Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 September, 2009

Jenazah mangsa baham buaya disemadi pada Sabtu ini


Caption: SIMPATI...Jenazah mendiang Debeline akan diberi penghormatan terakhir oleh para penduduk rumah panjang di kediamannya (gambar) pada malam esok (Jumaat).

SKRANG, Khamis (1 Okt) – Jenazah mendiang Debeline anak Nyambong yang maut dibaham buaya di Sungai Skrang kelmarin akan disemadikan di Tanah Perkuburun Rumah Dakun, Rembai, Skrang pada hari Sabtu ini.

Menurut saudara mangsa, jenazah mendiang Debeline ini telah dihantar ke kediamannya pada jam 7 malam tadi setelah mayatnya dibedah siasat di Hospital Bahagian Betong berhubung kes baham buaya terbabit.

“Jenazah mendiang akan melalui upacara penghormatan terakhir (nyengaie) di rumahnya sendiri pada malam esok sebelum dikuburkan di tanah perkuburan rumah panjang terbabit pada pagi hari Sabtu ini,” katanya.

Debeline, 50, meninggalkan seorang balu, empat orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan dalam kejadian malang berkenaan. Dua orang anak lelaki mangsa kini berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Terdahulu mangsa iaitu Debeline anak Nyambong adalah merupakan mangsa pertama kes baham buaya yang dicatatkan berlaku di Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong untuk tahun ini.

Mendiang maut ketika sedang mandi bersama isteri dan anak perempuannya di sungai terbabit sebelum kakinya ditangkap oleh reptilia ganas berkenaan ke dasar sungai berkenaan.

Mangsa dipercayai sempat berteriak kepada isterinya agar tidak datang membantu dengan menyebut: Jangan bantu saya...saya hampir mati sebab ada benda (buaya) menarik saya ke dalam sungai.

Kali terakhir kes kematian penduduk yang diakibatkan oleh serangan buaya sebelum ini telah dicatatkan berlaku Sungai Serurai, Batang Saribas, Betong pada 3 Jun 2008 apabila Rudy Semion Ng, 22, mati dibaham buaya ketika menjala udang di sungai tersebut.

Tamat.


Dinner wanita PRS di Dwn Suarah 3 Okt ini

SRI AMAN, Khamis (1 Okt) – Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan mengadakan Majlis Makan Malam bertempat di Dewan Suarah Sri Aman pada 3 Oktober ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha PRS Pusat, majlis makan malam itu nanti bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan di antara ahli parti Barisan Nasional (BN) berkenaan.

“Majlis makan malam itu nanti akan diserikan dengan pelbagai persembahan hiburan dan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah keperluan rumah yang menarik terhadap hadirin pada majlis terbabit.

“Sejumlah 90 buah meja makan malam akan disediakan pada malam itu. Justeru mereka yang berminat boleh menghubungi Lucy Kalong menerusi talian telefon 013-5778346 atau Gawai di talian 082-488331,” katanya.

Majlis Makan Malam Pergerakan Wanita PRS di Dewan Suarah Sri Aman ini nanti akan bermula pada jam 7 malam dengan tempahan bernilai RM250 untuk sebuah meja atau RM25 untuk satu tiket penyertaan majlis.

Presiden PRS merangkap Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing bersama isteri akan hadir bagi merasmikan majlis makan malam di dewan terbabit pada tarikh yang dinyatakan.

“Majlis makan malam ini juga akan dihadiri oleh semua menteri, wakil rakyat, ahli majlis tertinggi, ahli pergerakan wanita dan exco pemuda daripada PRS itu sendiri.

“Maka diharap agar majlis makan malam ini nanti dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih kukuh dikalangan ahli parti pada masa akan datang,” menurut kenyataan tersebut.

Tamat.

Warga emas mati dibaham buaya di sungai skrang







Caption:

1.MALANG...Gambar mangsa iaitu Debeline yang mati dibaham buaya di Sungai Skrang hari ini.




2.AIR YANG TENANG JANGAN DISANGKA TIADA BUAYA...Gambar menunjukkan lokasi penemuan mayat Debeline yang mati disambar buaya di Sungai Skrang hari ini.

SKRANG, Rabu (30 sept) – Seorang penduduk warga emas mati dibaham buaya ketika sedang mandi di Sungai Skrang dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad ketika dihubungi berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian ini dikenali iaitu Debeline anak Nyambong, 50, dari Pengkalan Rumah Dukun, Rembai, Skrang.

“Polis terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebaik sahaja laporan mengenai kejadian tersebut dibuat oleh penduduk di balai polis yang berdekatan.

“Menerusi operasi tersebut pihak polis akhirnya berjaya menemui mayat mangsa dalam sungai yang tidak jauh dari lokasi kejadian terbabit pada jam 1 petang,” katanya sambil menambah bahawa terdapat kesan robekan di bahagian perut dan kesan gigitan luka di paha mangsa.

Mayat mangsa kata Jusoh kemudiannya dihantar ke Hospital Bahagian Betong untuk bedah siasat dan polis akan merujuk kejadian serangan buaya terbabit kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak bagi tujuan tindakan lanjut.

Sementara itu seorang penduduk wanita dari rumah panjang terbabit ketika dihubungi Utusan Sarawak memberitahu bahawa mangsa sedang mandi dengan isteri dan anak perempuannya sebelum berlaku kejadian tersebut.

“Ketika sedang mandi, mangsa dipercayai tiba-tiba berteriak dan memberitahu isteri serta anaknya bahawa ada sesuatu benda yang cuba menarik dirinya masuk ke dalam dasar sungai berkenaan.

“Bagaimanapun apabila si isteri datang membantu mangsa kemudiannya berteriak kepada isterinya agar tidak datang membantu dengan menyebut: Jangan bantu saya...saya hampir mati sebab ada benda (buaya) menarik saya ke dalam sungai,” menurut beliau.

Mangsa iaitu Debeline tambah penduduk itu telah berkelakuan pelik pada hari ini apabila mangsa dikatakan makan sebanyak dua kali bermula pagi hari ini sebelum disambar buaya pada kejadian tersebut.

Tamat.




Jangan dengar cakap 'langau' kata Jabu


Caption: SELAMAT DATANG...Kedatangan Jabu disambut oleh penduduk ketika tiba untuk merasmikan majlis di sini hari ini.

BETONG, Rabu (30 Sept) – Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang melabelkan pihak pembangkang sebagai ‘langau’ (lalat) yang gemar menganggu dan menghasut pemikiran penduduk dalam negeri ini.

Menurut beliau golongan terbabit acapkalinya akan ‘hinggap’ pada penduduk terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar untuk menghasut mereka agar membenci kerajaan yang kini diteraju oleh komponen parti Barisan Nasional (BN).

“Mereka tidak senang terhadap status BN sebagai pejuang kebajikan hidup penduduk dalam negeri ini. Justeru mereka akan menjadi ‘langau’ dan hinggap pada penduduk yang mereka rasa mudah diekploitasi untuk kepentingan politik mereka semata-mata,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Peter / Paul, Nanga Buai, Padeh, Betong di sini hari ini.

Disebabkan oleh sikap pembangkang yang gemar menjadi ‘langau’ di negeri ini maka Jabu menasihatkan penduduk luar bandar agar berhati-hati ketika mendengar segala tohmahan daripada pihak terbabit selepas ini.

“Jika penduduk masih dahagakan pembangunan daripada kerajaan BN Negeri maka sekaranglah masanya buat mereka untuk menolak segala dakwaan palsu daripada pihak berkenaan.

“Tindakan menyokong pihak pembangkang ini menyebabkan masa depan pembangunan penduduk itu sendiri tergugat dan sebaliknya memberikan keuntungan politik kepada pihak itu sendiri,” katanya.

Justeru Jabu menasihatkan penduduk agar sentiasa berdiri teguh di belakang kerajaan BN Negeri agar projek pembangunan yang sedia ada sekarang masih dapat dilaksanakan dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong, Romie Sigan Daniel, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat.


29 September, 2009

Program penempatan pekerja di Dwn Suarah 10 dan 11 Oktober ini!!

SRI AMAN, Rabu (30 Sept) – Berita baik untuk belia di Bahagian Sri Aman. Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Kementerian Sumber Manusia akan menganjurkan Program Penempatan Pekerjaan bertempat di Dewan Suarah Sri Aman pada 10 dan 11 Oktober ini.

Menerusi faks yang diterima hari ini Program Penempatan Pekerjaan pada tarikh itu nanti bertujuan memberi peluang kepada para pencari kerja dari sekitar Sri Aman untuk mengintai peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi program terbabit.

“Program Penempatan Pekerjaan secara tidak langsung mewujudkan satu pentas yang bakal menemukan para pencari pekerja dari sekitar daerah Sri Aman terhadap para majikan yang ingin menawarkan peluang kerja terhadap mereka.

“Untuk itu pihak kami telah menjemput sejumlah 19 buah syarikat swasta, institusi dan jabatan kerajaan untuk membuka kaunter pameran masing-masing di Dewan Suarah Sri Aman ketika berlangsungnya Program Penempatan Pekerjaan ini kelak,” menurut kenyataan faks berkenaan.

Antara aktiviti yang bakal dijalankan pada program itu nanti adalah pendaftaran diri secara on-line menerusi laman web www.jobmalaysia.gov.my, pengambilan dan temuduga terbuka oleh majikan yang terlibat, sesi kaunseling dan bimbingan kerjaya dan sesi penerangan tentang undang-undang perburuhan.

“Justeru belia yang berminat boleh hadir pada program itu nanti akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang pada 10 Oktober dan 8.30 pagi hingga 2.30 petang untuk 11 Oktober.

“Para pencari pekerja dari sekitar Bahagian Sri Aman tanpa mengira latar belakang pendidikan diharap agar tidak melepaskan peluang masing-masing untuk mencari kerjaya baru menerusi program ini nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat akan hadir ke Dewan Suarah Sri Aman pada 10 Oktober ini bagi merasmikan Program Penempatan Pekerjaan itu nanti.

Terdahulu Program Penempatan Pekerjaan adalah merupakan program kedua di bandar ini selepas penganjuran Pesta Kerja yang buat pertama kalinya diadakan oleh Jabatan Tenaga Rakyat Bahagian Sri Aman pada 3 November tahun 2007.

Tamat.

PRS wanita anjur bengkel bina semangat pada 3 Oktober ini

Original fact by Edwin Raoh

SRI AMAN, Rabu (30 sept) – Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Pusat akan menganjurkan Seminar dan Bengkel Bina Semangat bertempat di Dewan Suarah Sri Aman pada 3 Oktober ini.

Jurucakap penganjur ketika dihubungi berkata dengan bertemakan Ke Arah Memantapkan Di Antara Generasi, Bengkel Bina Semangat di Dewan Suarah Sri Aman ini nanti akan bermula dari jam 8 pagi hingga ke jam 2.45 petang.

“Peserta dalam Bengkel Bina Semangat di Dewan Suarah Sri Aman ini kelak akan mencakupi kesemua ahli pergerakan wanita PRS termasuk anak-anak mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas.

“Tujuannya adalah untuk mempertingkat kemahiran komunikasi, kemahiran peribadi, kesedaran terhadap kepentingan hubungan keakraban, tingkat kefahaman dikalangan peserta berlainan umur, menyemai sikap hormat-menghormati terhadap kaum dan agama serta memperkukuhkan kestabilan politik dalam negeri ini,” katanya.

Menerusi bayaran yuran berjumlah RM10 seorang, Bengkel Bina Semangat itu nanti menurut beliau akan berlangsung dalam tiga buah sesi iaitu: Prinsip Asas Kemahiran Peribadi (sesi 1) , Pemimpin Belia Hari Ini (sesi 2) serta Kesusahan, Kepelbagaian dan Penyatuan.

Sesi pertama bertajuk Prinsip Asas Kemahiran Peribadi yang akan bermula dari jam 8.15 pagi hingga 11.30 pagi ini menurutnya akan dikendalikan oleh Ketua Pergerakan Wanita PRS iaitu Doris Sophia Brodie.

“Manakala sesi kedua bertajuk Pemimpin Belia Hari Ini yang akan bermula dari jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengahari itu akan dikendalikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda PRS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan iaitu Mong anak Dagang.

“Kemuncak sesi bengkel ini iaitu Kesusahan, Kepelbagaian dan Penyatuan bakal diserikan lagi dengan kehadiran Presiden PRS merangkap Menteri Kemajuan Tanah iaitu Dato Sri Dr James Jemut Masing pada jam 1.30 petang,” katanya sambil menambah bahawa sesi pendaftaran peserta akan diadakan pada jam 7.30 pagi.

Sarapan pagi dan makan tengahari akan disediakan kepada semua peserta yang terlibat. Justeru mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang bengkel ini boleh menghubungi Pejabat Pusat Setiausaha PRS menerusi talian 082-488331.

Tamat.

Jangan buang sampah dalam parit - kata Mong kepada penduduk Tanjung Bijat


Caption: SELAMAT HARI RAYA…..Mong (tengah) dan Masir (dua kiri) bergambar bersama penduduk setempat semasa tiba dalam majlis itu.

SRI AMAN, Selasa (29 sept) – Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Begunan, Mong anak Dagang menasihatkan penduduk di kampung Tanjung Bijat supaya tidak membuang sampah-sarap sesuka hati ke dalam sistem peparitan yang berdekatan.

Beliau berkata demikian ekoran aduan yang diterima olehnya berhubung tindakan penduduk yang gemar membuang sampah ke dalam parit sehingga menyebabkan sistem peparitan di situ tersumbat.

“Tindakan penduduk kampung Tanjung Bijat yang suka membuang sampah secara sesuka hati di kawasan parit boleh menyebabkan berlakunya bencana banjir di kawasan itu serta di kawasan yang lain.

“Justeru saya menasihatkan agar penduduk dalam kawasan Tanjung Bijat berhenti berbuat demikian sebelum berlakunya banjir besar akibat longgokan sampah sarap di parit hasil tindakan mereka sendiri,” menurut beliau.

Mong berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2009 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu, Tanjung Bijat Sri Aman di Dewan Serbaguna di sini pada Ahad lalu..

Selain itu beliau juga menasihatkan penduduk kampung Tanjung Bijat agar membuang sampah ke tempat pembuangan kawasan yang ditetapkan demi menjaga kebersihan alam sekitar dalam kawasan masing-masing.

Terdahulu Mong pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada JKKK Kampung Melayu Tanjung Bijat.

Manakala Masir yang turut hadir pada majlis berkenaan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada jawatankuasa masjid kampung berkenaan.

Tamat.


28 September, 2009

Saya tidak lagi dalam PKR - Agnes Chendu


Mugshot: SOKONG BN...Agnes Chendu ketika ditemui pemberita hari ini berhubung isu PKR.

SRI AMAN, Selasa (29 sept) – Agnes Chendu anak Daud hari ini menafikan bahawa beliau masih lagi berada dalam Parti KeAdilan Rakyat (PKR) selepas berakhirnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 4 April lalu.

Beliau berkata demikian kepada media apabila mendapati nama beliau tersenarai dalam rombongan Ketua Pergerakan Wanita PKR iaitu Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin ke Rumah Irak, Merindun Skrang, Engkilili sepertimana yang disiarkan dalam akhbar tempatan hari ini.

“Saya langsung tidak menyertai rombongan terbabit. Ini kerana saya telah meletak jawatan sebagai Ketua Pergerakan PKR Lubok Antu dan keluar dari parti pembangkang terbabit setelah berakhirnya pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada bulan April lalu.

“Perjuangan saya dalam PKR nyata sia-sia selama ini memandangkan pihak pembangkang terbabit kerap meluahkan janji palsu kepada saya dan penduduk namun tidak pernah ditunaikan,” menurut beliau.

Agnes yang kini berjuang ‘tanpa parti’ untuk penduduk Lubok Antu telah menyatakan kesediaannya untuk menyokong parti komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya terhadap Ahli Parlimen di situ iaitu William Nyalau anak Badak.

“Saya juga menyatakan kesediaan diri untuk menyokong sepenuhnya perjuangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai iaitu Malcom Mussen anak Lamoh dan ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

“Bagaimanapun berilah masa kepada saya untuk memilih penyertaan dalam mana-mana komponen parti BN selepas ini,” katanya.

Terdahulu Agnes yang menjemput pihak media untuk hadir ke rumah panjang di Selindung Ulu, Engkilili telah membuat kenyataan ini sambil disaksikan oleh ketua kaum di situ iaitu Kanselor Roy Edward Entalai.

“Ini adalah pengakuan ikhlas yang saya buat dihadapan anda (media) dan di hadapan Tuai Rumah saya di rumah panjang ini iaitu Kanselor Roy Edward Entalai...justeru diharap penduduk di sini tidak lagi memikirkan saya masih berada dalam PKR,” tambah beliau.

Sementara itu Kanselor Roy menyifatkan tindakan bekas Ketua Pergerakan Wanita PKR Lubok Antu untuk keluar dari parti pembangkang berkenaan sebagai langkah bijak bagi membersihkan nama rumah panjangnya di sini.

Jawatan Ketua Pergerakan Wanita PKR Lubok Antu yang dikosongkan oleh Agnes Chendu Daud semenjak pilihan raya kecil lalu kini telah diisi oleh Angela anak Jabing yang merupakan isteri kepada Beginda Minda.

Tamat.

Lapan langkah untuk pacu pertanian di Sri Aman - Masir


Caption: PENERANGAN...Masir (kiri) dan Isa (kanan) ketika berlangsungnya mesyuarat penubuhan MPPP Sarawak kawasan Sri Aman di sini hari ini.

SRI AMAN, Selasa (29 Sept) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat telah membariskan lapan buah langkah untuk mempertingkatkan industri pertanian dikalangan penduduk dalam kawasan Sri Aman ini.

Lapan buah langkah ini ialah projek penanaman komersial, penanaman Kayu Gaharu, projek Ikan Air Tawar, Penternakan Kambing Boa, projek Nelayan Laut Dalam, Penanaman Padi secara Komersial, perlaksanaan projek Ladang Kontrak dan penanaman lada hitam secara besar-besaran.

“Langkah pertama iaitu projek penanaman komersial ini mencakupi penanaman Serai Wangi manakala langkah kedua iaitu penanaman Kayu Gaharu pula akan diterapkan menerusi penggunaan teknologi suntikan.

“Langkah keempat iaitu penternakan kambing jenis Boa, itik dan ayam juga dilihat boleh membuahkan hasil yang besar bagi memacu industri pertanian di Sri Aman,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan MPPP Sarawak kawasan Sri Aman bertempat di sebuah hotel tempatan dalam bandar ini hari ini.

Selain itu Masir juga langkah ketujuh iaitu projek Ladang Kontrak juga boleh mengalak pertumbuhan industri pertanian dalam kawasan ini sekiranya ia dilaksanakan oleh penduduk.

Ini projek Ladang Kontrak menurut beliau boleh menjamin hasil keluaran pertanian penduduk berkenaan dibeli oleh syarikat yang telah mengikat perjanjian terhadap mereka sebelum ini.

“Justeru diharap agar kesemua lapan langkah diatas dapat membuka ruang pertanian yang lebih luas terhadap penduduk dalam kawasan Sri Aman.

“Setiap ketua kaum yang telah mengenalpasti potensi pertanian dari kelapan-lapan langkah ini boleh menghantar kertas kerja masing-masing ke pihak jabatan pertanian dan lain-lain agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” menurut beliau.

Hadir sama dalam mesyuarat penubuhan MPPP Sarawak kawasan Sri Aman ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah FAMA Negeri Sarawak iaitu Isa bin Haji Hamzah dan pegawai dari agensi kerajaan serta swasta dalam daerah ini.

Terdahulu MPPP telah ditubuhkan di 222 buah kawasan Parlimen di Malaysia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi merancang, menyelaras dan memantau projek pertanian di setiap kawasan parlimen yang melibatkan kakitangan kerajaan, ahli politik, dan Swasta / NGO.

Tamat.

Majlis makan malam anjuran gereja saint mark punggu 9 oktober ini

SRI AMAN, Selasa (29 Sept) – Gereja Saint Mark’s Chapel Punggu, Pantu akan menganjurkan Majlis Makan Malam 2009 bertempat di Restoran Alisan dalam bandar ini pada 9 Oktober kelak.

Pengerusi Gereja Saint Mark’s Chapel Punggu, Biong anak Lebang berkata majlis makan malam hasil kerjasama Biro Wanita Gereja Saint Mark’s Chapel Punggu ini nanti akan bermula jam 7 malam.

“Tujuan utama majlis makan malam ini diadakan ialah untuk mengutip dana kewangan bagi melaksanakan kerja menambahbaik Gereja Saint Mark’s Chapel Punggu di daerah kecil Pantu, Sri Aman.

“Selain itu majlis itu nanti juga bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim dikalangan penduduk beragama Kristian yang bakal hadir bagi memeriahkan suasana majlis berkenaan,” katanya.

Bagi menyerikan lagi suasana majlis berkenaan kata Biong, pihak gereja bakal menjemput Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan iaitu Mong anak Dagang bagi merasmikan majlis tersebut.

“Pihak kami juga turut menjemput beberapa orang pemimpin agama di sini iaitu Vicar Gereja Saint Luke iaitu Ven. Archdeacon Chimbie Bunsie,” katanya sambil menambah bahawa Reverend Father Peter Esa turut dijemput untuk menghadiri majlis tersebut.

Justeru beliau berharap agar majlis makam malam ini nanti dapat menyumbang usaha pihaknya untuk melaksanakan projek menambahbaik Gereja Saint Mark’s Chapel Punggu pada masa akan datang.

Tamat.

PERSONALITI MINGGU INI


Nama: Sopie bin Samaile


Nama timangan: Jon


Nama Internet: Ahqim Genius


Umur: 30


Asal: Kampung Gedong, Simunjan


Pekerjaan: Wartawan Utusan Malaysia, cawangan Kuching




Jawatankuasa khas MPP di tubuh di Lubok Antu


Caption: SERIUS...Nyalau (tengah) ketika sedang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas MPPP di sini hari ini. Turut kelihatan ialah Dr Rayong (kiri) dan Mussen (kanan).

story written by Edwin Raoh

ENGKILILI, Isnin (28 sept) - Jawatankuasa Khas Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) Sarawak kawasan Lubok Antu telah berjaya ditubuhkan menerusi satu mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Majlis Dearah Lubok Antu (MDLA) Engkilili, Sri Aman hari ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu selaku pengerusi mesyuarat terbabit iaitu William Nyalau anak Badak berkata Jawatankuasa Khas MPPP Sarawak kawasan Lubok Antu ini melibatkan wakil dari setiap agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dari kawasan daerah Lubok Antu dan Sri Aman.

“Jawatankuasa khas ini ditubuhkan untuk menjayakan MPPP demi meningkatkan taraf ekonomi penduduk di kawasan pilihan raya Lubok Antu terutama dari segi sektor pertanian.

“Menerusi mesyuarat ini semua pihak sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi menjayakan MPPP yang sudah tentunya kelak akan menguntungkan golongan petani di daerah ini,”katanya kepada pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Dalam perkembangan yang berkaitan Jemaah Menteri pada 29 April lalu telah sedia maklum bahawa Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani akan menubuhkan MPPP di setiap kawasan parlimen dalam negara ini.

Penubuhan MPPP ini menurut Nyalau bertujuan bagi merancang, menyelaras dan memantau projek pertanian di setiap kawasan parlimen yang melibatkan kakitangan kerajaan, ahli politik, dan Swasta / NGO.

“Sebanyak 222 MPPP akan ditubuhkan di 222 kawasan parlimen di seluruh Malaysia. Justeru penubuhan MPPP diharap dapat mengubah taraf hidup penduduk di kawasan luar bandar dalam negara ini khususnya di Sarawak,” menurut beliau.

Hadir sama pada mesyuarat itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh dan ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong anak Ngipa, para wakil setiap jabatan kerajaan, swasta dan ketua kaum dalam daerah Lubok Antu.


Tamat…..


27 September, 2009

PKR ditolak di Enteban


Caption: TOLAK PKR...Tr Mau (tengah), Bau (kiri) dan Rimong (kanan) ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

SRI AMAN, Isnin (28 sept) – Populariti parti KeAdilan Pakatan Rakyat (PKR) masih belum dapat menandingi populariti parti Barisan Nasional (BN) dikalangan penduduk kawasan luar bandar dalam Bahagian Sri Aman sehingga sekarang.

Ia terbukti apabila penduduk dari Rumah Mau anak Draman, Enteban Skrang dalam kawasan daerah kecil Engkilili, Sri Aman menolak hasrat pihak PKR yang mahu mengadakan mesyuarat bersama penduduk di situ kelmarin.

“Sebelum itu pihak PKR ada mengadakan mesyuarat di Tr Irak, Merindun pada hari Sabtu lepas namun tidak mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk di rumah panjang itu sendiri.

“Selepas itu mereka mahu mengadakan mesyuarat di sini kelmarin namun hasrat mereka saya tolak kerana tidak mahu ‘mengotorkan’ rumah panjang ini,” kata Tr Mau, 68, kepada pemberita hari ini sambil menambah bahawa PKR bercadang mahu menubuhkan pergerakan wanita di rumah Irak, Merindun berkenaan.

Rombongan PKR ke rumah Irak, Merindun dan Rumah Mau, Enteban itu diketuai oleh Ahli Parlimen Ampang merangkap Ketua Pergerakan Wanita PKR, Hajah Zuraida Kamaruddin, Ketua Pergerakan Wanita PKR Sarawak, Ibi Uding, Ketua Pergerakan Wanita PKR Sarawak Lubok Antu, Agnes Chandu Daud dan Beginda Minda.

Seorang penduduk rumah panjang berkenaan iaitu Bau anak Nyawai, 58, pula berkata bahawa kehadiran PKR tidak diperlukan oleh penduduk rumah panjang di situ pada masa sekarang.

Ini kerana kerajaan yang diteraju oleh komponen Barisan Nasional (BN) menurut beliau telah melaksanakan tugas dengan baik untuk melaksana pelbagai projek pembangunan di kawasan mereka sehingga ke masa sekarang.

Seorang lagi penduduk di situ iaitu Rimong anak Ajang, 39, tidak mahu PKR berkempen di rumah panjang mereka memandangkan beliau tidak pernah memberikan sokongan terhadap parti pembangkang berkenaan sebelum ini.

“Penduduk di sini termasuk saya masih menyokong parti komponen BN. Jadi tidak perlulah pihak PKR bertandang ke rumah panjang kami di sini untuk menyebarkan ideologi politik mereka,” menurut beliau.

Tamat.


Tingkatkan semangat perpaduan menerusi gagasan 1Malaysia kata Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS


SRI AMAN, Isnin - Konsep Rumah Terbuka dan amalan kunjung mengunjung semasa musim perayaan dapat memupuk dan meningkatkan semangat perpaduan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini menerusi gagasan 1 Malaysia.


Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata, kedua-dua konsep itu adalah medan terbaik untuk penduduk yang berbeza agama dan budaya untuk mengeratkan tali silaturahim di antara satu sama lain.


"Amalan ini perlu diteruskan bukan sahaja ketika sambutan Hari Raya malah pada sambutan Tahun Baru Cina, Gawai Dayak, Krismas mahupun Deepavali.


"Melalui amalan murni terbabit kesemua penduduk akan dapat memahami serta menghormati agama, kebudayaan dan adat resam lain-lain kaum dalam negeri untuk sepanjang masa,”menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkenaan.


Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pintu Gerbang 1430H / 2009M bertempat di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman malam tadi.


Selain itu penduduk berbilang kaum dalam negeri ini harus menanam dan menyemai semangat perpaduan untuk menjamin sebuah negara yang bebas serta bersatu padu ke arah menuju Wawasan 2020.


"Pertekankan elemen bekerjasama dan tolenrasi dalam amalan hidup seharian. Dua faktor ini dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dikalangan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini di masa akan datang,” katanya.


Terdahulu Harden pada majlis itu telah menyampaikan cek replika bernilai RM16,000 kepada lapan buah JKKK yang terlibat dalam penganjuran Pertandingan Pintu Gerbang pada tahun 2009.


Beliau juga turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM 3,000 kepada sembilan buah JKKK yang akan menyertai pertandingan ini pada tahun 2010 termasuklah sebuah JKKK iaitu JKKK Taman Sri Jaya.


Dalam pada itu, johan pertandingan pintu gerbang ini telah disandang oleh JKKK Paya Jaya Utara Kampung Muhibbah manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing telah disandang oleh JKKK Zon Selatan Kampung Muhibbah dan JKKK Zon Tengah Kampung Muhibbah.


Hadir sama ialah Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Nicholas Sebastian David, Pemanca Sii Toh Peng, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim, Penghulu Lee Siang Hua, Pengerusi pengelola Majlis Ramah Tamah, Ketua Kampung, Abdul Karim Mas Atem dan para ketua jabatan di sini.


Pertandingan itu adalah merupakan anjuran bersama JKKK Kampung Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa 1, JKKK Zon Utara Kampung Muhibbah, JKKK Zon Timur Kampung Muhibbah, JKKK Zon Tengah Kampung Muhibbah, JKKK Zon Barat Kampung Muhibbah, JKKK Zon Selatan Kampung Muhibbah, JKKK Taman Harmoni RPR Fasa II dan JKKK Taman Sentosa Indah Sri Aman.

Tamat.


Penduduk Punggu frust - wayar bumi tembaga kena cilok




1.DI CANTAS..Sebahagian daripada komponen wayar tembaga yang dipotong untuk dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab di Kampung Punggu, Pantu semenjak Ogos lalu.

2.HILANG...Gambar menunjukkan sebahagian daripada komponen wayar tembaga pada bahagian bawah tiang elektrik di Kampung Punggu yang hilang dicuri oleh penjenayah bermula Ogos lalu.

PANTU, Isnin (28 Sept) – Penduduk Kampung Punggu dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman kini berada dalam dilemma berhubung kehadiran golongan pencuri ‘harta kerajaan’ di kawasan kampung mereka semenjak bulan Ogos lalu.

Golongan terbabit bertindak mencuri komponen tembaga dalam saluran kabel yang dipercayai berfungsi sebagai wayar bumi di tiang utama penyalur bekalan elektrik berhampiran kampung penduduk terbabit.

“Kes ini mula-mula berlaku pada bulan Ogos tahun ini apabila lima orang lelaki dengan menggunakan kenderaan Pajero tiba di tiang elektrik utama perkampungan kami dan memberi alasan bahawa mahu memperbaiki sistem pendawaian elektrik di situ.

“Mereka kemudiannya menutup suis utama pada tiang elektrik terbabit menyebabkan ketiadaan bekalan elektrik terhadap penduduk di sini bermula awal pagi hari berkenaan sehingga jam 3 pagi pada hari yang berikutnya,” dakwa seorang penduduk di situ iaitu Mei Biong ketika ditemui Utusan Sarawak kelmarin.

Setelah diperbaiki semula oleh pihak berwajib, penduduk kampung menurut beliau mula berasa bimbang apabila dimaklumkan mengenai kehilangan komponen tembaga dalam wayar bumi pada tiang utama elektrik terbabit.

Kejadian ke-2 menurut Mei kemudiannya berulang kembali tidak lama selepas itu apabila pihak yang tidak bertanggungjawab mencuri semula komponen tembaga dalam kabel wayar bumi pada tiang terbabit.

“Tindakan penjenayah itu menyebabkan penduduk di sini kembali dilanda masalah ketiadaan elektrik dan kami kemudiaannya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memerhati keadaan sekitar tiang utama elektrik terbabit selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun dua hari lepas, penduduk kampung menurut beliau mula mengesan kehadiran seorang lelaki tidak dikenali yang cuba mengorek sesuatu di kawasan tiang elektrik utama berkenaan.

Apabila disoal oleh penduduk kampung, lelaki berkenaan menurut Mei memberitahu bahawa ia cuma menumpang teduh di perhentian bas berhampiran tiang elektrik berkenaan.

“Penduduk percaya lelaki itu cuba mencari saki baki komponen tembaga di tiang terbabit. Setelah mendapati bahawa kehadiran dirinya dicurigai oleh penduduk kampung maka lelaki tersebut dipercayai terus beredar dari lokasi terbabit.

“Justeru kami penduduk kampung di sini berharap agar pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap masalah ini kerana dikhuatiri bahawa golongan terbabit mungkin akan melakukan tindakan yang sama di perkampungan penduduk yang lain,” katanya.

Tamat.

26 September, 2009

Jangan jadikan pusat keagamaan untuk berpolitik - Nyalau


Caption: RASMI...Nyalau (tengah) bersama Mussen (kanan), Rayong (kiri), Bolly (dua kanan) dan tetamu undangan khas yang lain ketika merasmikan majlis itu di sini hari ini.

ENGKILILI, Ahad (27 Sept) – Pusat keagamaan seperti gereja tidak harus dijadikan sebagai lokasi tempat untuk berpolitik demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Gereja menurut beliau adalah merupakan tempat untuk penganutnya melaksanakan ibadat sembahyang dan bukannya lokasi untuk menyebar pelbagai ideologi politik kepada penduduk di sesebuah kawasan.

Sekiranya gereja dijadikan sebagai pusat berpolitik kata Nyalau maka ia secara tidak langsung boleh mewujudkan perpecahan dikalangan penganutnya yang sentiada beribadat di gereja terbabit selama ini.

“Gereja merupakan pusat untuk penganut bersembahyang kepada Tuhan dan bukannya untuk berpolitik justeru hormatilah pusat keagamaan ini,” demikian menurut beliau ketika berucap merasmikan Majlis Merarau sempena ulangtahun ke-52 Gereja Parish Saint Michael di daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Sementara itu beliau ketika berucap pada majlis itu juga mengumumkan cadangan untuk membina gereja Saint Philip Lubok Antu menerusi ciri berasaskan identiti kaum Iban selepas ini.

Gereja Saint Philip Lubok Antu itu nanti menurut Nyalau akan dibina secara ala rumah panjang siap dengan pembinaan kawasan ‘tanju’ (beranda rumah panjang), ruai dan disokong oleh tiang kayu jenis ‘Tebelian’.

“Bagaimanapun cadangan untuk membina gereja berasaskan ciri ini masih belum dapat dilaksana memandangkan wang bagi membina model gereja terbabit masih tidak mencukupi.

“Justeru pihak kita akan terus berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi membina gereja terbabit daripada golongan korporat dan penganut agama Kristian yang lain selepas ini,” katanya lalu mengumumkan peruntukan bernilai RM35,000 kepada Gereja Saint Michael, Engkilili.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Maclom Mussen Lamoh, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa dan The Right Reverend Bishop iaitu Bolly Lapok.

Tamat.


Ketepikan ganjaran ketika berkhidmat nasihat Mong




Caption: SELAMAT DATANG…Mong (dua kiri) ketika tiba di rumah panjang Kitchen, Nyelam pada majlis itu baru-baru ini. Turut kelihatan ialah Welton (tiga kiri) dan Chong (empat kiri).

SRI AMAN, Ahad (27 Sept) – Ketua kaum terutamanya Tuai Rumah dan Ketua Kampung dinasihat agar tidak mengutamakan soal ganjaran ketika sedang melaksanakan tanggungjawab terhadap anak buah dalam kawasan jagaan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong-Royong Kebersihan dan Anti Denggi anjuran Majlis Daerah Sri Aman bertempat di Rumah Kitchen, Kampung Nyelam baru-baru ini.

“Membantu penduduk rumah panjang atau kampung khusus sekali yang berkaitan dengan permohonan terhadap pihak kerajaan adalah merupakan tugas wajib Tuai Rumah atau Ketua Kampung masing-masing.

“Jangan ambil kesempatan untuk meraih habuan daripada anak-anak buah yang berjaya mendapat kelulusan sesuatu permohonan daripada kerajaan hasil bantuan diri sendiri (ketua kaum) kerana ia bertentangan dengan etika mereka dalam membantu kebajikan hidup penduduk,” kata beliau.

Selain itu Mong juga mahu setiap ketua kaum itu mengenepikan sikap pilih kasih ketika menunaikan tanggungjawab untuk menyelesai dan menaiktaraf hidup penduduk bawah jagaan masing-masing.

Ketua kaum terbabit sebaliknya menurut beliau harus sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal anak buah masing-masing dan melaporkan kepada pihak kerajaan sekiranya terdapat masalah untuk tujuan tindakan lanjut.

“Lantaran itu apabila Tuai Rumah atau Ketua Kampung berjaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan begitu baik maka nasib anak buah masing-masing akan sentiasa terbela untuk sepanjang masa,” kata Mong.

Mong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM7,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Kitchen dan Rumah James Prew, Nyelam.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman Kanselor Jimmy Chong, Pegawai Penerangan JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi dan para ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat....



Jabu cadang anjur pekit Nganyam Tikai Buah


Caption: SELAMAT DATANG….Jabu bersalam dengan penduduk-penduduk Tr Anti, Saka dalam majlis itu. Turut kelihatan Romie (belakang Jabu) dan Pengerusi Biro Wanita Saka Agnes Anyum (kiri sekali).

oleh Edwin Raoh (edwinraoh@gmail.com)

BETONG (27 Sept) : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang mencadangkan agar diadakan pertandingan yang disebut dalam bahasa Iban “Nganyam Tikai Buah’ untuk masyarakat Iban di Betong pada tahun depan.

Menurutnya, pertandingan itu akan dibahagikan kepada dua zon iaitu zon pertama ialah terdiri daripada masyarakat Iban yang tinggal di sekitar Rimbas dan Paku dan zon kedua pula Layar, Sepak dan Padeh.

Sehubungan itu untuk menjayakan pertandingan ini kelak maka peserta akan diberi tempoh selama hingga 6 hingga 9 bulan untuk menyiapkan anyaman itu sebelum diadili oleh hakim yang telah dilantik, jelas Jabu.

“Jadi kita beri masa selama 6 hingga 9 bulan untuk menyiapkan sepenuhnya anyaman itu kerana kita beri peluang kepada peserta untuk mencari ‘Bemban’ bahan yang digunakan untuk membuat anyaman itu,” katanya.

Beliau yang selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan berkata demikian semasa merasmikan Biro Wanita Rumah Panjai Anti, Saka, disini, semalam.

Sementara itu kata Jabu Pertandingan Pua Kumbu untuk penduduk Betong juga akan diadakan pada 2011.

Beliau berkata, tujuan pertandingan ini diadakan untuk memberi peluang kepada generasi hari ini mengenali lebih dekat bahan-bahan yang digunakan untuk mereka Pua Kumbu.

Disamping itu supaya kebudayan dan pakaian tradisi kaum Iban tidak akan pupus ditelan zaman, tambahnya.

“Jadi kita adakan pertandingan ini secara bergilir-gilir tahun depan kita adakan pertandingan ‘Nganyam Tikai Buah’ manakala pertandingan Pua Kumbu 2011 dengan satu tujuan supaya aktviti –aktiviti kaum Iban zaman dulu terus menjadi tatapan muda-mudi hari ini,”

Sebanyak tujuh Biro Wanita hadir dalam majlis itu dimana setiap Biro menerima peruntukkan RM3000 daripada Jabu.

Tujuh Biro Wanita tersebut ialah Biro Wanita Saka, Penurin, Suri, Serudit, Skrang, Tanjong dan Entanak.

Sementara itu Jabu juga memperuntukkan RM16,200 kepada rumah panjang Anti yang mempunyai 54 keluarga untuk kegunaan membaiki rumah panjang mereka. Setiap keluarga akan menerima RM300.

Turut hadir dalam majlis itu Residen Bahagian Betong Romie Sigan Daniel, kakitangan-kakitangan kerajaan dan ketua-ketua masyarakat sekitar Betong.

Tamat...


24 September, 2009

jadikan perpaduan sebagai intipadi keperluan hidup


Caption: UNTUK ALBUM...Snowdan (duduk dua kanan) bersama rombongan ketika mengadakan kunjungan ke kediaman Ketua Kampung Melayu Balai Ringin, Bujang Narawi (duduk dua kiri) ketika berlangsung perayaan Hari Raya baru-baru ini.


BALAI RINGIN, Jumaat (25 sept) – Keamanan dalam negeri hanya dapat dikekalkan sekiranya penduduk berbilang kaum menjadikan perpaduan sebagai intipati utama dalam keperluan hidup demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan.

Menurut beliau keamanan menjadi tidak bermakna sekiranya penduduk berbilang kaum tidak sefahaman dan sering berbalah sehingga menjurus kepada berlakunya rusuhan kaum dalam negeri ini.

“Bagaimanapun mujurlah hasil berkat kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, kerajaan Barisan Nasional (BN) ternyata berjaya mewujudkan keadaan politik yang stabil di negeri ini semenjak 30 tahun lalu.

“Perpaduan yang wujud menerusi faktor kestabilan politik hasil pimpinan beliau haruslah dipelihara oleh semua rakyat dalam negeri ini tanpa mengira mereka berketurunan kaum Cina, Melayu dan Dayak,” katanya ketika mengadakan kunjungan perayaan Hari Raya di Kampung Melayu Balai Ringin baru-baru ini.

Selain itu kata Snowdan, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dalam negeri ini dianggap amat penting untuk membolehkan kerajaan BN melaksana pelbagai pelan pembangunan yang bakal membawa faedah untuk rakyat.

Pelan pembangunan ini menurut beliau termasuklah projek penyediaan kemudahan infrastruktur dan keperluan asas, perhubungan, pendidikan, peningkatan taraf ekonomi dan sosial untuk rakyat.

“Bagaimanapun untuk menjayakan kesemua pelan pembangunan ini faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum memainkan peranan utama kerana tanpa faktor ini kerajaan BN tidak akan dapat melaksanakan pelan terbabit.

“Semua rakyat berbilang kaum harus sedar bahawa usaha mempertingkat taraf hidup penduduk tidak akan dapat dilaksana sekiranya berlaku masalah ketidakstabilan politik yang menjurus kepada pertelingkahan kaum dan rusuhan,” katanya.

Justeru Snowdan meminta para rakyat untuk menghargai keamanan dan kesejahteraan hidup yang mereka nikmati sekarang ke arah merancakkan lagi pelan pembangunan rakyat di negeri ini.

Tamat.

program pemeriksaan percuma cni dapat sambutan memberangsangkan


Caption: BERTUGAS...Dr Thompson Chong (kiri) sebelum memulakan sesi pemeriksaan kesihatan CNI terhadap seorang penduduk (kanan) sambil ditemani oleh Voon (dua kanan) semalam.

SRI AMAN, Jumaat (25 sept) – Seramai 68 orang penduduk mengambil peluang untuk menjalani program pemeriksaan kesihatan secara percuma bertempat di Pusat Pengedaran Creative Network International (CNI) cawangan Sri Aman, Jalan Hospital semalam.

Pemeriksaan kesihatan secara percuma yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 5 petang itu adalah merupakan program kedua yang dilaksanakan bawah Projek Komuniti Penyayang CNI.

Pengurus pengedaran CNI cawangan Sri Aman, Thien Shiew Chiang ketika ditemui berkata sambutan orang ramai terhadap program ini tampak lebih memberangsangkan berbanding ketika ia dianjurkan pada 25 Ogos lalu apabila 35 orang penduduk hadir pada sesi pemeriksaan kesihatan percuma berkenaan.

“Penyakit Kencing Manis, Tekanan Darah Tinggi dan Kolestrol Tinggi adalah merupakan tiga masalah kesihatan yang paling umum dikalangan rakyat Malaysia pada masa sekarang.

“Justeru program ini merupakan salah satu usaha pihak kami untuk menyedarkan penduduk akan betapa pentingnya aspek penjagaan kesihatan diri masing-masing dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Bagi menjayakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma ini, pihaknya telah menjemput dua orang Pengurus Agensi Milion Diamond CNI dari Kuala Lumpur dan Serian iaitu Choong Mun Fok, Voon Sin Siaw dan Chin Jun Fah.

Ketiga-tiga mereka ini menurut beliau telah mengendalikan program pemeriksaan secara kesihatan secara percuma ini dikalangan orang ramai yang hadir bagi tujuan program berkenaan.

“Program pemeriksaan secara percuma ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Dr Thompson Chong yang dijemput khas dari Semenanjung Malaysia bagi mengendalikan program terbabit,” katanya.

Justeru beliau berharap agar program pemeriksaan kesihatan secara percuma di CNI pada masa akan datang dapat menarik lebih ramai minta penduduk demi menyedarkan mereka tentang aspek kesihatan dalaman dan luaran badan.

Tamat.


Awasi penggunaan internet dikalangan anak2 - Rayong


Caption: PENGHARGAAN...Rayong (kiri) menerima cenderamata daripada Tr Empading (kanan) sambil disaksikan oleh Nyalau (tengah) ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Jumaat (25 Sept) – Ibubapa dinasihat untuk memantau tindak-tanduk anak-anak ketika mereka sedang memanfaatkan pengunaan Teknologi Komunikasi dan Internet (ICT) dari masa ke semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata internet merupakan satu medium yang menawarkan pelbagai sumber maklumat tanpa batas terhadap mana-mana individu yang melayarinya.

“Dengan kata lain, anak-anak terdedah kepada sumber internet tanpa batas termasuk mengenai perkara yang bercorak positif dan negatif ketika mereka melayari kemudahan terbabit.

“Justeru adalah amat penting ibubapa memantau tindakan anak-anak ketika mereka internet. Benarkan mereka melayari internet untuk mencari sumber yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan bukannya yang tidak memberi manfaat kepada mereka,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Info Bestari anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Komuniti Bestari Nanga Bunu bertempat di Rumah Empading, Nanga Bunu, Skrang kelmarin.

Selain itu Rayong juga mahu golongan belia lepasan sekolah atau universiti untuk memanfaatkan kemudahan internet terbabit untuk mencari pekerjaan atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bagaimanapun adalah tidak elok sekiranya golongan terbabit mengambil peluang dengan menggunakan kemudahan internet ini untuk menghentam pihak kerajaan hasil hasutan pihak tertentu.

“Jangan salahgunakan internet. Sebaliknya manfaatkanlah kemudahan internet itu dengan sebaik yang mungkin untuk memperbaiki masa depan hidup diri masing-masing dan bukannya dengan tujuan sia-sia,” kata beliau.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Bunu manakala RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak itu turut dihadiri oleh Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Charles Sigat Ason, Pegawai Penerangan Daerah Betong, Koh Kumbong, Pegawai Penerangan JASA bagi Parlimen Lubok Antu dan Sri Aman iaitu Geoffery Ricky Maba dan Whelton Lumpoi.

Tamat...






Broadband Komuniti untuk penduduk Lubok Antu dan Engkilili - Nyalau



Caption: SELAMAT DATANG...Rayong (tengah) dan Nyalau (kiri beliau) ketika tiba di Rumah Empading, Nanga Bunu, Skrang untuk merasmikan majlis di situ hari ini.

original fax n pic by Edwin Raoh

ENGKILILI, Khamis (24 sept) – Status kepenggunaan jalur lebar internet di kawasan Lubok Antu dan Engkilili bakal dipertingkat dengan adanya perlaksanaan projek Broadband Komuniti di kedua-dua kawasan itu dalam masa terdekat kelak.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata perlaksanaan projek Broadband Komuniti hasil sumbangan Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan itu secara tidak langsung memudahkan penduduk dari kedua-dua kawasan untuk menggunakan kemudahan internet selepas ini.

“Golongan graduan universiti tempatan misalannya berpeluang untuk mencari pekerjaan masing-masing apabila projek Broadband Komuniti ini siap dilaksanakan sepenuhnya di Lubok Antu dan Engkilili kelak.

“Projek ini juga turut memberi kesenangan kepada golongan pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi dalam atau luar negara ini urusan terbabit banyak melibatkan penggunaan internet berbanding ‘mengisi borang’,” kata Nyalau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Info Bestari anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Komuniti Bestari Nanga Bunu bertempat di Rumah Empading, Nanga Bunu, Skrang dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Untuk menjayakan perlaksanaan ini kata Nyalau, seramai empat orang individu akan dilatih sebelum mereka layak diberi tugas untuk mengendalikan pusat Broadband Komuniti di Lubok Antu dan Engkilili kelak.

“Dua orang akan bertugas mengendalikan pusat Broadband Kominiti di Lubok Antu manakala dua orang lagi akan bertugas untuk mengendalikan pusat yang sama di Engkilili.

“Pejabat bagi mengendalikan pusat Broadband Kominiti di Lubok Antu serta Engkilili kini sudah pun dikenalpasti dan pihak kita berharap agar projek itu berjaya memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk di masa akan datang,” katanya.

Justeru beliau berharap agar penduduk terutamanya golongan pelajar atau graduan dari kawasan Lubok Antu dan Engkilili tidak menyalahgunakan kemudahan Broadband Kominiti apabila ia sudah ditubuhkan kelak.

Nyalau pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Bunu manakala RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Charles Sigat Ason, Pegawai Penerangan Daerah Betong, Koh Kumbong, Pegawai Penerangan JASA bagi Parlimen Lubok Antu dan Sri Aman iaitu Geoffery Ricky Maba dan Whelton Lumpoi.

Tamat.

MDSA lancar kempen kebersihan di Engkeramut esok

SRI AMAN, Khamis (24 sept) - Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) akan menganjurkan Kempen Gotong-Royong dan Anti Denggi 2009 bertempat di Rumah Kitchen, Kampung Nyelam, Engkeramut pada 25 September ini.

Menurut faks yang diterima, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada penduduk kampung di situ tentang pentingnya langkah menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes dalam kawasan kediaman masing-masing.

Malahan program gotong-royong ini juga menekankan tentang aspek kesihatan diri dengan melakukan kerja pembersihan di kawasan perumahan masing-masing secara lebih kerap.

“Selain itu program ini juga merupakan salah satu aktiviti bulanan MDSA Sri Aman disamping menjadikan ia sebagai platform untuk mempertemukan rakyat dengan wakil rakyat dalam kawasan masing-masing.

“Oleh yang demikian penduduk yang tinggal dalam kawasan Engkeramut dijemput hadir bagi menjayakan lagi penganjuran program ini nanti,” menurut kenyataan terbabit sambil menambah bahawa program ini nanti akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan iaitu Mong Dagang.

Kenyataan terbabit juga menambah bahawa pihak MDSA juga bakal menganjurkan program yang sama bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Paku Batu Lintang Sri Aman pada 29 September ini bermula jam 8 pagi.

Program itu nanti dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis. Turut dijangka hadir pada program itu nanti, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Tamat...

23 September, 2009

Belum ada tangkapan semenjak SKM dikuatkuasa - Roslan


Mugshot: WAN ROSLAN ESMANTO

SRI AMAN, Khamis (24 Sept) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman masih belum membuat sebarang tangkapan semenjak Skim Kawalan Harga (SKM) sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dikuatkuasa pada 13 September lalu.

Ketua cawangannya Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari ketika dihubungi berkata setakat ini kesemua peniaga dalam kawasan Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok masih lagi mematuhi SKM terbabit.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini. Bagaimanapun jika pihak KPDNKK Sri Aman ada membuat tangkapan terhadap peniaga yang melanggar SKM maka perkara ini akan kami maklumkan kepada anda (media),” menurut beliau ketika dihubungi hari ini.

Selain itu pihak KPDNKK menurut beliau akan sentiasa mengadakan pemeriksaan secara mengejut terhadap premis peniaga di Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok bagi memastikan mereka mematuhi SKM ini.

“Justeru pihak kami mengingatkan para peniaga untuk sentiasa mematuhi SKM yang berkuatkuasa sehingga 27 September ini,” menurut Roslan.

Skim Kawalan Harga sempena Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2009 / 2010 telah berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai 13 hingga 27 September ini dan ia mencakupi 17 barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit yang telah disenaraikan dalam skim kawalan harga ini.

Ia adalah Ayam Hidup, Ayam Standart, Ayam Super, Daging Lembu Tempatan, Daging Kerbau Import (India), Telur Ayam Gred A, B, C, Kubis Bulat Import (Indonesia dan China), Cili Merah, Tomato, Kelapa Parut, Ubi Kentang Import, Kacang Tanah Import, Bawang Merah Kecil (India) , Bawang Putih (China) dan Ikan Kembung (berat antara 8 hingga 11 ekor sekilogram).

Para peniaga menurut Roslan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 hingga RM7,500 jika disabitkan bersalah dibawah Sekyen 5 Akta Kawalan Harga 1946 berhubung skim kawalan harga ini.

“Malahan tindakan juga akan diambil terhadap peniaga yang tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu (terhadap barangan kawalan), gagal mempamerkan lesen jualan barangan tersebut dan tidak meletakkan tanda harga pada barang kawalan terbabit,” menurut beliau.

Orang ramai dari keempat-empat kawasan daerah berkenaan menurut beliau juga dinasihatkan untuk pihak KPDNKK Sri Aman menerusi talian 083-323836 jika terdapat peniaga yang bertindak melanggar skim kawalan harga terkawal ini.


Tamat.



Harden kunjungi rumah ketua kaum ketika raya di sri aman

Caption: UNTUK ALBUM...Harden (lima kanan) bersama rombongan ketika mengadakan kunjungan ke rumah salah seorang penduduk di Kampung Muhibah bersempena dengan perayaan Hari Raya ini tadi.

SRI AMAN, Rabu (23 Sept) – Suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 di bandar Sri Aman telah dimeriahkan lagi menerusi aktiviti kunjung-mengunjungi oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis dan rombongan pada 20 dan 21 September lalu.

Ketika berlangsungnya sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Harden bersama rombongan telah turun padang bermula jam 10 pagi untuk mengunjungi kediaman beberapa orang ketua kaum dan orang awam dalam bandar ini.

Antara kediaman ketua kaum dan orang awam yang beliau kunjungi ini adalah kediaman Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim di Kampung Hulu Sri Aman, Ketua Kampung Haji Jolly Ramli, Rumah Haji Li bin Suhai, Rumah Haji Jijon bin Haji Mitai, Mazelan Ani dan Rumah Sharkawi Haji Morshidi di Kampung Muhibbah Sri Aman.

Hadir sama dalam rombongan itu adalah Pemanca Sii Toh peng, Penghulu Lee Siang Hua, Kapitan Kuek Aik Seng, Kaunselor Jimmy Chong dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Sri Aman, Vincent Roy Muda.


Tamat.


Jalani ujian kesihatan percuma di CNI esok!

SRI AMAN, Rabu (23 Sept) – Orang ramai dipelawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma yang akan berlangsung di premis pengedar Creative Network International (CNI) Sri Aman esok (Khamis 24 September).

Pengurus pengedaran CNI Sri Aman Thien Siew Chiang ketika memberitahu media berkata program pemeriksaan kesihatan secara percuma ini akan berlangsung dari jam 10 hingga 5 petang pada tarikh yang dinyatakan.

“Menerusi motto ‘amalkan gaya hidup sihat demi diri dan keluarga’, pihak kami telah mengadakan semula pemeriksaan kesihatan secara percuma ini khas kepada semua orang ramai di bandar Sri Aman.

“Menerusi sesi pemeriksaan kesihatan secara percuma ini nanti orang ramai akan berpeluang menjalani ujian saringan tekanan darah tinggi, denyutan jantung, kadar gula dalam darah, tahap kolestrol dan BMI,” katanya.

Kesemua ujian saringan menerusi program pemeriksaan kesihatan secara percuma ini nanti menurut beliau akan dikendalikan oleh Dr Thomas Chong yang dijemput khas dari Semenanjung Malaysia bagi tujuan itu.

“Beliau (Thomas Chong) adalah merupakan seorang doktor pemakanan kesihatan dan juga penceramah antarabangsa yang sebelum ini pernah dijemput untuk mengendalikan ceramah di China, Hong Kong, Taiwan, Brunei dan Singapura.

“Justeru kehadiran beliau ke sini pada pemeriksaan kesihatan secara percuma ini nanti diharap mampu menarik kedatangan lebih ramai penduduk dalam bandar Sri Aman pada tarikh dan masa yang telah dinyatakan,” katanya.

Thien juga menambah bahawa sehingga kini hampir 300,000 penduduk Malaysia menghidapi penyakit tekanan darah tinggi manakala 200,000 penduduk pula mengidap penyakit kolestrol tinggi. Dengan jumlah perokok menjangkau nilai 30.6 peratus, hampir 1,000 penduduk dalam negara ini mengidap masalah kadar gula dalam darah yang tinggi.

Tamat.

22 September, 2009

Keluarga miskin dari kampung Spaoh Bara, Simunjan tak dapat celebrate raya







Caption:

1.BANTU KAMI...Mokhtar bersama anak-anaknya ketika berada di hadapan rumah usang mereka ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

2.MEMILUKAN...Keluarga Mokhtar terpaksa bergantung kepada dapur usang di dalam rumah mereka ini bagi tujuan memasak atau memanaskan air.

3. DAIF...Beginilah keadaan rumah keluarga Mokthar ketika dikunjungi Utusan Sarawak.

SIMUNJAN, Selasa (22 Sept) – Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 yang bermula semenjak hari Ahad lalu sudah semestinya disambut meriah oleh seluruh umat Islam dalam dunia khususnya di Malaysia.

Kemeriahan sambutan perayaan hari mulia ini terasa apabila umat Islam mengadakan aktiviti mengunjungi sanak saudara dan rakan masing-masing setelah sebulan ‘berjuang’ menahan hawa nafsu ketika berlangsungnya bulan Ramadhan sebelum ini.

Namun keadaan sebaliknya berlaku terhadap keluarga Mokhtar bin Abdullah dari Kampung Spaoh Raba, Simunjan apabila faktor kemiskinan menyebabkan keluarga ini tidak mampu menikmati dan meraikan sambutan Hari Raya berbanding dengan keluarga berkemampuan di situ.

Tinggal di rumah kecil yang usang, Mokhtar atau nama sebenarnya sebelum memeluk Islam iaitu Mathew anak Dana, 43, terpaksa mengutamakan keperluan sara hidup lima orang anaknya dengan bertani dan mengambil upah sebagai buruh sambilan selama ini.

“Kehidupan kami sekeluarga lebih terseksa semenjak ditinggalkan isteri kira-kira enam bulan lepas. Kini tanggungjawab untuk menjaga lima orang anak terletak di bahu saya seorang,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Walaupun anak keduanya iaitu Flora, 16, sudah berkahwin namun Mokthar masih mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membesarkan empat orang lagi anaknya yang lain iitu Helmy, 18, Ira Fanzira, 14, Florina, 12 dan Khairul Faizal, 10.

“Pendapatan kasar saya hanya RM250 sebulan. Untuk membelanjakan keperluan hidup anak-anak sahaja sudah tidak cukup jangankan pula ketika hendak berbelanja untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Justeru apa yang mampu kami anak beranak lakukan adalah duduk di rumah sahaja dan bersembahyang kepada Tuhan agar meringankan bebanan yang ditanggung oleh kami sekeluarga selama ini,” menurut beliau.

Dengan dua orang anaknya yang masih bersekolah ketika ini iaitu Florina dan Khairul, beliau berharap agar ada pihak yang tampil untuk membantu mengurangkan bebanan keluarga selepas ini.

“Hendak menyambut perayaan hari mulia ini secara ala kadar pun tidak mampu memandangkan hidup kami sekeluarga umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya sambil menambah bahawa beliau belum pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan sebelum ini.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa rumah keluarga terbabit hanya mempunyai satu ruang tamu dan satu ruang dapur. Untuk mandi, keluarga berkenaan terpaksa keluar dari rumah untuk mendapatkan sumber air dari paip air berdekatan.

Tamat.




Hari Aidilfitri di Simunjan meriah

Caption:

KENYANG DAA...ZAIDI (kiri) ketika mengadakan kunjungan ke rumah Pinoh ketika berlangsungnya perayaan Hari Raya di Sibau Rimbau, Simunjan.

SIMUNJAN, Selasa (22 Sept) – Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 berlangsung dengan penuh meriah di Kampung Sibau Rimbau, Simunjan yang dihuni oleh majoriti penduduk Iban beragama Islam bermula Ahad lalu hingga sekarang.

Utusan Sarawak yang mengadakan kunjungan raya di kampung berkenaan mendapati bahawa sebilangan besar penduduk masih lagi sibuk melayan kunjungan para saudara dan rakan-rakan mereka walaupun perayaan terbabit masuk pada sambutan hari kedua.

Zaidi bin Ibrahim, 36, ketika ditemui di rumahnya menjelaskan bahawa suasana sambutan perayaan Hari Raya tetap meriah di kalangan penduduk Iban beragama Islam di Kampung Sibau Rimbau pada setiap tahun.

“Suasana sambutan perayaan Hari Raya di sini tidak berbeza dengan suasana perayaan Hari Raya di perkampungan Melayu dalam negeri ini dengan adanya aktiviti bermain bunga api, gotong-royong membuat lemang dan sebagainya.

“Sebagai seorang penduduk Iban yang beragama Islam, saya dan ahli keluarga yang lain berasa amat bangga kerana dapat bersama penduduk Islam di negeri ini untuk memeriahkan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun,” katanya.

Saiful bin Ibrahim, 38, pula merasa amat gembira kerana sempat memeriahkan suasana perayaan Hari Raya pada tahun ini bersama anak-anak dan isteri setelah sekian lama bekerja di luar negara.

Menurut beliau adalah tidak mudah bagi penduduk Iban yang bekerja di syarikat perkapalan luar negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan penting bersama keluarga.

“Saya berasa amat bersyukur kerana dapat pulang ke kampung (Sibau Rimbau) untuk memeriahkan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga setelah tiga bulan berada di perantauan untuk mencari rezeki.

“Menerusi perayaan Hari Raya Aidilfitri inilah saya berkesempatan untuk beramah mesra dengan anak-anak dan isteri disamping sahabat handai yang lain sebelum dipanggil semula untuk bekerja di luar negara,” katanya.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak juga mendapati bahawa terdapat beberapa buah perkampungan Iban di kawasan Batang Hulu Simunjan yang turut memeriahkan suasana sambutan perayaan raya ini termasuk Kampung Ruan dan Samalatong.

Tamat.

Kampung Melayu di Betong bakal berubah wajah - Jabu


Caption: TERIMALAH...Jabu (tiga kanan) menyampaikan cek kepada Pengerusi Surau Takwa Kampung Baru Melayu, Betong, Haji Wan Alek Tunku Manshor sambil disaksikan oleh Uggah (dua kanan) dan Romie (kanan sekali).

BETONG, Selasa (22 Sept) – Berita baik untuk penduduk dari kawasan perkampungan Melayu di Betong apabila kerajaan mengemukakan bercadang untuk membina Tebingan Sungai di Sungai Layar, Betong menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) ini nanti.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang berkata cadangan pembinaan tebingan sungai itu nanti melibatkan kawasan Kampung Melayu Hilir hingga ke Kampung Melayu Hulu.

“Projek yang boleh dikenali sebagai Tebingan Kampung Melayu Sungai Layar ini sekaligus mampu mengubah wajah persekitaran kawasan perkampungan Melayu yang terdapat di Betong.

“Lagipun projek tebingan sungai ini nanti sekiranya diluluskan kelak bakal menarik kedatangan lebih ramai pengunjung tempatan mahupun luar negara untuk datang ke Betong,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Lawatan ke Lima Buah Kampung Melayu di bahagian Betong bersempena dengan aktiviti Kunjung-Mengunjungi perayaan Hari Raya Adilftri 2009 di Surau Darul Takwa Kampung Baru Hulu, Betong, pada Ahad lalu.

Bagaimanapun Jabu ketika berucap pada program itu tidak menerangkan jumlah kos sebenar untuk membina tebingan sungai itu nanti dan sebaliknya berkata ia bakal menelan kos pembinaan yang besar sekiranya diluluskan bawah RMK10.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN( Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau dan Residen Bahagian Betong Romie Sigan Daniel.

Dalam majlis itu Jabu dan Uggah masing-masing telah menyampaikan sumbangan wang berjumlah lebih daripada RM96,000 kepada 320 keluarga untuk lima buah Kampung Melayu di Bahagian Betong.

Lima buah Kampung Melayu itu ialah Kampung Melayu, Pasa, Betong Kampung Baru Hilir, Betong, Kampung Baru Hulu, Betong. Kampung Tengah, Betong dan Kampung Hilir, Betong.

Dalam kunjungan itu juga Jabu dan Uggah turut menyampaikan peruntukan kerajaan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM22,500 kepada lima buah buah surau di persekitaran Betong. Masjid Jamek, Betong pada majlis itu menerima RM10,000.

Tamat.


BN adil terhadap semua penduduk - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden sedang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Selasa (22 Sept) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersikap adil terhadap rakyat berbilang kaum di negeri ini dalam melaksanakan dasar dan pelan pembangunan yang menguntungkan semua pihak dari masa ke semasa.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) adalah merupakan salah satu contoh projek pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada semua rakyat berbilang kaum di kawasan wilayah tengah Sarawak.

“BN tidak melaksanakan pelan pembangunan yang hanya menguntungkan sesebuah kaum kerana kita merupakan sebuah kerajaan yang dibentuk berasaskan rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

“Jadi segala perancangan pembangunan haruslah mengambilkira kepentingan semua kaum tanpa mengira anda ialah Melayu, Cina atau Dayak kerana BN adalah kerajaan rakyat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2009 anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Bahagian Sri Aman bertempat di sini baru-baru ini.

Selain itu menurut beliau adalah amat penting untuk semua rakyat berbilang kaum dalam negeri ini untuk memanfaatkan segala peluang pembangunan yang telah kerajaan sediakan di kawasan masing-masing selama ini.

Ianya menurut Harden adalah merupakan jalan terbaik bagi membolehkan segala projek pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan kepada mereka memberi impak peningkatan taraf hidup kepada rakyat secara menyeluruh selepas ini.

“Justeru adalah amat penting bagi rakyat untuk tidak mudah termakan hasutan oleh pihak tertentu kerana ianya boleh merosakkan pemikiran rakyat yang seterusnya mengagalkan usaha pembangunan kerajaan di kawasan masing-masing,” katanya.

Hadir sama pada majlis Pemanca Sii Toh Peng, Pemanca Tay Buan Joo, Penghulu Lee Siang Hua, Timbalan Pengerusi Persatuan, Kapitan Kuek Aik Seng serta ahli-ahli persatuan yang lain.

Harden pada majlis itu telah menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan berbentuk barang keperluan dapur kepoada 180 penerima yang terdiri daripada golongan orang kurang berkemampuan.

Tamat.


18 September, 2009

Politeknik bernilai RM100 juta akan dibina di Betong umum Jabu


Caption: PENGUMUMAN...Jabu sedang menyatakan sesuatu kepada ahli PBB ketika berlangsungnya mesyuarat perwakilan di sini hari ini. Turut kelihatan ialah Empiang (kanan sekali).

BETONG, Jumaat (18 Sept) – Prasana pendidikan di Betong bakal dipertingkat dengan adanya cadangan untuk membina sebuah politeknik dalam bandar ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) kelak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang berkata cadangan pembinaan politeknik di bandar Betong itu sudah pun dibuat dan akan dihantar kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi bagi tindakan lanjut.

“Cadangan pembinaan politeknik di Bandar Betong ini bakal menelan belanja pembinaan sebanyak RM100 juta di atas tanah berkeluasan 500 ekar.

“Tapak tanah untuk tujuan pembinaan politeknik itu masih belum dikenalpasti dan pihak kita akan menjemput Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke sini untuk sama-sama meninjau serta mencari tapak pembinaan institusi pendidikan itu,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Mesyuarat Perwakilan cawangan PBB N.31 Layar bertempat di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.

Sekiranya cadangan pembinaan politeknik itu diluluskan kata Jabu maka ia nanti sekaligus memberi manfaat kepada pelajar dari kawasan Sri Aman, Engkilili, Lubok Antu, Saratok, Sarikei, Song, Kanowit dan lain-lain kawasan apabila ia sudah dibina kelak.

“Cadangan ini dibuat kerana kerajaan sedar bahawa pendidikan adalah merupakan kunci utama untuk melahirkan golongan individu yang mampu merancang dan melaksana pelbagai projek pembangunan di masa akan datang.

“Saya percaya politeknik itu nanti mampu melahirkan lebih ramai golongan berpendidikan tinggi dalam kawasan ini apabila ia sudah siap dibina kelak,” menurut beliau.

Justeru Jabu berharap agar prasarana pendidikan yang baru itu nanti mampu mengubah wajah pembangunan di bandar Betong pada masa akan datang.

Hadir sama ialah Naib Yang Dipertua Kanan PBB merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, Setiausaha Agung PBB, Dr Stephen Rundi, Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi PBB, Aidan Wing dan ketua cawangan N32 PBB Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Setiausaha Eksekutif PBB Ibupejabat, Awang Bujang Awang Antek, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau dan Watson Bangau.

Tamat.

jabu nafi tandatangan orang Penan berhubung isu empangan Murun

BETONG, Jumaat (18 Sept) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang menafikan 600 tandatangan milik orang Penan berhubung isu pembinaan Empangan Murun di Baram.

Terdahulu Penasihat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Sarawak iaitu Dominique Ng bersama 14 orang kaum Penan ditahan oleh pihak polis ketika mahu menyerahkan memorandum bantahan berhubung pembinaan empangan Murun, Baram di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu lepas.

Memorandum bantahan yang tertulis ‘Rakyat Didahulukan, Projek Empangan Murun Dihentikan’ itu telah ditandatangani oleh 600 orang penduduk Kaum Penan dari tujuh buah rumah panjang dalam kawasan Murun itu.

“Adakah anda percaya kesemua 600 tandatangan dalam memorandum itu milik orang Penan? Bagi saya tidak. Saya langsung tidak mempercayainya (tandangan orang Penan berkenaan),” katanya ketika diminta oleh pemberita untuk mengulas mengenai isu terbabit hari ini.

Menurut Jabu, orang Penan mempunyai pemikiran yang wajar selama ini memandangkan mereka juga ingin menikmati faedah pembangunan seperti mana yang dinikmati oleh lain-lain kaum dalam negeri ini.

Justeru jika terdapat orang Penan yang cuba menentang kerajaan berhubung isu pembangunan di kawasan masing-masing maka ianya disebabkan oleh campurtangan ‘pihak luar’ dan bukannya daripada pemikiran asal orang Penan itu sendiri.

“Sudah terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa ‘pihak luar’ telah campurtangan dalam usaha kerajaan untuk menaiktaraf hidup orang Penan menerusi projek pembangunan dalam kawasan mereka sebelum ini.

“Justeru atas sebab itu kerajaan akan menentang campurtangan pihak luar terutama NGO’s (Badan Bukan Kerajaan ) berhaluan negatif ini secara berhabis-habisan demi masa depan hidup orang Penan,” kata beliau.

Terdahulu Jabu yang juga Timbalan Presiden II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Mesyuarat Perwakilan cawangan PBB N.31 Layar bertempat di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.

Hadir sama ialah Naib Yang Dipertua Kanan PBB merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, Setiausaha Agung PBB, Dr Stephen Rundi, Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi PBB, Aidan Wing dan ketua cawangan N32 PBB Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Setiausaha Eksekutif PBB Ibupejabat, Awang Bujang Awang Antek, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau dan Watson Bangau.

Tamat.

17 September, 2009

Masih ramai wanita kurang yakin dalam politik - Empiang

BETONG, Jumaat (18 Sept) – Masih ramai golongan wanita yang tidak yakin untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah parti politik di negara ini demikian menurut Senator Dato Sri Empiang Jabu.

Senario seperti itu menurut beliau misalannya terbukti apabila majoriti golongan wanita ini menolak untuk dicalon bagi memegang jawatan tinggi dalam sesebuah parti politik terbabit.

“Mereka ini tiada masalah sekiranya diminta untuk melaksanakan tugasan rutin untuk parti kecuali apabila mereka dipelawa untuk menjadi calon bagi memegang jawatan tinggi dalam parti politik itu.

“Apabila berlakunya senario ini maka timbullah persoalan iaitu : Tiada orang lain kah? Perkara ini sememangnya amat mengecewakan kerana untuk memperkuatkan parti golongan wanita juga harus seiring bersama lelaki dan bersikap positif bagi tujuan terbabit,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Mesyuarat Perwakilan cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.31 Layar bertempat di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.

Selain itu Empiang juga menasihatkan semua ahli PBB untuk berusaha lebih gigih bagi menolak kemasukan pihak pembangkang ke dalam negeri ini.

Ahli PBB menurut beliau tidak harus memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk memasuki negeri ini memandangkan rakyat masih memerlukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memajukan hidup mereka.

“Dengan kata lain semua ahli PBB perlu bersikap positif. Kesemua kita haruslah sama-sama berjuang untuk memperkukuhkan kekuatan parti kita demi memperjuangkan kebajikan hidup rakyat dari masa ke semasa,” katanya.

Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Mesyuarat Perwakilan cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.31 Layar itu telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden II merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang.

Hadir sama ialah Naib Yang Dipertua Kanan PBB merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, Setiausaha Agung PBB, Dr Stephen Rundi, Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi PBB, Aidan Wing dan ketua cawangan N32 PBB Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Setiausaha Eksekutif PBB Ibupejabat, Awang Bujang Awang Antek, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau dan Watson Bangau.

BN produk politik terbaik untuk rakyat kata Nyalau


Caption: MANFAATKAN...Nyalau (tengah kanan) dan Rayong (tengah kiri) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama penerima KWAPM pada majlis itu semalam.

ENGKILILI, Jumaat (18 Sept) – Barisan Nasional (BN) merupakan ‘produk politik’ terbaik untuk memaju serta memperjuangkan hal ehwal kebajikan hidup rakyat di negara ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Ia menurut beliau terbukti menerusi prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh BN dalam usaha memajukan pembangunan hidup rakyat di seluruh pelusuk kawasan dalam negara ini khususnya di Sarawak semenjak BN memegang tampuk pemerintahan kerajaan lebih 30 tahun dahulu.

“Justeru jangan sekali-sekali meminggirkan diri ataupun cuba berlagak hero untuk menentang dasar-dasar yang diperkenalkan oleh BN yang jelas terbukti mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi kepada rakyat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Merarau 2009 bersempena dengan Sukan Darat Antara Rumah Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, Engkilili kelmarin.

Selain itu katanya para pemimpin BN juga sentiasa menjenguk rakyat terutamanya mereka yang tinggal di kawasan hulu sungai berbanding pihak pembangkang yang hanya hadir apabila tibanya pilihan raya di negeri ini.

“BN sentiasa menjenguk dan mendampingi rakyat tanpa mengira waktu dan senario ini nyata berbeza berbanding pembangkang apabila mereka hanya hadir pada pilihan raya dan seterusnya hilang selepas itu.

“Ini membuktikan bahawa hanya BN yang layak menjadi produk politik paling baik untuk rakyat termasuk yang mereka yang menetap di dalam dan luar kawasan bandar,” menurut Nyalau.

Beliau turut menambah bahawa dasar pentadbiran sistematik kerajaan BN dalam mentadbir negeri ini semenjak 30 tahun lalu telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam pembangunan hidup rakyat.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Ijok.

Beliau pada majlis itu juga telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan Majlis Penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada para murid SK Ijok terbabit.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili Dr Johnical Rayong anak Ngipa dan para ketua kaum dari daerah kecil Engkilili.

Tamat...

Demonstrasi jalanan agenda politik pembangkang kata Snowdan


Caption: MANFAATKAN...Snowdan (kiri) ketika sedang menyampaikan sumbangan raya kepada seorang penerima menerusi majlis yang berlangsung di Kampung Melayu Balai Ringin baru-baru ini.

BALAI RINGIN, Jumaat (18 Sept) – Tindakan demonstrasi jalanan yang dikelolakan oleh pihak parti pembangkang di Semenanjung Malaysia sebelum ini mempunyai hubungkait dengan agenda politik oleh pihak parti itu sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan berkata pihak pembangkang menerusi agenda politiknya mahu menunjukkan kepada dunia luar bahawa Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang tidak aman berhubung aktiviti demonstrasi jalanan terbabit.

“Kebanyakkan pihak beranggapan bahawa keamanan dalam negara Malaysia selama ini adalah disebabkan oleh rakyatnya yang tidak diperintah secara demokratik oleh kerajaan dan juga tidak bebas.

“Mereka menganggap bahawa apabila berlakunya demonstrasi jalan di negara ini maka ia menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokratik...tanggapan ini salah kerana majoriti rakyat negara kita mahukan keamanan dan bukannya huru-hara,” menurut beliau.

Snowdan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Berbuka Puasa bertempat di Kampung Melayu Balai Ringin, Serian baru-baru ini.

Selain itu beliau juga mahu rakyat di negeri ini menunjukkan bahawa mereka adalah matang dan bijak dari segi politik dengan menolak kehadiran pihak pembangkang di negeri ini menjelang pilihan raya akan datang.

“Kepercayaan politik yang dibawa oleh pihak Pakatan Rakyat (pembangkang) ke negeri ini nyata amat meragukan rakyat memandangkan terdapat perbalahan di kalangan pihak terbabit dalam negeri yang berada di bawah pentadbiran mereka sebelum ini.

“Justeru tindakan rakyat menolak kehadiran mereka (Pakatan Rakyat) di sini adalah sebagai langkah yang bijak memandangkan kemajuan dan kemakmuran negeri Sarawak hanya boleh dilaksana oleh Barisan Nasional,” katanya.

Snowdan pada majlis itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Balai Ringin.

Beliau menerusi majlis itu juga turut menyampaikan sumbangan raya kepada 32 orang anak yatim, 56 peserta Tadarus Al-Quran, 30 orang tentera dari Kem Balai Ringin, balu-balu dan keluarga miskin disamping pemberian wang ihsan kepada mangsa banjir sebelum ini.

Hadir sama ialah Kapten Fauzi Abdullah dari Kem Tentera Balai Ringin, wakil dari Pejabat Daerah Serian, Goh Ching Seng dan Aminah Ismail dari Biro Perkidmatan dan Pendidikan Majlis Islam Sarawak.

Tamat.