Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 January, 2010

Penduduk Sarawak perlu bertenang pasal isu Allah - Jabu

BETONG, Isnin (11 Jan) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang menasihatkan penduduk dalam negeri Sarawak untuk terus bertenang dan sabar berhubung kontroversi yang tercetus berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan Kristian sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengumumkan perkara ini ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah anjuran Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong bertempat di Kompleks Kerajaan Negeri Betong hari ini.

Menurut Jabu insiden serangan terhadap gereja dalam negara ini oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab berhubung isu berkenaan sememangnya amat dikesali oleh semua pihak.

“Saya percaya penduduk Sarawak terdiri daripada golongan yang harmonis dan hormat-menghormati di antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama dan kaum selama ini.

“Jadi saya menasihat anda semua (penduduk Sarawak) tanpa mengira latar belakang agama dan kaum untuk terus bertenang dan tidak bertindak melulu berhubung insiden yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Justeru atas sebab itu beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan kontroversi yang tercetus berhubung isu penggunaan kalimah Allah selepas ini.

“Saya percaya bahawa beliau (Najib) adalah merupakan seorang pemimpin yang bijak dan mampu menangani isu berkenaan demi kesejahteraan semua penduduk berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” katanya.

Terdahulu Jabu telah menyampaikan cek pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM3.3 juta kepada 231 orang penerima dari sekitar Bahagian Betong bagi enam buah projek yang dilaksana pada tahun 2009.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Permodenan Pertanian (Koperasi dan Peladang), Datuk Peter Nyarok Entrie, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Haji Abdul Wahab Aziz, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Penguasa JTS Betong, Peggy Ronin Edin.

Tamat.

No comments:

Post a Comment