Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 January, 2010

Guna media massa untuk majukan diri - Simoi


Caption: RASMI...Simoi (tengah) sedang menyempurnakan upacara sepak mula sambil disaksikan oleh tetamu undangan khas yang lain ketika berlangsungnya majlis pembukaan kejohanan malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (16 jan) – Golongan belia harus menjadikan media massa sebagai platform utama untuk mencari peluang bagi mempertingkatkan kemajuan hidup diri masing-masing selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata media massa menawarkan pelbagai peluang pekerjaan disamping menyampaikan maklumat mengenai isu pembangunan ekonomi kepada para belia dalam negara ini khususnya di Sarawak.

“Misalnya menerusi media massa, orang ramai terutamanya para belia telah didedahkan dengan maklumat mengenai peluang pekerjaan yang terdapat menerusi perlaksanaan Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) di wilayah tengah Sarawak pada masa akan datang.

“Justeru saya menasihatkan para belia menjadikan media massa sebagai platform utama pembangunan hidup mereka selepas ini dan bukannya hanya sekadar untuk tujuan hiburan semata-mata,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Kejohanan Piala Futsal 2009 YB Piala Datuk Hajah Rohani Haji Karim, Ahli Parlimen P.201 Batang Lupar di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman malam tadi.

Bagaimanapun Simoi menasihatkan para belia untuk tidak menyalahgunakan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada masa sekarang demi mengelakkan pembabitan mereka dalam masalah gejala sosial selepas ini.

Walaupun kemudahan ICT katanya banyak memberi manfaat kepada para pengguna dari segi perolehan maklumat namun ia boleh mendatangkan keburukan terhadap pengguna itu sendiri jika mereka gagal mengekang pengaruh negatif yang disalurkan menerusi kemudahan itu selepas ini.

Terdahulu Simoi telah mengumumkan cadangan peruntukan berjumlah RM12,000 untuk menganjurkan aktiviti sukaneka dalam kawasan Parlimen P.201 Batang Lupar bagi tahun ini.

Beliau juga turut diberi penghormatan untuk menyempurnakan upacara sepak mula bagi perlawanan Futsal ke-3 di antara pasukan Pemuda PBB dan FEDK B yang berlangsung malam tadi.

Hadir sama ialah wakil Residen Sri Aman, Zaidi Sarkawi, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ridzuan Abdullah, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad dan pengerusi pengelola kejohanan, Zamahari Morshidi.

Sejumlah 33 buah pasukan lelaki dan tiga buah pasukan wanita berentap dalam Pembukaan Kejohanan Piala Futsal 2009 YB Piala Datuk Hajah Rohani Haji Karim, Ahli Parlimen P.201 Batang Lupar yang bakal berakhir pada hari Ahad ini.

Tamat.



No comments:

Post a Comment