Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 January, 2010

Jangan pulang ke rumah ketika banjir - Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

PANTU, Sabtu (9 Jan) – Penduduk di kawasan Pengkalan Pantu, Sri Aman dinasihat agar tidak pulang ke rumah masing-masing ekoran berlakunya kejadian banjir di kawasan penempatan mereka pada masa sekarang demikian nasihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Sejumlah 139 orang penduduk daripada 45 buah keluarga mangsa banjir di Pengkalan Pantu, Sri Aman kini ditempatkan buat sementara waktu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chuang Hua Pantu ekoran berlakunya banjir setinggi 0.6 meter berikutan fenomena air pasang di Sungai Batang Strap dan cuaca hujan lebat di kawasan penempatan mereka semenjak hari Selasa lalu.

“Adalah tidak selamat untuk pulang ke rumah masing-masing bagi mengambil barangan peribadi mereka memandangkan banjir masih lagi melanda kawasan terbabit pada masa sekarang.

“Justeru nasihat saya sekarang ialah agar semua mangsa banjir dari kawasan Pengkalan Pantu untuk tinggal buat sementara waktu di SJK Chuang Hua Pantu sehinggalah cuaca buruk tidak lagi melanda kawasan penempatan mereka selepas ini,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan keadaan banjir di kawasan berkenaan kelmarin.

Selain itu kerajaan kata Snowdan juga akan berusaha sebaik yang mungkin bagi membantu mengurangkan beban kesemua mangsa banjir dari kawasan Pengkalan Pantu selepas ini.

Kerajaan katanya akan memperuntukan bantuan berupa makanan kepada kesemua 139 orang mangsa banjir berkenaan sehinggalah mereka dibenarkan pulang ke kawasan masing-masing selepas ini.

Bagaimanapun Snowdan juga tidak menolak kemungkinan bahawa musim cuaca buruk pada masa sekarang berisiko untuk menimbulkan kejadian bencana alam yang lain dalam kawasan DUN beliau selepas ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan musim cuaca buruk boleh menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di kawasan penempatan dalam DUN Balai Ringin selepas ini.

“Justeru saya menasihatkan semua penduduk dalam kawasan DUN Balai Ringin untuk sentiasa berjaga-jaga ketika berlangsungnya musim cuaca buruk pada masa sekarang terutama sekali terhadap kemungkinan berlakunya banjir atau tanah runtuh,” katanya.

Terdahulu Snowdan bersama Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat telah turun padang untuk memantau keadaan banjir di Pengkalan Pantu sebaik sahaja menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Hearold Ernest, Selantik Ili, Pantu kelmarin.

Tamat.





No comments:

Post a Comment