Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 January, 2010

Jangan perlekeh wakil rakyat BN - Nyalau.


Caption: RASMI...Nyalau sedang memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh Rayong (kanan beliau) ketika berlangsungnya majlis itu.

ENGKILILI, Rabu (26 Jan) – Penduduk diminta agar tidak memperlekehkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung hal projek pembangunan di kawasan masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Parlimen Lubok Antu bertempat di Rumah Dancon, Bua, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Katanya terdapat segelintir penduduk yang merajuk kerana mendakwa wakil rakyat BN kerajaan gagal menyalurkan projek pembangunan di kawasan mereka dan seterusnya mengugut untuk tidak menyokong BN selepas itu.

“Ini satu sikap yang tidak positif. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh wakil rakyat BN gagal menjalankan tugas mereka berhubung hal penyaluran projek dalam kawasan masing-masing.

“Penduduk perlu ingat bahawa kerajaan melaksanakan pelan pembangunan secara sistematik bagi menguntungkan semua penduduk dalam sesebuah kawasan dan ini menuntut kesabaran penduduk yang menantikan projek itu daripada pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu Nyalau menasihatkan anak-anak lepasan sekolah terutamanya dari rumah panjang atau kampung agar tidak tergopoh-gapah untuk berhijrah ke bandar bagi mencari pekerjaan baru selepas ini.

Tindakan mereka meninggalkan ibubapa di rumah panjang ini menurut beliau menyebabkan rumah panjang mereka kehilangan bakal penganti untuk membangunkan kawasan rumah panjang masing-masing di masa akan datang.

“Saya tidak bermaksud mahu menghalang anda untuk mencari kemajuan hidup di bandar. Namun bertindak demikian hanya kerana terpengaruh dengan kata rakan-rakan hanya menyebabkan rumah panjang mereka ‘kosong’ tanpa penghuni muda di masa akan datang.

“Justeru saya menasihat anak muda lepasan sekolah agar memikirkan sedalam-dalamnya sebelum berbuat demikian. Anda juga boleh hidup maju dikampung jika tahu caranya dan bukan sahaja di bandar,” menurut beliau.

Nyalau pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM15,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit manakala RM3,000 untuk biro wanita mereka.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Penyelia KEMAS Kawasan Lubok Antu, Kumpang anak Datuk Tutong, para pegawai kerajaan, kakitangan KEMAS dan ketua kaum dari daerah ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment