Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 January, 2010

Jangan terlalu berkira - Rayong


Caption: UNTUK ALBUM...Rayong (duduk kiri) bersama penduduk, kakitangan SESCO dan Shorefield bergambar kenangan sebaik sahaja selesai sesi dialog terbabit.

ENGKILILI, Rabu (20 Jan) – Rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dinasihatkan agar tidak bersikap terlalu ‘cerewet’ sekiranya sebahagian kecil kawasan tanah mereka digunakan oleh kerajaan bagi menyokong projek pembangunan di kawasan mereka selepas ini.

Wakil rakyatnya, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata terdapat rakyat yang naik berang apabila sebahagian kecil kawasan tanah mereka digunakan oleh kerajaan sebagai sokongan untuk menjayakan projek pembangunan dalam kawasan masing-masing sebelum ini.

“Sebaliknya rakyat harus bersyukur dengan bakal faedah yang mereka akan terima selepas itu nanti. Jangan terlalu cerewat sekiranya sebilangan kecil pokok tanaman anda dimusnahkan untuk memberi laluan kepada kerajaan bagi menjayakan projek pembangunan di kawasan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog antara Shorefield dan SESCO dengan penduduk Rumah Lait, Tekalong Ili, Bangat Skrang, dalam daerah kecil Engkilili di sini hari ini.

Selain itu Rayong juga menasihatkan rakyat agar tidak terlalu mengutamakan hal tuntutan pampasan terhadap sebilangan kecil tanah yang digunakan untuk tujuan sokongan projek pembangunan di kawasan masing-masing selepas ini.

“Pembinaan tiang elektrik di tepi jalan misalnya mungkin memerlukan kerajaan untuk meratakan sebilangan kecil kawasan tanah milik penduduk demi menjayakan projek berkenaan.

“Jikalau hal itu pun menyebabkan pemilik tanahnya mahu menuntut pampasan maka ia bererti bahawa dirinya sendiri tidak pernah menghargai dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan untuk menaiktaraf hidup mereka selepas itu,” menurut Rayong.

Terdahulu kerajaan telah memulakan projek penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bernilai RM2 juta terhadap 700 orang penduduk dari enam buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah dalam kawasan DUN Engkilili.

Enam buah rumah panjang terbabit adalah Rumah Lait Tekalong Ili, Rumah Leonard Tekalong Ulu, Rumah Bulie Lidong Pandak, Rumah Maringar Lidong Belake, Rumah Giae Lidon, Rumah Gimang Lidong dan SK Nanga Lidong.

Rayong bersama Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak juga akan memberikan wang pendahuluan bernilai RM80 sekeluarga menerusi bayaran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk kesemua 59 buah keluarga dari enam buah rumah panjang terbabit.


Tamat.

No comments:

Post a Comment