tertentu dengan memperoleh nilai keuntungan RM8 juta menerusi urusan berkenaan.

“Ini adalah fitnah. Jika benar saya mendapat RM8 juta maka saya tidak perlu menjadi wakil rakyat dan bersusah payah mengharungi ribut dan hujan demi bekerja untuk rakyat dalam DUN Lingga selepas ini,” katanya.

Simoi meluahkan rasa kecewa berhubung fitnah terbabit yang kini tersebar luas dalam bandar Sri Aman ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di perkarangan Surau Hayatul Islam Kampung Hulu, Sri Aman hari ini.

Selain itu tanah yang dimaksudkan dalam isu terbabit sebenarnya jelas beliau adalah bertujuan untuk dibangunkan bagi projek penanaman sawit secara komersial yang bakal menguntungkan rakyat dalam DUN Lingga.

“Saya bersama Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji juga telah merancang untuk mengagihkan tanah terbabit kepada rakyat terutamanya fakir miskin yang tinggal dalam kawasan DUN Lingga.

“Rancangan ini masih lagi menunggu kelulusan daripada Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Jika berhasil, rakyat yang terlibat dalam agihan tanah berkenaan akan menerima dividen menerusi projek penanaman sawit yang bakal dilaksana oleh pihak PELITA selepas ini,” katanya.

Justeru Simoi berharap pihak tertentu agar berhenti menyebarkan fitnah berkenaan sambil menasihati mereka untuk bertaubat ke ‘Jalan Allah’ berhubung isu berkenaan sebelum ini.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Jabatan Tanah dan Survei, Majuan Jeraie, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman, Irwandi Riduan, para wakil pegawai kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment