Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 January, 2010

Orang Iban dah mula lupa budaya kaum sendiri - Johnatan

SRI AMAN, Khamis (7 Jan) – Tindak-tanduk segelintir penduduk kaum Iban yang lebih gemar mengamalkan tarian Poco-Poco dan berkaraoke ketika berlangsung majlis rasmi atau perayaan utama nyata amat membimbangkan.

Kebimbangan berhubung isu ini telah diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Budaya Iban Sri Aman (PBISA) iaitu Jonathan Isau anak Jangan, 61, ketika dihubungi oleh media kelmarin.

“Apa yang saya lihat sekarang ini ialah orang Iban lebih gemar berpoco-poco ketika berlangsungnya keramaian di rumah panjang mereka sendiri tanpa mengindahkan budaya dan ‘main asal’ kaum mereka sendiri.

“Tabiat ini sekaligus boleh menyebabkan kebudayaan dan permainan seni kaum Iban pupus ditelah zaman memandangkan kita sendiri tidak berminat untuk mendedahkannya kepada golongan generasi muda pada masa sekarang,” katanya.

Isu terbabit katanya menyebabkan beliau mahu berusaha bersungguh untuk melatih anak-anak muda pada sekarang untuk mengenali budaya dan ‘main asal’ seperti ‘engkeromong’, ‘tawak’, ‘bebendai’ dan ‘gendang’.

Justeru untuk melihat kebudayaan kaum Iban tetap subur maka Johnatan merayu kaum Iban agar bersama-sama mengangkatkan martabat kaum sendiri agar ia tetap terpelihara di kalangan hati rakyat dalam negara ini.

“Nasihat saya kepada kaum Iban ialah tidak terlalu memuja kebudayaan dan seni permainan kaum lain sehingga lupa kebudayaan diri sendiri. Kalau bukan kita sendiri maka siapa lagi yang akan kita harap untuk mengangkat dan mengekalkan kebudayaan kaum kita sendiri,” katanya.

PBISA yang dipimpin Jonathan kini telah berjaya melahirkan lebih 2,000 orang penduduk yang majoritinya dari kawasan bahagian Sri Aman dan Betong untuk mahir dalam Tarian Ngajat.

Tamat…

1 comment: