Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 January, 2010

Peserta projak sawit SOP akan terima surat hakmilik tanah - Samuel

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) – Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR (Hak Adat Bumiputera) dari Undop, Batu Lintang bakal menerima surat pengesahan Hakmilik Tanah NCR daripada pihak Sarawak Oil Palm Plantation (SOP) PELITA menjelang bulan Mac atau April tahun ini.

Pengurus Wilayah Selatan PELITA, Samuel Batok berkata ia bertujuan untuk mengiktiraf tanah milik penduduk yang terlibat dalam projek penanaman kelapa sawit di Undop, Batu Lintang sebelum ini.

“Pihak kami akan memberi surat pengesahan Hakmilik Tanah NCR kepada 363 orang peserta yang terlibat dalam projek penanaman kelapa sawit menerusi Projek Pembangunan Tanah NCR di Undop, Batu Lintang menjelang bulan Mac dan April tahun ini.

“Menerusi pemberian surat ini, peserta akan diiktiraf haknya terhadap tanah masing-masing dan disamping pemberian maklumat mengenai lokasi tanah, saiz tanah, nombor lot dan peta tanah milik masing-masing,” katanya.

Untuk itu, surat asal hakmilik tanah berkenaan kata Samuel akan diberikan kepada peserta itu sendiri manakala lima lagi salinan surat terbabit diberi kepada pihak PELITA, pelabur, Kementerian Pengurusan Sumber Asli, Kementerian Kemajuan Tanah dan Jabatan Tanah dan Survei.

Beliau berkata demikian ketika pemberita pada Majlis Pembayaran Wang Insentif kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Blok Ulu Undop SOP PELITA Batu Lintang Plantation Sdn Bhd yang dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis di SK Batu Lintang, Sri Aman hari ini.

Terdahulu Samuel menerusi ucapannya berkata pihak SOP PELITA mensasarkan penanaman sawit ke atas tanah berkeluasan 3,000 hektar tanah menjelang akhir tahun ini.

“Pihak SOP PELITA telah berjaya membangunkan sejumlah 1,300 hektar tanah di Undop, Batu Lintang dengan projek penanaman sawit sehingga sekarang. Justeru diharap agar pihak kita mampu mencapai sasaran penanaman sawit ke atas 3,000 hektar tanah hingga akhir tahun ini,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Sameon, Pegawai Eksekutif SOP Sarawak, Paul Wong, SOP Group Plantation Controller, Chua Kian Hong, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson dan Pengerusi LDC Ulu Undop, Jegai Jawa.

Harden telah menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM143,718 kepada 363 peserta dari Blok Estate 1 Undop Batu Lintang yang terlibat dalam projek penanaman sawit pada majlis itu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment