Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 January, 2010

Hormati hak pemilik tanah NCR orang lain - Jegai


Caption: MENGAMOK...Jegai ketika menyampaikan ucapannya ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) – Setiap pemilik tanah mempunyai hak dalam menentukan keputusan untuk menyertai program pembangunan tanah oleh kerajaan terutamanya projek penanaman sawit di atas tanah masing-masing.

Justeru Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Ulu Undop, Sri Aman iaitu Jegai anak Jawa mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menganggu niat pemilik tanah yang berminat untuk menyertai program pembangunan kerajaan di kawasan Undop, Batu Lintang selepas ini.

“Jika anda (pemilik tanah) tidak berminat untuk menyertai program pembangunan tanah kerajaan maka jangan cuba bertindak menganggu niat orang lain yang mempunyai hasrat untuk berbuat demikian.

“Sedangkan saya juga tidak boleh memaksa dan menyalahkan seseorang itu jika dia tidak mahu menyertai pembangunan tanah kerajaan memandangkan semua orang juga mempunyai hak berhubung hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembayaran Wang Insentif kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Blok Ulu Undop SOP PELITA Batu Lintang Plantation Sdn Bhd di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang Sri Aman hari ini.

Bagaimanapun kata Jegai jika pemilik tanah di kawasan Undop, Batu Lintang mahu memanfaatkan tanah terbiar masing-masing maka sekarang adalah masa yang terbaik untuk mereka menyertai program pembangunan tanah kerajaan selepas ini.

“Projek penanaman sawit misalannya boleh mendatangkan manfaat kepada pemilik tanah. Disamping menerima bayaran insentif, mereka juga akan menerima wang dividen selepas tujuh atau lapan tahun mereka menyertai projek terbabit.

“Justeru jangan biarkan diri anda diganggu oleh ‘hantu’ yang cuba mengagalkan niat diri masing-masing. Jika mahu maju dalam hidup maka sertai program pembangunan tanah kerajaan selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah merasmikan majlis terbabit dan seterusnya menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM143,718 kepada 363 peserta dari Blok Estate 1 dan II Undop Batu Lintang yang terlibat dalam projek penanaman sawit.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Sameon, Pegawai Eksekutif SOP Sarawak, Paul Wong, SOP Group Plantation Controller, Chua Kian Hong, Pengurus Wilayah Selatan PELITA, Samuel Batok, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai dan wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson.

Tamat.

No comments:

Post a Comment