Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 January, 2010

Jalan di Batu Lintang 'runtuh'



Caption: ROSAK...Laluan jalan raya yang runtuh di kawasan Guntong menyebabkan penduduk Batu Lintang terputus hubungan buat sementara waktu dengan dunia luar kelmarin. Foto:ZULIA HAJI JEMAT


SRI AMAN, Khamis (14 Jan) – Penduduk di kawasan Batu Lintang terputus hubungan buat sementara waktu apabila laluan jalan raya di kawasan Sungai Jubir, Guntong runtuh sekitar jam 8 malam tadi.


Utusan Sarawak yang turun padang ke lokasi kejadian hari ini mendapati bahawa lubang selebar 15 kaki dengan ukuran dalam tanah runtuh melebihi lima kaki telah terbentuk di atas laluan jalan raya berkenaan hingga menyebabkan penduduk tidak dapat melalui jalan terbabit bermula malam tadi.


“Hujan lebat turun sekitar jam 8 malam tadi di kawasan ini. Maka dipercayai bahawa faktor hujan telah menyebabkan tanah yang menyokong jalan raya terbabit menjadi mendap dan seterusnya runtuh,” kata seorang penduduk ketika ditemui di lokasi kejadian terbabit.


Kejadian ini menurut penduduk terbabit dipercayai menyebabkan dua buah sekolah ditutup buat sementara waktu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang dan SK Chung Hua.


Ia menurut beliau disebabkan oleh kegagalan para guru untuk turun mengajar di sekolah terbabit awal pagi hari ini ekoran hubungan jalan raya yang terputus disebabkan oleh kejadian tersebut.


“Mujurlah pihak berwajib bertindak pantas untuk menangani masalah tersebut dengan membina sebuah laluan sementara di tepi lokasi laluan runtuh berkenaan demi membolehkan penduduk Batu Lintang melaksanakan urusan harian masing-masing seperti biasa.


“Tiada sebarang kemalangan jiwa disebabkan oleh kejadian ini. Sememangnya amat ajaib apabila tiada pengguna kenderaan yang melalui kawasan jalan rosak ini ketika kejadian mula berlaku malam tadi,” katanya.


Bagaimanapun kawasan Sungai Jubir, Guntong, Batu Lintang dilaporkan sering mengalami banjir setinggi satu hingga tiga kaki disebabkan oleh faktor hujan dan limpahan air dari sungai terbabit sebelum ini.


Tamat.


No comments:

Post a Comment