Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 January, 2010

Kita tak akan gentar - Masing

SRI AMAN, Isnin (18 Jan) – Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak akan gentar dengan kehadiran puak pembangkang yang cuba mencabar kedudukan mereka di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik parti terbabit menjelang pilihan raya akan datang demikian menurut Presidenya Dato Sri Dr James Jemut Masing.

Terdahulu Ketua Biro Politik Negeri, Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Baharuddin Dato Mokhsen berkata pihaknya akan menampilkan beberapa muka baru yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Muka-muka baru dari PKR yang dibayangkan bakal bertanding pada pilihan raya negeri akan datang ialah Ibi Uding (Balai Ringin), Richard Lias (Kanowit), Jemat Panjang (Lambir), Angela Labing (Engkilili) dan Frankie Bedindang (Hulu Rajang).

“Itu hak mereka (pembangkang) jika mereka mahu bertanding di mana-mana kerusi DUN milik Barisan Nasional (BN) yang mencakupi PRS pada pilihan raya akan datang kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi.

“Jika ada dua atau tiga calon pembangkang dari berlainan parti yang mahu bertanding di kerusi DUN kita pun PRS tidak akan gentar. Yang pasti saya yakin PRS akan berjaya mempertahankan kesemua sembilan buah kerusi DUN miliknya pada pilihan raya negeri kelak sambil meraih majoriti undi lebih tinggi berbanding sebelumnya,” menurut beliau.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Kesyukuran bersempena perlantikan Mong anak Dagang sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Menteri Muda Pertanian (Penyelarasan dan Penyelidikan) di Rumah Anyie Rangie, Entulang Entawa di sini hari ini.

Selain itu beliau juga mengandaikan bahawa Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tidak menyatakan minat terhadap cadangannya untuk menukar kerusi DUN Pelagus (milik PRS) kepada kerusi DUN Engkilili (milik SUPP) sebelum ini.

“Saya andaikan mereka (SUPP) tidak berminat terhadap cadangan ini (pertukaran kerusi DUN). Atas sebab ini PRS akan tetap mempertahankan kerusi DUN Pelagus pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Bagaimanapun pihak PRS menurut Masing telah menemui calon yang lebih layak untuk mengantikan wakil rakyat DUN Pelagus pada masa sekarang iaitu Larry Sng yang kini tidak mempunyai parti menjelang pilihan raya negeri kelak.

“DUN Pelagus milik PRS mempunyai sejumlah 85 peratus pengundi Dayak. Justeru saya merasakan PRS tidak akan mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi ini jika kita meletakkan calon baru yang juga merupakan seorang Dayak,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment