Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 January, 2010

PERSONALITI MINGGU INI


NAMA IC - Gilbert anak Miew


NAMA PANGGILAN - Mit


NAMA LAIN - Jennifer Carpenter
UMUR - 33
ASAL - Tajur, Tanjung Bijat, Sri Aman
JANTINA - Confius
PEKERJAAN WAKTU SIANG - Guru, SK Keranggas Gayau, Pantu
PEKERJAAN WAKTU MALAM - Mak nyah
HOBI: Menjahit pakaian, memasak kek, bersolek, berdandan, mencuci reban ayam dan menjual ikan bilis

Saya tidak jual tanah penduduk di Lingga!!- Simoi


Caption: LAWAT...Simoi (tengah) sambil diapit oleh Kanselor Mas Shamsiah Haji Maslem melawat beberapa gerai pertandingan gubahan bunga dan masakan ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Ahad (31 Jan) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri kesal dengan khabar angin oleh pihak tertentu yang mendakwa beliau menjual tanah dengan nilai mencecah RM8 juta dalam kawasan DUN Lingga sebelum ini.

Beliau mula mendapat tahu mengenai khabar angin terbabit menerusi Khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS) apabila pergi menunaikan Ibadah Haji dan Hajah di Mekah pada musim Haji tahun lepas.

“Saya didakwa menjual tanah di sebuah kawasan seberang dalam DUN Lingga ini kepada pihak tertentu dengan memperoleh nilai keuntungan RM8 juta menerusi urusan berkenaan.

“Ini adalah fitnah. Jika benar saya mendapat RM8 juta maka saya tidak perlu menjadi wakil rakyat dan bersusah payah mengharungi ribut dan hujan demi bekerja untuk rakyat dalam DUN Lingga selepas ini,” katanya.

Simoi meluahkan rasa kecewa berhubung fitnah terbabit yang kini tersebar luas dalam bandar Sri Aman ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di perkarangan Surau Hayatul Islam Kampung Hulu, Sri Aman hari ini.

Selain itu tanah yang dimaksudkan dalam isu terbabit sebenarnya jelas beliau adalah bertujuan untuk dibangunkan bagi projek penanaman sawit secara komersial yang bakal menguntungkan rakyat dalam DUN Lingga.

“Saya bersama Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji juga telah merancang untuk mengagihkan tanah terbabit kepada rakyat terutamanya fakir miskin yang tinggal dalam kawasan DUN Lingga.

“Rancangan ini masih lagi menunggu kelulusan daripada Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Jika berhasil, rakyat yang terlibat dalam agihan tanah berkenaan akan menerima dividen menerusi projek penanaman sawit yang bakal dilaksana oleh pihak PELITA selepas ini,” katanya.

Justeru Simoi berharap pihak tertentu agar berhenti menyebarkan fitnah berkenaan sambil menasihati mereka untuk bertaubat ke ‘Jalan Allah’ berhubung isu berkenaan sebelum ini.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Jabatan Tanah dan Survei, Majuan Jeraie, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman, Irwandi Riduan, para wakil pegawai kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Tamat.


Fakir miskin perlu daftar diri dalam e-kasih - Simoi


Caption: MANFAATKAN...Simoi (tiga kanan) sedang menyampaikan geran kepada Lamus (dua kiri) sambil disaksikan oleh Bakthiar (dua kanan), Mas Shamsiah (kiri), Balkis (tengah) serta yang lain.

MELUDAM, Ahad (31 Jan) – Golongan fakir miskin dinasihat agar mendaftar diri dalam sistem e-kasih di mana-mana pejabat daerah yang berdekatan demi membolehkan kerajaan membantu kebajikan hidup mereka kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Menerusi sistem e-kasih, kerajaan katanya akan dapat mengenalpasti mana-mana penduduk yang benar-benar tergolong dalam kategori miskin tegar sebelum tindakan selanjut diambil bagi membantu kebajikan hidup mereka selepas ini.

“Kerajaan tidak akan dapat mencari penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan kebajikan sekiranya mereka tidak mendaftarkan diri masing-masing menerusi sistem e-kasih di pejabat daerah yang berdekatan.

“Jika mahu kebajikan diri terbela maka penduduk yang berkelayakan haruslah mendaftarkan diri mereka dalam sistem e-kasih di pejabat daerah yang berdekatan,” katanya ketika berucap ringkas pada majlis penyerahan geran kerajaan bernilai RM5,000 kepada Tuai Rumah Lamus Kalong di Kampung Sungai Suak, Maludam kelmarin.

Selain itu Simoi juga turut menjelaskan bahawa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga sentiasa bekerja dan memantau perkembangan hidup penduduk dengan merangka pelbagai pelan pembangunan di kawasan mereka dari masa ke semasa.

“Sebenarnya pelan pembangunan yang kita rangka memerlukan kelulusan pihak kerajaan dan seterusnya menunggu peruntukan daripada mereka bagi membolehkan perlaksanaan projek tersebut.

“Justeru adalah amat penting penduduk terutamanya dari kawasan DUN Lingga untuk memberi sepenuh kerjasama dengan wakil rakyat BN demi menjayakan projek pembangunan di kawasan mereka pada masa akan datang,” katanya.


Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.23 Lingga, Bakthiar Mathan, Ketua Wanita PBB N.23 Lingga, Balqis Abdul Wahid, Kaunselor Mas Shamsiah Haji Maslem serta ahli-ahli PBB yang lain. Tamat.


Jangan jual surat pengesahan hakmilik tanah - Harden


Caption: IKTIRAF...Harden (kiri) menyampaikan surat pengesahan hakmilik tanah kepada wakil peserta (kanan) sambil disaksikan oleh Masir (tiga kiri) dan tetamu undangan khas yang lain pada majlis itu.

PANTU, Sabtu (30 Jan) – Peserta projek penanaman sawit secara komersial dinasihat agar tidak menjual surat pengesahan hakmilik tanah yang bakal mereka terima daripada pemaju terutamanya PELITA selepas ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Katanya surat pengesahan hakmilik tanah yang bakal diberikan oleh PELITA pada tahun ini adalah merupakan satu inisiatif oleh pihak berkenaan untuk mengiktiraf hakmilik tanah peserta yang menyertai skim penanaman sawit dan tidak harus dieksploitasi untuk tujuan keuntungan semata-mata.

“Jangan jual surat pengesahan hakmilik tanah anda sebaik sahaja menerima dokumen itu. Ini kerana surat terbabit amat penting untuk membuktikan hakmilik tanah milik peserta itu sendiri sehinggalah ke keturunan anak cucu mereka di masa akan datang.

“Jika dijual maka kesannya akan diterima oleh keturunan masing-masing. Justeru adalah amat penting bagi peserta yang menerima surat ini berfikir semasak-masaknya sebelum mahu bertindak demikian,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Wang Insentif Kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Tetangga Akrab PELITA (Pantu) Sdn Bhd Kranggas Blog-MG Mawang dan Sungai Tenggang Blog di Dewan Sekolah Chung Hua, Pantu, Sri Aman hari ini.

Selain itu penyertaan penduduk dalam projek pembangunan tanah yang dilaksana secara usahasama antara kerajaan dan pemaju menurut beliau secara tidak langsung membolehkan tanah mereka didokumentasikan selepas ini.

“Inilah kelebihan penduduk yang menyertai projek penanaman sawit. Surat pengesahan hakmilik tanah milik peserta misalannya akan mencatatkan saiz tanah, lokasi, nombor lot, peta dan nama pemiliknya itu sendiri,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk, Pengurus PELITA wilayah Selatan, Samuel Batok, para wakil pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk dalam kawasan Pantu.

Harden pada majlis itu telah menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan bernilai RM114,042 kepada 331 orang peserta projek penanaman sawit dari blok Keranggas dan Sungai Tenggang pada majlis itu.

Sehingga kini sejumlah 10,700 hektar tanah milik 500 orang peserta dari kedua-dua blok berkenaan telah dibangunkan menerusi projek penanaman sawit bermula dari tahun 2006 hingga tahun 2009.

Tamat.


Bincang dulu sebelum mahu - Masir

PANTU, Sabtu (30 Jan) – Pemilik tanah dinasihat agar berbincang terlebih dahulu dengan mana-mana pemaju yang cuba menawarkan projek penanaman sawit secara komersial ke atas tanah milik mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata penduduk yang perlu mengetahui segala butiran terperinci mengenai tentang hal pembayaran dividen, tempoh perjanjian dan sebagainya yang ditawarkan oleh syarikat pemaju itu sebelum bersetuju untuk menyertai projek terbabit.

“Terdapat kes di sebuah kawasan dalam negeri ini dimana para pemilik tanah terpaksa menunggu selama 13 tahun untuk menerima bayaran dividen daripada pihak pemaju yang melaksanakan projek penanaman sawit di atas mereka selama ini.

“Ia amat berbeza dengan peserta projek penanaman sawit yang bernaung di bawah PELITA di mana mereka hanya perlu menunggu selama lima tahun untuk menerima bayaran dividen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Wang Insentif Kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Tetangga Akrab PELITA (Pantu) Sdn Bhd Kranggas Blog-MG Mawang dan Sungai Tenggang Blog di Dewan Sekolah Chung Hua, Pantu, Sri Aman hari ini.

Selain itu Masir juga menasihatkan penduduk luar bandar agar tidak lagi bergantung kepada pertanian sara diri untuk menampung keluarga masing-masing pada masa akan datang.

“Mereka perlu beralih kepada projek pertanian secara komersial seperti penanaman sawit kerana ia nyata membuahkan hasil berbanding dengan aktiviti pertanian sara diri yang memberi pulang terhad.

“Justeru saya menasihatkan semua penduduk agar mengambil peluang masing-masing untuk menceburi projek pertanian secara komersial di atas tanah milik mereka selepas ini demi peningkatan taraf hidup,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah merasmikan majlis itu dan seterusnya menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan bernilai RM114,042 kepada 331 orang peserta projek penanaman sawit dari blok Keranggas dan Sungai Tenggang.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk, Pengurus PELITA wilayah Selatan, Samuel Batok, para wakil pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk dalam kawasan Pantu.

Sehingga kini sejumlah 10,700 hektar tanah milik 500 orang peserta dari kedua-dua blok berkenaan telah dibangunkan menerusi projek penanaman sawit bermula dari tahun 2006 hingga tahun 2009.

Tamat.

Dasar Politik Pembangunan resepi terbaik pembangunan rakyat - Rayong


Caption: REHAT...Nyalau (dua kanan) dan Rayong (dua kiri) sedang duduk sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis tersebut. Turut kelihatan ialah Kumpang (kiri sekali).

ENGKILILI, Jumaat (29 Jan) – Dasar Politik Pembangunan yang diilhamkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud adalah merupakan ‘resepi pembangunan’ yang terbaik untuk rakyat dalam negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata Dasar Politik Pembangunan terbabit telah mewujudkan asas kestabilan politik yang kukuh dan disamping perpaduan yang erat dikalangan rakyat berbilang kaum dalam negeri.

“Oleh sebab itu projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam negeri ini bergerak dengan penuh lancar hasil daripada Dasar Politik Pembangunan yang diperkenalkan oleh beliau (Taib) sebelum ini.

“Ia lebih terbukti lagi apabila Sarawak muncul sebagai negeri ke-3 terbaik dari segi pencapaian pembangunan. Atas sebab ini saya meminta rakyat khususnya dari kawasan DUN Engkilili bersatu-padu bagi menjayakan Gelombang Kedua Dasar Politik Pembangunan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Lubok Antu bertempat di Rumah Dancon, Bua, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga mahu rakyat dalam kawasan DUN Engkilili untuk terus bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan yang kini sedang dilaksanakan dalam kawasan mereka pada masa sekarang.

“Projek penyediaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) yang kini sedang giat dilaksana dalam DUN Engkilili menuntut kerjasama daripada semua rakyat untuk memastikan kejayaan projek terbabit.

“Justeru saya berharap agar rakyat di sini (DUN Engkilili) tidak mendengar dakyah atau fitnah yang memburuk-burukkan pihak kerajaan di masa akan datang,” katanya.

Majlis terbabit telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak. Hadir sama ialah Penyelia KEMAS Kawasan Lubok Antu, Kumpang anak Datuk Tutong, para pegawai kerajaan, kakitangan KEMAS dan ketua kaum dari daerah ini.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit manakala RM3,000 kepada biro wanita mereka. KEMAS Lubok Antu turut diumum peruntukan bernilai RM3,000 daripada beliau pada majlis itu.

Tamat.

Kementerian Pertanian anjur program tingkatkan pendapatan di Pusa 3 - 4 Februari

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menganjurkan Program Peningkatan Pendapatan Rakyat Peringkat Kebangsaan bertempat di perkarangan Terminal Bas Pusa, Betong bermula 3 hingga 4 Februari ini.

Kenyataan media kelmarin memberitahu program yang bakal berlangsung selama dua hari itu nanti akan menampilkan pelbagai acara menarik termasuklah pameran dan jualan produk pertanian.

Selain itu turut diadakan ialah Ceramah Agama, Pertandingan Karaoke, Persembahan Artis Jemputan dan Liveband yang mana kesemua acara ini nanti akan berlangsung dari jam 10 pagi sehingga jam 10 malam.

“Bermula jam 9 pagi pada 3 Februari ini akan berlangsung pameran dan jualan produk-produk pertanian, pertandingan karaoke terbuka, promosi dan demonstrasi masakan ikan keli dan kuiz kepada pengunjung.

“Manakala pada sebelah malamnya pula iaitu bermula jam 8 akan diadakan Program Pentas Rakyat yang bakal melibatkan artis jemputan dari Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu pada 4 Februari pula akan diadakan pameran dan jualan produk-produk pertanian, Klinik Tani dan Sesi Pemadanan Perniagaan, Taklimat berkaitan insentif geran dan kemudahan pembiayaian.

Semua aktiviti itu berada anjuran bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani oleh Bahagian Industri Asas Tani, TEKUN Nasional dan Promosi dan Demonstrasi Masakan.

Manakala pada sebelah malamnya pula akan dilangsungkan ceramah agama. Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dijangka akan menyempurnakan majlis berkenaan.

Tamat....

Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman adakan pertemuan dengan D.O Sri Aman


SEMBANG-SEMBANG...Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Muhin (tengah) sedang membincangkan perkara mengenai operasi pusat kemudahan Gimnasium Rakyat Sri Aman bersama dengan Pengerusi Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman, Zulhairi Sulaiman (kanan) dan ahli jawatankuasa kelab yang lain di bilik mesyuarat beliau baru-baru ini. Pertemuan ‘dua mata’ antara Bujang dan ahli kelab terbabit bertujuan untuk mencari jalan bagi mempertingkatkan mutu kemudahan Gimnasium Rakyat Sri Aman yang kini mula mencuri perhatian penduduk dalam bandar Sri Aman ini. - 29 Januari

Pelan perbesarkan jalan di sri aman dirangka - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden sedang menyampaikan cek MRP kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh tetamu undangan khas ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) – Sebuah pelan mengenai cadangan untuk melebarkan jalan raya dalam pusat Bandar Sri Aman kini sedang dirangka oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Menurut beliau pelan mengenai cadangan melebarkan jalan raya terbabit sudah dibincang oleh beliau bersama pihak JKR Sri Aman dan lain-lain jabatan kerajaan dalam bandar ini semenjak tahun lepas.

“Pelan mengenai cadangan ini dibincangkan apabila laluan jalan raya di pusat Bandar Sri Aman kian sesak dengan pertambahan jumlah kenderaan dan penduduk dalam bandar ini semenjak beberapa tahun lalu.

“Justeru menerusi pelan terbabit pihak kita akan bercadang untuk melebarkan jalan raya sepanjang 10 kilometer bermula dari pusat Bandar Sri Aman hinggalah kawasan Temudok dan juga termasuk jalan raya dalam kawasan Brayun,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pembayaran Wang Insentif kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Blok Ulu Undop SOP PELITA Batu Lintang Plantation Sdn Bhd di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang Sri Aman baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar kos bagi pelan mengenai cadangan projek melebarkan jalan raya dari pusat Bandar Sri Aman ke Temudok dan Brayun itu masih lagi belum diketahui buat masa sekarang.

“Harapan saya ialah pelan mengenai cadangan melebarkan jalan raya di Bandar Sri Aman akan siap dalam tahun ini dan seterusnya dihantar kepada pihak kerajaan bagi tujuan kelulusan untuk Rancangan Malaysia Ke-10.

“Jika pelan cadangan ini diluluskan maka kita yakin bahawa masalah kesesakan lalulintas dalam Bandar Sri Aman akan dapat diselesaikan pada masa akan datang demi kebaikan penduduk,” katanya.

Terdahulu Harden telah menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM143,718 kepada 363 peserta dari Blok Estate 1 dan II Undop Batu Lintang yang terlibat dalam projek penanaman sawit pada majlis itu.

Beliau juga turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM106,000 kepada 26 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari sekitar kawasan Batu Lintang.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Sameon, Pegawai Eksekutif SOP Sarawak, Paul Wong, SOP Group Plantation Controller, Chua Kian Hong, Pengurus Wilayah Selatan PELITA, Samuel Batok, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson dan Pengerusi LDC Ulu Undop, Jegai Jawa.

Tamat.



Hormati hak pemilik tanah NCR orang lain - Jegai


Caption: MENGAMOK...Jegai ketika menyampaikan ucapannya ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) – Setiap pemilik tanah mempunyai hak dalam menentukan keputusan untuk menyertai program pembangunan tanah oleh kerajaan terutamanya projek penanaman sawit di atas tanah masing-masing.

Justeru Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Ulu Undop, Sri Aman iaitu Jegai anak Jawa mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menganggu niat pemilik tanah yang berminat untuk menyertai program pembangunan kerajaan di kawasan Undop, Batu Lintang selepas ini.

“Jika anda (pemilik tanah) tidak berminat untuk menyertai program pembangunan tanah kerajaan maka jangan cuba bertindak menganggu niat orang lain yang mempunyai hasrat untuk berbuat demikian.

“Sedangkan saya juga tidak boleh memaksa dan menyalahkan seseorang itu jika dia tidak mahu menyertai pembangunan tanah kerajaan memandangkan semua orang juga mempunyai hak berhubung hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembayaran Wang Insentif kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Blok Ulu Undop SOP PELITA Batu Lintang Plantation Sdn Bhd di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang Sri Aman hari ini.

Bagaimanapun kata Jegai jika pemilik tanah di kawasan Undop, Batu Lintang mahu memanfaatkan tanah terbiar masing-masing maka sekarang adalah masa yang terbaik untuk mereka menyertai program pembangunan tanah kerajaan selepas ini.

“Projek penanaman sawit misalannya boleh mendatangkan manfaat kepada pemilik tanah. Disamping menerima bayaran insentif, mereka juga akan menerima wang dividen selepas tujuh atau lapan tahun mereka menyertai projek terbabit.

“Justeru jangan biarkan diri anda diganggu oleh ‘hantu’ yang cuba mengagalkan niat diri masing-masing. Jika mahu maju dalam hidup maka sertai program pembangunan tanah kerajaan selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah merasmikan majlis terbabit dan seterusnya menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM143,718 kepada 363 peserta dari Blok Estate 1 dan II Undop Batu Lintang yang terlibat dalam projek penanaman sawit.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Sameon, Pegawai Eksekutif SOP Sarawak, Paul Wong, SOP Group Plantation Controller, Chua Kian Hong, Pengurus Wilayah Selatan PELITA, Samuel Batok, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai dan wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson.

Tamat.

RUANGAN KHAS


RUANGAN KHAS

Siapakah jejaka tampan ini?

A. Roy Azman (Roda Roda KL)

B. Zack X Factor (Si Capek)

C. Tatsuya Himura (Ultraman 3 )

D. Son Goku ( Dragon Ball).

Jawapan boleh diemail kepada pihak berita sri aman. Pemenang bertuah akan mendapat tiket penerbangan percuma selama dua hari ke Uganda untuk menyaksikan persembahan tarian poco-poco dan sarkis singa.

Hotel, makan, pakaian (termasuk spender) tanggung sendiri.

29 January, 2010

Perlaksanaan projek sawit perlu kata sepakat penduduk - Harden


Caption: TERIMALAH...Harden (kiri) menyampaikan cek replika bayaran insentif kepada Jegai (kanan) sambil disaksikan oleh (dari kanan) Rickson, Samuel, Jaul, Paul, Meehan dan Penghulu Jacob Chendan pada majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) – Sejumlah RM830,000 wang pendahuluan (up front payment) telah dibayar kepada 475 penduduk yang menyertai skim projek penanaman kelapa sawit di Undop, Batu Lintang, Sri Aman semenjak tahun 2006 dahulu.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata bayaran pendahuluan terbabit dilakukan oleh Sarawak Oil Palm Plantation (SOP) PELITA terhadap 1,700 hektar tanah milik 475 orang penduduk Batu Lintang yang telah dibangunkan untuk projek penanaman sawit sebelum ini.

“Bayaran wang pendahuluan bernilai RM830,000 berkenaan telah dibayar sebanyak enam peringkat terhadap kesemua pemilik tanah yang telah melibatkan diri dalam projek penananam sawit di Undop, Batu Lintang antara tahun 2006 hingga 2009.

“Justeru diharapkan agar bayaran wang pendahuluan terbabit dapat menyakinkan penduduk bahawa kerajaan komited untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka menerusi projek pembangunan tanah sebelum ini misalanya penanaman sawit secara komersial,” katanya.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembayaran Wang Insentif kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Blok Ulu Undop SOP PELITA Batu Lintang Plantation Sdn Bhd di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang Sri Aman hari ini.

Sementara itu Harden juga mahu pemilik tanah di kawasan Undop, Batu Lintang untuk mencapai kata sepakat terlebih dahulu sebelum pihak pemaju memulakan usaha penanaman sawit ke atas tanah mereka selepas ini.

“Pertelingkahan mengenai soal tanah antara pemiliknya boleh menyebabkan kelewatan terhadap perlaksanaan projek terbabit ke atas tanah mereka selepas ini. Justeru saya menasihatkan anda agar bekerjasama dengan pihak pemaju dan kerajaan demi menjayakan projek penanaman sawit di Undop, Batu Lintang kelak,” katanya.

Terdahulu Harden telah menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM143,718 kepada 363 peserta dari Blok Estate 1 Undop Batu Lintang yang terlibat dalam projek penanaman sawit pada majlis itu.

Beliau juga turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM106,000 kepada 26 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari sekitar kawasan Batu Lintang.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Sameon, Pegawai Eksekutif SOP Sarawak, Paul Wong, SOP Group Plantation Controller, Chua Kian Hong, Pengurus Wilayah Selatan PELITA, Samuel Batok, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson dan Pengerusi LDC Ulu Undop, Jegai Jawa.

Tamat.








Peserta projak sawit SOP akan terima surat hakmilik tanah - Samuel

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) – Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR (Hak Adat Bumiputera) dari Undop, Batu Lintang bakal menerima surat pengesahan Hakmilik Tanah NCR daripada pihak Sarawak Oil Palm Plantation (SOP) PELITA menjelang bulan Mac atau April tahun ini.

Pengurus Wilayah Selatan PELITA, Samuel Batok berkata ia bertujuan untuk mengiktiraf tanah milik penduduk yang terlibat dalam projek penanaman kelapa sawit di Undop, Batu Lintang sebelum ini.

“Pihak kami akan memberi surat pengesahan Hakmilik Tanah NCR kepada 363 orang peserta yang terlibat dalam projek penanaman kelapa sawit menerusi Projek Pembangunan Tanah NCR di Undop, Batu Lintang menjelang bulan Mac dan April tahun ini.

“Menerusi pemberian surat ini, peserta akan diiktiraf haknya terhadap tanah masing-masing dan disamping pemberian maklumat mengenai lokasi tanah, saiz tanah, nombor lot dan peta tanah milik masing-masing,” katanya.

Untuk itu, surat asal hakmilik tanah berkenaan kata Samuel akan diberikan kepada peserta itu sendiri manakala lima lagi salinan surat terbabit diberi kepada pihak PELITA, pelabur, Kementerian Pengurusan Sumber Asli, Kementerian Kemajuan Tanah dan Jabatan Tanah dan Survei.

Beliau berkata demikian ketika pemberita pada Majlis Pembayaran Wang Insentif kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Blok Ulu Undop SOP PELITA Batu Lintang Plantation Sdn Bhd yang dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis di SK Batu Lintang, Sri Aman hari ini.

Terdahulu Samuel menerusi ucapannya berkata pihak SOP PELITA mensasarkan penanaman sawit ke atas tanah berkeluasan 3,000 hektar tanah menjelang akhir tahun ini.

“Pihak SOP PELITA telah berjaya membangunkan sejumlah 1,300 hektar tanah di Undop, Batu Lintang dengan projek penanaman sawit sehingga sekarang. Justeru diharap agar pihak kita mampu mencapai sasaran penanaman sawit ke atas 3,000 hektar tanah hingga akhir tahun ini,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Sameon, Pegawai Eksekutif SOP Sarawak, Paul Wong, SOP Group Plantation Controller, Chua Kian Hong, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson dan Pengerusi LDC Ulu Undop, Jegai Jawa.

Harden telah menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM143,718 kepada 363 peserta dari Blok Estate 1 Undop Batu Lintang yang terlibat dalam projek penanaman sawit pada majlis itu.

Tamat.

RELA Johor lawat Sri Aman


Caption: UNTUK ALBUM...Zaini (tengah bertopi) bersama Bajuri (tiga kiri), Wan Bejuri (dua kiri) dan bersama rombongan merakamkan gambar kenangan di sini kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (29 Jan) – Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Negeri Johor iaitu Brigdier Jeneral (RELA) Haji Zaini Haji Jamari bersama 30 orang anggota dan ahli keluarga mereka telah mengadakan kunjungan muhibbah ke Sri Aman kelmarin.

Kedatangan beliau bersama rombongan pada jam 12 tengahari kelmarin telah disambut meriah oleh pasukan RELA Daerah Sri Aman yang diketuai oleh pegawainya iaitu Leftenan Kolonel (RELA) Bajori Haji Adom dan Pegawai RELA Daerah Simunjan, Leftenan Kolonel (RELA) Wan Bejuri Wan Hamid.

Sebaik sahaja tiba, Zaini bersama rombongan telah dibawa melawat ke Rumah Sambu anak Sandi, Nanga Entulang, untuk melihat budaya dan adat resam penduduk kaum Iban di rumah panjang berkenaan.

Sambil meninjau keunikan rumah panjang berkenaan, beliau bersama rombongan juga turut beramah mesra bersama penghuni rumah panjang selama satu jam setengah sebelum berangkat ke Taman Tebingan Sungai Sri Aman dalam bandar ini

Di situ Zaini bersama rombongan berpeluang melihat keunikan fenomena Benak yang menyusuri Sungai Batang Lupar Sri Aman pada waktu lewat petang disamping berehat di kawasan taman terbabit.

Beliau bersama rombongan RELA Johor kemudiannya menghadiri Majlis Malam Mesra yang berlangsung di sebuah hotel tempatan dalam bandar ini bermula jam 8 malam tadi.

Menerusi majlis berkenaan, seluruh hadiri berpeluang untuk beramah mesra dan mengeratkan tali silatulrahim di antara anggota RELA Daerah Sri Aman dan anggota RELA dari negeri Johor.

Majlis pada malam itu telah dimeriahkan dengan persembahan Tarian Poco-Poco, karaoke, jamuan makan dan penyampaian cenderahati sebelum kesemua bersurai pada jam 11 malam.

Zaini dan kesemua 30 orang rombongannya itu kemudiannya berangkat pulang ke Johor pada jam 12.30 tengahari hari ini.

Tamat.

RM16 juta untuk laksana RES dari Sabal Kruin hingga Sungai Tenggang - Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

PANTU, Khamis (28 Jan) – Sejumlah 395 buah keluarga dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin bakal menikmati faedah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bermula dari tempoh 10 bulan akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan berkata projek penyediaan bekalan RES ini menelan belanja berjumlah RM16 juta dan dijangka akan bermula perlaksanaannya dalam masa terdekat kelak.

“Apabila ia siap kelak, RES ini nanti akan menyalurkan bekalan elektrik selama 24 jam untuk penduduk dari dari kawasan Sabal Kruin (Simunjan) hingga ke Sungai Tenggang, Pantu, Sri Aman.

“Projek penyediaan bekalan RES di kawasan yang dinyatakan ini akan dilaksana oleh pihak Shorefield Sendirian Berhad dan dijangka siap dalam tempoh 10 bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja menghadiri Sesi Dialog antara pihak Shorefield Sdn Bhd, SESCO Sri Aman dan SESCO Kuching Bersama Penduduk bertempat di Rumah Donald, Kampung Abok Mawang, Pantu kelmarin.

Dengan adanya penyediaan kemudahan RES ini kelak, maka penduduk dari 395 buah keluarga dalam kawasan itu tidak akan lagi bergantung sepenuhnya kepada enjin janakuasa elektrik yang menggunakan sepenuhnya bekalan bahan api.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) komited dalam mempertingkatkan taraf hidup penduduk. Justeru saya mahu semua penduduk agar bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan kelancaran projek terbabit selepas ini,” katanya.

Terdahulu seramai 25 orang Tuai Rumah dari kawasan Sabal Kruin (Simunjan) hingga ke Sungai Tenggang, Pantu, Sri Aman menyatakan kesyukuran mereka berhubung perlaksanaan projek RES oleh kerajaan terhadap penduduk dalam kawasan mereka pada majlis itu.

Kesemua ketua kaum terbabit melahirkan rasa gembira apabila mereka dan penduduk di bawah jagaannya bakal menikmati bekalan elektrik 24 jam dalam tempoh 10 bulan akan datang.

Tamat.

Pelatih PDK Sri Aman terima Angpow Tahun Baru Cina




Caption:

1.UNTUK ALBUM...Chai (tengah), Rahimah (hadapan kanan), Lina (dua kiri) dan Lim (kiri sekali) bergambar kenangan ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

2.RAIKAN BERSAMA...Lina (tengah) bersama Lim (kiri sekali), Rahimah (kanan sekali) dan Alice (dua kiri) ketika menyampaikan sumbangan Angpow kepada salah seorang penerima pada majlis itu.

SRI AMAN, Khamis (28 Jan) – Seramai 66 orang pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman menerima Angpow berupa duit dan barangan makanan bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina 2010 pada bulan Februari ini.

Kesemua 66 orang pelatih berkenaan telah menerima sumbangan hasil tajaan Persatuan Chee Chuan Khor (Moral Uplifting Society) Simanggang menerusi majlis yang berlangsung di pusat pemulihan berkenaan pada jam 9 pagi hari ini.

Pergerakan wanita persatuan berkenaan telah mewakili Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang untuk menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Pengerusi PDK Sri Aman, Lina Andom sambil disaksikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Rahimah Wan Hashim.

Terdahulu Ketua Pergerakan Wanita Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang, Lim Shiang Ngo ketika ditemui menjelaskan bahawa sumbangan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak persatuannya pada setiap tahun.

Ia bertujuan untuk membolehkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sama-sama merasai kemeriahan suasana sambutan Perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

“Golongan OKU juga perlu diberi perhatian dan kasih sayang. Justeru pihak kita tampil pada hari ini untuk memberikan Angpow berupa barangan makanan dan duit kepada kesemua 66 orang pelatih dalam PDK berkenaan,” katanya.

Justeru beliau berharap agar sumbangan terbabit menceriakan lagi para pelatih dalam PDK Sri Aman menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada 14 dan 15 Februari ini nanti.

Hadir sama ialah Ketua Seksyen Kebajikan Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang, Kapitan Chai Tze Hiung, setiausaha pergerakan wanita terbabit, Yap Ing Ing, bendaharinya, Tay Sok Hing dan penolongnya Alice Wee.

Tamat.





PPWS Sri Aman sumbang wang kepada keluarga Allahyarhamah Normah


Caption: PRIHATIN...Khadijah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga allahyarhamah Normah sambil disaksikan oleh barisan AJK baru PPWS Kampung Pangkat Stumbin baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (28 Jan) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman telah menyampaikan sumbangan berupa wang kepada keluarga salah seorang ahli PPWS cawangan Pangkat Stumbin yang telah meninggal dunia sebelum ini.

Sumbangan kewangan terbabit disampaikan oleh pengerusinya Nur Khadijah Abdullah kepada Normah Sami iaitu anak kepada ahli yang meninggal dunia kerana sakit tua iaitu allahyarhamah Normah Sami ketika berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahun PPWS cawangan Pangkat Stumbin hari ini.

“Pemberian ini merupakan tanda penghargaan dan prihatin kami terhadap jasa yang pernah disumbangkan oleh allahyarhamah ketika berjuang bersama PPWS suatu ketika dahulu. Justeru diharap agar keluarga bersabar dan terus menyokong perjuangan PPWS selepas ini,” katanya.

Hadir sama bagi menyaksikan majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Randai anak Ramba dan AJK persatuannya iaitu Latifah Mantali dan Teresa Kotter.

Terdahulu Saniah Julhi telah dipilih semula sebagai Pengerusi PPWS cawangan Kampung Pangkat Stumbin bagi penggal 2010 hingga 2013 ketika berlangsungnya mesyuarat terbabit.

Beliau dibantu oleh Maznaliza Abdullah yang telah dipilih untuk memegang jawatan Timbalan Pengerusi manakala Kamariah Abdullah pula dipilih sebagai Naib Pengerusi bagi tempoh penggal yang sama.

Jawatan Setiausaha PPWS cawangan Kampung Pangkat Stumbin ini pula disandang oleh Dayangku Suriani Awang Hassan manakala Sarena Haji Junaidi dipilih sebagai Bendahari persatuan berkenaan.

Lima orang lagi Ahli Jawatankuasa PPWS cawangan Kampung Pangkat Stumbin yang dipilih menerusi mesyuarat agung berkenaan ialah Dayang Saadiah Abang Jais, Asiah Kona, Majanah Amir, Jamanyah Bonchai dan Narollah Talip.

Tamat.

Majlis kesyukuran YB Wahab Aziz 30 Januari ini di Kupang, Saratok

SRI AMAN, Khamis (28 Jan) – FELCRA Berhad Kawasan Saratok akan menganjurkan Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Haji Abdul Wahad Aziz pada 30 Januari ini.

Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran yang bakal bermula pada jam 10.30 pagi diadakan berhubung perlantikan Wahab sebagai Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar yang berkuatkuasa pada 3 Disember tahun lepas.

“Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran untuk beliau (Wahab) akan berlangsung di Kampung Kupang, Saratok pada tarikh dan masa yang telah dinyatakan.

“Justeru untuk menjayakan Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran ini pihak kami telah mendapat kerjasama daripada pihak Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal hadir sama pada majlis berkenaan,” menurut Kenyataan media dari Pejabat Penerangan Daerah Saratok.

Menerusi Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran ini, pihak PDRM akan mengadakan pameran disamping menyampaikan ceramah tentang hal ehwal pencegahan jenayah terhadap penduduk pada hari tersebut.

“Haji Wahab Aziz yang juga merangkap Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar akan mengadakan lawatan ke Pejabat FELCRA dekat sini sebelum berangkat ke Rumah Radin Apau, Kerupok, Sebetan untuk menghadiri Majlis Perasmian Pintu Gerbang di rumah panjang tersebut,” katanya.

Tamat....

Buaya hampiri Tebingan Sungai Sri Aman


TARIKAN...Kehadiran buaya sepanjang 1.5 meter di Sungai Batang Lupar Sri Aman telah menarik perhatian orang ramai yang berada di Taman Tebingan Sungai Sri Aman pada jam 5.45 petang pada hari Selasa lalu. Kehadiran buaya yang menghampiri kawasan tebing sungai dalam kawasan taman berkenaan amat jarang berlaku sebelum ini. Bagi orang yang berada di taman berkenaan pada waktu maka ia merupakan satu pengalaman manis buat mereka untuk menyaksikan reptilia ganas terbabit dari jarak dekat. Gambar ini merupakan sumbangan seorang kakitangan kerajaan iaitu Gloria Olin yang secara kebetulan berada di taman terbabit. - 28 Januari


27 January, 2010

Jangan ragui kedudukan politik saya - Rayong


Caption: PENGHARGAAN...Rayong (tengah) menerima cenderamata daripada Kumpang (kanan) sambil disaksikan oleh Nyalau (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.

ENGKILILI, Rabu (26 Jan) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa meminta penduduk dalam kawasan DUNnya untuk tidak meragui kedudukan beliau dalam politik menjelang pilihan raya negeri ini.

Ini kerana beliau telah berjuang untuk kebajikan hidup penduduk dalam kawasan DUNnya di bawah ‘payung’ kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini dan bukannya daripada pihak pembangkang.

“Buktinya cukup mudah. Saya telah mengumum dan menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada anda semua (penduduk DUN Engkilili) setelah menjadi wakil rakyat di sini pada tahun 2006 dahulu.

“Wakil rakyat bukan BN tidak akan mempunyai peruntukan seperti ini (MRP). Justeru diharap agar penduduk DUN Engkilili sedar bahawa saya telah berjuang bersama BN tanpa meragui kedudukan politik saya selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Lubok Antu bertempat di Rumah Dancon, Bua, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Selain itu katanya penyertaan beliau sebagai ‘rakan’ BN sebelum ini nyata membuahkan hasil apabila kerajaan menyalurkan banyak peruntukan bagi membangunkan kawasan DUN Engkilili.

Penduduk dalam kawasan DUN Engkilili menurut Rayong perlu menilai situasi ini dengan sedalam-dalamnya sebelum mereka bertindak menyokong kehadiran pembangkang menjelang pilihan raya negeri nanti.

“Lagipun sebelum ini penduduk DUN Engkilili mahu calon wakil rakyat yang terdiri daripada anak jati tempatan di sini dan bukannya calon wakil rakyat bukan anak tempatan sepertimana yang telah berlaku pada pilihan raya negeri yang sudah (sebelum 2006).

“Jika itu yang mereka mahu maka saya adalah pilihan terbaik. Saya berasal dari sini (Skrang, Engkilili) dan mereka boleh menyokong saya sebagai calon pilihan utama pada pilihan raya nanti,” katanya sambil menambah bahawa hanya BN sahaja yang boleh mengubah wajah pembangunan di Engkilili selepas ini.

Majlis terbabit telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak. Hadir sama ialah Penyelia KEMAS Kawasan Lubok Antu, Kumpang anak Datuk Tutong, para pegawai kerajaan, kakitangan KEMAS dan ketua kaum dari daerah ini.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit manakala RM3,000 kepada biro wanita mereka. KEMAS Lubok Antu turut diumum peruntukan bernilai RM3,000 daripada beliau pada majlis itu.

Tamat.





Caption:

1. PERSEDIAAN...Para kakitangan PPD Betong sedang mendengar taklimat sebelum bermulanya perlaksanaan Amalan 5S tersebut baru-baru ini.

2. KERJASAMA...Para kakitangan PPD Betong sedang melaksanakan kerja kebersihan ketika berlangsungnya perlaksanaan Amalan 5S terbabit.



Pix n story by Saleman Senin,
Pejabat Pelajaran Daerah Betong



BETONG, Rabu (26 Jan) - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Betong telah mengadakan Kempen Amalan 5S ((Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal) bertempat di pejabat pelajaran itu sendiri baru-baru ini.

Majlis yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menyaksikan semua kakitangan Pejabat Pelajaran Betong melakukan kerja membersihkan pejabat dan menyusun rapi segala dokumen bersesuaian dengan perlaksanaan amalan itu sendiri.

Walaupun Pejabat Pelajaran Betong telah melaksanakan Amalan 5S berkenaan semenjak tahun 2006 dan 2009 dahulu namun ia dilancarkan secara rasmi oleh Pegawai Pelajaran Daerah Betong, Mahli bin Rosli, bagi perlaksanaannya tahun ini.

Dengan adanya pelancaran tersebut, Amalan 5S terbabit telah dirancang dan tercatat dalam takwim jabatan disamping dijadikan sebagai satu aktiviti mingguan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Betong bermula tahun ini.

Mahli ketika melancarkan Amalan 5S ini menyarankan agar aktiviti tersebut dijadikan amalan tetap untuk sepanjang masa bagi semua kakitangan pejabatnya bukan sahaja ketika berlangsung aktiviti gotong-royong.

“Amalan 5S akan dilaksanakan di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Betong dan kita akan menyerapkan amalan tersebut terhadap semua sekolah-sekolah dalam daerah Betong ini.

“Berkat kerjasama daripada semua kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah Betong aktiviti yang dirancang (Amalan 5S) ini telah berjaya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh bagi tahun 2010,” katanya.

Justeru beliau berharap agar pelancaran Amalan 5S ini terus diamalkan oleh semua kakitangan Pejabat Pelajaran Betong untuk sepanjang masa dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah dalam daerah Betong.

Tamat.



Pejabat Kesihatan Sri Aman anjur kempen anti Denggi


Caption: UNTUK ALBUM...Para penduduk bergambar kenangan bersama kakitangan Pejabat Kesihatan Sri Aman ketika berlangsungnya program terbabit di Lubok Antu.


original story by Gabriel Alexis Kibes,
Pejabat Kesihatan Sri Aman.


LUBOK ANTU, Rabu (26 Jan) – Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman telah mengiatkan usahanya untuk membenteras penularan wabak penyakit Demam Denggi dan Chikungunya dikalangan penduduk dalam Bahagian Sri Aman.

Ia terbukti apabila Unit Promosi Kesihatan dan Unit Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor dari jabatan berkenaan telah mengadakan Program Penyakit Anti Denggi dan Chikugunya bertempat di Rumah Panjang Krangan Mong dan Sibau Rebah, Lubok Antu baru-baru ini.

Jurucakap penganjur ketika ditemui berkata program ini bertujuan untuk mendidik masyarakat terutamanya penduduk kampung mengenai bahaya penularan penyakit Demam Denggi dan Chikugunya pada masa sekarang.

“Selain itu program ini bertujuan bagi mengenalpasti serta menghapuskan tempat-tempat yang dipercayai mempunyai potensi untuk sarang utama pembiakan nyamuk Aedes yang menjadi punca terhadap penularan kedua-dua wabak terbabit,” katanya.

Bagi menjayakan program ini menurut beliau, pihaknya telah melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya ialah ceramah, pengedaran risalah dan poster mengenai bahaya penyakit Chikugunya dan Demam Denggi.

Malahan aktiviti gotong-royong menurut beliau juga telah diadakan bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di seluruh kawasan kedua-dua rumah panjang berkenaan.

“Justeru diharap agar program ini dapat menyedarkan masyarakat setempat mengenai bahaya penyakit demam Denggi dan Chikugunya selepas ini.

“Pihak kami juga yakin penduduk dari kedua-dua rumah panjang akan dapat mengetahui dan seterusnya memusnahkan sarang pembiakan nyamuk Aedes di kawasan yang telah dikenalpasti sebelum ini,” katanya.

Tamat.


Jangan perlekeh wakil rakyat BN - Nyalau.


Caption: RASMI...Nyalau sedang memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh Rayong (kanan beliau) ketika berlangsungnya majlis itu.

ENGKILILI, Rabu (26 Jan) – Penduduk diminta agar tidak memperlekehkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung hal projek pembangunan di kawasan masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Parlimen Lubok Antu bertempat di Rumah Dancon, Bua, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Katanya terdapat segelintir penduduk yang merajuk kerana mendakwa wakil rakyat BN kerajaan gagal menyalurkan projek pembangunan di kawasan mereka dan seterusnya mengugut untuk tidak menyokong BN selepas itu.

“Ini satu sikap yang tidak positif. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh wakil rakyat BN gagal menjalankan tugas mereka berhubung hal penyaluran projek dalam kawasan masing-masing.

“Penduduk perlu ingat bahawa kerajaan melaksanakan pelan pembangunan secara sistematik bagi menguntungkan semua penduduk dalam sesebuah kawasan dan ini menuntut kesabaran penduduk yang menantikan projek itu daripada pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu Nyalau menasihatkan anak-anak lepasan sekolah terutamanya dari rumah panjang atau kampung agar tidak tergopoh-gapah untuk berhijrah ke bandar bagi mencari pekerjaan baru selepas ini.

Tindakan mereka meninggalkan ibubapa di rumah panjang ini menurut beliau menyebabkan rumah panjang mereka kehilangan bakal penganti untuk membangunkan kawasan rumah panjang masing-masing di masa akan datang.

“Saya tidak bermaksud mahu menghalang anda untuk mencari kemajuan hidup di bandar. Namun bertindak demikian hanya kerana terpengaruh dengan kata rakan-rakan hanya menyebabkan rumah panjang mereka ‘kosong’ tanpa penghuni muda di masa akan datang.

“Justeru saya menasihat anak muda lepasan sekolah agar memikirkan sedalam-dalamnya sebelum berbuat demikian. Anda juga boleh hidup maju dikampung jika tahu caranya dan bukan sahaja di bandar,” menurut beliau.

Nyalau pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM15,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit manakala RM3,000 untuk biro wanita mereka.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Penyelia KEMAS Kawasan Lubok Antu, Kumpang anak Datuk Tutong, para pegawai kerajaan, kakitangan KEMAS dan ketua kaum dari daerah ini.

Tamat.


26 January, 2010

Pelajar SK Saint Lawrence diancam bahaya serangan Gamang (Tebuan)











Mugshot:

1.MANCINI
2.JEOFFERY TAWI

Caption:

1. BERBAHAYA...Beginilah rupa sarang serangga berkenaan ketika difokus dari jarak dekat dengan menggunakan lensa kamera digital.

2.BERISIKO...Anak panah menunjukkan kedudukan sarang terbabit di atas pokok yang terletak di perkarangan hadapan pagar sekolah terbabit.

SRI AMAN, Selasa (26 Jan) – Para murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Lawrence di Sabu, Sri Aman kini berdepan dengan ancaman bahaya serangan serangga berbisa semenjak sebulan yang lalu.

Ia ekoran wujudnya sarang serangga berbisa yang dikenali sebagai ‘Gamang’ iaitu sejenis spesis Tebuan di sebatang dahan pokok hadapan pintu pagar sekolah berkenaan dengan saiz ukuran sarangnya menjangkau 60 sentimeter panjang.

Dua orang pengawal keselamatan sekolah terbabit iaitu Jeoffery Tawi dan Mancini ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini menjelaskan bahawa sarang Gamang berkenaan sudah wujud di dahan pokok terbabit semenjak sebulan yang lepas.

“Semua pihak sedia maklum bahawa serangga berbisa berkenaan tidak akan menyerang manusia selagi koloni serangga terbabit tidak diganggu.

“Bagaimanapun perangai manusia sememangnya susah hendak dijangka. Kami bimbang sekiranya ada penduduk atau murid sekolah yang bertindak melastik sarang terbabit selepas ini sehingga menyebabkan serangan tindakbalas daripada serangga berkenaan,” katanya Jeoffery.

Kerana bimbang disebabkan oleh masalah keselamatan murid, penduduk menurut beliau telah bertindak menghubungi pihak bomba dan menunggu tindakan lanjut daripada mereka berhubung kewujudan sarang terbabit.

Pihaknya berharap agar sarang Gamang tersebut dapat dimusnah dari dahan pokok terbabit secepat mungkin sebelum ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menganggu sarang berkenaan selepas ini.

“Jadikan peristiwa kematian kanak-kanak akibat serangan Tebuan di Kuching pada tahun lepas sebagai ikthibar. Semua pihak tidak boleh menunggu adanya insiden serangan serangga ini tindakan mula diambil,” katanya.

Tamat.





Makmal mini rasuah politik hasil pendekatan benteras rasuah - Uggah


Caption: SIBUK...Uggah kelihatan sibuk mengendalikan dokumennya ketika berlangsung sesi dialog bersama penduduk Kampung Debak, Betong kelmarin.

DEBAK, Selasa (26 Jan) – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah anak Embas akan memberi jaminan bahawa beliau akan memberi sumbangan terhadap perlaksanaan Makmal Mini Rasuah Politik yang akan diwujudkan pada bulan hadapan.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala telah mengumumkan penubuhan makmal terbabit bagi memerangi gejala rasuah dikalangan ahli politik disamping mengkaji perlembagaan parti politik dalam negara untuk tujuan itu menjelang bulan hadapan.

“Sudah tentunya saya menyokong penuh penubuhan Makmal Mini Rasuah Politik. Atas sebab ini saya akan menyumbangkan usaha saya bagi menjayakan penubuhan makmal ini kelak,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian kepada para pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Dialog Antara Penduduk Kampung Debak dan Jabatan Pengairan dan Saliran Betong di Dewan Larkid, Debak, Betong kelmarin.

Dengan adanya sumbangan setiap Ahli Parlimen atau Menteri Kabinet terhadap penubuhan makmal terbabit kelak maka beliau yakin bahawa kerajaan akan berupaya merangka sebuah pendekatan baru bagi membenteras sebuah pendekatan baru berhubung masalah rasuah pada masa akan datang.

“Usaha ini mengambarkan keazamaan pihak kerajaan untuk membenteras gejala rasuah dan korupsi dikalangan ahli politik kita dari masa ke semasa. Justeru diharapkan agar penubuhan makmal mendapat sokongan daripada semua pihak selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja raya (JKR) Bahagian Betong, Richard Tajan, Pengurus Besar SACOFA, Haji Jemat Bujang, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari Kampung Debak, Betong.

Uggah menerusi sesi dialog itu telah mengumumkan peruntukan daripada pihak kerajaan bernilai RM2.6 juta bagi menjayakan perlaksanaan Projek Tebatan Banjir di situ sekarang.

Tamat.


25 January, 2010

RM2.6 juta untuk jayakan projek tebatan banjir di Debak - Uggah


Caption: PENERANGAN...Uggah (tengah) ketika berlangsungnya sesi dialoq bersama penduduk Kampung Debak, Betong di sini hari ini.

DEBAK, Isnin (25 Jan) – Masalah banjir yang sering melanda kawasan Debak, Betong akan dapat diatasi menjelang tahun hadapan apabila kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM2.6 juta bagi menjayakan perlaksanaan Projek Tebatan Banjir di situ sekarang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah anak Embas berkata daripada jumlah terbabit, sejumlah RM2 juta diperuntuk untuk membina benteng sepanjang 2.3 kilometer dan lapan buah pintu air (flood gate) di kawasan Sungai Batang Ribas sekarang.

“Kerajaan juga turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM600,000 untuk membina benteng dengan siaz panjang sama (2.3 kilometer) di kawasan bawah Kampung Debak.

“Dengan adanya dua buah projek yang kini sedang dilaksanakan di Kampung Debak maka pihak kerajaan berharap agar masalah banjir yang sering melanda penduduk di sini (Debak) akan dapat diatasi apabila ia dijangka siap menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Sesi Dialog Antara Penduduk Kampung Debak dan Jabatan Pengairan dan Saliran Betong di Dewan Larkid, Debak, Betong hari ini.

Selain itu kerajaan menurut Uggah juga telah meluluskan peruntukan bernilai RM200,000 bagi melaksanakan projek mendalamkan kawasan Sungai Bakong, Sungai Debak dan Sungai Ubar selepas ini.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin dalam menyelesaikan segala masalah yang bersangkut-paut dengan hal ehwal kebajikan penduduk selama ini,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan bersedia membayar pampasan tanah milik penduduk yang terlibat dalam projek itu selepas ini.

Hadir sama ialah Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja raya (JKR) Bahagian Betong, Richard Tajan, Pengurus Besar SACOFA, Haji Jemat Bujang, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari Kampung Debak, Betong.

Tamat.




DID perlu turun padang terang projek pembangunan terhadap penduduk - Uggah

DEBAK, Isnin (25 Jan) – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) disaran agar menjelaskan kepada rakyat tentang projek yang dilaksanakan oleh mereka dalam kawasan penduduk itu demi kelancaran perlaksanaan projek berkenaan selepas ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah anak Embas berkata penduduk perlu tahu secara terperinci tentang projek yang dilaksanakan oleh JPS dalam kawasan penempatan bagi mengelak daripada berlakunya sebarang pertikaian berhubung projek terbabit.

“JPS harus turun padang untuk menjelaskan kepada penduduk tentang perlaksanaan sesuatu projek itu agar mereka lebih faham tujuan serta fungsi projek itu terhadap hidup penduduk itu sendiri.

“Jika penduduk tidak dibawa berbincang dengan baik maka perlaksanaan projek itu boleh tergendala terutama sekali dari segi soal bayaran pampasan terhadap tanah atau harta benda yang terlibat dalam projek berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Sesi Dialog Antara Penduduk Kampung Debak dan Jabatan Pengairan dan Saliran Betong di Dewan Larkid, Debak, Betong hari ini.

Selain itu Uggah juga menekan aspek kerjasama di antara kerajaan dan penduduk ketika berlangsungnya sesebuah projek pembangunan di kawasan penempatan masing-masing selepas ini.

“Taraf hidup penduduk akan meningkat sekiranya projek itu berjaya dilaksanakan di kawasan masing-masing. Justeru saya menasihatkan semua penduduk untuk memberi kerjasama yang berterusan terhadap kerajaan sekiranya projek pembangunan dilaksana dalam kawasan mereka,” kata Uggah.

Hadir sama ialah Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja raya (JKR) Bahagian Betong, Richard Tajan, Pengurus Besar SACOFA, Haji Jemat Bujang, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari Kampung Debak, Betong.

Terdahulu kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM2.6 juta bagi menjayakan perlaksanaan Projek Tebatan Banjir di Kampung Debak, Betong.

Daripada jumlah terbabit, sejumlah RM2 juta diperuntuk untuk membina benteng sepanjang 2.3 kilometer dan lapan buah pintu air (flood gate) di kawasan Sungai Batang Ribas sekarang.

Tamat.

Rayong mahu pertahankan kerusi DUN Engkilili guna tiket BN


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

SRI AMAN, Isnin (25 Jan) – Dr Johnnical Rayong anak Ngipa menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili atas tiket Barisan Nasional (BN) sekiranya diberikan kepercayaan untuk berbuat demikian menjelang pilihan raya negeri kelak.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang bakal meletakkan calonnya untuk bertanding menentang calon BN di kawasan Engkilili dalam pilihan raya negeri akan datang.

Rayong telah mengistyiharkan dirinya sebagai rakan BN setelah berjaya menumpaskan Johnatan Krai Pilo dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) ketika bertanding di kerusi DUN Engkilili atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada pilihan raya tahun 2006.

“Saya tidak gentar terhadap mana-mana calon pembangkang mahupun bebas yang bakal bertanding dengan saya untuk merebut kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri akan datang.

“Untuk demikian saya telah pun menjelajah ke seluruh rumah panjang atau kampung dalam DUN Engkilili dan menyumbang Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada semua penduduk yang memerlukannya,” menurut beliau.

Dr Rayong sepertimana wakil rakyat BN lain turut mendapat peruntukan MRP daripada kerajaan BN untuk diagihkan kepada rakyat pilihan raya DUN Engkilili sebelum ini.

Selain itu beliau juga bersedia mengibarkan bendera daripada komponen parti BN dalam negeri ini demi mengenepikan calon pembangkang atau bebas di kawasan DUN Engkilili menjelang pilihan raya negeri ini.

Terdahulu Presiden SNAP, Edwin Dundang menyatakan hasratnya untuk meletakan calon bagi merebut kerusi kawasan DUN Layar dan Engkilili sambil mendakwa bahawa kerusi itu milik mereka.

PKR juga turut menyatakan hasratnya untuk meletakkan calon wanita di kawasan itu sambil menamakan Angela Jabeng yang merupakan isteri kepada Baginda Minda.

Baginda yang bekas ahli Parti Rakyat Sarawak juga pernah bertanding bertanding di DUN Engkilili atas tiket PKR pada pilhan raya negeri 2001 tetapi kecundang dengan hanya mendapat undi 156.
Tamat...


Penduduk Kampung Mumong, Simunjan minta kerajaan atasi banjir


Caption: MASALAH...Sebuah kenderaan sedang meredah banjir yang mulai surut di Kampung Batu Mumong baru-baru ini.

SIMUNJAN, Sabtu (23 Jan) – Penduduk dari Kampung Batu Mumong, Simunjan meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk menaiktaraf jalan dan sistem peparitan yang terdapat bermula dari kawasan penempatan mereka hingga ke Pejabat Daerah Simunjan selepas ini.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan di sini memberitahu bahawa rayuan ini dikemukakan berhubung kejadian banjir yang berlaku di kawasan penempatan mereka pada beberapa hari lepas.

“Kawasan penempatan kami dinaiki air banjir sehingga mencecah setengah meter baru-baru ini ekoran kejadian banjir yang disebabkan oleh faktor hujan lebat tanpa henti beberapa hari lepas.

“Ia disebabkan oleh sistem peparitan yang tidak berupaya menampung jumlah takungan air hujan disamping paras jalan raya yang lebih rendah dari paras peparitan itu sendiri,” katanya.

Kejadian banjir di Kampung Batu Mumong katanya menyebabkan kenderaan yang berulang-alik dari Pekan Simunjan terkandas disebabkan oleh faktor kedalaman air banjir tersebut.

Justeru beliau berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin dengan mengubahsuai sistem peparitan dan jalan raya yang terdapat di kawasan perkampungan berkenaan.

“Kami percaya masalah banjir di Kampung Batu Mumong akan dapat diatasi sekirang pihak berkuasa tempatan bertindak segera untuk mengubahsuai sistem peparitan yang baru selepas ini,” katanya.

Tamat.


Polis perlu lebih berdedikasi - Jusoh


Caption: RASMI...Mat Jusoh (empat kanan) sedang memukul 'bulu tangkis' SEBAGAI simbolik perasmian pertandingan sambil diperhatikan oleh Ang (kanan), Melay (dua kanan), Abdul Latiff (lima kanan), Rohana (tiga kiri) serta yang lain hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (23 Jan) – Anggota polis di bahagian Sri Aman dinasihat agar lebih dedikasi dan amanah ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang dalam kawasan ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata menerusi kedua-dua aspek ini tahap kes jenayah akan sentiasa dapat dikawal pada tahap yang rendah dari masa ke semasa dan seterusnya menjamin keselamatan hidup rakyat bagi kawasan bahagian Sri Aman.

“Salah satu cara untuk mengekang kenaikan kes jenayah ialah jika semua anggota polis melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang dengan lebih dedikasi dan amanah sepanjang masa.

“Walaupun usaha untuk menurunkan kadar kes jenayah bagi sesebuah kawasan bukannya mudah namun saya yakin bahawa penerapan kedua-dua sifat ini dikalangan anggota polis mampu menyumpang ke arah tahap keselamatan rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Pertandingan Badminton Tertutup Sri Aman sempena Peringatan Hari Polis Ke-203 anjuran Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sri Aman bertempat di Dewan Serbaguna IPD Sri Aman dekat sini hari ini.


Selain itu walaupun jumlah kes jenayah yang berlaku di sekitar bandar ini masih berada pada tahap yang rendah namun semua anggota kata Jusoh perlu sentiasa bersiap sedia untuk membenteras sebarang aktiviti jenayah dalam apa jua keadaan. "Kita mahu kawasan ini (Sri Aman) akan terus aman.


Justeru semua anggota dari bahagian pengurusan, siasatan jenayah dan unit-unit yang lain perlulah bekerjasama bagi menjayakan usaha terbabit,” menurut beliau.


Hadir sama ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sri Aman, ASP Sazali Latif, Ketua Bahagian Cawangan Khas IPD Sri Aman, ASP Melay Tinggom, Ketua Bahagian Pengurusan IPD Sri Aman, ASP Ang Peck Tuan, Pengerusi PERKEP IPD Sri Aman, Rohana Isnawi serta kakitangan polis yang lain.


Dalam pada itu, sebanyak 35 pasukan berentap dalam Regu Junior, 17 untuk Senior / Junior, 8 penyertaan untuk Regu Wanita, 16 penyertaan untuk Perseorangan Lelaki dan 16 penyertaan untuk Regu Campuran untuk pertandingan badminton yang bermula pada hari ini (23 Januari) hingga 24 Januari kelak.


Tamat.


Gimnasium Rakyat Sri Aman akan ditutup setiap hari Sabtu selepas ini

SRI AMAN, Sabtu (23 Jan) – Pusat Gimnasium Rakyat yang beroperasi di Rumah MAKSAK, dalam kawasan Jalan Kolam Air, Sri Aman akan ditutup pada setiap hari Sabtu mulai minggu hadapan.

Jurucakapnya ketika ditemui memberitahu bahawa penutupan Gimnasium Rakyat pada setiap hari Sabtu akan membolehkan para petugas untuk berehat dan melakukan lain-lain aktiviti bersama keluarga.

“Kebiasaannya Pusat Gimnasium Rakyat dibuka kepada semua penduduk dalam bandar ini pada setiap hari bermula dari jam 5 petang hingga 8 malam.

“Bagaimanapun bagi memberi laluan kepada para petugasnya untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga masing-masing maka pihak kami bercadang untuk menutup kemudahan terbabit pada setiap hari Sabtu mulai minggu hadapan,” katanya.

Oleh yang demikian Pusat Gimnasium Rakyat katanya akan beroperasi bermula hari Isnin hingga Jumaat dan disambung pula pada hari Ahad mengikut jadual waktu yang sama.

Terdahulu Pusat Gimnasium Rakyat yang mula beroperasi semenjak bulan Oktober tahun 2008 ini telah pun menarik puluhan orang pengunjung pada setiap hari yang terdiri daripada golongan belia dan warga dalam bandar ini.

Dengan bayaran kemasukan berjumlah RM1 seorang, setiap pengunjung Gimnasium Rakyat tidak akan dikenakan had masa untuk menggunakan sebarang peralatan yang disediakan dalam pusat kecergasan terbabit.

Tamat.



22 January, 2010

Penduduk Balai Ringin bijak memilih parti - Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Jumaat (22 Jan) – Penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin bijak memilih parti politik yang mampu memberikan pembangunan dalam kawasan mereka selepas ini.

Atas sebab itu wakil rakyatnya iaitu Snowdan anak Donald tidak gentar dengan pihak Parti KeAdilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini telah membayangkan bahawa mereka bakal menghantar Ibi Uding untuk bertanding di kerusi DUN Balai Ringin menjelang pilihanraya negeri akan datang.

“Penduduk dalam kawasan DUN Balai Ringin sudah tahu membezakan ‘yang mana intan dan yang mana kaca’ dari segi sumbangan pihak Barisan Nasional (BN) atau pihak pembangkang terhadap pembangunan taraf hidup mereka selama ini.

“Jika PKR menghantar calon maka penduduk sudah tahu mereka itu dari pihak parti pembangkang. Begitu juga dengan tanggapan penduduk terhadap calon dari Parti Demokratik Rakyat (DAP) atau Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) mahu berbuat demikian pada pilihanraya negeri kelak,” katanya.

Justeru beliau tidak kisah sekiranya pembangkang mahu menghantar calon mereka untuk bertanding di DUN Balai Ringin pada pilihanraya negeri kelak memandangkan penduduk sudah tahu bahawa hanya BN yang mampu melaksanakan pembangunan di kawasan mereka selama ini.

“Lagipun ia merupakan satu proses demokrasi. Semua orang mempunyai hak untuk bertanding bukan sahaja di kawasan saya malah di semua kawasan kerusi DUN yang ada dalam negara ini,” tambah beliau.

Selain itu Snowdan juga mahu penduduk dalam kawasan DUN Balai Ringin untuk melihat kesemua projek pembangunan bernilai jutaan ringgit yang telah disalurkan oleh kerajaan BN terhadap mereka selama ini.

Kesemua projek pembangunan terbabit terutamanya Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) menurut beliau adalah merupakan satu ‘hadiah’ terhadap penduduk DUN Balai Ringin yang setia menyokong BN selama ini.

“Penduduk dalam kawasan Balai Ringin terutamanya dari rumah panjang sudah mempunyai pemikiran yang bijak untuk memilih pemimpin mereka berbanding 30 atau 40 tahun yang lepas.

“Mereka tahu membezakan sumbangan BN dan pembangkang dalam pembangunan kehidupan masing-masing selama ini,” katanya.

Terdahulu Ketua Biro Politik Negeri, Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Baharuddin Dato Mokhsen sebelum ini berkata pihaknya akan menampilkan beberapa muka baru yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Muka-muka baru dari PKR yang dibayangkan bakal bertanding pada pilihan raya negeri akan datang ialah Ibi Uding (Balai Ringin), Richard Lias (Kanowit), Jemat Panjang (Lambir), Angela Labing (Engkilili) dan Frankie Bedindang (Hulu Rajang).

Tamat.


Dinner SK Pantu 29 Januari ini


Mugshot: LOUIS AOM

SRI AMAN, Jumaat (22 Jan) – Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu akan mengadakan Majlis Makan Malam 2010 bertempat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen P.202 Sri Aman di bangunan lot kedai baru, Pasar Lachau, Sri Aman pada 29 Januari ini.

Guru Besar SK Pantu, Louis Aom ketika ditemui berkata majlis yang akan bermula pada jam 7 malam itu bertujuan untuk mencari dana bagi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit selepas ini.

“Menerusi majlis itu, pihak sekolah juga berharap agar dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat terhadap pihak ibubapa demi mempertingkatkan prestasi akademik anak-anak selepas ini.

“Kita percaya hubungan erat di antara kedua-dua pihak (guru dan ibubapa) dapat mempertingkatkan prestasi akademik anak-anak selaras dengan matlamat negara untuk melahirkan golongan modal insan berkualiti di masa akan datang,” menurut beliau.

Selain itu majlis terbabit menurut Louis juga membolehkan pihak sekolah untuk menjalinkan hubungan lebih rapat dengan pihak wakil rakyat dan pegawai jabatan kerajaan yang bakal hadir pada majlis itu nanti.

Pihak wakil rakyat menurut beliau turut menyumbang peranan penting dalam membantu pihak sekolah untuk mempertingkatkan prestasi anak-anak dalam bidang akademik dan kokurikulum selepas ini.

“Justeru pihak kami telah menjemput Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan untuk hadir bagi memeriahkan suasana majlis tersebut,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sejumlah 40 buah meja telah ditempah bagi menjayakan Majlis Makan Malam SK Pantu 2010 yang bakal berlangsung pada tarikh berkenaan.

Tamat.


Terus sokong BN - Simoi


Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI

SRI AMAN, Khamis (21 Jan) - Penduduk di kawasan luar bandar sekitar daerah ini diminta untuk terus menyokong kerajaan yang diteraju oleh komponen parti Barisan Nasional (BN) negeri agar projek pembangunan dapat diteruskan untuk sepanjang masa.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata demikian ketika berucap ringkas pada sesi lawatan ke Rumah Suyong anak Nanang di Kampung Stumbin, Lingga baru-baru ini.

Katanya, sokongan terhadap teraju pemerintahan BN masa kini adalah amat penting memandangkan projek pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya terdapat kurang sokongan daripada para penduduk luar bandar.

“Tahap pembangunan Sarawak pada masa kini jauh lebih baik berbanding dengan negeri yang telah diperintah oleh pihak pembangkang dan ini seharusnya mendapat perhatian para penduduk akan betapa pentingnya sokongan mereka terhadap BN demi menikmati arus pembangunan yang berterusan,” katanya.

Sementara itu Simoi juga turut menasihatkan para ketua kaum khususnya para kanselor, kapitan, penghulu dan tuai rumah untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam memperkenalkan dasar kerajaan terhadap para penduduk tempatan sekitar daerah ini.

Para ketua kaum katanya harus sedar akan peranan diri masing-masing memandangkan mereka adalah sebuah saluran penting yang mampu menghubungkan kerajaan dan para penduduk tempatan pada masa kini.

“Mereka haruslah melaksanakan peranan diri masing-masing dengan lebih baik demi membolehkan penduduk yakin terhadap usaha kerajaan dalam mempertingkatkan taraf hidup mereka di masa yang akan datang,” katanya.


Terdahulu Simoi turut menyampaikan cek berupa geran peruntukan kerajaan berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit.


Selain itu, Simoi turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM2,000 kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan. Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumniputera Bersatu (PBB) N.23 Lingga, Zamahari Morshidi, Ketua Wanita PBB N.23 Lingga, Balkis Abdul Wahid, Kaunselor Mas Shamsiah Haji Maslem serta ahli Jawatankuasa PBB yang lain.


Tamat.


80 penduduk sertai program Nur Bestari di Kampung Pangkat

SRI AMAN, Khamis (21 Jan) - Seramai 80 orang penduduk dari Kampung Pangkat dan Kampung Tanjung Bijat, Sri Aman telah menyertai Program Nur Bestari bertempat di Surau Riadhus Solihin, Kampung Pangkat, Sri Aman baru-baru ini.
Program anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Sri Aman yang membabitkan 80 orang peserta itu telah bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir sekitar jam 2 petang.
Pengerusi MPWK Parlimen Sri Aman, Kaunselor Mas Shamsiah Haji Maslem berkata tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memantapkan lagi institusi kekeluargaan disamping untuk merapatkan lagi hubungan antara isteri dengan suami serta anak-anak dalam sesebuah keluarga terbabit.
“Institusi kekeluargaan yang kukuh amat penting dalam melahirkan golongan anak-anak yang cemerlang dan berguna untuk pembangunan negara kita pada masa akan datang.
“Justeru diharap agar program ini dapat dijadikan sebagai platform untuk memperkukuhkan lagi sesebuah institusi kekeluargaan dalam daerah ini pada masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut selaku mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.
Selain itu beliau juga turut menambah bahawa Program Nur Bestari anjuran MPWK Parlimen Sri Aman ini juga merupakan salah satu daripada program MPWK Negeri Sarawak yang seringkali dianjurkan pada setiap tahun. Program Nur Bestari yang berlangsung di Surau Riadhus Solihin itu telah dijayakan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zulhelmi Bohari dari Tabung Bailtulmal Sarawak.
Tamat.

Jabatan Kebajikan hulur bantuan kepada mangsa boyak.


Caption: PRIHATIN...Ranimah (kanan) menyerahkan cek bantuan kepada Selin (kiri) sambil disaksikan Rohana (kanan sekali) dan anak mangsa baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (21 Jan) – Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman telah tampil untuk membantu tiga mangsa serangan buaya yang berlaku dari sekitar kawasan Bahagian Sri Aman baru-baru ini.

Tiga mangsa serangan buaya yang menerima bantuan berupa cek kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat terbabit ialah Abang Marais Abang Adeng, 62, dari kawasan Lingga, Chee Joon Meng, 75, dari kawasan Engkilili dan mendiang Debeline anak Nyambong, 48, dari kawasan Skrang.

Kesemua cek bantuan kewangan berkenaan telah disampaikan sendiri oleh Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah binti Wan Hashim sambil disaksikan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Sri Aman, Rohana Isnawi.

Kesemua mangsa serangan buaya hadir bagi menerima cek bantuan terbabit pada majlis tersebut kecuali bagi mendiang Debeline yang diwakili oleh isterinya iaitu Selin anak Mandau.

Terdahulu mendiang Debeline maut dibaham buaya pada 30 September tahun lepas ketika sedang mandi bersama isteri dan anak perempuannya di Sungai Skrang pada waktu menjelang tengahari tarikh tersebut.

Manakala itu Abang Marais dari Kampung Tengah, Lingga pula nyaris maut apabila seekor buaya menyerang beliau dari arah belakang ketika cuba menunda perahu ke kawasan lebih tinggi di tebing Sungai Batang Lupar, Sri Aman.

Mangsa yang mempunyai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang perempuan itu mengalami kecederaan bahagian tengkuk, bahagian lengan dan telinga bahagian kanan itu mendapat rawatan di Hospital Bahagian Sri Aman.

Tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat menghulurkan bantuan kepada mangsa serangan buaya terbabit menunjukkan bahawa kerajaan prihatin terhadap rakyat yang ditimpa nasib malang dalam negeri ini.

Tamat.


20 January, 2010

Jangan terlalu berkira - Rayong


Caption: UNTUK ALBUM...Rayong (duduk kiri) bersama penduduk, kakitangan SESCO dan Shorefield bergambar kenangan sebaik sahaja selesai sesi dialog terbabit.

ENGKILILI, Rabu (20 Jan) – Rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dinasihatkan agar tidak bersikap terlalu ‘cerewet’ sekiranya sebahagian kecil kawasan tanah mereka digunakan oleh kerajaan bagi menyokong projek pembangunan di kawasan mereka selepas ini.

Wakil rakyatnya, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata terdapat rakyat yang naik berang apabila sebahagian kecil kawasan tanah mereka digunakan oleh kerajaan sebagai sokongan untuk menjayakan projek pembangunan dalam kawasan masing-masing sebelum ini.

“Sebaliknya rakyat harus bersyukur dengan bakal faedah yang mereka akan terima selepas itu nanti. Jangan terlalu cerewat sekiranya sebilangan kecil pokok tanaman anda dimusnahkan untuk memberi laluan kepada kerajaan bagi menjayakan projek pembangunan di kawasan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog antara Shorefield dan SESCO dengan penduduk Rumah Lait, Tekalong Ili, Bangat Skrang, dalam daerah kecil Engkilili di sini hari ini.

Selain itu Rayong juga menasihatkan rakyat agar tidak terlalu mengutamakan hal tuntutan pampasan terhadap sebilangan kecil tanah yang digunakan untuk tujuan sokongan projek pembangunan di kawasan masing-masing selepas ini.

“Pembinaan tiang elektrik di tepi jalan misalnya mungkin memerlukan kerajaan untuk meratakan sebilangan kecil kawasan tanah milik penduduk demi menjayakan projek berkenaan.

“Jikalau hal itu pun menyebabkan pemilik tanahnya mahu menuntut pampasan maka ia bererti bahawa dirinya sendiri tidak pernah menghargai dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan untuk menaiktaraf hidup mereka selepas itu,” menurut Rayong.

Terdahulu kerajaan telah memulakan projek penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bernilai RM2 juta terhadap 700 orang penduduk dari enam buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah dalam kawasan DUN Engkilili.

Enam buah rumah panjang terbabit adalah Rumah Lait Tekalong Ili, Rumah Leonard Tekalong Ulu, Rumah Bulie Lidong Pandak, Rumah Maringar Lidong Belake, Rumah Giae Lidon, Rumah Gimang Lidong dan SK Nanga Lidong.

Rayong bersama Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak juga akan memberikan wang pendahuluan bernilai RM80 sekeluarga menerusi bayaran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk kesemua 59 buah keluarga dari enam buah rumah panjang terbabit.


Tamat.

Pembinaan jambatan di Pantu tepis dakwaan pembangkang - Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

PANTU, Rabu (20 Jan) – Pembinaan Jambatan Batang Strap yang menelan kos bernilai RM20.4 juta bermula 9 November tahun lepas di daerah kecil Pantu, Sri Aman sekaligus menepis dakwaan pembangkang yang menuduh kerajaan mengabaikan pembangunan di kawasan luar bandar selama ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan berkata pembinaan jambatan di Sungai Batang Strap pernah menjadi isu pihak pembangkang sebelum ini sehingga menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional sebelum ini.

“Ia terbukti apabila sokongan rakyat terhadap kerajaan BN di kawasan Ulu Sebuyau dan seberang Sungai Batang Strap, Pantu merosot pada pilihan raya DUN (2006) dan juga parlimen (2008) sebelum ini.

“Justeru apabila saya mula menjadi ADUN di sini bermula tahun 2006 dahulu, saya telah bertindak segera untuk menyelesaikan isu terbabit sehingga akhirnya kerajaan berjaya membina Jambatan Batang Strap sepanjang 182.4 meter dengan kos bernilai RM20.4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bagi Pembinaan Jambatan Batang Strap dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud kelmarin.

Pembinaan jambatan terbabit menurut beliau membuktikan bahawa kerajaan BN serius dalam melaksanakan kerja menaiktaraf hidup rakyat dalam negeri ini khususnya di DUN Balai Ringin.

“Jambatan ini bakal menghubungkan semua 23 buah rumah panjang dengan 4,000 orang rakyat dan empat buah sekolah yang terdapat di seberang Sungai Batang Strap ke Pekan Pantu bermula 1 Februari tahun hadapan.

“Faedahnya ialah sistem jalan raya menerusi jambatan ini akan membuka lebih banyak lagi kawasan bagi sektor perladangan dan pertanian disampingkan memudahkan rakyat membawa hasil pertanian mereka ke Pekan Pantu dan ke pusat bandar dalam negeri ini,” katanya.

Oleh itu Snowdan merakamkan penghargaannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud kerana telah merealisasikan aspirasi rakyat di Pantu dalam DUN Balai Ringin.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin anak Jaong, Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, para menteri muda, ahli parlimen, ketua kaum dan penduduk dalam kawasan Pantu.

Tamat.


Kerajaan target kawasan pedalaman dibangun menjelang akhir RMK10 - Manyin


Caption: SEDIA...Manyin (hadpaan), Jabu (kanan beliau) dan Snowdan (baju putih) ketika mengiringi persediaan Taib (dalam jengkaut) untuk majlis pecah tanah di Pantu kelmarin.

PANTU, Rabu (20 Jan) – Kerajaan berharap agar sistem perhubungan dalam seluruh kawasan negeri Sarawak dapat diwujudkan sepenuhnya menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) ini nanti.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin anak Jaong berkata ia disebabkan masih wujudnya jurang besar di antara kawasan dalam dan luar bandar negeri ini dari segi penyediaan jaringan sistem perhubungan terhadap penduduk.

“Sekurang-kurangnya kerajaan mahu semua penempatan penduduk di kawasan luar bandar dalam negeri ini mempunyai rangkaian sistem perhubungan terutamanya jalan raya walaupun ia tidak berturap menjelang akhir RMK10 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Majlis Pecah Tanah Bagi Pembinaan Jambatan Batang Strap dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman kelmarin yang disempurnakan oleh Ketua Menteri iaitu Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Selain itu kerajaan menurut Manyin juga kini memberikan tumpuan terhadap projek pembangunan di seluruh kawasan luar bandar dalam negeri ini sebelum Malaysia taraf negara maju dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Hakikatnya kita masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan dalam kawasan bandar negeri ini walaupun Sarawak negeri ke-3 terbaik dari segi pembangunan di Malaysia berbanding lain-lain negeri.

“Atas sebab ini kerajaan memberi fokus utama terhadap projek pembangunan di kawasan luar bandar menerusi RMK9 dan RMK10 demi kebaikan penduduk bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan, para menteri muda, ahli parlimen, ketua kaum dan penduduk dalam kawasan Pantu.

Terdahulu kerajaan telah membina jambatan sepanjang 182.4 meter dengan kos bernilai RM20.4 juta bermula 9 November tahun lepas dan dijangka siap menjelang 2 Februari tahun hadapan.

Tamat.


Ahli Majlis Daerah Saratok angkat sumpah


Caption: KENANGAN...Peter (tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para ahli Majlis Daerah Saratok kelmarin. Turut kelihatan ialah Jelaing (tiga dari kiri), Wahab (tiga dari kanan), Penguang (dua dari kiri), Romie (dua dari kanan), Daniel (kiri) dan Ignatius (kanan).


SARATOK, Rabu (20 Jan) - Seramai 25 orang ahli Majlis Daerah Saratok (MDS) telah mengangkat sumpah sebagai Kaunselor Majlis Daerah Saratok (MDS) bertempat Bilik Mesyuarat, Perpustakaan Awam Majlis Daerah Saratok (MDS) kelmarin.


Majlis tersebut telah disaksikan oleh Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang dan Koperasi), Datuk Peter Nyarok Entrie yang merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut.


Selain itu, hadir sama menyaksikan ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat dan Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Haji Abdul Wahab Aziz.


Mendahului Majlis Angkat Sumpah berkenaan ialah Pegawai Daerah Saratok, Daniel Supit sebagai Pengerusi Majlis Daerah Saratok bagi sesi 2010-2011 manakala Timbalan Pengerusi ialah Albert Bejie Ajit.


Pada majlis tersebut, Ahli-ahli Majlis yang telah tamat tempoh lantikan juga menerima sijil penghargaan. Selain itu, turut disampaikan ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2006, 2007 dan 2008 kepada kakitangan MDS.


Turut menerima sijil penghargaan ialah sebanyak 136 buah rumah panjang yang telah berjaya membayar cukai 100 peratus pada tahun 2009.


Rumah panjang tersebut ialah rumah panjang kawasan jagaan Kr. Albert Beji, Kr Amit Gelayang, Kr Thomas Lamit yang terdiri daripada tujuh buah rumah panjang, kawasan jagaan Kr Insol Untang dan Kr Mathew Jingan Bungin sebanyak 17 buah rumah panjang, Kr Uju Empat (sembilan buah), Kr Saat Genda, Kr Anyum Kinyeh dan Kr Jaga Edi (21 buah), KR Sabai Raseh dan Kr Dickson Chendang Assan (sembilan buah), Kr Andrew Rajau Ansam dan Kr Munan Sabang (37 buah), Kr Sulang Ganing dan Kr Stephen Gura (29 buah) dan Kr Roland Angking (enam buah).


Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Setiausaha Tetap Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Dr Penguang Manggil, Setiausaha MDS, Ignatius Jinnie Bunyau, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.


Tamat