Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 January, 2010

Bulan Sabit Merah Sri Aman jayakan projek kebajikan mangsa banjir di Pantu, Sri Aman


Caption: PRIHATIN...Michael Duk (kiri) sambil disaksikan oleh Paul (tengah), Sharifah (dua kanan) dan Isaac (kiri sekali) menyampaikan selimut kepada wakil mangsa ketika BSMM turun padang untuk membantu mangsa banjir di Pantu.

PANTU, Selasa (12 Jan) – Sumbangan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dalam Bahagian Sri Aman sememangnya harus dihargai dan diiktiraf usahanya oleh semua pihak.

Ia terbukti apabila (BSMM) cawangan Sri Aman telah turun padang untuk membantu penduduk dari kawasan Pangkalan Pantu yang ditempatkan secara sementara di Sekolah Kebangsaan Jenis (SJK) Chung Hua Pantu apabila penempatan mereka dinaiki air banjir sedalam 0.6 meter pada minggu lepas.

BSMM cawangan Sri Aman menerusi 11 orang ahlinya telah turun padang dengan menyediakan peralatan memasak dan selimut untuk kesemua 144 orang mangsa banjir di situ.

Menerusi peralatan memasak yang sedia ada, semua ahli BSMM telah melaksanakan kerja memasak yang dikendalikan oleh Pengerusi Seksyen Pengurusan Bencana, Mas Mashore Haji Maslem.

Disamping itu selimut juga turut disampaikan kepada mangsa banjir oleh Naib Pengerusi II BSMM Sri Aman, Paul Lu kepada wakil mangsa sambil disaksikan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Pantu, Edward Micheal Duk dan Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman, Sharifah Rahimah.

Timbalan Pengerusi Seksyen Pengurusan Bencana BSMM Sri Aman, Isaac Stalin ketika ditemui menjelaskan bahawa sememangnya menjadi tanggungjawab pihak beliau untuk membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa berikutan banjir yang melanda mereka sebelum ini.

“Menerusi makanan yang telah diperuntukan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, usaha membantu mangsa oleh pihak BSMM menjadi mudah apabila pihak kami hanya perlu memastikan makanan disediakan untuk mangsa banjir yang tinggal buat sementara di sekolah berkenaan.

“Justeru terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak terutama kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak Pejabat Daerah Kecil Pantu, Pejabat Daerah Sri Aman dan Pejabat Residen Sri Aman kerana turun padang untuk membantu mangsa yang ditimpa masalah tersebut,” katanya.

Kesemua 144 orang mangsa banjir dari kawasan Pengkalan Pantu kini dilaporkan sudah pulang ke rumah masing-masing pada jam 3 petang hari Ahad lepas setelah banjir mulai surut di kawasan terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment