Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 January, 2010

35,000 hektar tanah dalam kawasan Sri Aman dikenalpasti untuk projek Sawit - Taib




Caption:

1. UNTUK ALBUM...Taib (atas kiri) bergambar kenangan bersama Dif Kehormat sebaik sahaja tamat Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Strap Pantu kelmarin. Kelihatan dalam gambar ialah Datuk Patinggi Jabu, Dato Sri Manyin, Dato Sri James, Datuk Harden, Snowdan, Datuk Haji Daud Rahman dan Larry Sng.

2. SELAMAT DATANG...Taib sedang bersalaman dengan Datuk Francis Harden sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis pecah tanah di sini kelmarin. Turut kelihatan ialah Jabu (belakang beliau), Dr James (kiri), Michael Manyin (dua kiri) dan Dr Johnnical Rayong (kanan sekali).

PANTU, Selasa (19 Jan) – Kerajaan kini telah mengenalpasti tanah seluas 35,000 hektar dari kawasan Bukit Begunan hingga ke simpang Simunjan bagi tujuan projek penanaman kelapa sawit secara komersial.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata apabila projek penanaman sawit secara komersial ini siap dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2015 kelak maka ia dijangka mampu menjana perolehan menerusi nilai pengeluaran berjumlah RM300 juta setahun dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“5,000 hektar dari jumlah keseluruhan tanah terbabit sudah pun dibangunkan oleh pihak syarikat swasta untuk tujuan itu manakala 4,500 hektar tanah lagi pula telah dibangunkan oleh kerajaan.

“Secara keseluruhannya nilai pelaburan bagi kedua-dua kawasan tanah yang telah dibangunkan untuk projek penanaman sawit itu kini sudah pun mencatat nilai berjumlah RM132 juta dengan kos perlaksanaannya yang bernilai RM67 juta,” menurut beliau.

Taib berkata demikian kepada para pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi Pembinaan Jambatan Batang Strap dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman hari ini.

Beliau juga menambah projek yang mampu menjana RM200 hingga RM300 juta setahun ini juga dijangka mampu menjana pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 600,000 tan metrik setahun.

“Dengan kata lain Bahagian Sri Aman (mencakupi Simunjan) bakal berubah wajah dari segi pembangunan dengan adanya projek penanaman kelapa sawit secara komersial ini dalam tempoh 15 tahun akan datang,”katanya.

Terdahulu Taib menerusi ucapannya berkata bahawa kerajaan mahu mewujudkan pendekatan secara ‘critical mass’ untuk melaksanakan projek pembangunan yang lebih pesat dalam sesebuah kawasan selepas ini.

Pembinaan Jambatan Batang Strap yang mencatatkan nilai pembinaan berjumlah RM20.4 juta itu katanya adalah merupakan salah satu pendekatan Critical Mass oleh kerajaan untuk mewujudkan proses pembangunan yang lebih pesat di Pantu selepas ini.

“Pembinaan jambatan terbabit sebenarnya adalah merupakan kunci pembangunan dalam kawasan Pantu selepas ini dimana semua aktiviti ekonomi dan sosial tertumpu secara pesat di situ pada masa akan sekarang menerusi pendekatan Critical Mass.

“Hasilnya kelak akan mengubah wajah pembangunan di Pantu di mana jaringan perhubungan yang wujud akan membolehkan penduduk bersama-sama merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan sosial di sini selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin anak Jaong, Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan, para menteri muda, ahli parlimen, ketua kaum dan penduduk dalam kawasan Pantu.

Jambatan Batang Strap, Pantu sepanjang 182.4 meter itu mula dibina pada 9 November tahun lepas dan dijangka siap pada 1 Februari tahun hadapan. Apabila siap kelak, jambatan ini bakal menghubungkan penduduk dari 23 rumah panjang dan juga empat buah sekolah dari kawasan Sungai Batang Strap dengan Pekan Pantu, Sri Aman.

Tamat.



No comments:

Post a Comment