Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 January, 2010

Pelan perbesarkan jalan di sri aman dirangka - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden sedang menyampaikan cek MRP kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh tetamu undangan khas ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) – Sebuah pelan mengenai cadangan untuk melebarkan jalan raya dalam pusat Bandar Sri Aman kini sedang dirangka oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Menurut beliau pelan mengenai cadangan melebarkan jalan raya terbabit sudah dibincang oleh beliau bersama pihak JKR Sri Aman dan lain-lain jabatan kerajaan dalam bandar ini semenjak tahun lepas.

“Pelan mengenai cadangan ini dibincangkan apabila laluan jalan raya di pusat Bandar Sri Aman kian sesak dengan pertambahan jumlah kenderaan dan penduduk dalam bandar ini semenjak beberapa tahun lalu.

“Justeru menerusi pelan terbabit pihak kita akan bercadang untuk melebarkan jalan raya sepanjang 10 kilometer bermula dari pusat Bandar Sri Aman hinggalah kawasan Temudok dan juga termasuk jalan raya dalam kawasan Brayun,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pembayaran Wang Insentif kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Blok Ulu Undop SOP PELITA Batu Lintang Plantation Sdn Bhd di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang Sri Aman baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar kos bagi pelan mengenai cadangan projek melebarkan jalan raya dari pusat Bandar Sri Aman ke Temudok dan Brayun itu masih lagi belum diketahui buat masa sekarang.

“Harapan saya ialah pelan mengenai cadangan melebarkan jalan raya di Bandar Sri Aman akan siap dalam tahun ini dan seterusnya dihantar kepada pihak kerajaan bagi tujuan kelulusan untuk Rancangan Malaysia Ke-10.

“Jika pelan cadangan ini diluluskan maka kita yakin bahawa masalah kesesakan lalulintas dalam Bandar Sri Aman akan dapat diselesaikan pada masa akan datang demi kebaikan penduduk,” katanya.

Terdahulu Harden telah menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM143,718 kepada 363 peserta dari Blok Estate 1 dan II Undop Batu Lintang yang terlibat dalam projek penanaman sawit pada majlis itu.

Beliau juga turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM106,000 kepada 26 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari sekitar kawasan Batu Lintang.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Sameon, Pegawai Eksekutif SOP Sarawak, Paul Wong, SOP Group Plantation Controller, Chua Kian Hong, Pengurus Wilayah Selatan PELITA, Samuel Batok, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson dan Pengerusi LDC Ulu Undop, Jegai Jawa.

Tamat.



No comments:

Post a Comment