Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 January, 2010

Gimnasium Rakyat jadi tumpuan warga Emas


Caption: MASIH GAGAH...Mas Karim ketika sedang menjalani aktiviti senaman dalam Gimnasium Rakyat Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (7 Jan) – Jika orang ramai menganggap bahawa kemudahan Gimnasium Rakyat Sri Aman yang terletak di Jalan Kolam Air, Sri Aman hanya menjadi tumpuan orang muda maka mereka tersilap.

Ini kerana kemudahan Gimnasium Rakyat Sri Aman yang mula dibuka kepada orang ramai semenjak dua tahun lalu juga turut mendapat perhatian golongan Warga Emas yang mahu menjalankan aktiviti rekreasi masing-masing di situ.

Seorang Warga Emas iaitu Abdul Karim Haji Mas Atem, 61, dari Taman Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa I ketika ditemui Utusan Sarawak menjelaskan bahawa usia bukan penghalang buat beliau untuk bersenam di Gimnasium Rakyat Sri Aman selama ini.

Setiap individu termasuk muda mahupun tua katanya perlu menjadikan rekreasi atau senaman sebagai aktiviti utama dalam hidup demi menjamin kesihatan tubuh badan masing-masing dari masa ke semasa.

“Ada orang yang beranggapan bahawa bersenam di sini (Gimnasium Rakyat) hanyalah untuk membina otot-otot badan seperti ahli bina badan yang mereka lihat dalam televisyen dan sebagainya selama ini.

“Tanggapan itu salah. Gimnasium Rakyat Sri Aman bukan untuk mereka yang mahu menjadi ahli bina badan sahaja malah untuk semua rakyat yang mahu bersenam bagi menyihatkan tubuh badan,” menurut beliau.

Justeru Karim yang kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) RPR Fasa I mahu lebih ramai golongan Warga Emas dalam bandar ini untuk menjadi Gimnasium Rakyat sebagai lokasi utama mereka untuk melaksanakan aktiviti rekreasi.

Terdahulu Gimnasium Rakyat Sri Aman yang kini beroperasi di Rumah MAKSAK Sri Aman dibuka kepada orang ramai pada setiap hari bermula dari jam 5 petang hingga 8 malam.

Mereka yang menggunakan kemudahan dalam kemudahan Gimnasium Rakyat ini akan dikenakan bayaran kemasukan sebanyak RM1 seorang tanpa sebarang sekatan had masa untuk diri masing-masing.

Tamat.


No comments:

Post a Comment