Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 May, 2009

SELAMAT HARI GAWAI DAYAK 2009!

We, sriamannews.blogspot.com would like to wish all Dayakian

"Selamat Hari Gawai Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang
Nguan Menoa Chelap Lindap Betuah Belimpah
Kaya Raya Nadai Apa Nadai Nama"

Meet you all again on 5 Jun. Thanks 4 supporting us before this! Oh haaaaaaaaaa

Hilux Roadshow di Inrun Motor 29 - 31 Mei ini


Caption: HEBAT...Bonny (belakang empat dari kiri) bersama kakitangan Inrun sedang menunjukkan tanda bagus ketika memperagakan model Toyota Hilux Double Cab di sini hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (29 Mei) – Orang ramai berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat model Toyota Hilux Double Cab yang dipamerkan menerusi acara The Hilux Roadshow di premis perniagaan Syarikat Inrun Motor Sdn Bhd bermula hari ini hingga 31 Mei kelak.

Pengarah Urusan Syarikat Inrun Motor Sdn Bhd, Bonny Lee berkata orang ramai berpeluang untuk melihat model Toyota Hilux Double Cab 2.5MT Turbo 4X4, Toyota Hilux Double Cab Turbo 2.5G (D) 4X4 M/T (gear manual) dan Toyota Hilux Double Cab Toyota Hilux Double Cab Turbo 2.5G (D) 4X4 M/T (gear automatik).

“Toyota Hilux Double Cab 2.5MT Turbo 4X4 adalah jenis standart manakala dua buah lagi model yang lain iaitu Toyota Hilux Double Cab Turbo 2.5G (D) 4X4 (gear manual dan automatik) pula dilengkapi dengan aksesori penuh.

“Ketiga-tiga model Toyota berkenaan adalah merupakan kenderaan pacuan empat roda yang lasak dan ianya telah terbukti menerusi pembabitan kenderaan berkenaan dalam acara Hilux Rainforest Challenge di Terengganu sebelum ini,” katanya.

Selain itu Toyota Hilux Double Cab itu menurut beliau juga boleh digunakan oleh kerja perladangan, pembinaan dan juga untuk kegunaan biasa bersama rakan-rakan atau ahli keluarga pengguna itu sendiri.

Justeru dengan kata lain, Toyota Hilux Double Cab Turbo adalah merupakan sebuah kenderaan pacuan empat roda serba boleh yang amat sesuai dimiliki oleh mana-mana pihak bagi tujuan kegunaan masing-masing di daerah ini.

“Ketiga-tiga model kenderaan ini boleh didapati dalam enam buah warna iaitu Black, Gray Mica, Gold, Silver, Bronze Mica dan White.

“Toyota Hilux Double Cab 2.5MT Turbo 4X4 dijual pada harga RM84, 025.95 seunit manakala Toyota Hilux Double Cab Turbo 2.5G (D) 4X4 (gear manual dan automatik) pula dijual pada harga RM91,798.46 dan RM96, 775.04 seunit,” katanya.

Orang ramai yang menempah ketiga-tiga model kenderaan berkenaan ketika berlangsungnya ‘roadshow’ itu kata Bonny juga berpeluang untuk menikmati kadar faedah serendah 2.38 peratus dan percuma bayaran cukai jalan selama dua tahun.

“Pelbagai acara menarik diadakan ketika berlangsungnya roadshow ini antaranya ialah pandu uji secara percuma, pertandingan mewarna, jamuan ringan kepada orang ramai dan cenderamata kepada mereka yang berdaftar ketika berlangsungnya roadshow terbabit.

“Justeru pihak kami berharap agar orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi premis Syarikat Inrun Motor Sdn Bhd yang dibuka pada jam 8 pagi hingga 5 petang ketika berlangsungnya roadshow ini,” menurut beliau.

Tamat.


Mesti transfer kalau tiada alasan kukuh - Jusoh


Caption: RASMI...Jusoh (tengah) bersama para pegawai kanan IPD Sri Aman sedang menyaksikan upacara serah tugas di antara Lee (kiri) dan Shahibbul (kanan) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (29 Mei) – Para pegawai dan anggota Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman diperingatkan supaya memikirkan sedalamnya keputusan untuk mengemukakan rayuan sekiranya diarah berpindah tugas ke tempat yang baru.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad berkata terdapat sesetengah pegawai atau anggota yang cuba mengemukakan rayuan kerana merasakan tidak selesa sekiranya diarahkan berpindah tugas ke tempat baru sebelum ini.

“Para pegawai atau anggota lain-lain pangkat di sini cuma boleh mengemukakan rayuan untuk tidak berpindah ke tempat kerja baru sekiranya mereka mempunyai alasan yang munasabah.

“Ini kerana arahan pertukaran tempat tugas oleh pihak atasan perlu dipatuhi oleh semua pegawai dan para anggota untuk sepanjang masa sekiranya diarahkan berbuat demikian...jangan kemukakan alasan kurang munasabah atas sebab ini,” katanya.

Selain itu beliau juga menasihatkan semua pegawai dan anggota lain-lain pangkat untuk saling bekerjasama dalam memastikan kelancaran fungsi setiap jabatan dalam IPD Sri Aman selepas ini.

Setiap pegawai dan anggota kata Jusoh harus ‘turun padang’ untuk membantu jabatan yang mengalami kekurangan anggota tanpa dikongkong oleh had kuasa tugasan masing-masing.

“Jabatan Siasiatan Jenayah Nakortik IPD Sri Aman contohnya sedang mengalami kekurangan pegawai pada masa sekarang jadi saya mahu pegawai dari jabatan yang lain turun padang untuk membantu kelancaran fungsi jabatan narkotik selepas ini,” katanya.

Terdahulu Jusoh telah menyaksikan upacara serah tugas yang berlangsung di antara ASP Lee Hock Long dan Inspektor Shahibbul Najib Kamaruddin bertempat di Pejabat Siasatan Jenayah Nakortik IPD Sri Aman hari ini.

Lee, yang telah memegang jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Nakortik IPD Sri Aman semenjak Mei 2007 dahulu akan berpindah tugas ke Jabatan Siasatan Jenayah Nakortik IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Inspektor Shahibbul secara rasminya akan memangku jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Nakortik IPD Sri Aman daripada ASP Lee berkuatkuasa mulai hari ini.

Tamat.


Harga barang masih stabil, barang masih cukup - Roslan


Caption: PANTAU...Roslan (kanan) bersama kakitangan Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman sedang meneliti barangan yang dijual di Pasar Tamu Sri Aman hari ini

SRI AMAN, Jumaat (29 Mei) – Tahap harga dan jumlah bekalan barangan keperluan utama dilaporkan masih lagi berada pada tahap yang stabil bersempena dengan Perayaan Gawai Dayak 2009 di bandar ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya pemeriksaan di Pasar Tamu Sri Aman di sini hari ini.

Para pengguna menurut beliau tidak mengalami masalah untuk mendapatkan barangan keperluan utama mereka walaupun pihak KPDNHEP tidak mengeluarkan senarai harga barangan kawalan bersempena dengan Perayaan Gawai Dayak ini.

“Ini satu perkembangan yang positif walaupun tiada senarai harga terhadap barangan terkawal dikeluarkan bersempena dengan perayaan Gawai Dayak pada tahun ini.

“Justeru pihak kami berharap agar harga barangan keperluan utama ini terus stabil dan penjual dapat terus memenuhi kehendak keperluan pengguna ketika berlangsungnya Perayaan Gawai ini nanti,” katanya.

Terdahulu Roslan bersama kakitangannya dan enam kakitangan Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman telah memulakan operasi pemeriksaan bermula dari Pasar Tamu Sri Aman pada jam 9 pagi hari ini.

Pemeriksaan oleh pihak KPDNHEP ini bertujuan untuk memantau perkembangan harga barangan keperluan dan jumlah bekalan barangan yang ditawarkan oleh penjual kepada para pengguna di bandar ini.

Pihak KPDNHEP Sri Aman juga turut melanjutkan kerja pemantauan mereka ke beberapa buah kedai runcit dalam bandar ini sebaik sahaja selesai memantau perkembangan harga barangan keperluan dan jumlah bekalan barangan di Pasar Tamu Sri Aman.

Tamat.

IPD Sri Aman adakan program PDRM bersama pelanggan


Caption: PENERANGAN...Seorang kakitangan IPD Sri Aman sedang menerangkan hal berkaitan barangan pameran kepada para pengunjung ketika berlangsungnya Program PDRM Bersama Pelanggan hari ini.


SRI AMAN, Jumaat (29 Mei) – Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah menganjurkan Program Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan bertempat di perkarangan hadapan Stesen Bas Sarawak Transport Company (STC), Sri Aman bermula dari jam 8 hingga 11 pagi hari ini.

Program PDRM Bersama Pelanggan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan di antara pihak polis dengan orang ramai dalam bandar Sri Aman.

“Menerusi program ini orang ramai berpeluang untuk menanyakan pelbagai hal yang berkaitan hal trafik dan jenayah di samping mengemukakan laporan yang berkaitan dengan bidang kuasa polis di kawasan ini.

“Ianya adalah merupakan satu kemudahan yang kita sediakan untuk mereka menerusi program berkenaan disamping mengeratkan lagi hubungan bersama mereka dalam sama-sama menangani hal jenayah dalam kawasan bandar ini,” kata Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad ketika ditemui hari ini.

Selain itu beliau juga mahu orang ramai dalam bandar ini untuk memanfaatkan peluang yang disediakan oleh polis terhadap mereka menerusi program yang sama pada 18 Jun depan.

Program PDRM Bersama Pelanggan menurut Jusoh yang bakal diadakan pada 18 Jun ini nanti akan diadakan dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman bertempat di Dewan Suarah Sri Aman.

“Program PDRM Bersama Pelanggan ini sebenarnya telah diadakan secara bulanan oleh pihak kita semenjak ianya bermula dua tahun yang lalu di lokasi yang terpilih dalam bandar ini.

“Respon setakat ini cukup baik. Justeru pihak kami berharap agar orang ramai beroleh manfaat menerusi kemudahan yang pihak kami telah sediakan pada Program PDRM Bersama Pelanggan hari ini,” katanya.

Orang ramai yang mengunjungi kaunter Program PDRM Bersama Pelanggan ini juga turut berpeluang untuk melihat pameran yang dikendalikan oleh pihak IPD Sri Aman.

Tamat.






SMK Lake juara kawad




Caption:


1. TAHNIAH...Melvin (kiri) menyampaikan hadiah kepada pasukan pemenang (kanan) sambil disaksikan oleh Rahman (kiri sekali) dan Apo (tengah) ketika berlangsungnya pertandingan semalam.

2. UNTUK ALBUM...Apo (tengah) dan Rahman (kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama pasukan pemenang ketika berlangsungnya pertandingan pagi semalam.

SRI AMAN, Khamis (28 mei) - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake dari Bau, Kuching telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Pertandingan Kawad Peringkat yang berlangsung di Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman pagi semalam.

Manakala itu dua buah sekolah menengah dari Bahagian Samarahan iaitu SMK Simunjan No.1 dan SMK Tae pula masing-masing mengondoli kedudukan tempat ke-2 dan ke-3 bagi pertandingan yang diadakan bersempena dengan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Negeri Sarawak berkenaan.

Enam buah lagi acara yang turut dipertandingkan pada pagi semalam ialah Pertandingan Kawad Kaki, Kawad Operasi Berhalangan Berhalangan (Kategori Basah lelaki dan perempuan), Kawad Operasi Menyelamat (Kategori Kering Lelaki dan Perempuan), Kawad Operasi Campuran, Pertandingan PC Terbaik dan Pertandingan Perkhemahan Terbaik.

SMK Simunjan No.1 telah menyandang gelaran johan untuk Pertandingan Kawad Kaki manakala SMK Lake dan SM Sains Kuching pula muncul pemenang kedudukan naib johan dan ke-3 bagi pertandingan tersebut.

Bagi Kawad Operasi Berhalangan Kategori Lelaki (Basah), SMK Simunjan No.1 sekali lagi menunjukkan kehebatan mereka apabila meraih tempat pertama manakala tempat kedua dan ketiga pula telah disandang oleh SMK Mendamit dari Limbang dan SMK Taee, Samarahan.

Kategori perempuan bagi pertandingan tersebut dimenangi oleh SMK Lake manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing telah disandang oleh SMK Taee dan SMK Simunjan No.1. Pasukan lelaki dari SMK Mendamit telah mempamerkan kehebatan mereka apabila muncul juara bagi pertandingan Kawad Operasi Menyelamat (Kering).

SMK Taee dan SMK Simunjan No.1 untuk pertandingan kategori lelaki ini masing-masing menyandang kedudukan naib johan dan tempat ke-3. SMK Lake muncul johan bagi kategori perempuan pertandingan itu manakala kedudukan naib johan dan ketiga masing-masing telah disandang oleh SMK Mendamit dan SMK Taee.

Pertandingan Kawad Operasi Campuran (Kering) untuk kategori Lelaki dan Perempuan masing-masing disandang oleh Pasukan SMK Miri manakala tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh SMK Lake dan SMK Taee.

SMK Simunjan No.1 muncul johan Pertandingan PC Terbaik manakala SMK Mendamit, Limbang menguasai kedudukan juara bagi Pertandingan Perkhemahan Terbaik.

Hadiah kepada pasukan pemenang telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sarawak iaitu Melvin anak Amok. Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Penyelia Badan Beruniform, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Apo Latit dan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Haji Abdul Rahman Haji Muhiyuddin.

Tamat...



Laksana program cegah kebakaran di peringkat sekolah - Melvin

SRI AMAN, Khamis (28 Mei) - Para anggota Kadet Bomba dan Penyelamat digalak untuk melaksanakan program yang berkaitan dengan kempen mencegah kebakaran pada skala kecil menerusi aktiviti ko-kurikulum di sekolah masing-masing kata Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Melvin anak Amok.
Menurut beliau ianya adalah merupakan salah langkah bagi mendokong usaha Kempen Mencegah Kebakaran yang dilancarkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di seluruh negara sebelum ini.
“Pihak kita mahu mempertingkatkan tahap kesedaran orang ramai akan betapa pentingnya mempelajari dan melaksanakan konteks pencegahan kebakaran di kawasan masing-masing dari masa ke semasa. “
Justeru pihak kita telah mengalakkan para anggota kadet bomba di seluruh sekolah dalam negara ini untuk aktif mengadakan ceramah, memberi tunjuk ajar mengenai penggunaan alat pemadam api dan sebagainya bagi tujuan kesedaran sivik dikalangan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak pada Majlis Penangguhan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2009 bertempat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman semalam.
Selain itu Melvin juga meminta kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Malaysia untuk mempertingkatkan lagi jumlah pasukan atau anggota kadet bomba di semua sekolah dalam negeri ini.
Menurut beliau kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Malaysia bagi tujuan itu adalah amat penting bagi menyediakan lebih banyak pilihan dan peluang kepada para pelajar mengikuti unit pasukan beruniform menerusi kegiatan kokurikulum di sekolah masing-masing.
“Pelajar juga boleh menimba banyak pengetahuan menerusi penyertaan mereka dalam pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat selain dari menyertai pasukan Kadet Polis dan Tentera,” kata beliau.
Hadir sama pada majlis berkenaan Penyelia Badan Beruniform, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Apo Latit dan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Haji Abdul Rahman Haji Muhiyuddin.
Tamat.

SMK Saint Luke juara bahas bahasa Inggeris ala Parlimen


Caption: TAHNIAH... Sang juara iaitu SMK Saint Luke yang terdiri daripada (dari kiri ke kanan) Jacintha Rundan, Daveency Pini, Athena Hollistini, Michelle Fiona dan Mercylla Sara.

SRI AMAN, Khamis (28 Mei) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke muncul juara bagi Pertandingan Bahas Bahasa Inggersi Ala Parlimen bagi Peringkat Bahagian Sri Aman yang berlangsung di sekolah terbabit baru-baru ini.

Pertandingan Bahas Bahasa Inggersi Ala Parlimen bagi Peringkat Bahagian Sri Aman ini telah disertai oleh lima buah sekolah menengah dari dalam daerah ini antaranya ialah SMK Simanggang, SMK Sri Aman, SMK Melugu, SMK Engkilili dan SMK Saint Luke selaku tuan rumah pertandingan berkenaan.

Pasukan SMK Saint Luke yang terdiri daripada Jacintha Rundan, Daveency Pini, Athena Hollistini, Michelle Fiona dan Mercylla Sara muncul juara setelah berjaya menewaskan pasukan SMK Melugu pada peringkat akhir pertandingan tersebut.

Dengan kemenangan SMK Saint Luke ini maka SMK Melugu muncul sebagai pemenang naib juara sambil diikuti oleh SMK Simanggang yang muncul sebagai pemenang tempat ke-3 bagi pertandingan tersebut.

Terdahulu kesemua lima buah pasukan ini telah berentap dalam pusingan pertama Pertandingan Bahas Bahasa Inggersi Ala Parlimen bagi Peringkat Bahagian Sri Aman menerusi bahas bertajuk “Media is the cause of unhealthy eating habits’.

Sang juara, SMK Saint Luke telah berdepan dengan SMK Sri Aman manakala SMK Melugu pula berdepan dengan SMK Engkilili pada pusingan pertama pertandingan berkenaan.

SMK Simanggang yang diletakkan dalam kedudukan ‘By Team’ pada pertandingan tersebut kemudiannya berdepan dengan pasukan SMK Saint Luke yang telah berjaya menewaskan pasukan SMK Sri Aman pada perlawanan pusingan pertama.

Bagaimanapun SMK Saint Luke berjaya melangkah ke pusingan akhir setelah menewaskan pasukan SMK Simanggang menerusi bahas bertajuk “Tertiary Education should be free” untuk berhadapan dengan pasukan SMK Melugu yang telah berjaya menewaskan saingan pasukan SMK Engkilili pada pusingan pertama.

Menerusi perlawanan peringkat akhir pertandingan itu, SMK Saint Luke telah berjaya menewaskan SMK Melugu menerusi bahas berjudul “Peer pressure brings more benefits than harm“.

Mercylla Sara Anak Joshua telah dipilih sebagai pembahas terbaik dalam pertandinagn ini. Pasukan ini akan mewakili bahagian Sri Aman ke Pertandingan Bahas Bahasa Inggersi Ala Parlimen peringkat negeri yang akan dilangsungkan di Betong pada bulan Jun nanti.

Tamat.

27 May, 2009

Belia dipelawa sertai Sukaneka Permotoran 2009 di KPSU lama 7 Jun ini

Mugshot: AWANG ZAINUDDIN AWANG AHMAD

SRI AMAN, Rabu (27 Mei) – Kelab TopGear Motorsport Sri Aman akan menganjurkan Sukaneka Permotoran 2009 bertempat di padang lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman pada 7 Jun ini.

Presidennya Awang Zainuddin bin Awang Ahmad ketika dihubungi berkata sejumlah lapan buah acara akan diadakan menerusi penganjuran Sukaneka Permotoran 2009 yang akan bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

“Acara itu ialah Pertandingan Mengayuh Basikal Dengan Mata Tertutup, Menunggang Motorsikal Paling Perlahan, Berlari Sambil Mengolek Tayar, Menukar Tayar Kereta Pancit Terpantas, Tarik Tali, Iron Man, Pameran Motorsikal dan Skuter.

“Kesemua acara yang diadakan Sukaneka Permotoran 2009 ini adalah bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia Ke-XII Peringkat Sarawak pada hari terbabit,” menurut beliau.

Menerusi Sukaneka Permotoran 2009, para belia dari sekitar bandar Sri Aman kata Awang akan berpeluang untuk menjiwai suasana sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong berkenaan.

“Atas sebab ini pihak kami ingin mempelawa semua belia dari sekitar bandar ini untuk mengambil bahagian dalam semua acara Sukaneka Permotoran 2009 pada hari berkenaan.

“Penyertaan adalah percuma. Mereka yang berminat perlu datang di padang berkenaan sebelum jam 8 pagi bagi tujuan proses pendaftaran diri dalam mana-mana pertandingan yang ingin mereka sertai kelak,” katanya.

Justeru Awang berharap agar golongan belia dari bandar Sri Aman tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti Sukaneka Permotoran 2009 yang akan dirasmikan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji pada hari tersebut.

Tamat.






Penduduk selantik ili happy dapat jeti baru


Caption: SERONOK...Beberapa orang remaja dan kanak-kanak dari rumah panjang Selantik Ili kelihatan sedang memanfaatkan kemudahan jeti kayu baru mereka semalam.

SRI AMAN, Rabu (27 Mei) – Penduduk dari rumah panjang Selantik Ili, dalam daerah Pantu, Sri Aman mula menikmati kemudahan jeti kayu yang sudah siap dibina di sungai berhampiran rumah panjang berkenaan semenjak empat hari lalu.

Menerusi peruntukkan kerajaan bernilai RM15,000 sebelum ini jeti sungai rumah panjang Selantik Ili berkenaan terdiri daripada sebuah struktur jambatan mini sepanjang 100 kaki dan sebuah jeti bagi tujuan kegunaan penduduk di situ.

Tinjauan Utusan Sarawak semalam mendapati bahawa rata-rata penduduk rumah panjang terbabit kelihatan begitu ghairah untuk menikmati kemudahan jeti baru di sungai berhampiran rumah panjang mereka untuk tujuan harian masing-masing.

Malahan penghuni yang mempunyai bekalan air bukit yang mencukupi di rumah masing-masing juga memilih untuk mandi-manda di sungai berkenaan walaupun bekalan air bukit dipercayai tidak menghadapi masalah buat sementara waktu ini.

Tuai rumah panjang berkenaan, Hearold Ernest ketika ditemui berkata proses pembinaan jambatan mini dan jeti kayu berkenaan hanya mengambil masa kurang dari tempoh satu minggu untuk disiapkan.

“Jadi saya berharap agar kemudahan jeti kayu terbaru yang telah disediakan oleh kerajaan di kawasan sungai berdekatan rumah panjang kami ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penduduk dari rumah panjang Selantik Ili selepas ini.

“Saya selaku mewakili penduduk dari rumah panjang di sini ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menyediakan peruntukkan bagi tujuan pembinaan jeti kayu berkenaan,” katanya.

Bekalan air adalah merupakan masalah utama yang dihadapi oleh penduduk rumah panjang Selantik Ili selama ini.

Mereka yang berkemampuan telah memohon bekalan air paip bermeter daripada pihak berkuasa tempatan manakala majoriti penduduk yang lain masih bergantung kepada sumber air bukit dan sungai bagi tujuan kegunaan harian masing-masing.

Tamat.


Tengok buaya dari Jeti DID Sri Aman

SRI AMAN, Rabu (27 Mei) – Tidak sukar menyaksikan kehadiran buaya di Sungai Batang Lupar Sri Aman sekiranya mereka yang berminat mempunyai daya kesabaran dan minat yang tinggi untuk berbuat demikian.

Mereka tidak perlu pergi jauh ke kawasan ulu atau hilir Sungai Batang Lupar sekiranya mahu menyaksikan kehadiran reptilia ganas berkenaan kerana mereka boleh berbuat demikian dengan mudah pada waktu malam di Jeti Jabatan Saliran dan Pengairan (DID) Bahagian Sri Aman di bandar ini.

Malahan keadaan mungkin menjadi lebih menarik jika mereka dapat menyaksikan kehadiran buaya ‘bermata satu’ (buta sebelah mata) di kawasan berhampiran jeti berkenaan sepertimana yang didakwa oleh setengah penduduk dari Kampung Hilir Sri Aman selama ini.

Inilah perkara yang dialami oleh kakitangan Utusan Sarawak pada jam 1.38 pagi tadi apabila berpeluang untuk menyaksikan kehadiran buaya yang dipercayai buta sebelah mata yang dipercayai cuba menaiki kawasan tebing sungai yang telah surut sebelumnya.

Jangkaan ini dibuat menerusi refleksi pantulan cahaya daripada hanya sebelah mata reptilia berkenaan apabila disuluh oleh penulis bersama kakitangan serta rakan-rakan penulis yang lain.

Bagaimanapun buaya berkenaan dengan pantas mengundurkan diri kembali ke dalam sungai terbabit setelah dipercayai ternampak pancaran cahaya lampu suluh daripada rakan-rakan penulis.

Pantulan mata buaya berkenaan kemudiaannya ‘hilang’ setelah terapung hampir 15 minit di dalam sungai berdekatan tebing sungai Batang Lupar yang telah surut akibat fenomena Pasang Surut di situ.

“Buaya bermata satu menjadi tarikan penduduk di sini. Kehadirannya selama ini adalah kerana kawasan tebingan sungai di sini dipercayai menjadi tempat ‘tinggal’ utama reptilia tersebut selama ini.

“Tiada anggaran tepat mengenai panjang sebenarnya reptilia buaya bermata satu berkenaan kerana ada yang menganggap bahawa panjangnya empat kaki manakala ada yang menganggap lima kaki setengah,” menurut rakan penulis.

Tamat.



Ketepikan randau politik, utamakan pembangunan


Caption: Tahniah…Nyalau menyampaikan wang insentif kepada seorang pelajar cermelang dalam majlis itu. Turut kelihatan Mussen (kanan sekali), Rayong (dua kiri) serta Mujah (kanan sekali).

LUBOK ANTU, Rabu (27 Mei) – Penduduk harus menumpukan lebih banyak masa untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membangunkan negeri ini dan bukannya hanya sibuk membicarakan sesuatu isu politik mengikut ‘selera’ diri masing-masing.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata bicara mendalam terhadap sesuatu isu politk terbabit secara tidak langsung boleh menimbulkan ketegangan di antara penduduk dalam kawasan mereka sendiri.

“Akibatnya ialah berlaku perpecahan di kalangan penduduk disebabkan oleh ideologi politik tidak sehaluan di antara golongan individu yang terlalu fanatik membicarakan hal tersebut.

“Tidak berbaloi kita bergaduh hanya kerana membicarakan sesuatu isu politik. Penduduk di sesebuah kawasan sebaliknya boleh duduk semeja untuk mencari jalan bagi membangunkan kawasan mereka menerusi bantuan kerajaan,” kata beliau.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Menyambut Hari Gawai Dayak Peringkat Daerah Lubok Antu di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu baru-baru ini.

Selain itu kata beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengotakan janjinya semasa pilihan raya kecil yang lalu apabila jalan raya di kawasan Skim Penempatan Semula Batang Ai fasa 2, jalan raya Lubok Antu – Bulo, jalan raya masuk ke Lubok Subong sedang dalam proses naiktaraf.

Malahan projek pembinaan jalan raya Ulu Lemanak/Engkari jelas beliau akan dibina manakala jalan raya dari Bukong ke Changkul hingga ke Kumpang Langgir akan dibaikpulih tidak lama lagi.

“Peruntukkan kewangan bagi tujuan pembinaan beberapa batang jalan raya berkenaan sudah pun disediakan menerusi tawaran tendernya...jadi ia membuktikan bahawa BN telah mengotakan janjinya kepada rakyat semenjak pilihan raya kecil (DUN Batang Ai) yang lalu,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong anak Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu Nelson Mujah anak Girie dan para ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat…..

1,382 pemilik enjin sangkut di sri aman terima rebat


Caption: GUNAKAN SEBAIKNYA...Shamshuddin (kiri) sedang menyampaikan dokumen rebat kepada penerima (kiri) sambil disaksikan oleh Harden (tengah), Simoi (kiri sekali) dan Mong (empat dari kiri) ketika berlangsungnya majlis hari ini.


SRI AMAN, Selasa (26 Mei) – Seramai 1,382 pemilik enjin sangkut daripada daerah Sri Aman, Pantu dan Lingga menerima wang rebat yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM578,990.

Kesemua para pemilik enjin sangkut berkenaan menerima wang rebat terbabit menerusi Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan kepada Pemilik Enjin Sangkut di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

585 orang pemilik enjin sangkut daripada jumlah keseluruhan penerima ini datang dari daerah Sri Aman manakala 309 orang lagi berasal dari kawasan daerah kecil Pantu. Selebihnya 488 orang pemilik yang turut menerima rebat pada majlis itu juga datang dari kawasan daerah kecil Lingga.

Bagaimanapun jika berpandukan kepada jumlah penerima mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam ketiga-tiga buah daerah berkenaan, kawasan DUN Bukit Begunan mencatatkan jumlah penerima tertinggi berbanding DUN Lingga, Balai Ringin dan Simanggang.

DUN Bukit Begunan mempunyai sejumlah 536 orang penerima yang mana 341 orang penerima daripada jumlah berkenaan telah menerima wang rebat terbabit di Engkeranji, Pantu pada 12 Mei lalu manakala selebihnya 195 orang pula menerimanya pada majlis hari ini.

Jumlah penerima wang rebat ini pula diikuti oleh DUN Lingga yang mempunyai seramai 283 penerima manakala DUN Balai Ringin pula mencatatkan sejumlah 222 orang penerima pada majlis berkenaan.

Manakala DUN Simanggang pula mencatatkan jumlah penerima wang rebat paling rendah apabila 133 orang pemilik enjin sangkut menerima wang berkenaan pada majlis terbabit.

Pemberian rebat ini dinilai berdasarkan kepada tahap kuasa kuda pada enjin sangkut yang dimiliki oleh penerima wang rebat berkenaan. Penerima yang memiliki enjin sangkut dengan kuasa kuda (KK) 21 hingga 40 menerima wang rebat sebanyak RM705.

Penerima yang memiliki enjin sangkut 11 hingga 20 KK pula menerima wang rebat sebanyak RM500 manakala mereka yang memiliki enjin sangkut 10 KK dan ke bawah hanya menerima sebanyak RM350 sahaja. Pemilik yang memiliki enjin sangkut 40 KK ke atas tidak layak menerima wang rebat terbabit.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis telah menyampaikan wang rebat berkenaan kepada kesemua penerima sambil disaksikan oleh ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan pemangku Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi.

Tamat.

BN tidak leka bangunkan hidup rakyat - Harden

SRI AMAN, Selasa (26 Mei) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak leka melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menjaga kebajikan hidup penduduk di negeri ini demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Menurut beliau pemberian rebat kepada pemilik enjin sangkut di negeri ini menunjukkan bahawa kerajaan BN memahami bebanan yang ditanggung oleh penduduk terutamanya sekali dari kawasan luar bandar ekoran kenaikan harga bahan api pada tahun lepas.

“Kita masih tetap menunaikan janji kita (pemberian rebat) kepada pemilik enjin sangkut walaupun harga bahan api sudah turun pada masa sekarang kerana ianya kewajipan BN untuk berbuat demikian.

“Walaupun pemberian rebat ini mungkin nampak sedikit namun penduduk sekurang-kurangnya dapat menikmati bantuan yang diberikan oleh kerajaan demi menjaga kebajikan hidup mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan kepada Pemilik Enjin Sangkut di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga mahu penduduk di kawasan luar bandar untuk sentiasa mengikuti perkembangan isu semasa di negara ini dan dunia amnya dari media masa demi mengelakkan mereka mudah terkeliru dengan dakyah yang diutarakan oleh pihak tertentu.

Pemahaman penduduk luar bandar mengenai isu bahan api contohnya menurut beliau adalah amat penting agar mereka dapat mengetahui langkah utama kerajaan untuk membendung isu berkenaan daripada terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu.

“Dengan ini penduduk di kawasan luar bandar akan mengetahui perbezaan peranan antara pihak kerajaan BN dan pihak pembangkang dalam menangani isu ini dari masa ke semasa.

“Kerajaan tidak akan sesekali memudaratkan hidup penduduk. Kita bertindak untuk merangka pelbagai pelan demi tujuan ini dan bukannya hanya pandai bercakap kosong serta melemparkan pelbagai fitnah tanpa ada tindakan susulan,” katanya.

ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan pemangku Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi turut hadir sama dalam majlis berkenaan.

Terdahulu seramai 1,382 pemilik enjin sangkut daripada kawasan daerah Sri Aman, Pantu dan Lingga menerima wang rebat yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM578,990 pada majlis itu.


Tamat.





Masuk politik demi rakyat - Rayong


Caption: MANFAATKAN… Rayong (empat kanan) bersama para penerima peruntukkan MRP BN daripadanya dalam majlis itu.

SRI AMAN, Selasa (26 Mei) – Hasrat untuk membantu mempertingkatkan taraf hidup penduduk khususnya mereka tinggal di kawasan luar bandar telah mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong anak Ngipa untuk menceburi bidang politik di negeri ini sebelumnya.

Justeru atas sebab ini, ADUN berkenaan yang sehingga kini masih lagi dianggap sebagai ‘rakan karib’ Barisan Nasional (BN) akan tetap membantu mana-mana penduduk dalam kawasan Engkilili yang menyokong atau pun tidak menyokong beliau selama ini.

“Sehingga kini saya masih lagi mengagihkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripada pihak BN kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang politik mereka sebelum ini.

“Paling penting di sini ialah saya mahu berlaku adil. Sebagai wakil rakyat di sini (DUN Engkilili) adalah merupakan tanggungjawab utama saya untuk membantu semua penduduk dan bukannya bertindak menyisihkan mereka yang tidak menyokong saya selama ini,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bersempena dengan Ulang Tahun Ke-4 Rumah Changgai, Selindong Ili, Engkilili, yang baru semalam.

Selain itu beliau sendiri juga bertindak menghubungi rumah panjang dalam kawasan DUN Engkilili untuk mendapatkan buku akaun bagi tujuan pengagihan MRP walaupun mereka pada zahirnya tidak pernah meminta peruntukkan itu daripada beliau sebelum ini.

“Kita perlu bertindak secara ‘automatik’ untuk memantau masalah hidup penduduk apabila sudah dipilih sebagai wakil rakyat acapkali menjelangnya pilihan raya di negeri ini.

“Sebab itulah saya tidak menunggu penduduk di bawah jagaan saya untuk tampil memberitahu masalah kepada saya selama ini kerana ia sememangnya sudah termaktub di bawah peranan kita sebagai wakil hidup mereka,” katanya.

Justeru beliau berharap agar penduduk di kawasan DUN Engkilili terus memberikan kerjasama terhadap kerajaan dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan berkenaan di masa akan datang.

Rayong menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan peruntukkan MRP sebanyak RM62,000 kepada 16 buah rumah panjang dan sebuah gereja di kawasan pilihan raya DUN Engkilili.

Tamat….









Pameran buku di dwn suarah jadi tarikan


TERTARIK...Orang ramai sedang tertarik melihat buku-buku yang dijual menerusi aktiviti pameran buku yang berlangsung di ruang legar Dewan Suarah Sri Aman bermula 22 hingga 26 Mei lalu. Menerusi pameran berkenaan orang ramai berpeluang untuk membeli buku bagi pelbagai jenis matapelajaran bagi menghadapi persiapan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM dalam versi Bahasa Inggeris serta Melayu. Selain itu buku cerita untuk tujuan kanak-kanak dan orang dewasa juga turut dijual dalam pameran terbabit. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

25 May, 2009

Promosikan budaya menerusi persatuan kata Simoi

Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI

SRI AMAN, Isnin (25 Mei) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri menasihatkan setiap persatuan untuk mempromosi serta memperkenalkan adat resam dan kebudayaan milik penduduk berbilang kaum dalam daerah ini.

Menurut beliau, sesebuah persatuan wajar dijadikan sebagai satu saluran untuk mengangkat adat resam dan budaya memandangkan pertubuhan terbabit menghimpunkan pelbagai penduduk berbilang kaum dalam daerah ini.

"Persatuan boleh digunakan untuk memartabatkan sesebuah budaya mahupun adat resam ke peringkat yang lebih tinggi...jadi alangkah baiknya salah sebuah fungsi persatuan itu dapat digunakan untuk tujuan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Mesra 2009 anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) cawangan Kampung Baru, Jalan Haji Undom, Sri Aman bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Hilir dekat sini baru-baru ini.

Selain itu Simoi juga mengalakkan penyertaan para belia dalam aktiviti berpersatuan di daerah ini demi menjayakan lagi perlaksanaan Konsep 1 (satu) Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Menerusi aktiviti berpersatuan kata beliau, para belia berpeluang untuk menimba pengalaman dengan berkhidmat bersama golongan dewasa dalam menjayakan aktiviti persatuan di daerah ini.

“Dengan adanya pengalaman ini, golongan belia akan mempunyai persediaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar untuk memajukan negara menerusi konsep 1 Malaysia.

“Justeru saya berharap agar lebih ramai golongan belia menyertai aktiviti berpersatuan di daerah ini...lagipun galakkan ini amat penting untuk mengurangkan risiko pembabitan mereka dalam aktiviti kurang sihat,” katanya.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Nicholas Sebastian David, Pengerusi PPWS kawasan Sri Aman, Latifah Mantali dan para ketua kaum dari sekitar kawasan ini.

Simoi menerusi majlis berkenaan turut mengumumkan peruntukkan berjumlah RM2,500 kepada PPWS Cawangan Kampung Baru bagi tujuan aktiviti tahunan mereka.


Tamat...


Organisasi perlu sedia terima teguran - Masir


Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Isnin (25 Mei) – Sesebuah organisasi perlu bersedia untuk menerima teguran atau pandangan daripada pihak lain sebagai langkah untuk lebih maju ke hadapan demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat.

Ini kerana teguran dan pandangan daripada lain-lain pihak kata beliau secara tidak langsung telah menunjukkan wujudnya kelemahan dalam pengurusan sesebuah organisasi terbabit sebelum ini.

“Kegagalan untuk menerima pandangan atau teguran daripada lain-lain pihak sekaligus boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan para ahli dalam sesebuah organisasi terbabit.
“Senario sebegini dapat kita lihat apabila berlakunya perpecahan di kalangan para ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung di sesetengah kawasan rumah panjang kerana tidak sependapat di antara satu sama lain dalam sesuatu perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Kursus Peningkatan Profesionalisme Persatuan Belia 2009 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman bertempat di sebuah hotel tempatan dalam bandar ini petang semalam.

Selain itu Masir juga mahu setiap ahli sesebuah organisasi berkenaan untuk mengamalkan sikap berpandangan jauh dan saling bekerjasama demi memajukan organisasi mereka dari masa ke semasa.

Dua ciri terbabit menurut beliau adalah amat penting sekiranya organisasi mereka mahu terus kekal bersaing dan berkembang seiring dengan lain-lain organisasi dalam negeri ini.

“Penduduk akan sentiasa menghormati sesebuah organisasi yang mereka lihat sentiasa berkembang dan mampu memberikan khidmat terbaik dari segi aspek sosiologi kepada mereka dari masa ke semasa.

“Jadi setiap ahli organisasi dan pemimpinnya haruslah berpandangan ke hadapan dan bukannya ke belakang. Utamakan keperluan utama organisasi dan bukannya kepentingan peribadi sekiranya mahu terus maju di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman Bahagian Pembangunan Belia, Mohd Israk Ismail, Residen Bahagian Sibu, Sim Kok Kee, Pengerusi SABERKAS Daerah Sri Aman, Haji Buani Haji Affandi, Penghulu Program, Haji Masrol Idi dan para peserta kursus yang lain.

Kursus yang berlangsung selama dua hari itu antara lain bertujuan untuk membina persatuan belia yang berketerampilan dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, kemahiran dan pengurusan organisasi dengan memupuk nilai-nilai murni dan gaya hidup berkualiti bagi memperkukuhkan integrasi nasional dan identiti bangsa Malaysia selaras dengan wawasan 2020.
Tamat...

SIDS Sri Aman bagi sumbangan gawai kepada pesakit hospital sri aman


Caption: IKHLAS...Roselyn menyampaikan hadiah kepada seorang pesakit sambil disaksikan oleh ahli SIDS Sri Aman dan kakitangan hospital berkenaan ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Isnin (25 Mei) – Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sri Aman telah menyampaikan sumbangan berupa hadiah kepara para pesakit di Hospital Bahagian Sri Aman hari ini.

Kesemua pesakit menerima hadiah berkenaan menerusi Majlis Sumbangan Perayaan Gawai yang bermula pada jam 2.00 petang hari ini sambil disertai oleh para ahli jawatankuasa SIDS cawangan Sri Aman bersama dengan para kakitangan Hospital Bahagian Sri Aman terbabit.

Pengerusinya Roselyn Abunawas ketika ditemui berkata majlis terbabit adalah merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan yang diadakan oleh pihak SIDS cawangan Sri Aman pada setiap tahun.

“Bersempena dengan perayaan Gawai Dayak yang akan disambut meriah pada 1 Jun ini maka pihak kami telah mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti amal ini dengan menyampaikan hadiah kepada para pesakit di Hospital Sri Aman.

“Tujuan utamanya ialah agar para pesakit di hospital dapat merasai suasana kemeriahan sambutan perayaan Gawai Dayak berbanding dengan mereka yang sihat dan meraikannya tanpa sebarang masalah kesihatan sebelum ini,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja selesai majlis berkenaan.

Selain itu majlis ini kata Roselyn secara tidak langsung membuktikan kepada semua pihak bahawa SIDS sememangnya amat aktif dalam melaksanakan aktiviti bercorak kemasyarakatan di daerah ini.

Dengan adanya majlis seumpama ini kata beliau, golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dalam bandar Sri Aman tidak akan berasa terpinggir dengan adanya sifat keprihatinan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak kepada mereka sepanjang masa.

“Justeru saya berharap agar sumbangan seumpama ini dapat menceriakan semua pesakit-pesakit di Hospital Bahagian Sri Aman disamping membantu menguatkan semangat mereka untuk melawan penyakit dalam diri masing-masing,” katanya.

SIDS cawangan Sri Aman menerusi majlis berkenaan telah menyediakan sebanyak 60 buah bungkusan hadiah untuk disampaikan kepada para pesakit di wad-wad dalam hospital berkenaan.

Hadir sama ialah Penyelia Ketua Jururawat Bahagian Sri Aman, Matron Lim Khim Chu, dan AJK persatuan berkenaan iaitu Florence Briku, Margaret Ann Bajai, Peggy Vera Johnatan Isau, Lita Tukang, Catherine Musa dan lain-lain ahli.

Tamat.


Avelyn Siang - Gadis kacukan Iban Cina juara Pekit Kumang Gawai Simanggang 2009


Caption: CANTIK...Avelyn (tengah) sambil diapit oleh Michelle (kanan) dan Elisabeth (kiri) sedang bergambar dihadapan media sebaik sahaja selesai pengumuman keputusan Pekit Kumang Gawai 2009 di sini malam tadi.


SRI AMAN, Sabtu (23 Mei) – Avelyn anak Siang dari Rumah Untoi, Batu Besai, Sri Aman telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan @ Pekit Kumang Gawai Dayak 2009 anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Avelyn, 22, pelajar berketurunan kacukan Cina dan Iban dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) ini telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800 beserta dengan sebuah Trofi, Selampai dan Bungai jari.

Kedudukan naib juara dalam pertandingan itu pula telah dimenangi oleh pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) cawangan Mukah iaitu Eruphrasia Michelle Ken, 20, dari Rumah Kilau, San Ugol.

Michelle telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700 beserta dengan sebuah Trofi, Selampai dan Bungai jari manakala tempat ketiga pula telah disandang oleh Elisabeth Bedai Bill, 20, dari Taman Siang, Sri Aman yang juga membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM600 beserta dengan sebuah Trofi, Selampai dan Bungai jari.

Lima orang peserta yang berjaya membawa pulang hadiah wang saguhati sebanyak RM200 dan trofi pada pertandingan itu ialah Formita Brown, Lydia Desmond Bangga, Linny Lina James Jabu, Cecelia Jackson Gree dan Felecia John.

Simba anak Nalang yang merupakan isteri kepada Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada para peserta pertandingan terbabit sambil diiringi oleh Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas.

Pertandingan yang diadakan bersempena dengan Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2009 ini turut disaksikan oleh Harden sendiri bersama dengan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie dan pengerusi majlis, Roland Demong.

Tamat.

Sri Aman perlukan pelan pembangunan lebih hebat dari sekarang - Harden




Caption:

1.PENGHARGAAN...Roland Demong (kiri) sedang menyampaikan cenderamata kepada Harden (tengah) sambil disaksikan oleh Masir (dua kiri) dan Rosylen (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

2. SELAMAT GAWAI...Harden bersama isteri, Simba Nalang (tengah) sedang bersama-sama dengan para tetamu kehormat dan ahli SDNU dan SIDS Sri Aman meraikan detik sambutan pra gawai ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (23 Mei) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menyangkal tuduhan oleh sesetengah pihak terutamanya ketua kaum yang mendakwa bahawa bandar Sri Aman tidak menerima sebarang pembangunan sehingga ke masa sekarang.

Lebih mengecewakan beliau ialah apabila pihak berkenaan iaitu seorang ketua persatuan dan dua orang ketua kaum dari daerah ini telah bertindak menyiarkan dakwaan tidak berasas terbabit menerusi akhbar berbahasa Mandarin pada 18 Mei lepas.

“Adakah mereka tidak nampak apa yang sedang berlaku di (bandar) Sri Aman sekarang? Perlaksanaan projek bandar baru Sri Aman fasa I, projek Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Fasa I dan Stesen Pemantau Benak yang masih dalam proses pembinaan sekarang menunjukkan adanya projek pembangunan di kawasan ini.

“Dakwaan mereka ini adalah salah dan tidak boleh diterima. Bandar Sri Aman ada mengalami proses pembangunan dan bukannya sedang ‘tidur’ sepertimana yang didakwa oleh mereka selama ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2009 dan Pekit Kumang Gawai 2009 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu golongan pengkritik berkenaan menurut Harden sememangnya tidak pernah puas mengungkit kelemahan pihak kerajaan dengan menjadikan media sebagai senjata utama mereka bagi tujuan berkenaan.

“Dulu mereka marah terhadap kerajaan apabila balai bomba dan penyelamat Sri Aman yang lama dahulu tampak sudah uzur dan tidak dapat memenuhi keperluan keselamatan penduduk di daerah ini.

“Bagaimanapun apabila kerajaan telah membina balai bomba yang baru di Jalan Sabu menerusi kos pembinaan melebihi RM20 juta, golongan terbabit pula ‘melenting’ kembali dengan mengatakan bahawa ianya satu pembaziran,” katanya.

Justeru Harden berharap agar penduduk dari sekitar kawasan Sri Aman tidak mudah terpedaya dengan dakwaan yang ditimbulkan oleh golongan terbabit menerusi media cetak seperti akhbar kerana ianya dianggap tidak tepat serta mengelirukan.

Majlis yang merupakan anjuran pihak Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sri Aman turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas dan pengerusi majlis, Roland Demong.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan berjumlah RM5,000 kepada SDNU dan SIDS Simanggang manakala Masir juga turut mengumumkan peruntukkan dengan nilai yang sama terhadap kedua-dua persatuan terbabit.

Tamat.

DAP Sri Aman 1st move?

SRI AMAN, Sabtu (23 Mei) – Komen daripada dua orang ketua kaum dan seorang pengerusi persatuan berhubung isu pembinaan hospital baru Sri Aman dan balai bomba baru di akhbar tempatan berbahasa Mandarin pada 18 Mei lalu adalah bermotifkan politik.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah mengesahkan tindakan bermotifkan politik daripada ketiga-tiga individu berkenaan ketika ditanya oleh pemberita di sini malam tadi.

“Saya yakin tindakan mereka bertiga itu mempunyai pertalian rapat dengan pilihanraya negeri pada tahun 2010 atau 2011 nanti...mungkin ianya ‘senjata awal’ untuk melemahkan kekuatan Barisan Nasional (BN) yang diteraju oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di sini (kerusi Dewan Undangan Negeri N.27 Simanggang),” katanya.

Beliau yang merupakan wakil rakyat bagi kawasan DUN Simanggang ini yakin bahawa tindakan awal mereka tidak akan dapat meruntuhkan keyakinan orang ramai terhadap kekuatan BN di kawasan ini.

Ini kerana BN menerusi SUPP menurut beliau telah berjaya membangunkan kawasan DUN Sri Aman dengan pelbagai projek pembangunan yang sedia ada pada masa sekarang sambil disaksikan oleh penduduk di kawasan ini.

“Lagipun projek pembinaan hospital baru Sri Aman sebenarnya diluluskan peruntukkan berjumlah RM200 juta bagi tujuan terbabit pada tahun 1998 dahulu dan RM7 juta daripada jumlah itu telah pun digunakan untuk membeli tanah seluas 20.94 hektar di Kejatau.

“Bagaimanapun projek pembinaan hospital itu tergendala kerana tapak tanah berkenaan adalah jenis gambut dan tidak sesuai bagi tujuan itu...jadi pihak kita sekarang sedang berusaha untuk mencari kawasan tapak tanah yang baru,” katanya sambil menambah bahawa sasaran pembinaan Hospital Sri Aman yang baru adalah pada tahun 2010 ini.

Justeru Harden berharap agar para ketua kaum bertindak secara kontraktif dengan bekerjasama bersama wakil rakyat atau pegawai daerah di kawasan masing-masing berhubung isu perlaksanaan sesebuah projek pembangunan.

Utusan Sarawak juga turut dimaklumkan bahawa dua orang ketua kaum berkenaan bersama pengerusi persatuan di bandar ini akan dipanggil ke Pejabat Residen Bahagian Sri Aman berhubung tindakan mereka itu.

Terdahulu Harden telah merasmikan Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2009 dan Pekit Kumang Gawai 2009 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Majlis yang merupakan anjuran pihak Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sri Aman turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas dan pengerusi majlis, Roland Demong.

Tamat.




RELA Sarawak target 200,000 anggota menjelang 2012


Caption: SERIUS...John (tengah) ketika sedang mempengerusikan Mesyuarat Penggal Ke-2 RELA Negeri Sarawak di sini hari ini. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Sabtu (23 Mei) – Ketumbukkan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Negeri Sarawak akan mensasarkan jumlah penyertaan sebanyak 200,000 anggota pasukan terbabit menjelang tahun 2012 nanti.

Pemangku Pengarah RELA Negeri Sarawak, Kolonel (RELA) John anak Gila ketika ditemui berkata pasukan RELA Negeri Sarawak sehingga kini hanya mempunyai sejumlah 81,853 anggota.

“Sasaran pertambahan anggota RELA Sarawak ini dibuat apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pada 17 Mei lalu mahu mensasarkan sejumlah 2.5 juta anggota RELA di Malaysia dalam tempoh tiga tahun mulai sekarang.

“Justeru atas sebab ini, sasaran untuk negeri Sarawak adalah pertambahan sebanyak 10 hingga 20 peratus anggota...dengan kata lain kita mahu jumlah keanggotaan pasukan RELA di negeri ini nanti berjumlah 200,000 pada tahun 2012 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Penggal Ke-2 RELA Sarawak bertempat Pejabat RELA Daerah Sri Aman di Jalan Kejatau hari ini.

Untuk mencapai jumlah sasaran berkenaan kata John, pihak RELA akan mengiatkan usaha untuk mengambil anggota-anggota baru dari kawasan rumah panjang, kampung dan dalam bandar di negeri ini.

Justeru beliau berharap agar pihaknya dapat mencapai jumlah sasaran keanggotaan berkenaan menjelang tahun 2012 ini demi menguatkan ketumbukan pasukan RELA Malaysia dan Sarawak khasnya.

Terdahulu, John telah mempengerusikan Mesyuarat Penggal Ke-2 RELA Sarawak yang turut dihadiri oleh 100 anggota RELA dari seluruh daerah kawasan dalam negeri ini.

Mesyuarat Penggal Ke-2 RELA Sarawak bertempat di Pejabat RELA Daerah Sri Aman bermula hari ini hingga esok (24 Mei) turut dihadiri oleh Pegawai RELA Daerah Sri Aman iaitu Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom.

Antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat terbabit hal mengenai pentadbiran, latihan dan tugas-tugas utama RELA di negeri ini.

Tamat.

Tegah pembiakan nyamuk di rumah kata Harden


Caption: UNTUK ALBUM...Harden (tengah) bersama Jack (kanan) dan Jimmy (kiri) bergambar kenangan ketika berlangsungnya projek gotong-royong di sini hari ini. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Sabtu (23 Mei) – Penyakit Deman Denggi Berdarah merupakan ancaman utama terhadap kesihatan penduduk tanpa mengira mereka yang tinggal di dalam dan luar kawasan bandar di negeri ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Beliau menyifatkan bahawa penyakit Deman Denggi Berdarah yang berpunca dari nyamuk Aedes ini sebagai ancaman utama terhadap kesihatan penduduk memandangkan belum terdapat sebarang vaksin bagi menyembuhkan penyakit berkenaan sehingga masa sekarang.

“Sehingga sekarang tidak ramai penduduk terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar menyedari akan bahaya akibat penyakit Demam Denggi Berdarah yang berpunca dari nyamuk Aedes.

“Tahap kesedaran penduduk luar bandar khususnya terhadap risiko bahaya penyakit Deman Denggi Berdarah yang dibawa oleh nyamuk Aedes ini ialah apabila terdapat sebilangan penduduk yang tidak mengutamakan tahap kebersihan rumah masing-masing,” katanya.

Kempen Anti-Nyamuk dan Gotong-Royong bertempat di kawasan Taman Nanang dan Munggu Sabun, Jalan Bayu, Sri Aman anjuran Majlis Daerah Sri Aman hari ini.

Kata beliau, kewujudan sampah sarap terutamanya yang berpotensi menakung air di sekeliling rumah penduduk sememangnya menjadi sasaran utama nyamuk Aedes untuk membiak dan seterusnya menyebarkan penyakit berkenaan terhadap mangsanya.

Justeru kata Harden penduduk perlulah lebih berwaspada terhadap tahap kebersihan di sekeliling kawasan rumah masing-masing dan melaksanakan kerja gotong-royong bersama penduduk yang lain untuk membendung pembiakan nyamuk berkenaan.

“Buang atau bakar segala sampah sarap yang berpotensi untuk menakung air seperti tin kosong, tayar terbuang, plastik dan sebagainya demi mengelakkan iyanya menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.

“Langkah mencegah lebih daripada mengubat. Saya minta semua penduduk di kawasan rumah panjang supaya lebih rajin untuk mendapatkan maklumat berhubung langkah pencegahan penyakit Demam Denggi Berdarah dari media cetak dan elektronik,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha MDSA, Jack Aman Luat, Timbalan Pengerusi MDSA, Kanselor Jimmy Chong, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi dan para ketua kaum dari kawasan berkenaan.

Majlis terbabit diserikan lagi dengan upacara penyampaian tong sampah, jamuan ringan, penanaman pokok bunga dan gotong-royong beramai-ramai di kawasan rumah panjang berkenaan.

Tamat.

23 May, 2009

Prestasi guru sarawak membanggakan kata Jaidah


Caption: TAHNIAH...Jaidah (kiri) sedang menyampaikan sijil kepada seorang guru (kanan) sambil disaksikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Jumaat (22 Mei) – Nama Sarawak semakin harum apabila seramai enam orang guru dari negeri ini berjaya memenangi pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan menerusi sebuah majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Terengganu pada 15 Mei lalu.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Sarawak (JPS) Jaidah binti Mohd Alleh berkata enam orang guru berkenaan adalah Liong Shou Chuan, Ngu Ming Ung, Wong Chao Kiong, Lydia Sim Chiew Li, Chiew Hua Ming dan Ngo Boi Huang.

“Liong dan Ngu iaitu masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacret Heart Sibu telah muncul sebagai pemenang Anugerah Pemimpin Dalam Teknologi Maklumat dan Anugerah Guru Dalam Teknologi Maklumat.

“Manakala itu Wong dari SMK Green Road, Kuching pula telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ke-3 bagi Peraduan Menulis Esei Bahasa Inggeris (Kategori Guru) sambil diikuti oleh Lydia Sim dari SK Segong, Bau yang muncul sebagai pemenang tempat ke-3 Kategori Individu bagi Anugerah Guru Inovatif, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Desiran Benak Bumi Kenyalang 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Dua orang lagi guru iaitu Chiew dan Ngo dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Taman Rajang, Sibu pula menurut Jaidah telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ke-2 Anugerah Guru Inovatif bagi Kategori Kumpulan Sekolah Rendah.

“Ini pencapaian yang cukup membanggakan bagi semua guru dari negeri Sarawak kerana mampu bersaing dalam pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan pada masa sekarang.

“Justeru saya berharap agar para guru dari negeri ini mampu mengulangi prestasi yang lebih memberangsangkan berbanding sebelum ini di pertandingan peringkat kebangsaan yang akan datang,” katanya.

Malam Desiran Benak Bumi Kenyalang 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Tamat.

22 May, 2009

RM450,000 untuk tiga buah sekolah - Harden


Caption: UNTUK ALBUM...Harden (duduk tengah) sedang merakamkan gambar kenangan bersama lembaga pengurusan dari tiga buah sekolah penerima bantuan di sini hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (22 Mei) – Tiga buah sekolah dari bandar Sri Aman telah menerima bantuan sekolah ‘mission’ daripada Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menerusi majlis yang berlangsung di Dewan Gereja Saint Luke Sri Aman di sini hari ini.

Tiga buah sekolah yang menerima bantuan terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke, Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke dan SK Saint Lawrence.

SMK Saint Luke yang diwakili oleh pihak lembaga pengurusan sekolah berkenaan telah menerima bantuan sebanyak RM150,000 manakala SK Saint Luke menerusi lembaga pengurusan mereka pula menerima bantuan sebanyak RM100,000.

Sebuah lagi sekolah iaitu SK Saint Lawrence menerusi lembaga pengurusan sekolah berkenaan juga menerima bantuan kewangan sebanyak RM200,000 daripada pihak kerajaan pada majlis itu.

Harden menerusi majlis berkenaan berharap agar bantuan kewangan tersebut dapat membantu para penerima memperbaiki segala kekurangan yang terdapat di sekolah masing-masing.

“Jadi diharap agar bantuan kewangan oleh kerajaan ini dapat membantu ketiga-tiga buah sekolah berkenaan untuk menaiktaraf kemudahan dan memperbaiki kekurangan yang terdapat sekolah masing-masing,” katanya.

Terdahulu Harden telah mengadakan perbincangan bersama para wakil penerima tersebut untuk mendengar segala masalah yang mahu diluahkan oleh pihak daripada tiga buah sekolah berkenaan.

Setelah mengadakan perbincangan selama satu jam (bermula dari jam 10 pagi), beliau bersama para wakil penerima kemudiannya meninjau kawasan Dewan Gereja Saint Luke Sri Aman terbabit.

Tamat.



Naikkan profession guru - Snowdan

Caption: MANFAATKAN...Wakil Snowdan iaitu Abah (kiri) sedang menyampaikan cek kepada wakil Jawatankuasa Zon Telagus (kanan) ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Jumaat – Cabaran globalisasi pada masa sekarang telah menuntut agar rakyat Malaysia menjadi lebih berpengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan lebih mengutamakan kualiti kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Ianya menurut beliau secara tidak langsung telah menyebabkan tuntutan terhadap peranan seorang guru sebagai golongan warga pendidik di negara ini adalah jauh lebih hebat berbanding masa dahulu.

”Kerajaan mahu mewujudkan golongan guru yang berkualiti demi membolehkan berlakunya reformasi pendidikan dalam negara ini demi melahirkan generasi masa hadapan yang boleh mengangkat Malaysia ke suatu tahap yang lebih membanggakan. ”

Atas sebab ini maka kerajaan telah merangka empat strategi utama telah dirangka agar dapat memenuhi sebahagian besar keperluan intelektual, rohani, fizikal dan emosional para guru,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh pembantu beliau iaitu Aba Unggie ketika merasmikan Majlis Makan Malam bersempena Majlis Perayaan Sambutan Hari Guru 2009 peringkat DUN Balai Ringin di sini baru-baru ini.

Empat strategi terbabit kata Snowdan adalah langkah untuk memantapkan pemilihan bakal guru dan latihan guru, menambah baik karier perguruan dan persekitaran kerja guru sehinggalah kepada usaha untuk meningkatkan rasa bangga guru terhadap profesion perguruan. ”

Kerajaan mahu memastikan agar para guru yang berkualiti berupaya melahirkan golongan modal insan untuk memenuhi tuntutan pembangunan negara pada masa akan datang. ”

Justeru saya berharap strategi ini juga dapat mengembalikan rasa hormat rakyat kita terhadap golongan guru yang selama ini menuduh golongan berkenaan gagal menjaga masalah salah laku disiplin di sekolah,” katanya.

Snowdan menerusi majlis terbabit telah mengumumkan peruntukkan sebanyak RM5,000 Jawatankuasa Zon Telagus bagi kegunaan mereka di masa akan datang. Tamat.


Alban dan Haji Badi tokoh guru sarawak 2009

SRI AMAN, Khamis (21 Mei) – Alban Sanggat anak Billie dan Haji Badi bin Haji Mohd Nuawi telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Sarawak 2009 bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2009 bertempat Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Kedua-dua mereka telah diiktiraf sebagai Tokoh Guru Negeri Sarawak 2009 setelah dinilai dari segi khidmat bakti dan sumbangan murni masing-masing terhadap penduduk dan negara selama ini.

Untuk itu Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah diberikan penghormatan untuk menganugerahkan Tokoh Guru Negeri Sarawak 2009 kepada kedua-dua mereka pada majlis berkenaan.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah, para wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Haji Julaihi Haji Bujang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan guru dari seluruh negeri ini hadir sama untuk menyaksikan majlis tersebut.

Terdahulu, Alban, 75, anak jati kelahiran Simunjan telah memulakan perkhidmatan sebagai seorang guru akademik di Sekolah Rendah Bantuan (SRB) Saint Luke Sri Aman bermula dari tahun 1961 hingga 1966 sebelum dilantik sebagai Guru Besar sekolah berkenaan dan seterusnya bersara pada tahun 1988.

Disamping kejayaan menjadikan SRB Saint Luke sebagai sekolah cemerlang menerusi Common Entrance Examination, beliau juga turut aktif dalam kegiatan kokurikulum dengan menyertai Persatuan Pengakap semenjak dari bangku sekolah.

Beliau adalah merupakan mantan Pesuruhjaya Pengakap kawasan Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok bermula dari tahun 1982 hingga 1995 disamping melibatkan diri dalam Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak dari tahun 1972 hingga 1988.

Mempunyai enam orang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Ronie Patricia Tulis, Alban juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Dewan Suarah Sri Aman bermula dari tahun 1989 hingga 2007.

Manakala itu Haji Badi pula adalah anak jati kelahiran Kapit dan memulaka karier sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Tuma, Lawas pada tahun 1966 sebelum menjadi pemangku guru besar di SK Nanga Embau, Song pada tahun 1968 dan juga di SK Lepong Menuan, Kapit pada tahun 1970.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Penolong Penyelia di Pejabat Pelajaran Kapit pada tahun 1982 sebelum dilantik menjadi guru besar SK Sungai Kapit, Kapit pada tahun 1997 dan seterusnya bersara pada tahun 2000.

Sepanjang karier sebagai seorang guru, beliau pernah menjadi penggerak Projek 3K untuk Sekolah-Sekolah Angkat Bahagian Kapit dan juga menjadi kumpulan guru pertama yang menggunakan kaedah Primary English Medium Scheme pada tahun 1966.

Dalam kegiatan luar, Badi telah dilantik menjadi Setiusaha MSS dan PSKPP Bahagian Kapit (1982 – 1996), Ahli Jawatankuasa MSS dan PSKPP Sarawak (1982-1996), Naib Pengerusi Persatuan Tenis Sarawak dan banyak lagi.

Faktor ketokohan dan kepimpinan selama ini membolehkan beliau dilantik sebagai Pemanca Masyarakat Melayu Kapit bermula tahun 2005 sehingga sekarang disamping menjadi Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Kapit dan Pengerusi Masjid Jabal An-Nur mulai tahun 2007.

Taat.





Perkenal konsep 1 Anak Sarawak - Taib




Caption:

1.UNTUK ALBUM...Pehin Sri Taib merakamkan gambar kenang-kenangan bersama dua penerima Tokoh Guru Sarawak 2009 iaitu Alban Sanggat Bilie (kanan beliau) dan Haji Badi Haji Mohd Nuawi (kiri) beliau ketika berlangsung majlis hari ini. Turut kelihatan ialah (dari kiri sekali) Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Datuk Francis Harden dan Dr Haji Julaihi (kanan sekali).

1.RASMI...Pehin Sri Taib sedang menyempurnakan majlis kemuncak Perayaan Hari Guru 2009 sambil disaksikan oleh para dif kehormat ketika berlangsungnya majlis di sini hari ini.
SRI AMAN, Khamis (21 Mei) – Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud mencadangkan agar diwujudkan konsep 1 (Satu) Anak Sarawak bagi mendokong konsep ‘1 Malaysia’ yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Menurut beliau pengenalan konsep Anak Sarawak adalah amat penting bagi menghimpunkan semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi memajukan Sarawak di masa akan datang.

“Perkara ini jika kita sedari dan amalkan maka sudah tentu akan dapat membentuk sebuah konsep 1 Anak Sarawak yang seterusnya menjadi contoh kepada mana-mana pihak yang mahu memperjuangkan konsep 1 Malaysia.

“Dengan adanya gabungan kedua-dua konsep ini kelak, saya percaya semua pihak dapat bersama-sama untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang cemerlang dan gemilang menjelang tahun 2020 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu Pehin Sri Taib juga berkata bahawa kerajaan kini sudah pun maju dalam melaksanakan segala projek pembangunan di negeri ini walaupun Malaysia dikelaskan sebagai sebuah negara membangun.

“Hasil daripada cara perlaksanaan pembangunan kita yang kian maju, semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini sudah pun menikmati perubahan taraf hidup yang ketara apabila sejuta daripada 2.5 juta penduduk Sarawak kini mampu memiliki kenderaan masing-masing.

“Justeru Sarawak memerlukan tenaga kerja yang berterusan sekiranya mahu mencapai status negeri maju dan ianya bergantung kepada kecekalan para guru untuk melaksana tugas mendidik bakal pewaris pembangunan negara menjelang tahun 2020 kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah, para wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Haji Julaihi Haji Bujang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan guru dari seluruh negeri ini.

Kemuncak majlis berkenaan telah diserikan dengan simbolik perasmian majlis oleh Pehin Sri Taib, majlis penyampaian Anugerah Tokoh Guru Negeri Sarawak 2009, persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian lagu Nasyid serta penyampaian puisi bersempena sambutan Hari Guru 2009.

Tamat.

Guru Sarawak harus lebih berpotensi - Dr Julaihi

SRI AMAN, Khamis (21 Mei) – Guru-guru Sarawak sangat berpotensi dan dapat mencapai kedudukan yang lebih baik di masa akan datang dengan syarat mereka ini haruslah sentiasa mempertingkatkan tahap kemahiran serta keilmuan masing-masing dari masa ke semasa.

Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Haji Julaihi bin Haji Bujang berkata tindakan ini perlu kerana dalam sesebuah masyarakat ilmu pada masa sekarang, ilmu pengetahuan bukan lagi dimonopoli oleh seorang guru.

“Mereka (guru) juga tidak dapat lagi mendabik dada dan mengatakan bahawa dialah pakar dalam ilmu dan sumber ilmu kepada anak-anak muridnya.

“Ianya disebabkan oleh kemunculan sumber maklumat yang wujud menerusi teknologi internet seperti Facebook, Twitter, Blog, Youtube dan Portal sehingga menawarkan perolehan sumber maklumat yang banyak pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Untuk itu katanya para guru harus menguasai dahulu sumber ilmu daripada kemudahan internet ini sebelum ianya disampaikan kepada anak-anak murid ketika berlangsungnya sesi pembelajaran di kelas.

Kegagalan berbuat demikian kata Julaihi akan mendedahkan kelemahan dirinya sendiri terhadap anak-anak murid sehingga menyebabkan mereka kurang yakin disamping menjadikan sesi pembelajaran di kelas menjadi kurang menarik.

Terdahulu Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah merasmikan Majlis Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa.

Taib menerusi majlis itu juga turut menyampaikan Anugerah Anugerah Tokoh Guru Negeri Sarawak 2009 kepada Alban Sanggat Billie dan Haji Badi Haji Mohd Nuawi.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah, para wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan guru dari seluruh negeri ini.

Tamat.

21 May, 2009

Apai passed away - 21 Mei 2009 11a.m


pix coutesy Star citizen blog

Sarawak most senior national press photographer Rapaiee Kawi passed away at around 11am today while undergoing medical check up at a Polyclinic.

Apai Star, his press world name, left behind a wife and 4 children behind, two boys and two girls.

He is the first Malaysia press photographer using DSLR camera, a Canon that cost roughly RM120,000 while covering Malaysia first Everest expedition.

Being a Christian Melanau with Malay name, Apai has many comical tale to share of being arrested for eating in public during “Holy Ramadhan”.

He is famous for his quote, with or without surname as long you do not trade my “bin” with “anak”.
He is the protem chairman of Sarawak Chapter of Sportwriters Association Malaysia.

His remains is still at the mortuary at press time (13.30 hours) and will be brought to his residence in Batu Kawah.
Toman Mamora, chairman of Sarawak Press Foundation expressed his sadness over Apai demise.

“His passing is a great loss to Sarawak press community,” Toman told Sarawak Update.

20 May, 2009

Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2009 di SA meriah




Caption:

1.MERIAH...Orang ramai sedang membanjiri kawasan dalam Mini Stadium Sri Aman untuk melihat pameran yang diadakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta di situ.

2. TERTARIK...Wakil pengarah, Jaidah binti Haji Alleh (kanan) sedang tertarik melihat barangan pameran yang dipamerkan pada program terbabit.

SRI AMAN, Rabu (20 Mei) – Lebih 500 pengunjung membanjiri Mini Stadium Majlis Daerah Sri Aman untuk menyaksikan Pameran Pendidikan bersempena dengan Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2009 yang bermula semalam.

Rata-rata para pengunjung yang hadir pada Pameran Pendidikan ini telah menyaksikan pelbagai pameran yang disediakan oleh 27 buah jabatan kerajaan, agensi kerajaan dan swasta bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Ianya termasuklah pameran oleh Giatmara, Universiti Malaysia Sarawak, Yayasan Sarawak, Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman, Jabatan Pelajaran Sarawak, Kolej Inti, Sri Aman Computer Centre, Bank Rakyat, UITM Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta banyak lagi.

Pameran Pendidikan yang bakal berakhir pada 21 Mei kelak telah dirasmikan oleh wakil Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak (JTS), Jaidah binti Haji Alleh merangkap Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan JTS.

Terdahulu bandar Sri Aman telah terpilih sebagai tuan rumah bagi tujuan penganjuran Majlis Perayaan Hari Guru 2009 peringkat Negeri Sarawak bermula dari 19 hingga 21 Mei ini.

Lima buah acara diadakan bagi tujuan terbabit antaranya ialah Pameran Pendidikan, Malam Desiran Benak Bumi Kenyalang, Majlis Keilmuan: Forum Pendidikan, Lawatan Pendidikan dan Majlis Perasmian Perayaan Hari Guru 2009 Peringkat Negeri Sarawak.

Malam Desiran Benak Bumi Kenyalang di Dewan Suarah Sri Aman yang berlangsung pada malam pertama sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Manakala itu Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pula akan merasmikan kemuncak perayaan Hari Guru berkenaan di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 9 pagi pada 21 Mei ini nanti.

Dua buah acara menarik yang berlangsung hari ini juga ialah Majlis Keilmuan: Forum Pendidikan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman dan Lawatan Pendidikan ke Hidro Batang Ai / Skim Merindun, Lubok Antu.

Tamat.







Budayakan pembelajaran berterusan dikalangan warga pendidik - Harden




1. 1.TAHNIAH...Harden (kiri) sedang menyampaikan sijil kepada seorang guru sambil disaksikan oleh Walter (kiri sekali) dan Jaidah (kanan) ketika berlangsung majlis malam tadi.

2. SIMBOLIK...Harden (tengah) sambil diiringi oleh Walter (kiri) dan Jaidah (kanan) sedang menyelak isi kandungan buku Antologi Karya Kreatif 2009 ‘Cikgu XIV’simbolik ketika berlangsungnya simbolik perasmian majlis malam tadi.

SRI AMAN, Rabu (20 Mei) – Budaya pembelajaran yang berterusan harus diwujudkan dikalangan guru agar golongan terbabit kelak dapat berperanan sebagai pekerja ilmu yang berupaya mengangkat pendidikan negara ke tahap lebih cemerlang.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Desiran Benak Bumi Kenyalang 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Menurut beliau, budaya pembelajaran dikalangan para guru adalah amat penting memandangkan mereka merupakan golongan yang berada di barisan paling hadapan untuk memastikan hasrat negara ini tercapai dengan jayanya.

“Malahan budaya pembelajaran ini amat penting demi memastikan kualiti pendidikan oleh guru terhadap murid-murid terus kekal ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan golongan modal insan di negara ini.

“Justeru kerajaan telah memberikan perhatian yang serius terhadap aspek latihan guru sejajar dengan perkembangan pendidikan dan kehendak zaman sekarang dan seterusnya mewujudkan budaya itu dikalangan mereka,” katanya.

Selain itu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata pembinaan negara bangsa harus secara holistik tidak semestinya dapat dicapai menerusi pencapain akademik.

Kejayaan penubuhan negara bangsa menerusi pendekatan holistik kata beliau bergantung kepada integriti dan nilai murni kerana aspek berkenaan dapat melahirkan warga yang berfikiran jauh dan kritis.

“Lagipun tahun 2020 yang menjadi sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju sudah semakin hampir jadi kesemua pihak haruslah bekerjasama untuk menjadikan impian ini sebagai sebuah kenyataan,”katanya..

Hadir sama ialah wakil Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Jaidah binti Haji Alleh, Timbalan Residen Sri Aman, Desmond Douglas Jerukan, Pengerusi majlis merangkap Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, para guru besar dan guru-guru dari seluruh negeri ini.

Harden pada majlis berkenaan telah menyampaikan cek bernilai RM13,000 kepada Majlis Sukan Daerah Sri Aman dan RM10,000 kepada Jawatankuasa Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak.

Majlis pada malam tadi diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan, nyanyian, penyampaian hadiah dan anugerah kepada guru-guru terpilih dan simbolik pelancaran Antologi Karya Kreatif 2009 ‘Cikgu XIV’.

Tamat.



Jasa Roda dihargai pada majlis sambutan hari guru 2009


Caption:PENGHARGAAN...Rahman (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Roda (kanan) dengan berlatarbelakangkan ikon potret beliau ketika berlangsungnya majlis kecil di sini hari ini.

SRI AMAN, Rabu (20 Mei) – Seorang bekas guru, Roda anak Engkuat dari bandar Sri Aman berasa terharu apabila gambar beliau ketika sedang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ridan pada tahun 1962 dahulu dijadikan sebagai ikon utama di kaunter pameran Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman adalah merupakan salah sebuah jabatan kerajaan yang mengambil bahagian dalam Pameran Pendidikan yang telah bermula semenjak 19 hingga 21 Mei ini.

Beliau telah diberi penghormatan terbabit oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Haji Abdul Rahman Muhiyuddin dan para kakitangan pejabat pelajaran yang lain menerusi sebuah majlis kecil yang berlangsung di situ pada jam 11.30 pagi.

Roda, 66, ketika ditemui Utusan Sarawak berkata beliau telah berkhidmat sebagai guru sementara di SK Ridan, Sri Aman bermula dari tahun 1962 sebelum meninggalkan kerjaya terbabit pada tahun 1969.

“Saya berumur 20 tahun ketika bertugas sebagai seorang warga pendidik di SK Ridan pada tahun 1962 dan tidak menyangka bahawa gambar saya telah dijadikan ikon utama di kaunter pameran berkenaan.

“Ini satu penghormatan buat saya. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak pejabat pelajaran kerana menghargai jasa saya sebagai seorang warga pendidik walaupun hanya berkhidmat selama tiga tahun,” katanya.

Bagaimanapun Roda melahirkan rasa bangga pada hari ini apabila kerjayanya sebagai seorang guru pada suatu masa dahulu telah diteruskan oleh anak lelaki beliau iaitu iaitu Desmond Entebang hasil perkongsian hidup bersama suami, Peter Lumang.

Sementara itu Abdul Rahman pula menjelaskan bahawa pemilihan Roda sebagai ikon pameran terbabit adalah bertujuan untuk menunjukkan satu usaha pendidikan secara berterusan oleh pihak kerajaan sebelum ini.

“Orang ramai akan mengetahui sejarah pendidikan negara kita bermula dari zaman mula merdeka hingga sekarang menerusi pameran terbabit. Jadi Roda adalah sebuah ikon penting yang menunjukkan proses pendidikan secara berterusan di negeri ini,” katanya.

Kemajuan pesat dalam kemudahan pendidikan di negara ini khususnya dalam kawasan Sri Aman turut disokong oleh Penghulu Haji Abdul Samad bin Haji Abdul Rahim yang turut hadir sama bagi menyaksikan majlis berkenaan.

Tamat.

Bank Rakyat perhebatkan usaha promosi menerusi Program Pelanggan Dapat Pelanggan


Caption: ERAT SILATURAHIM...Rahman (tiga dari kanan) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para kakitangan Bank Rakyat dan Rakan Aslah ketika berlangsungnya majlis mini berkenaan.

SRI AMAN, Rabu (20 Mei) –Bank Rakyat cawangan Sri Aman akan memperhebatkan lagi usaha untuk menjadikan institusi perbankan terbabit sebagai bank pilihan nombor satu dikalangan orang ramai dalam daerah ini.

Penolong Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Abdul Rahman Reduan berkata salah satu usaha terbabit ialah dengan mempromosi bank berkenaan di jabatan kerajaan dalam daerah ini menerusi Program Pelanggan Dapat Pelanggan.

“Kita akan cuba mewujudkan lebih ramai Rakan Aslah (pelanggan setia Bank Rakyat) menerusi Program Pelanggan Dapat Pelanggan yang telah buat pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 2006.

“Setiap Rakan Aslah yang berjaya memperkenalkan pelanggan baru kepada pihak Bank Rakyat menerusi program ini akan diberikan insentif atau ganjaran demi memotivasikan lagi usaha mereka bagi tujuan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika berlangsungnya Majlis Makan Tengahari Bersama Rakan Aslah anjuran Bank Rakyat cawangan Sri Aman bertempat di sebuah restoran tempatan di sini hari ini.

Semenjak Program Pelanggan Dapat Pelanggan dilancarkan pada tahun 2006 dahulu, Bank Rakyat cawangan Sri Aman menurut Rahman telah menunjukkan ‘out-put’ perolehan yang ketara berbanding tahun sebelumnya.

“Lagipun hampir 95 peratus daripada jumlah pelanggan Bank Rakyat cawangan Sri Aman yang sedia ada sekarang terdiri daripada kakitangan kerajaan semenjak program terbabit dilancarkan dahulu.

“Jadi pihak kami berharap dengan memperhebatkan lagi Program Pelanggan Dapat Pelanggan akan dapat menaikkan lagi status perbankan Bank Rakyat sebagai institusi perbankan nombor satu di bandar ini (Sri Aman),” katanya.

Terdahulu Rahman bersama kakitangan Bank Rakyat cawangan Sri Aman telah mempelawa para Rakan Aslah atau pelanggan setia bank berkenaan untuk menjamu selera bersama mereka bersempena dengan kejayaan program terbabit.

Tamat.

30 usahawan take part dalam program pendidikan SSM


Caption: USAHASAMA...Najib (kanan) dan Sohor (kiri) ketika mengendalikan program berkenaan di sini hari ini. Foto: ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Rabu (20 Mei) – Seramai 30 orang usahawan mengambil bahagian dalam Program Pendidikan dan Perkhidmatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bertempat di bilik persidangan dalam sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman hari ini.

Program pendidikan yang disertai oleh para usahawan kaum Ciba, Melayu dan Iban ini adalah merupakan anjuran bersama oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS).

Pengarah Negeri Suruhanjaya Syarikat Malaysia Negeri Sarawak, Najib Abu Samah ketika ditemui berkata program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang selok-belok penubuhan syarikat milik sendirian berhad di negeri ini.

“Membuka syarikat milik sendirian berhad dianggap lebih baik kerana usahawan mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperkembangkan perniagaan masing-masing.

“Malahan para usahawan ini juga mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapat tender daripada kerajaan sekiranya mereka membuka syarikat milik sendirian berhad,” katanya.

Selain itu katanya usahawan yang dihimpit masalah kewangan juga tidak akan menghadapi tekanan yang begitu teruk daripada pihak bank memandangkan hanya aset syarikat yang dinilai dan bukannya aset peribadi.

“Jadi usahawan digalakkan membuka syarikat milik sendirian berhad. Lagipun usahawan yang berbuat demikian juga berpeluang untuk membuka cawangan syarikat masing-masing di seluruh negeri.

“Keseluruhannya berhubung program ini adalah amat mengalakkan kerana kesemua peserta telah menunjukkan minat masing-masing dengan mengajukan pelbagai soalan mengenai hal syarikat sendirian berhad,” katanya.

Program yang telah dikendalikan oleh beliau sendiri ini juga turut dihadiri oleh Pengerusi DUBS cawangan Sri Aman iaitu Awang Sohor Awang Apek.

Tamat.

18 May, 2009

Hospital baru sri aman sedang diusahakan - Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Isnin (18 Mei) – Kerajaan sehingga kini masih lagi berusaha untuk mencari tapak baru bagi tujuan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru bagi mengantikan hospital yang sedia ada sekarang di Jalan Hospital dalam pusat bandar ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Terdahulu tiga orang pengerusi persatuan dari daerah ini iaitu Dato Dr Ngu Phiew Seng, Kapitan Tan Choon Poh dan Kapitan Lai Ngee Luk menerusi akhbar tempatan berbahasa Cina pada hari ini telah menyatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji mereka untuk membina sebuah hospital Sri Aman yang baru semenjak dari tahun 1983 dahulu.

Ketiga-tiga ketua kaum terbabit juga turut menyentuh mengenai kekurangan prasarana kesihatan di hospital berkenaan disamping mendakwa Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman yang baru di Jalan Sabu, Sri Aman adalah merupakan sebuah pembaziran.

“Kerajaan sebenarnya sudah pun membeli tapak tanah bernilai RM7 juta di Jalan Kejatau bagi tujuan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru namun tapak ini dilihat tidak sesuai bagi tujuan tersebut.

“Sudah tentunya saya sebagai wakil rakyat di sini sedang berusaha untuk mencari tapak tanah yang baru. Bagaimanapun saya ada dua pilihan iaitu cari tapak tanah yang baru atau pun meneruskan rancangan pembinaan hospital terbabit di tapak tanah yang sudah dibeli oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Untuk itu beliau kini sedang berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mendapatkan peruntukkan bagi tujuan pembinaan hospital baru tersebut yang telah disasarkan tempoh pembinaannya pada tahun 2010 ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang ketika dihubungi Utusan Sarawak juga berkata pihak kerajaan juga sedang dalam proses untuk menambah jumlah mesin dialisis di Hospital Bahagian Sri Aman yang kini hanya mempunyai lima buah mesin sahaja.

Ini menurut Harden adalah bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan penduduk terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit buah pinggang dari kawasan daerah ini.

“Lagipun pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman yang baru di Jalan Sabu bukanlah satu pembaziran terutama sekali mengenai jumlah unit kuaters penginapan yang banyak di situ.

“Ianya sebagai satu persediaan untuk menghadapi kes kecemasan yang besar di Sri Aman sehingga memerlukan bantuan anggota bomba dari lain-lain bahagian dalam negeri ini pada suatu hari kelak,” katanya sambil menambah bahawa jumlah kakitangan Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman akan ditambah pada masa akan datang.

Justeru beliau berharap agar orang ramai termasuk para ketua kaum di daerah ini untuk menghargai segala kemudahan yang telah kerajaan BN sediakan untuk mereka dan bukannya hanya tahu memberikan komen negatif berhubung hal terbabit.

“Lagipan ketiga-ketiga individu berkenaan seharusnya berjumpa dengan saya untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu ini dan bukannya hanya pandai menggunakan media cetak untuk memburuk-burukkan kerajaan BN semata-mata,” katanya.

Tamat.