Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 January, 2010

Agama pelihara perpaduan - Mong


Caption: UNTUK KENANGAN...Mong (lima kanan) dan ketua kaum yang lain ketika berlangsungnya aktiviti kunjungan Krismas di kediaman Selimin (kiri beliau) baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (5 Jan) – Agama memainkan peranan yang cukup penting ke arah menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup penduduk berbilang kaum dalam negeri ini.

Menteri Muda Permodenan Pertanian (Penyelarasan dan Penyelidikan) Mong anak Dagang berkata agama telah mendidik setiap penganutnya untuk melakukan kebaikan disamping menghormati di antara satu sama lain untuk sepanjang masa.

“Tiada agama di dunia ini yang mengajar penganutnya untuk berbuat kejahatan...jika agama sedemikian wujud maka ia haruslah tidak wujud lagi pada masa akan datang demi mengelakkan perpecahan dikalangan penduduk yang mempunyai lain-lain anutan agama sebelum ini,” katanya.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap ringkas pada aktiviti kunjungan ke Rumah ex-Kaunselor Selimin Kring di Kampung Jambatan Klauh, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu aspek keagamaan juga kata beliau secara tidak langsung telah mewujudkan hubungan perpaduan yang kukuh dikalangan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini khususnya Melayu, Cina dan Dayak.

“Bukti wujudnya hubungan perpaduan yang kukuh dikalangan penduduk menerusi faktor keagamaan di negeri ini dapat dilihat ketika mereka menyambut perayaan utama masing-masing secara bersama setiap tahun.

“Justeru kerajaan berharap agar hubungan seumpama ini terus dikekalkan demi membolehkan segala projek pembangunan dalam negeri ini dapat dilaksanakan dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu kunjungan perayaan Krismas oleh Mong di kediaman Selimin turut diserikan dengan kehadiran para ketua kaum dari kawasan Panggil, Klauh dan kawasan sekitarnya.

Beliau menerusi kunjungan selama tiga jam di kediaman terbabit turut mengadakan perbincangan dengan para ketua kaum mengenai perancangan pembangunan dalam kawasan masing-masing.

Tamat......


No comments:

Post a Comment