Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 January, 2010

Jangan gemar tukar Yb - Mong


Mugshot: MONG ANAK DAGANG

SRI AMAN, Isnin (18 Jan) – Pembangunan akan terbantut sekiranya penduduk di dalam sesebuah kawasan itu kerap menukar wakil rakyat mereka apabila berlangsungnya pilihan raya dalam negeri ini.

Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Penyelarasan), Mong anak Dagang berkata ia disebabkan oleh pelan pembangunan yang sudah dirancang oleh kerajaan bagi setiap tempoh waktu tertentu tanpa mengira sebelum atau selepas pilihan raya terbabit.

“Katakan jika wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ditolak oleh penduduk pada menjelang pilihan raya akan datang dan seterusnya diganti oleh wakil rakyat pembangkang maka sudah tentunya pelan pembangunan di kawasan itu terbantut.

“Lebih malang ialah jika wakil rakyat BN yang ditolak itu adalah seorang menteri. Tentu tindakan penduduk itu akan mendatangkan kerugian terhadap diri mereka sendiri berbanding dengan lain-lain kawasan yang tetap menyokong BN ketika berlangsungnya pilihan raya,” menurut beliau.

Beliau yang juga Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berlangsungnya Majlis Kesyukuran bersempena perlantikan beliau dalam Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak berkuatkuasa 3 Disember tahun lepas.

Selain itu Mong juga berpendapat bahawa jawatan Menteri Muda yang diamanahkan kepadanya oleh kerajaan sebelum ini adalah untuk semua penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan.yang setia menyokong beliau pada pilihan raya negeri sebelumnya.

“Ini (jawatan Menteri Muda) merupakan hadiah untuk penduduk dalam DUN Bukit Begunan yang berdiri teguh di belakang BN dengan menyokong saya selama tiga penggal sebelum ini (bermula 1996).

“Terima kasih diucapkan kepada Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Jemut Masing kerana memberi kepercayaan terhadap saya untuk memegang jawatan terbabit,” katanya.

Mong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM6,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Anyie, Entulang Entawa dan RM6,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah ialah Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, John Sikie Tayai, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, para ahli majlis PRS, pegawai kerajaan dan ketua kaum dalam daerah ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment