Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 January, 2010

PCM tidak diterima di Sarawak - Rayong


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG

SRI AMAN, Isnin (4 Jan) – Parti Cinta Malaysia (PCM) yang ditubuhkan di Semenanjung Malaysia semenjak enam bulan lalu dijangka tidak akan mendapat sambutan dikalangan penduduk dalam negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata demikian ketika mengulas mengenai perkara terbabit terhadap pemberita menerusi telefon hari ini.

“Lagipun saya juga menjangka bahawa Pengerusi PCM Sarawak iaitu Gabriel Adit anak Demong tidak akan dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah pada pilihanraya negeri ini kelak.

“Ini kerana beliau (Adit) telah hilang kredibilitinya sebagai seorang pemimpin dikalangan penduduk dalam kawasan Ngemah berhubung ‘hobi’ beliau yang gemar melompat parti sebelum ini,”katanya.

Selain itu kata Rayong, kehadiran PCM tidak akan diterima oleh penduduk dari dalam dan luar kawasan bandar negeri ini memandangkan pihak Barisan Nasional (BN) masih mendapat tempat di hati mereka semenjak dari dahulu lagi.

Ia kata beliau terbukti menerusi prestasi cemerlang BN dalam memenangi hampir kesemua kerusi DUN dan Parlimen pada pilihanraya yang lalu.

“BN masih teguh dikalangan penduduk Sarawak hingga sekarang. Jadi saya rasa PCM harus meneliti faktor ini terlebih dahulu sebelum nekad untuk bertanding pada pilihanraya ini nanti,” katanya.

Terdahulu Adit telah dilantik menjadi Pengerusi PCM Sarawak setelah bertindak keluar dari Parti KeAdilan Rakyat (PKR) akibat faktor hilang kepercayaan terhadap pihak pimpinan parti pembangkang terbabit sebelum ini.

Beliau menyertai PKR setelah memenangi kerusi DUN Ngemah pada pilihanraya negeri 2005 atas tiket bebas apabila hasrat beliau untuk bertanding atas tiket Parti Progresif Demoktarik Sarawak (SPDP) ditolak sebelumnya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment