Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 January, 2010

Jangan ragui kedudukan politik saya - Rayong


Caption: PENGHARGAAN...Rayong (tengah) menerima cenderamata daripada Kumpang (kanan) sambil disaksikan oleh Nyalau (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.

ENGKILILI, Rabu (26 Jan) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa meminta penduduk dalam kawasan DUNnya untuk tidak meragui kedudukan beliau dalam politik menjelang pilihan raya negeri ini.

Ini kerana beliau telah berjuang untuk kebajikan hidup penduduk dalam kawasan DUNnya di bawah ‘payung’ kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini dan bukannya daripada pihak pembangkang.

“Buktinya cukup mudah. Saya telah mengumum dan menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada anda semua (penduduk DUN Engkilili) setelah menjadi wakil rakyat di sini pada tahun 2006 dahulu.

“Wakil rakyat bukan BN tidak akan mempunyai peruntukan seperti ini (MRP). Justeru diharap agar penduduk DUN Engkilili sedar bahawa saya telah berjuang bersama BN tanpa meragui kedudukan politik saya selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Lubok Antu bertempat di Rumah Dancon, Bua, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Selain itu katanya penyertaan beliau sebagai ‘rakan’ BN sebelum ini nyata membuahkan hasil apabila kerajaan menyalurkan banyak peruntukan bagi membangunkan kawasan DUN Engkilili.

Penduduk dalam kawasan DUN Engkilili menurut Rayong perlu menilai situasi ini dengan sedalam-dalamnya sebelum mereka bertindak menyokong kehadiran pembangkang menjelang pilihan raya negeri nanti.

“Lagipun sebelum ini penduduk DUN Engkilili mahu calon wakil rakyat yang terdiri daripada anak jati tempatan di sini dan bukannya calon wakil rakyat bukan anak tempatan sepertimana yang telah berlaku pada pilihan raya negeri yang sudah (sebelum 2006).

“Jika itu yang mereka mahu maka saya adalah pilihan terbaik. Saya berasal dari sini (Skrang, Engkilili) dan mereka boleh menyokong saya sebagai calon pilihan utama pada pilihan raya nanti,” katanya sambil menambah bahawa hanya BN sahaja yang boleh mengubah wajah pembangunan di Engkilili selepas ini.

Majlis terbabit telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak. Hadir sama ialah Penyelia KEMAS Kawasan Lubok Antu, Kumpang anak Datuk Tutong, para pegawai kerajaan, kakitangan KEMAS dan ketua kaum dari daerah ini.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit manakala RM3,000 kepada biro wanita mereka. KEMAS Lubok Antu turut diumum peruntukan bernilai RM3,000 daripada beliau pada majlis itu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment