Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 January, 2009

SAFC anjur Pertandingan Futsal Piala YB Datuk Francis Hollis Bahagian Sri Aman 2009 bermula 13 hingga 15 Februari ini

- 1 Februari
Berita baik untuk peminat futsal di Sri Aman. Persatuan Bolasepak Bahagian Sri Aman (SFAC) akan menganjurkan Pertandingan Futsal Piala YB Datuk Francis Hollis Bahagian Sri Aman 2009 bertempat di Stadium Tertutup Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman bermula 13 hingga 15 Februari ini.

Setiausaha SFAC, Zaidil Haji Ripin menerusi laman web blognya semalam memberitahu bahawa pertandingan futsal ini terbuka kepada semua pasukan futsal di Bahagian Sri Aman termasuk individu berumur 16 tahun ke atas yang bermaustatin, belajar atau bekerja di sini.

Menerusi bayaran yuran pendaftaran berjumlah RM60 untuk setiap pasukan, beliau memberitahu bahawa hanya sejumlah 10 orang pemain dan dua orang pegawai sahaja bagi setiap pasukan yang dibenarkan berdaftar dalam pertandingan ini.

“Pertandingan futsal ini akan dilaksanakan menerusi Sistem Liga Berkumpulan dan dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan layak untuk pusingan perlawanan kalah mati yang seterusnya,” katanya sambil menambah bahawa hanya pasukan juara dan naib juara sahaja yang akan memperoleh hadiah menerusi pertandingan ini.

Pasukan johan Pertandingan Futsal Piala YB Datuk Francis Hollis Bahagian Sri Aman 2009 ini kata Zaidil akan memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM500, Piala Johan dan pingat untuk setiap pemain manakala pasukan naib johan pula memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM300 beserta sebuah piala dan pingat untuk semua pemain.

“Tarikh tutup penyertaan adalah pada jam 2.30 petang, 6 Februari ini. Justeru pasukan yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan daripada saya sendiri menerusi talian telefon 013-8355673,” kata beliau yang juga memberitahu bahawa pertandingan ini terhad untuk penyertaan sejumlah 32 buah pasukan sahaja.

Mesyuarat untuk semua pengurus pasukan yang bakal mengambil bahagian dalam pertandingan ini kata beliau akan diadakan di Rumah MAKSAK Sri Aman pada 6 Februari ini bermula jam 2.30 petang.

Pertandingan futsal ini yang bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan ke arah melahirkan golongan belia sihat dan bebas dari penggunaan dadah akan diserikan dengan kehadiran Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis yang seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pertandingan itu.

Tamat.
Sumber: http://tigasungai.blogspot.com


Harden cadang setiap rumah panjang atau kampung hantar penduduk untuk sertai RELA

Caption: TAHNIAH...Harden (kiri) menyampaikan Sijil Kursus Ketua Platun kepada Saliman anak Baga (kanan) sambil disaksikan (dari kiri sekali) Shamshuddin, Saiful, Masir dan Bajuri ketika berlangsungnya majlis malam tadi.
SRI AMAN, Ahad (1 Feb) – Pembabitan penduduk kawasan luar bandar ke dalam pertubuhan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dilihat sebagai salah satu langkah penting untuk menjaga keselamatan setiap rumah panjang atau kampung di daerah ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Atas sebab ini beliau mencadangkan bahawa tahap keselamatan penduduk luar bandar dalam daerah ini dapat diperkukuhkan sekiranya terdapat dua atau tiga orang penduduk dari setiap rumah panjang atau kampung bertindak menyertai RELA dari masa ke semasa.

“Sebagai benteng pertahanan ke-3 negara selain tentera dan polis, pasukan RELA juga boleh memainkan peranan mereka untuk menjaga keamanan serta keselamatan penduduk selain dari waktu darurat.

“Ianya termasuklah keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar. Justeru untuk mewujudkan keselamatan secara menyeluruh terhadap penduduk di kawasan luar bandar, saya mencadangkan agar dua hingga tiga orang penduduk dari setiap perkampungan masing-masing untuk menyertai RELA,” katanya.

Beliau yang juga Kolonel Kehormat RELA Daerah Sri Aman berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam RELA Bersama Pemimpin Bersempena dengan Sambutan Tahun Baru 2009 bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman malam tadi.

Selain itu Harden juga menasihatkan RELA untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat bersama pihak polis, tentera dan imigresen untuk membenteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di daerah ini.

Gabungan keempat-empat pihak ini jelas beliau dapat membantu mengurangkan masalah keselamatan yang boleh ditimbulkan oleh pihak PATI dalam daerah Sri Aman ini pada masa akan datang.

“Oleh itu saya berharap agar penduduk di kawasan luar bandar dalam daerah ini sedar bahawa pembabitan mereka dalam pasukan RELA dapat menyumbang kepada keselamatan rumah panjang masing-masing dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Pengarah RELA Sarawak, Brigedier Jeneral (RELA) Mohd Saiful Sungkei Abdullah, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Melay Tingom, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari daerah ini.

Harden menerusi majlis ini telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada RELA Sri Aman manakala Masir pula mengumunkan peruntukkan bernilai RM3,000.

Seramai 24 orang anggota RELA Sri Aman menerima sijil menerusi enam buah kategori pada majlis itu antaranya ialah Penerima Watikah Perlantikan Ketua Perhubungan RELA Kawasan (KPRK), Penerima Sijil Kursus KPRK, Sijil Kursus Ketua Platun, Sijil Ujian Kemahiran Menembah RELA, Wakil Sijil Kursus Pengenalan RELA dan Wakil Sijil Operasi Tegas.

Tamat.

Sungkei - Anggota RELA diingat jangan bertugas untuk tuntut elaun saja

SRI AMAN, Ahad (1 Feb) – Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Sarawak, Brigedier Jeneral (RELA) Mohd Saiful Sungkei Abdullah menasihatkan semua anggotanya agar tidak membataskan kewajipan diri masing-masing dengan hanya melaksanakan segala tugas yang berkaitan dengan tuntutan elaun sahaja.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam RELA Bersama Pemimpin Bersempena dengan Sambutan Tahun Baru 2009 bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman malam tadi.

“Saya tidak mahu semua anggota RELA melaksanakan tugas masing-masing hanya semata-mata untuk menuntut elaun daripada kerajaan memandangkan tindakan sebegini hanya akan menimbulkan tanggapan negatif di kalangan diri penduduk.

“RELA dilihat seolah-olah menjadi sebuah syarikat sekiranya para anggota kita bertugas hanya untuk menuntut elaun...kita tidak mahu melihat perkara ini berlaku pada masa akan datang,” katanya sambil menambah bahawa terdapat sejumlah 64,000 anggota RELA di negeri ini.

Semua anggota RELA sebaliknya kata Sungkei perlu turun padang untuk melaksanakan khidmat sosial terhadap penduduk yang tinggal di kawasan sekeliling mereka selain dari melaksana kewajipan yang hanya berkaitan dengan tuntutan elaun.

Khidmat sosial ini jelas beliau boleh menambah pengalaman dalam diri anggota RELA itu sendiri yang secara tidak langsung juga boleh mengharumkan nama pertubuhan ini di mata penduduk dalam kawasan sekeliling mereka.

“Selain membantu polis dan tentera untuk menjaga ketenteraman negara, anggota RELA juga harus turun padang bagi membantu para penduduk yang dilanda masalah dan ianya termasuklah bagi mereka yang berhadapan dengan kes bencana alam di kawasan masing-masing selama ini,”katanya.

Saiful dalam ucapannya juga turut menasihatkan semua anggota RELA untuk sentiasa menjaga disiplan dan mematuhi arahan ketua masing-masing ketika melibatkan diri dalam OPS Tegas di negeri ini.

“Ianya amat penting agar pihak RELA dapat menepis segala tohmahan yang dilemparkan oleh penduduk terhadap kita berhubung tindakan membenteras Pendatang Asing Tanpa IZIN (PATI) menerusi OPS Tegas selama ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Melay Tingom, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari daerah ini.

Harden menerusi majlis ini telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada RELA Sri Aman manakala Masir pula mengumunkan peruntukkan bernilai RM3,000.

Tamat.

Masir ingatkan anggota RELA agar tidak 'berpaling tadah' dari BN

SRI AMAN, Ahad (1 Februari)– Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berharap agar anggota RELA tidak berpaling tadah daripada pihak Barisan Nasional (BN) dengan menyokong pihak pembangkang ketika berlangsungnya proses Pilihanraya Negeri atau Parlimen dalam tempoh akan datang kelak.

Beliau berkata terdapat segelintir anggota RELA yang bertindak menyokong pihak pembangkang menerusi aktiviti berkempen ketika menjelang pilihanraya dan perkara ini sememangnya amat mengecewakan pihak BN itu sendiri.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang berkhidmat di bawah payung BN, setiap anggota RELA haruslah memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan memenangi pilihanraya di negeri ini.

“Misalannya ketika berlangsungnya proses pilihanraya, setiap anggota RELA boleh menyumbang bakti kepada BN dengan membantu mengawal tindakan penyokong daripada kedua-dua belah pihak (BN dan pembangkang) demi keselamatan pengundi.

“Bagaimanapun jika anda (anggota RELA) bertindak meninggalkan tugas dengan menyokong kempen pihak pembangkang ketika berlangsungnya proses pilihanraya ini maka ianya boleh dianggap tindakan berpaling tadah daripada pihak BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam RELA Bersama Pemimpin Bersempena dengan Sambutan Tahun Baru 2009 bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman malam tadi.

Sementara itu Masir juga menasihatkan semua anggota RELA untuk sentiasa menjaga nama baik pertubuhan ini dengan lebih berdisplin ketika melaksanakan tugasan masing-masing.

Sikap disiplin dalam diri setiap anggota RELA ini katanya sekaligus membolehkan penduduk menyanjung tinggi sumbangan anggotanya dalam membantu menjaga keselamatan serta keamanan penduduk.

“Malahan sikap disiplin yang ditunjukkan oleh setiap anggota RELA ketika melaksanakan tugas itu secara tidak langsung dapat menarik penyertaan lebih penduduk ke dalam pertubuhan terbabit,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Sarawak, Brigedier Jeneral (RELA) Mohd Saiful Sungkei Abdullah, Abang Shamshuddin Abang Seruji, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Melay Tingom, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari daerah ini.

Harden menerusi majlis ini telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada RELA Sri Aman manakala Masir pula mengumunkan peruntukkan bernilai RM3,000.

Tamat.

30 January, 2009

Tun Salahuddin dan isteri Toh Puan Hajah Norkiah kunjungi rumah ketua kaum Cina di Sri Aman




1.MERIAH...Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah (tengah) sedang menyempurnakan upacara memotong kek sambil diiringi oleh Temenggung Tan (kiri beliau) dan Datuk Francis (empat dari kiri) ketika berlangsungnya kunjungan bersempena Perayaan Tahun Baru Cina 2009 di kediaman temenggung terbabit hari ini.

2.UNTUK ALBUM... Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah (duduk tengah) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan ketika mengadakan kunjungan ke kediaman Pemanca Sii (duduk kiri beliau) di sini hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (31 Jan) –Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah telah mengadakan kunjungan perayaan Tahun Baru Cina 2009 terhadap empat buah rumah kediaman ketua kaum Cina di sini hari ini.

Empat buah kediaman ketua kaum Cina yang telah dikunjungi oleh beliau bersama isteri pada hari ini adalah Temenggung Tan Chong Meng, Pemanca Sii Toh Peng, Penghulu Lee Shiang Hua dan Penghulu Sia Kie See.

Tun Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Hajah Norkiah yang menginap di Rumah Rehat Sri Aman malam tadi telah berangkat dari penginapan tetamu kehormat itu pada jam 9 pagi untuk mengunjungi kediaman Temenggung Tan Chong Meng di Jalan Tengah, bandar Sri Aman.

Ketibaan beliau dan isteri telah disambut Temenggung Tan bersama isteri iaitu Shia Sui Mui, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis serta isteri Simba Nalang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Di kediaman Temenggung Tan, Tun Salahuddin bersama isteri Toh Puan Hajah Norkiah telah dipersembahkan dengan Tarian Singa sebelum beliau serta isteri bersama dengan tetamu kehormat yang lain dijemput untuk menikmati jamuan makanan ringan di kediamannya itu.

Setelah meluangkan masa hampir setengah jam di kediaman Temenggung Tan, beliau bersama isteri kemudiannya berkunjung ke kediaman Pemanca Sii Toh Peng di Jalan Hock Ping dalam kawasan Pasir Panas.

Disana Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah telah meluangkan masa selama 35 minit sebelum berangkat ke Taman Vistagro untuk mengunjungi kediaman Penghulu Lee Shiang Hua.

Setelah beramah mesra dan menikmati jamuan ringan di kediaman Penghulu Lee, beliau bersama isteri dan para rombongan kemudiannya meneruskan kunjungan ke kediaman Penghulu Sia Kie See pada jam 10.50 pagi.

Tun Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Hajah Norkiah berangkat pulang ke Rumah Rehat Sri Aman pada jam 11.15 pagi untuk berehat sebentar sebelum berkunjung ke Restoran Lachau Food Corner, Pantu, Sri Aman yang dimiliki Kapitan Lee Tong Siang petang ini nanti.

Tamat.

TBS akan turun padang untuk pantau masalah keluarga Salleh

SRI AMAN, Sabtu (31 Jan) –Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman akan mengadakan lawatan ke kediaman Mohd Salleh Abu Talib di Kampung Hulu, Sri Aman yang telah ditimpa kemalangan ketika hendak menuruni tangga rumahnya menerusi kejadian yang berlaku sekitar jam 7 malam pada 19 Januari lalu.

Terdahulu, Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Mat Lolo telah mengalami kecederaan serius di bahagian tengkuk, kepala dan kedua-dua belah rusuk badan apabila tergelincir ketika sedang menuruni tangga kediamannya pada tarikh peristiwa berkenaan.

Kejadian ini menyebabkan Mohd Salleh dikejarkan ke Hospital Bahagian Sri Aman sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching bagi tujuan rawatan lanjut oleh pihak perubatan.

“Saya telah mengadakan kunjungan peribadi ke rumah beliau (Mohd Salleh) beberapa hari yang lepas untuk mengetahui lanjut mengenai permasalahan yang telah dihadapi oleh keluarganya berhubung kejadian ini.

“Memandangkan Salleh kini mempunyai kerusi roda hasil kutipan wang dikalangan saudara maranya maka pihak kami TBS cawangan Sri Aman akan mencari jalan untuk membantu keluarga mereka menerusi lawatan minggu hadapan,” kata pengurus cawangannya iaitu Shamsul Bahri bin Manap menerusi Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima semalam.

Sementara itu anak lelaki kepada Mohd Salleh iaitu Mohd Rizal merakamkan penghargaan kepada pihak Utusan Sarawak kerana menyiarkan berita mengenai penderitaan keluarganya disebabkan oleh kejadian kemalangan berkenaan pada 25 Disember lalu.

Siaran berita oleh Utusan Sarawak menurut beliau ternyata telah berjaya mengubah ‘senario’ tekanan yang ditanggung oleh keluarga sebelum ini apabila ayahnya berjaya mempunyai sebuah kerusi roda untuk kegunaannya.

“Rakan saya yang telah membaca siaran berita ini ternyata terkejut dan terus memberikan sumbangan wang untuk mengurangkan lagi beban perbelanjaan kami sekeluarga semenjak ayah kami dimasukkan ke dalam Hospital Umum Sarawak.

“Terima kasih juga kepada pihak Utusan Sarawak cawangan ini (Sri Aman) yang turut bersimpati dengan kejadian malang yang menimpa ayah saya dengan menghulurkan derma sebelum ini,” katanya.

Tamat.


Bekerjasama jayakan program perayaan - Rayong


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

SRI AMAN, Sabtu ( 31 Jan)– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa mahu semua penduduk untuk saling kerjasama ketika melaksanakan sesuatu program yang berkaitan dengan aktiviti perayaan untuk kebaikan diri masing-masing.

Aspek kerjasama dikalangan penduduk ini katanya amat penting kerana sesebuah program itu tidak akan dilaksanakan dengan penuh lancar tanpa adanya hubungan tersebut seperti itu.

“Pihak kerajaan telah mengalakkan semua penduduk berbilang kaum di negeri ini mengadakan serta menyambut sesuatu perayaan seperti Hari Raya, Gawai Dayak dan Tahun Baru Cina secara bersama-sama.

“Maka ini secara tidak langsung telah mengalakkan kita agar mempertingkatkan hubungan bekerjasama yang lebih mantap terutamanya dikalangan orang Cina, Melayu dan Dayak ketika melaksanakan sesebuah program perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersempena dengan Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2009 anjuran Persatuan Hakka Engkilili di Dewan Serbaguna Engkilili, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga yakin bahawa aspek kerjasama dikalangan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini secara tidak langsung akan mengeratkan lagi hubungan perpaduan dikalangan diri mereka.

“Aspek ini amat pentung untuk memudahkan kerajaan melaksana pelbagai projek pembangunan yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial seperti yang diinginkan oleh semua penduduk selama ini,” katanya.

Justeru, Dr Rayong berharap agar kaum Cina, Melayu dan Iban dalam negeri ini khususnya di daerah kecil Engkilili sentiasa menyokong segala usaha pihak kerajaan negeri yang memerintah sekarang sekiranya mereka ingin maju seiring dengan lain-lain kaum.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak, Pengerusi Persatuan Hakka Engkilili, Lai Ngee Ta, Pengerusi Pengelola Majlis, Jee Kian Fui dan ahli persatuan terbabit.

Tamat.

29 January, 2009

Aktiviti ziarah TBC diteruskan


SILA JAMU...Chin Ah Kui atau lebih dikenali sebagai Bukoi Borneo (kiri sekali) sedang mempelawa Juruhebah Bahagian Iban RaSA FM Sri Aman, Edwin Nanggah (dua dari kiri) bersama dua orang rakannya iaitu Pele Julius (kanan sekali) dan Guru SMK Melugu, Vyonnie Maclean Pugie (dua dari kanan) untuk menjamu kuih muih yang dihidangkan olehnya bersempena dengan sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di kediamannya dalam kawasan Jalan Pasir Panas malam tadi. Bukoi, 50, kini berkhidmat sebagai penyelia syarikat Borneo Bus bagi kawasan Sri Aman dan dalam masa yang sama bakal muncul sebagai artis rakaman di negeri ini dalam masa terdekat kelak. - 30 Januari

Penghuni bilik sewa merunggut 'tauke' kunci bekalan air

SRI AMAN, Jumaat (30 Jan) – Beberapa orang penghuni bilik sewa di sebuah bangunan perniagaan di bandar ini merungut apabila tuan rumahnya secara tidak sengaja telah mengunci saluran bekalan air untuk kegunaan para penghuni terbabit semenjak empat hari lalu.

Utusan Sarawak yang secara kebetulan berkunjung ke bilik seorang rakan penyewa di bangunan terbabit mendapati bahawa tuan rumah bilik sewa itu telah pun pulang ke Sarikei untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina 2009 bersama ahli keluarganya di sana.

Senario ini menyebabkan tujuh orang penghuni bilik sewa berkenaan menumpang mandi di rumah rakan-rakan atau saudara mara mereka disebabkan ketiadaan bekalan air berkenaan semenjak 26 Januari lalu.

“Kami di sini tidak mandi, membasuh pakaian dan memasak semenjak tuan rumah kami pulang ke kampung halamannya di Sarikei untuk menyambut Tahun Baru Cina 2009 di sana,” kata seorang penyewa yang hanya dikenali dengan nama panggilan Mac.

Menurut Mac, tuan rumah terbabit seharusnya mengutamakan kepentingan para penyewanya di sini sebelum membuat keputusan untuk pulang ke kampungnya halamannya untuk menyambut perayaan berkenaan.

Kelalaian tuan rumah itu berhubung permasalahan ini sememangnya tidak boleh diterima oleh beliau sendiri bersama enam orang penyewa yang lain sehingga ada diantara mereka yang nekad mahu berpindah ke bilik sewa baru menjelang bulan hadapan kelak.

“Kami tidak mahu menyewa bilik daripada tuan rumah yang hanya tahu mengaut keuntungan semata-mata tetapi tidak mengutamakan kebajikan setiap penghuninya di sini.

“Kami bayar sewa bilik ini begitu juga dengan bekalan air serta elektrik untuk setiap bulan. Tuan rumah itu harus meneliti dahulu perkara ini sebelum pergi bercuti tanpa memikirkan keperluan kami di sini,” katanya.

Sehingga berita ini ditulis, Utusan Sarawak telah dimaklumkan bahawa tuan rumah bilik sewa ini mungkin akan pulang semula ke bandar ini menjelang hari Isnin minggu hadapan.

Tamat.

SIDS Sri Aman unit Poh Ai anjur majlis makan malam 21 Februari ini


Mugshot: SULI DIDIT

SRI AMAN, Jumaat (30 Jan) – Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Simanggang unit Rumah Wilson Bana, Poh Ai akan menganjurkan Majlis Makan Malam 2009 bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini bermula jam 7 malam pada 21 Februari ini.

Majlis Makan Malam 2009 pada 21 Februari ini diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian SIDS cawangan Simanggang bagi Unit Rumah Wilson Bana, Poh Ai itu sendiri.

Ketua unitnya iaitu Suli anak Didit ketika ditemui Utusan Sarawak menjelaskan bahawa majlis makan malam ini kelak akan diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang.

“Menerusi majlis makan malam ini semua ahli SIDS unit Poh Ai berpeluang untuk merapatkan lagi hubungan mereka dengan ahli SIDS cawangan Simanggang menjelang 21 Februari ini kelak.

“Dengan adanya hubungan seumpama ini, ahli SIDS unit Poh Ai berpeluang untuk mengadakan hubungan kerjasama yang lebih erat bersama SIDS Simanggang itu sendiri ketika mengadakan pelbagai program pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu beliau juga yakin bahawa majlis seumpama ini akan membolehkan SIDS muncul sebagai sebuah persatuan yang berpengaruh dalam melaksana pelbagai program bercorak kebudayaan dan kemasyarakatan untuk sepanjang masa.

Hasil kerjasama dan hubungan erat dikalangan para ahli kata Suli, SIDS berupaya untuk menyumbang ke arah usaha memulihara adat serta kebudayaan kaum Dayak dikalangan generasi muda pada masa sekarang.

“Justeru saya berharap agar semua ahli SIDS Simanggang unit Poh Ai ini kelak mengambil kesempatan untuk menjalinkan hubungan mereka bersama dengan lain-lain ahli SIDS di daerah ini,” katanya sambil menambah majlis pada malam itu nanti akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Amanm iaitu Masir Kujat.

Tamat.

Rayong - Perkukuhkan perpaduan demi kestabilan politik


Caption:RASMI...Nyalau (empat dari kiri), Rayong (empat dari kanan) dan Lai Ngee Ta (tengah) bersama dengan ahli Persatuan Hakka Engkilili sedang menyempurnakan upacara memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (30 Jan) - Masyarakat berbilang kaum terutamanya Melayu, Cina dan Dayak perlu mengenepikan sikap diskriminasi kaum di antara satu sama lain demi menjaga tahap kestabilan politik dalam negeri ini demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Masyarakat tempatan katanya perlu sedar bahawa kewujudan sikap diskriminasi kaum dikalangan diri mereka hanya akan menjejaskan tahap perpaduan yang menjadi pemangkin utama kepada penggerak kestabilan politik dalam negeri ini.

"Tahap kestabilan politik memainkan peranan yang amat penting dalam menjana pelbagai pelan pembangunan di seluruh negeri ini termasuk pembinaan kemudahan jalan raya, perhubungan, perkhidmatan, pembekalan air dan elektrik serta perlaksanaan projek ekonomi seperti pembukaan kilang perindustrian amnya.

"Bagaimanapun kestabilan politik dalam negeri ini hanya dapat diwujudkan sekiranya kesemua masyarakat berbilang kaum terutamanya Melayu, Cina dan Dayak mengenepikan sikap diskriminasi kaum dalam diri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersempena dengan sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2009 anjuran Persatuan Hakka Engkilili di Dewan Serbaguna Engkilili, Sri Aman malam tadi.

Sementara itu Rayong turut menyeru masyarakat berbilang kaum dalam daerah ini untuk terus berusaha bagi mengukuhkan tahap perpaduan demi memudahkan perlaksanaan pelbagai projek pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri masa kini.

Katanya masyarakat berbilang kaum di negeri ini dapat mengukuhkan hubungan perpaduan mereka dengan menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan perayaan bersama-sama.

Tambah beliau, penganjuran aktiviti kebudayaan dan perayaan seperti Sambutan Maal Hijrah, Hari Raya, Krismas dan Tahun Baru Cina secara kerjasama oleh semua kaum di negeri ini mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahhim sekaligus dapat mengelakkan wujudnya jurang perkauman antara masyarakat.

Justeru, Rayong berharap agar masyarakat berbilang kaum dalam negeri sentiasa mengekal serta menjalinkan hubungan perpaduan dikalangan mereka demi kebaikan proses pembangunan masyarakat dan tahap ekonomi negeri yang kian berkembang maju di masa yang akan datang.

Dalam majlis itu Rayong telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada persatuan terbabit untuk memudahkan mereka menjalankan aktiviti yang telah dirancang sebelum ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak, Pengerusi Persatuan Hakka Engkilili, Lai Ngee Ta, Pengerusi Pengelola Majlis, Jee Kian Fui dan ahli persatuan terbabit.

Tamat.


-













Nyalau - Ibubapa perlu beri motivasi kepada anak-anak


Caption: TAHNIAH...Nyalau (dua dari kiri) sedang menyampaikan hadiah kepada Pengurus Rumah Garai iaitu Abiyah Rasidah yang muncul juara keseluruhannya dalam kejohanan terbabit sambil disaksikan oleh Leslie (kiri sekali) baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Jumaat (30 Jan) - Ibubapa perlu memainkan peranan serta tanggungjawab yang cukup besar khasnya dalam memberikan perangsang dan motivasi kepada anak-anak demi kebaikan masa depan pendidikan mereka, demikian kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Katanya, tanggungjawab ibubapa dalam memberikan perangsang dan motivasi adalah amat penting kerana tanpa perangsang tersebut golongan anak-anak tidak akan begitu mengambil berat untuk mempertingkatkan tahap kecemerlangan akademik masing-masing.

“Dalam perkara ini para ibubapa harus sedar bahawa mereka perlulah melaksanakan peranan berkenaan untuk mempertingkatkan taraf akademik anak-anak dan bukannya sekadar mengharapkan peranan pihak warga pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga Antara Rumah-Rumah Sukan Ke-34 Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu 2009 di Komplek Sukan Lubok Antu baru-baru ini.

Sementara itu kata Nyalau, penguasaan anak-anak dalam bidang akademik adalah amat penting memandangkan mereka adalah aset serta individu professional untuk meneruskan kesinambungan proses pembangunan negeri.

Jelas beliau, golongan anak-anak juga bakal menjadi harapan untuk mengantikan para pemimpin negara bagi meneruskan usaha pembangunan dari segi politik, ekonomi dan sosial di masa yang akan datang.

"Jikalau kita dapat melahirkan lebih ramai golongan pelajar yang cukup cemerlang dalam bidang akademik nescaya mereka ini nanti bakal menjadi pemimpin negara kita ini di masa yang akan datang,” katanya.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan bernilai RM10,000 kepada SMK Lubok Antu bagi menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh sekolah itu.

Justeru, beliau berharap agar pihak ibubapa sedar akan peranan mereka sebagai seorang ‘guru’ ketika meluangkan masa bersama anak mereka di rumah dan tidak menyandarkan tugas mempertingkat tahap kecemerlangan anak-anak di bahu pihak sekolah di masa yang akan datang.

Hadir sama ialah Pengetua SMK Lubok Antu Encik Leslie Tawan anak Gandil dan para ketua kaum dari sekitar daerah kecil Lubok Antu.

Tamat.....




28 January, 2009

Wartawan Utusan Borneo ziarahi rumah Achan di engkilili


29 Jan

MERIAH...Wartawan Utusan Borneo cawangan Sri Aman, Edwin Raoh, 40, (berdiri hadapan ketiga dari kiri) bersama keluarganya telah mengadakan kunjungan ke kediaman Jap Khiam Chin (tengah) atau lebih dikenali penduduk setempat sebagai Achan di Pekan Engkilili, Sri Aman bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2009 baru-baru ini. Kunjungan beliau bersama keluarga turut disertai oleh Setiausaha Sulit kepada Datuk Dublin Unting anak Ingkot iaitu Naga Alam dan Pegawai Pertanian Lubok Antu, Tom Sumbok.

Harden berkunjung ke rumah ketua kaum Cina di sri aman




1.UNTUK ALBUM...Harden (duduk tengah) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan ketika mengadakan kunjungan ke kediaman Penghulu Lee Shiang Hua di Taman Vistagro kelmarin.

2.PENGHORMATAN...Harden diberi penghormatan oleh Kapitan Tay (dua dari kiri) untuk membakar mercun ketika berlangsungnya kunjungan sempena sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2009 ke rumah kediaman ketua kaum berkenaan kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (29 Jan) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis bersama rombongan yang terdiri daripada ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang telah mengadakan kunjungan Perayaan Tahun Baru Cina 2009 di lima buah rumah masyarakat Cina dalam bandar Sri Aman semalam.

Kunjungan Tahun Baru Cina 2009 oleh beliau yang juga turut disertai oleh Ketua Pergerakan Wanita SUPP Simanggang iaitu Lim Siew Hung ini telah bermula pada jam 11 pagi di kediaman Kapitan Tay Siew Chuan.

Di kediaman Kapitan Tay, Harden telah diberikan penghormatan untuk membakar mercun sebagai tanda kemeriahan suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2009 yang telah berlangsung semenjak 26 Januari lalu.

Setelah meluangkan masa selama 40 minit di kediaman terbabit, Harden bersama rombongan kemudiannya berkunjung ke rumah Penghulu Lee Shiang Hua di Taman Perumahan Vistragro.

Dari kediaman Penghulu Lee, beliau bersama rombongan kemudian telah meneruskan kunjungan ke kediaman Penghulu Sia Kie See di kawasan Sabu, Machu Timber pada jam 1.30 petang.

Sebaik sahaja meluangkan masa hampir sejam di kediaman Penghulu Sia, Harden bersama rombongan kemudiannya meneruskan kunjungan ke kediaman Kapitan Tiong Choon Onn di Taman Sri Wangi, Kejatau.

Kedatangan beliau dan rombongan di kediaman Kapitan Tiong turut disertai oleh Ketua Cawangan Khas Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman iaitu Asistan Superitenden Police (ASP) Melay anak Tinggom.

Setelah beramah-mesra sambil menikmati jamuan makanan sayur-sayuran yang dihidangkan oleh keluarga Kapitan Tiong, Harden bersama rombongan meneruskan kunjungan ke kediaman Sii Toh Ching pada jam 3.30 petang.

Kehadiran Harden bersama rombongan telah disambut meriah oleh keluarga adik kepada Pemanca Sii Toh Peng ini dengan acara membakar mercun di halaman rumah keluarga terbabit.

Aktiviti kunjungan Harden dan rombongan yang berakhir pada jam 4.50 petang semalam turut diserikan dengan kehadiran Dato Dr Ngu Ngiew Thien di kediaman Sii Toh Cheng ini.

Tamat.

Golongan cerdik pandai harus berhenti hasut rakyat, kata Nyalau


Mugshot: WILLIAM NYALAU BADAK

SRI AMAN, Khamis (29 Jan) – Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau akan Badak mahu golongan cerdik pandai berhenti bertindak menghasut para penduduk dalam kawasan pilihanrayanya agar membenci kerajaan yang kini diterajui oleh komponen Parti Barisan Nasional (BN).

Sambil meluahkan rasa kecewa berhubung tindakan golongan terbabit, mereka kata beliau seharusnya turun padang untuk membantu kerajaan bagi menaiktaraf hidup penduduk dan bukannya menyebabkan mereka itu kian ketinggalan dalam arus pembangunan di kawasan ini.

“Kepandaian yang mereka perolehi itu sepatutnya tidak wajar disalahgunakan untuk menghasut penduduk di kawasan rumah panjang agar membenci kerajaan yang diteraju oleh BN pada masa sekarang.

“Ia adalah satu kesilapan besar buat mereka kerana tindakan seumpama ini hanya akan menyebabkan penduduk ketinggalan dari segi arus pembangunan berbanding lain-lain penduduk yang menyokong teguh BN selama ini,” katanya.

Nyalau selaku Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Engkilili, di Pasar Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Beliau menerusi ucapannya juga turut mendedahkan bahawa perbuatan menghasut pemikiran penduduk itu berlaku apabila segelintir golongan cerdik pandai ini balik ke rumah panjang atau kampung halaman masing-masing.

“Tetapi mereka ini hanyalah kumpulan kecil, jadi tolonglah jangan berbuat demikian kerana penduduk di kawasan rumah panjang masih memerlukan harus pembangunan daripada BN,” tambah beliau.

Sementara itu kata Nyalau, penduduk perlu terus memberi sokongan padu kepada BN jika ingin terus melihat setiap program pembangunan dilaksanakan dengan lancar dan berkesan dalam kawasan masing-masing.

“Fokus peningkatan ekonomi setempat juga tidak akan dipinggirkan dalam usaha kerajaan merancang pembangunan di satu-satu kawasan khusus sekali yang membabitkan kawasan luar bandar.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Setiausaha Sulit kepada Menteri Muda Pertanian dan Sukan Datuk Dublin Unting anak Ingkot iaitu Encik Nelson Naga anak Alam.

Tamat……

Kehadiran DAP tidak perlu digusari - Harden

Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Khamis (29 Jan) – “Saya tidak khuatir sekiranya Parti Tindakan Demoktarik (DAP) akan membuka cawangan partinya di sini (Sri Aman) dalam masa yang terdekat kelak,” kata Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Beliau berkata demikian ketika diminta oleh Utusan Sarawak untuk mengulas mengenai kenyataan Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chien Jen pada 24 Januari lalu yang mengumumkan bahawa parti pembangkang itu akan membuka cawangan partinya di sini dalam masa terdekat kelak.

“Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi dan itu adalah hak untuk mereka (DAP) sekiranya mahu membuka sebuah cawangan parti terbabit di kawasan Sri Aman dalam tempoh terdekat kelak.

“Jikalau itu kehendak mereka maka tiada mana-mana pihak pun yang boleh bertindak untuk menghalang DAP untuk menubuhkan cawangan partinya di kawasan ini,” jelas beliau.

Selain itu Harden juga yakin bahawa rakyat dari sekitar daerah Sri Aman akan terus menyokong teguh SUPP yang selama ini merupakan parti kedua terbesar dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

“BN Sarawak menerusi gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) ternyata berjaya melaksanakan banyak pembaharuan dalam hidup rakyat di negeri ini.

“Lagipun Sri Aman khususnya kini sudah pun berubah wajah dari segi pencapaian pembangunan. Justeru tiada sebab bagi rakyat untuk menyuarakan sokongan masing-masing terhadap pembangkang sekiranya mereka membuka cawangan DAP di sini (Sri Aman),” katanya.

Selain itu Harden juga turut menasihatkan rakyat di daerah ini untuk menolak segala hasutan pihak pembangkang mengenai keburukkan kerajaan demi tujuan kepentingan politik semata-mata.

Terdahulu Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching pada 24 Januari lalu telah mengadakan lawatan ke sekitar kawasan bandar Sri Aman sebelum beliau mengumumkan rancangan pihaknya untuk menubuhkan cawangan parti DAP di bandar ini.

Turut mengiringi lawatan beliau ialah Leon Jemat anak Jimmy Donald yang dipercayai bakal menerajui kepimpinan DAP di daerah ini setelah ayahnya iaitu Jimmy Donald yang sebelum ini juga pernah menjadi Ahli Parlimen Sri Aman (BN) meneraju Parti KeAdilan Rakyat (PKR) di Sri Aman pada masa sekarang.

Tamat.

27 January, 2009

Penduduk Sri Aman kempunan saksikan Gerhana Matahari Anulus


Caption: TIDAK SABAR...Tagok (kiri) dan rakannya Solomon (kanan) cuba memeriksa keadaan matahari sekiranya berlaku fenomena Gerhana Matahari Anulus sebelum hujan lebat turun di perkampungan mereka kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (27 Jan) – Hasrat para belia dari sekitar Sri Aman untuk menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus atau Separa yang dijadualkan berlaku kelmarin tidak kesampaian apabila hujan turun di beberapa buah tempat dalam daerah ini bermula jam 1.15 petang hingga jam 6.30 petang kelmarin.

Rata-rata para belia khususnya mereka yang meminati kejadian yang berkaitan dengan bidang angkasa lepas telah membuat persiapan awal untuk menyaksikan fenomena Gerhana Matahari yang telah menyentuh cakera matahari pada jam 4.30 petang kelmarin.

Solomon Karin, 26, dari Kampung Selantik Ili, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman terpaksa akur dengan cuaca hujan yang turun tanpa henti bermula dari waktu tengahari hingga lewat petang kelmarin.

“26 Januari adalah tarikh yang cukup bermakna bagi diri saya untuk menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus bersama rakan-rakan tetapi cuaca hujan yang melanda di sini semalam telah membantutkan hasrat kami,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Sambil menyatakan rasa akurnya terhadap cuaca hujan yang melanda semalam, beliau berharap agar fenomena Gerhana Matahari akan berulang semula di negara ini pada masa akan datang.

Kejadian cuaca hujan yang melanda daerah ini semalam turut mengecewakan Tagok anak Sebun, 21, apabila beliau menunggu berlakunya fenomena Gerhana Matahari Anulus ini bermula dari awal pagi semalam.

Beliau menunggu berlakunya fenomena Gerhana Matahari Anulus terbabit apabila dimaklumkan oleh rakan-rakannya mengenai tarikh berlakunya fenomena beberapa hari sebelumnya.

“Percaya atau tidak saya sudah mula ‘mengintip’ kedatangan Fenomena Gerhana Matahari Anulus ini bermula dari waktu awal pagi semalam kerana saya tidak dimaklumkan secara tepat oleh rakan-rakan tentang waktu kejadian ini akan berlaku,” katanya.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa rata-rata para belia menggunakan cermin mata gelap, bungkusan gula-gula berjenama Kiss Me dan kulit gula-gula berjenama Hack untuk cuba melihat fenomena Gerhana Matahari Anulus.

Malahan terdapat juga para belia yang bertindak mengasap cermin masing-masing dan diletakkan dalam sebuah besen penuh dengan kandungan air untuk menyaksikan kejadian ini secara selamat sehingga hasrat mereka terbatal gara-gara disebabkan oleh cuaca buruk kelmarin.

Tamat.








Perpaduan kaum entiti pembangunan - Harden


Caption: UNTUK ALBUM...Harden bersama isteri (duduk tengah) bergambar kenangan setelah mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina 2009 ke kediaman Kanselor Jimmy Chong (duduk dua dari kanan) semalam.

SRI AMAN, Selasa (27 Jan) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menasihatkan para rakyat untuk mengutamakan hubungan perpaduan di antara kaum dalam negeri ini.

Dengan menjadikan perpaduan sebagai intipati utama dalam keperluan hidup, rakyat di negeri ini khususnya menurut beliau mampu hidup dalam keadaan aman damai dan bebas daripada masalah rusuhan kaum.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Aman berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika mengadakan kunjungan ke rumah para Ketua Kaum Cina bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina 2009 di bandar Sri Aman semalam.

“Hasil berkat kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, kerajaan Barisan Nasional (BN) ternyata berjaya mewujudkan keadaan politik yang stabil di negeri ini semenjak 30 tahun lalu.

“Perpaduan yang wujud menerusi faktor kestabilan politik hasil pimpinan beliau haruslah dipelihara oleh semua rakyat dalam negeri ini tanpa mengira mereka berketurunan kaum Cina, Melayu dan Dayak,” katanya.

Selain itu kata Harden, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dalam negeri ini dianggap amat penting untuk membolehkan kerajaan BN melaksana pelbagai pelan pembangunan yang bakal membawa faedah untuk rakyat.

Pelan pembangunan ini menurut beliau termasuklah projek penyediaan kemudahan infrastruktur dan keperluan asas, perhubungan, pendidikan, peningkatan taraf ekonomi dan sosial untuk rakyat.

“Bagaimanapun untuk menjayakan kesemua pelan pembangunan ini faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum memainkan peranan utama kerana tanpa faktor ini kerajaan BN tidak akan dapat melaksanakan pelan terbabit.

Justeru Harden meminta para rakyat untuk menghargai keamanan dan kesejahteraan hidup yang mereka nikmati sekarang ke arah merancakkan lagi pelan pembangunan rakyat di negeri ini.

Beliau bersama isterinya iaitu Simba anak Nalang beserta dengan rombongan yang lain telah mengadakan kunjungan ke 10 buah rumah termasuk para ketua kaum Cina di sekitar bandar ini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang kelmarin.

Tamat.

Pasar Lachau terima jumlah kedatangan penduduk luar biasa

SRI AMAN, Selasa (27 Jan) – Pekan Lachau atau lebih dikenali sebagai Pasar Keranggas Gayau yang terletak di Kilometer 47, Jalan Sri Aman / Kuching menjadi tumpuan ratusan pengguna kenderaan ketika berlangsungnya sambutan Tahun Baru Cina 2009 yang bermula semalam.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa rata-rata pengguna kenderaan singgah di kawasan pekan ini kerana ingin berehat sebelum menyambung semula perjalanan masing-masing ke destinasi terpilih dalam negeri ini.

Keadaan ini menyebabkan para peniaga langkah kanan apabila para pengguna kenderaan ini mengambil kesempatan membeli makanan dan barang keperluan yang lain di sesetengah gerai yang dibuka dalam kawasan Pekan Lachau terbabit.

Manakala itu terdapat sesetengah peniaga kaum Cina di Pekan Lachau yang mengambil kesempatan untuk membuka kembali perniagaan kedai makanan dan minuman walaupun mereka ini lazimnya menutup perniagaan masing-masing ketika perayaan Tahun Baru Cina yang masih lagi berlangsung pada hari ini.

Seorang pengguna kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nancy menjelaskan bahawa Pekan Lachau adalah merupakan lokasi persinggahan utamanya ketika dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Miri.

“Mujurlah ada beberapa buah kedai makanan yang dibuka untuk kunjungan orang ramai pada hari ini..kalau tidak mungkin saya terpaksa terus ke bandar Sri Aman atau Pusat Perniagaan Peladang, Temudok untuk makan tengahari,” katanya.

Seorang peniaga di Pasar Tamu, Pekan Lachau iaitu Pira anak Bareng mendakwa bahawa sayur-sayurannya telah habis dijual hanya dalam tempoh dua jam disebabkan oleh kehadiran pengunjung yang dianggap luarbiasa pada hari ini.

“Selalu saya menghabiskan jualan buah timun dan labu dalam tempoh setengah hari tetapi pada hari ini saya cuma perlu duduk selama dua jam sahaja untuk menghabiskan jualan sayur-sayuran saya,” jelas beliau.

Selain itu Utusan Sarawak juga mendapati bahawa para pengguna kenderaan berebut untuk membeli ayam panggang, air tebu dan kuih muih yang dijual menerusi beberapa buah gerai kecil berhampiran Pekan Lachau ini.

Tamat.


Nyalau minta ahli PRS sokong pemimpin tertinggi BN


Caption: TERUS BERJUANG…Nyalau (duduk empat dari kanan) dan Naga (duduk empat dari kiri) bersama dengan para ahli jawatankuasa PRS Batang Ai ketika tamat mesyuarat berkenaan baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Selasa (27 Jan) – Ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) diminta untuk terus memberikan sokongan padu terhadap barisan tertinggi pemimpin parti Barisan Nasional (BN) demi membolehkan pembangunan itu dilaksana secara secara berterusan dalam seluruh negeri ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata sokongan padu ini termasuklah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ketua BN Sarawak merangkap Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Presiden PRS itu sendiri iaitu Dato Sri Dr James Jemut anak Masing.

“Untuk membuktikan sokongan padu kita terhadap kepimpinan tertinggi BN, semua ahli PRS perlulah rajin turun padang untuk menyebarkan pelbagai dasar kerajaan terhadap pembangunan rakyat di kawasan masing-masing.

“Malah adalah cukup baik sekali sekiranya semua ahli PRS dapat menyakinkan rakyat untuk memilih BN sebagai peneraju utama kerajaan menjelang pilihanraya negeri atau parlimen pada masa akan datang” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika merucap merasmikan Mesyuarat Tahunan PRS 2009 Batang Ai bertempat di Pejabat Perkhidmatan PRS Batang Ai, dalam daerah kecil Lubok Antu, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu beliau juga menasihatkan kesemua ahli PRS dalam negeri ini untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat terhadap ahli dari lain-lain komponen part BN dari masa ke semasa.

Hubungan kerjasama yang erat di antara para ahli dari berlainan komponen parti BN ini kata Nyalau secara tidak langsung akan memudahkan mereka menghadapi pilihanraya negeri mulai dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Bagaimana kita boleh berhadapan dengan rakyat sekiranya semua ahli dari komponen parti BN dalam negeri ini tidak sefahaman di antara satu sama lain melainkanlah jika kita tunjukkan kepada mereka bahawa kita adalah sebuah komponen parti yang kuat dan diyakini.

“Justeru atas sebab ini saya mahu semua ahli PRS khususnya bagi kawasan Batang Ai untuk menolak segala kepentingan diri masing-masing dan sebaliknya memberikan lebih tumpuan terhadap dasar perjuangan BN terhadap rakyat,” katanya.

Hadri sama dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Sulit kepada Menteri Muda Pertanian dan Sukan Datuk Dublin Unting anak Ingkot iaitu Nelson Naga anak Alam.

Tamat….



23 January, 2009

DAP akan buka cawangan parti di bandar Sri Aman


Caption: PENGUMUMAN...Chong sedang mengatakan penubuhan cawangan Parti DAP cawangan Sri Aman kepada pihak media sebaik sahaja selesai lawatan hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (24 Jan) – Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP) akan membuka cawangannya di bandar Sri Aman dalam masa yang terdekat kelak kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chien Jien.

Menurut beliau proses penubuhan cawangan Parti DAP cawangan Sri Aman sekarang ini sudah pun dilaksanakan dan hanya menunggu masa untuk perasmian cawangan parti ini sehingga pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Buat masa ini pihak kami tidak akan mengumumkan senarai nama-nama ahli jawatankuasa yang bakal meneraju jentera pergerakan Parti DAP bagi cawangan Sri Aman sehingga ianya dirasmikan kelak.

“Mesyuarat mengenai penubuhan Parti DAP bagi cawangan Sri Aman akan diadakan mulai dalam tempoh satu minggu akan datang untuk membincangkan lebih lanjut mengenai pelan ini,”katanya.

Chong berkata demikian kepada para pemberita ketika mengadakan lawatan peribadinya ke kawasan bandar Sri Aman menerusi satu sidang media yang berlangsung di Open Air Market, Sri Aman hari ini.

Selain itu katanya pihak DAP juga bakal menganjurkan satu majlis rasmi di bandar ini dalam masa terdekat untuk mengumpul dana bagi penubuhan cawangan parti DAP ini kelak.

Terdahulu Chong bersama rombongannya telah mengadakan lawatan di beberapa buah lokasi dalam bandar ini sebelum tiba ke Open Air Market Sri Aman untuk berjabat tangan dengan orang ramai di sana.

Beliau yang turut diiringi oleh wakil pergerakan Parti DAP Sri Aman iaitu Leon Jimmy Donald memulakan lawatannya di bandar ini sekitar jam 8 pagi sehingga ianya berakhir di Open Air Market Sri Aman pada jam 11 pagi hari ini.

Tamat.

Rizal rayu bantuan orang ramai untuk membeli kerusi roda bagi kegunaan ayahnya


Caption: PERLU BANTUAN...Mohd Rizal kelihatan sedih ketika menceritakan masalah untuk membeli kerusi roda bagi kegunaan ayahnya yang ditimpa kemalangan ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (24 Jan) – Mohd Rizal bin Mohd Salleh, 27, dari Rumah No.80 Kampung Hulu, Sri Aman merayu bantuan daripada orang ramai untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga beliau apabila ayahnya iaitu Mohd Salleh Abu Talib ditimpa kemalangan baru-baru ini.

Mohd Salleh, 60, atau lebih dikenali dengan panggilan mesra sebagai Mat Lolo di Kampung Hulu mengalami kecederaan serius di bahagian tengkuk, kepala dan kedua-dua belah rusuk badan apabila tergelincir ketika sedang menuruni tangga kediamannya sekitar jam 7 petang pada 19 Januari lalu.

Kejadian ini menyebabkan Mohd Salleh dikejarkan ke Hospital Bahagian Sri Aman sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching bagi tujuan rawatan lanjut oleh pihak perubatan.

“Sehingga kini ayah saya (Salleh) masih lagi terlantar di Hospital Umum Sarawak dan memerlukan sebuah kerusi roda untuk membolehkannya bergerak semenjak ditimpa kemalangan ini.

“Bagaimanapun pembelian kerusi roda untuk kegunaan ayah saya memerlukan kos yang tinggi dan kami adik-beradik tidak mampu untuk membelinya,” kata Rizal sambil menambah bahawa beliau adalah anak ke-4 daripada enam adik beradiknya yang lain.

Ibunya iaitu Masni Abdullah, 55, menurut beliau pula tidak mampu untuk berbuat demikian ditambahi pula dengan kos perbelanjaan terhadap adik bongsu perempuannya yang kini masih lagi bersekolah.

Manakala empat lagi adik beradik perempuan kata Rizal sudah pun berkahwin dan tidak mempunyai jumlah pendapatan yang mencukupi untuk berbuat demikian atas sebab urusan keluarga masing-masing.

“Justeru atas sebab saya merayu bantuan daripada semua pihak untuk membantu ayah saya iaitu Mohd Salleh bagi mendapatkan sebuah kerusi roda bagi kegunaannya kelak,” jelas beliau sambil menambah bahawa keluarga turut mengalami masalah untuk menanggung kos perubatan ayahnya.

Orang ramai yang ingin tampil membantu keluarga Mohd Rizal berhubung bantuan untuk pembelian kerusi roda terhadap ayahnya iaitu Mohd Salleh ini boleh menghubungi beliau sendiri di talian telefon 019-8229348.

Tamat.

Tokong Cina Sri Aman pasang hiasan lampu menarik

- 24 Januari

MENAWAN...Ugan Ban (kanan) bersama rakannya Adeng Mba (kiri) sedang khusyuk melihat lampu perhiasan yang dipasang di Tokong Cina bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar, Sri Aman malam tadi. Pemasangan lampu perhiasan ini adalah merupakan salah satu aktiviti pihak tokong untuk memeriahkan suasana sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2009 di bandar Sri Aman yang akan berlangsung pada 26 Januari ini kelak.

Persiapan menjelang TBC 2009 di Sri Aman - apa kata penduduk?


Caption: MERIAH...Masyarakat kaum Cina kelihatan sedang membanjiri deretan kedai dalam bandar Sri Aman untuk membeli barang keperluan bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada 26 Januari ini.

SRI AMAN, Sabtu (24 Jan) – Menjelang 26 dan 27 Januari ini seluruh masyarakat Cina akan berkumpul bersama dengan ahli keluarga dan para sahabat handai masing-masing demi memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2009.

Tinjaun Utusan Sarawak di sekitar bandar Sri Aman mendapati bahawa rata-rata masyarakat Cina mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada hari Isnin ini.

Salah seorang pekerja restoran tempatan, Sie Toh Ming, 31, berkata sambutan Tahun Baru Cina kali ini cukup bermakna untuk diri beliau memandangkan ianya adalah peluang untuk bertemu kembali dengan ahli keluarga dan para sahabat handai yang sudah lama bekerja di negeri lain.

“Semasa sambutan Tahun Baru Cina inilah saya akan berpeluang untuk duduk berbual bersama ahli keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama bekerja di negeri orang dan jarang pulang ke rumah.

“Perayaan ini hanya diadakan sekali dalam setahun maka manfaatkanlah peluang untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina 2009 bersama ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Bagi Lim Siew Poh, 50, beliau dan keluarganya tidak berbelanja terlalu banyak wang untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baru Cina bagi tahun ini.

Katanya, masyarakat perlu mengelak pembaziran ketika mengadakan sambutan Tahun Baru Cina memandangkan mereka perlu cekap menguruskan kewangan apabila berakhirnya sambutan perayaan berkenaan.

Salah seorang peniaga, Raymond Sim, 41, dia berharap agar sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini bukan sahaja disambut oleh masyarakat Cina namun sama-sama dimeriahkan oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Saya berpendapat bahawa ada baiknya perayaan Tahun Baru Cina ini disambut bersama-sama oleh semua masyarakat berbilang kaum di negeri ini seperti Melayu dan Dayak demi mengeratkan lagi hubungan perpaduan di antara kaum,” katanya.

Sementara itu tinjauan Utusan Sarawak di sekitar bandar Sri Aman hari ini mendapati bahawa rata-rata pasaraya utama di bandar ini belum lagi dipenuhi oleh para pengunjung kaum Cina.

Utusan Sarawak difahamkan oleh setengah orang ramai bahawa pasaraya di bandar Sri Aman ini hanya akan mula penuh sehari sebelum berlangsungnya perayaan Tahun Baru Cina ini kelak.

Tamat.....









200 penduduk sertai Program Gotong Royong Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah


Caption: SIMBOLIK...Hajah Simoi bersama dengan tetamu undangan khas dan para penduduk sedang mengangkat papan tanda Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah ketika berlangsungnya program itu hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (24 Jan) – Sejumlah 200 penduduk mengambil bahagian dalam Program Gotong Royong Bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah 2009 / 1430 H Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah hari ini.

Kesemua 200 penduduk yang terdiri daripada yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, tentera, polis dan orang awam ini telah memulakan kerja gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah terbabit seawal jam 7.30 pagi.

Program ini menjadi lebih bermakna apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri bersama pemangku Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi dan Pegawai Tadbir Sarawak, Zaidi Sarkawi dan para penghulu turun padang untuk menjayakan kerja pembersihan tanah perkuburan Islam ini pada jam 8.15 pagi.

Pengerusi pengelola program terbabit, Ustaz Ramzen Hamdi ketika ditemui menjelaskan bahawa ianya adalah merupakan acara terakhir yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Maal Hijrah di daerah ini.

“Menerusi program ini pihak kami telah menjemput pelbagai pihak termasuk pihak tentera, polis, jabatan kerajaan, pihak perbankan dan penduduk dari beberapa buah kampung di bandar ini untuk menjayakan program ini.

“Malahan program ini secara tidak langsung dapat menghimpunkan semua umat Islam dalam bandar Sri Aman disamping memeriahkan lagi sambutan perayaan Maal Hijrah peringkat Negeri Sarawak 2009 / 1430 Hijrah,” katanya.

Terdahulu Simoi menerusi ucapannya pada program berkenaan mahu semua penduduk Islam di bandar ini untuk saling bekerjasama bagi menjayakan program yang berkaitan dengan perpaduan ummah.

Menurut beliau perpaduan ummah itu amat penting demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dikalangan umat Islam dalam bandar ini disamping lebih cekal dalam menegakkan syariat Islam dalam diri masing-masing.

“Justeru saya berharap agar semua umat Islam untuk turun padang bagi menjayakan penganjuran sesebuah program yang berkait rapat dengan perpaduan ummah di dalam bandar ini pada masa akan datang,” katanya.

Simoi bersama rombongan kemudiannya menyempurnakan simbolik perasmian program dengan mendirikan papan tanda Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah pada jam 8.45 pagi hari ini.

Tamat.

22 January, 2009

Jangan kutuk bekas parti sendiri - Rayong


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

LUBOK ANTU, Jumaat (23 Jan) – Bekas wakil rakyat yang pernah menyertai parti Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak seharusnya bertindak mengutuk bekas partinya sendiri walaupun telah menyertai parti pihak pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata tindakan bekas wakil rakyat itu sebenarnya mengambarkan kelemahan diri sendiri dalam karier politiknya.

“Dulu ketika menyertai BN dia mengutuk pembangkang dan sekarang apabila dia menyertai pembangkang dia mengutuk BN pula walhal dahulu beliau adalah bekas wakil rakyat BN itu sendiri.

“Bagi saya beliau tidak sepatutnya mengutuk parti BN kerana menerusi parti ini dahululah beliau meneraju pembangunan hidup rakyat di kawasan yang diwakili olehnya sebelum bertindak meninggalkan BN baru-baru ini,” katanya tanpa menyebut nama bekas wakil rakyat berkenaan.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Ringkai, Seremat dalam daerah kecil Lubok Antu, Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau juga turut mengingatkan ketua kaum terutamanya tuai rumah di kawasan daerah Lubok Antu agar tidak mempengaruhi rakyat rumah panjangnya untuk menyertai pihak pembangkang.

Tuai rumah sebaliknya kata Rayong haruslah membawa rakyat yang berada di bawah pimpinan untuk bersatu-padu menyokong kerajaan BN demi pembangunan yang berterusan di kawasan masing-masing.

“Semua tuai rumah harus sedar bahawa menerusi sokongan penuh mereka terhadap BN barulah projek pembangunan itu dapat dilaksanakan di kawasan masing-masing tanpa ada sebarang gangguan.

“Lagipun kejayaan pembangunan yang dibawa oleh BN selama ini walaupun secara berperingkat membuktikan bahawa hanya BN yang mampu mempertingkatkan taraf hidup rakyat itu sendiri,” katanya.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak yang juga turut mengumumkan peruntukkan bernilai RM80,000 untuk kegunaan JKKK rumah panjang terbabit.

Tamat.

Penyokong pembangkang pentingkan diri - Nyalau


Mugshot: WILLIAM NYALAU BADAK

LUBOK ANTU, Jumaat (23 Jan) – Sikap mementingkan diri sendiri dikalangan individu atau kumpulan tertentu yang menyokong pihak pembangkang selama ini sebenarnya boleh memberikan kesan terhadap hidup penduduk yang tinggal disekeliling mereka kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Menurut beliau kewujudan golongan individu atau kumpulan yang menyokong pihak pembangkang secara tidak langsung boleh membantutkan usaha pembangunan yang cuba dibawa oleh Barisan Nasional (BN) di sesebuah kawasan terbabit selama ini.

“Penduduk di kawasan luar bandar sebenarnya masih dahagakan pembangunan yang cuba dibawa oleh BN kepada selama ini namun kehadiran pihak berkenaan (individu atau kumpulan penyokong pembangkang) boleh menggugat usaha sebegini dari masa ke semasa.

“Kumpulan ini hadir dikalangan penduduk dalam kawasan masing-masing dan menghasut mereka untuk membenci pihak BN dengan harapan agar keperluan politik mereka dapat dipenuhi setelah berjaya memperalatkan penduduk itu sendiri,” jelas beliau.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Ringkai, Seremat dalam daerah kecil Lubok Antu, Sri Aman malam tadi yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dan para pegawai kerajaan sekitar daerah itu.

Tindakan penduduk yang angkat menentang BN hasil hasutan pihak terbabit kata beliau secara tidak langsung telah menganggu perlaksanaan sesebuah projek pembangunan yang cuba dibawa oleh kerajaan kepada mereka.

“Individu atau kumpulan penyokong pembangkang itu sebenarnya tidak peduli sama ada penduduk di kawasan mereka akan ketinggalan dari segi projek pembangunan akibat dari tindakan hasutan pihak itu sendiri.

“Paling penting ialah agar keperluan politik mereka dapat dipenuhi oleh penduduk...yang lain itu mereka tidak peduli,” katanya sambil menambah bahawa pembangunan oleh BN akan diteruskan sekiranya penduduk tidak termakan hasutan pihak terbabit.

Justeru Nyalau menasihatkan penduduk terutamanya mereka yang menetap di kawasan luar bandar untuk terus setia dibelakang kerajaan BN supaya projek pembangunan di sesebuah kawasan terbabit dapat dilaksana dari masa ke semasa.

Majlis berkenaan menyaksikan beliau mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM80,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rumah Ringkai untuk membolehkan pihak terbabit mengubahsuai kawasan rumah panjang mereka.

Tamat.

21 January, 2009

Jalan Sukun dilanda air bah


Caption: MULA SURUT...Air bah melanda kawasan Jalan Sukun acapkali berlakunya hujan lebat tanpa henti di kawasan berkenaan selama ini.

SRI AMAN, Khamis (22 Jan) – Setelah dilanda masalah jalan berlubang selama setahun, penduduk di kawasan Jalan Sukun, Sri Aman sekali lagi berhadapan dengan masalah banjir kilat ekoran dari sistem peparitan yang tidak sempurna sebelum ini.

Utusan Sarawak yang mendapat panggilan daripada penduduk berhubung kejadian banjir di kawasan jalan berkenaan mendapati air naik sedalam satu apabila berlakunya hujan lebat di bandar ini beberapa hari lepas.

Seorang penduduk, Abang Naim Abang Pauzi ketika ditemui Utusan Sarawak mendakwa bahawa banjir kilat akan berlaku di kawasan jalan berkenaan sekiranya hujan lebat turun tanpa henti selama satu jam.

“Sistem peparitan di kawasan Jalan Sukun tidak diselenggara dengan begitu sempurna oleh pihak kontraktor selama ini sehingga menyebabkan air bah dari parit berkenaan melimpah keluar di atas jalan raya.

“Air bah pernah naik setinggi dua kaki di kawasan tertentu dalam laluan jalan Sukun sekiranya berlakunya hujan lebat di bandar ini selama beberapa jam dan adakalanya mencapai kedalaman satu kaki sahaja,” katanya.

Kejadian banjir di laluan Jalan Sukun ini katanya menyebabkan penduduk terpaksa membatalkan niat masing-masing sekiranya ingin membuat sebarang urusan rasmi di bandar Sri Aman.

Ini kerana kedalaman air bah yang disebabkan faktor sistem peparitan di kawasan Jalan Sukun ini menurut beliau menyebabkan penduduk tidak mahu meredah laluan berkenaan dengan menggunakan kenderaan masing-masing.

“Justeru saya mewakili penduduk di kawasan Jalan Sukun merayu pihak berkuasa tempatan untuk mengarahkan pihak kontraktor terbabit untuk menyelenggara sistem peparitan di kawasan ini bagi tempoh sebulan sekali,” katanya.

Tamat.



Penduduk mahu Obama buat perubahan




1.ARIP...Ubah dasar luar

2.ROBIN...Pulihkan ekonomi

SRI AMAN, Khamis (22 Jan) – Perlantikkan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) Ke-44 menerusi sebuah upacara rasmi yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen di seluruh dunia pada tengah malam kelmarin sememangnya menjadi sebuah sejarah baru bagi negara kuasa besar itu sendiri.

Ini kerana Obama merupakan Presiden AS berkulit hitam yang pertama dalam sejarah negara itu sendiri dan juga merupakan presiden termuda ke-5 dikalangan 43 orang individu yang pernah meneraju kepimpinan negara berkenaan.

Perlantikkan beliau sebagai presiden ke-44 yang mengantikan George Walker Bush sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat di seluruh dunia terutamanya mereka yang mahu AS mengubah dasar luar negara sebelum ini.

Rata-rata penduduk di bandar Sri Aman hasil tinjauan Utusan Sarawak mendapati bahawa perlantikkan Obama tidak akan membawa sebarang makna sekiranya dasar luar AS tidak berubah berbanding ketika George Walker Bush menjadi presiden AS yang sebelumnya.

“Saya berharap agar beliau (Obama) dapat mewujudkan keamanan bagi kawasan Timur Tengah lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan persengketaan yang masih berlarutan di antara Palestin dan Israel,” kata seorang penduduk iaitu Arip bin Adong, 44 tahun.

Menurut beliau dasar luar AS ketika Bush menjadi presiden menyebabkan negara itu dipandang hina oleh semua penduduk dunia ditambah lagi dengan tindakan menyerang negara Iraq dan Afganistan dahulu.

Bagi Robin Langkau, 46, Obama perlu mengembalikan semula kestabilan ekonomi dunia menerusi pelan tindakan pemulihan ekonomi yang pernah disuarakan oleh beliau ketika berkempen dahulu.

“Impak kemelesatan ekonomi AS secara tidak langsung pada bulan Oktober tahun lepas telah menyebabkan kemeselatan ekonomi secara global sehingga kesan dirasai dalam negara kita sendiri.

“Justeru harapan saya ialah agar Obama dapat memulihkan semula masalah kegawatan ekonomi ini menerusi pelan yang pernah dinyatakan oleh beliau ketika berkempen tahun lepas,” katanya.

Tamat.

19 January, 2009

Uji kemahiran dengan bermain Dart di Gimnasium Rakyat MAKSAK Sri Aman


UJI KEMAHIRAN...Seorang kakitangan kerajaan iaitu Roslan (kiri) bersama rakannya sedang mengisi masa lapang dengan menguji permainan Dart bertempat Pusat Kemudahan Gimnasium Rakyat, MAKSAK petang semalam. Pusat Kemudahan Gimnasium Rakyat, Rumah MAKSAK Sri Aman juga turut menawarkan kemudahan bermain Dart selain daripada menyediakan peralatan senaman ringan dan senaman angkat berat semenjak ianya mula beroperasi pada pertengahan tahun lepas.

24 anggota RELA Sri Aman bakal terima sijil 31 Januari ini.


Caption: UMUM...Bajuri (empat dari kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat ke-2 mengenai penganjuran majlis berkenaan di sini malam tadi.


SRI AMAN, Selasa (20 Jan) – Seramai 24 orang anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman bakal menerima sijil menerusi Majlis Makam Malam Pemimpin Bersama Ahli RELA Sri Aman pada 31 Januari ini kata Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom menerusi mesyuarat yang berlangsung di sini malam tadi.

Kesemua 24 orang anggota ini katanya bakal menerima sijil menerusi enam buah kategori antaranya ialah Penerima Watikah Perlantikan Ketua Perhubungan RELA Kawasan (KPRK), Penerima Sijil Kursus KPRK, Sijil Kursus Ketua Platun, Sijil Ujian Kemahiran Menembah RELA, Wakil Sijil Kursus Pengenalan RELA dan Wakil Sijil Operasi Tegas.

“Kapten (RELA) Haji Awang Sohor bin Awang Apek akan menerima Watikah Perlantikan KPRK manakala Kapten Haji Shamshuddin Haji Saliman dan Kapten Mohd Bukong Abdullah pula akan menerima Sijil Kursus KPRK.

“Tujuh orang pegawai berpangkat Leftenan Muda RELA pula akan menerima Sijil Kurus Ketua Platun iaitu Kanselor Jimmy Chong, Haji Junaidi Haji Mohammad, Rusli Ayup, Ujuh Laga, Gon Kilat, Usop Kua, Saliman Baga, Salleh Nanggai, Abang Yusof Buasan Abang Naruddin dan Shamshuddin bin Mat,” katanya.

Sementara itu Kapten Mohd Bukong Abdullah pula akan mewakili kawasan batu Lintang untuk menerima Sijil Kursus Pengenalan RELA manakala Kapten Liew Shan Boo pula mewakili kawasan Pantu untuk menerima sijil terbabit.

“Kapten Haji Shamshuddin bin Haji Saliman danm Kapten Pemanca Sii Toh Peng pula akan mewakili penerima bagi Sijil Operasi Tegas menerusi majlis ini kelak,” katanya.

Bajuri juga menambah bahawa majlis ini kelak secara tidak langsung akan membolehkan pihak RELA Sri Aman mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat terhadap para wakil rakyat di daerah ini dalam melaksanakan pelbagai program yang berkaitan dengan RELA.

“Untuk menjayakan majlis ini seramai 120 anggota RELA Daerah Sri Aman terutama sekali dari platun Pantu, Lachau, Batu Lintang, Stumbin dan Sri Aman akan melibatkan diri dalam majlis ini,” katanya.

Majlis pada malam itu bakal diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri dan Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Tamat.



Jenny Tan dan Timoti muncul dalam album lagu duet


Caption: DAPAT SAMBUTAN...Album duet Team Bujang Senang yang menampilkan Jenny Tan dan Timoti kini sudah pun berada di pasaran seluruh negeri semenjak akhir bulan November tahun lalu.

20 Jan

Pemenang Kategori Syarikat Muzik Paling Berjaya menerusi Festival Anugerah Muzik Dayak (DAMA) 2008 iaitu Jenny Tan telah tampil menerusi album duet terbarunya bersama Timoti yang berjudul Team Bujang Senang.

Album duet Team Bujang Senang keluaran syarikat Golden Pearl Recording Studio (GPRS) ini telah pun berada di pasaran seluruh negeri Sarawak pada 25 November tahun lepas.

Menerusi duet bersama artis rakaman yang bernaung di bawah syarikat GPRS iaitu Timoti, jualan album Team Bujang Senang menurut Jenny yang juga pemilik syarikat berkenaan kini sudah pun mencecah hampir 3,000 unit.

“Jualan album duet Team Bujang Senang setakat ini amat memberangsangkan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua peminat yang telah memberikan sokongan terhadap album ini dan juga kepada pihak jurhebah yang sering memutarkan lagu ini di corong radio,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Jenny, isteri kepada seorang artis rakaman terkenal dari syarikat yang sama iaitu Jennarino Jeraki juga menyatakan bahawa terdapat 10 buah lagu yang terkandung di dalam album Team Bujang Senang ini.

10 buah lagu terbabit menurut beliau adalah Team Bujang Senang, Aram Sama Pulai, Nuan Nyadi Ke Ganti, Ngiga Jalai Pemansang, Nancang Tali Semaya, Anang Ngutuk Nasib Diri, Cemburu Tanda Sayau, Nembiak Rebak Baru, Joget Sama Beterang dan Tukar Tincin Nyadi Ka Tanda.

“Kesemua 10 buah lagu yang terkandung yang dicipta oleh saya dalam album duet Team Bujang Senang ini telah diselitkan dengan penggunaan elemen muzik seperti Agogo, Twist, Dangdut dan Irama Joget.

“Menerusi album duet ini saya yakin bahawa lagu Team Bujang Senang, Nuan Nyadi Ke Ganti dan Ngiga Jalai Pemansang akan terus mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada peminat lagu Iban tempatan di negeri ini,” katanya.

Justeru Jenny berharap agar para peminat lagu Iban di negeri ini terus memberikan sokongan terhadap album duet beliau dan Timoti dengan membeli album yang tulen dan bukannya cetak rompak.


Tamat.

Krisis ekonomi di AS membimbangkan - Dismas dan Mura

SRI AMAN, Selasa (20 Jan) – Krisis kegawatan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat pada masa sekarang sememangnya memberikan banyak impak ekonomi terhadap lain-lain negara.

Walaupun krisis kegawatan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat tidak begitu di rasai dalam negara ini namun krisis terbabit sememangnya melahirkan rasa bimbang terhadap golongan belia khususnya mereka yang sedang bekerja di syarikat swasta pada masa sekarang.

“Apabila Western Digital mahu menghentikan operasinya di Kuching sebelum ini, saya bersama rakan-rakan yang bekerja di kilang terbabit mula berasa bimbang terutamanya mengenai masa depan kami.

“Kami tidak tahu ke mana halatuju kami sekiranya kilang ini akan diberhentikan operasinya kelak,” menurut seorang pekerja kilang terbabit yang berasal dari Selantik Ili, Pantu, Sri Aman iaitu Mura, 40 tahun.

Beliau yakin bahawa krisis kegawatan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat pada masa sekarang sememangnya memberikan impak terhadap kebanyakkan negara-negara di Asia berdasarkan kepada contoh berkenaan (penutupan Western Digital).

Seorang penyelia cawangan syarikat penyediaan khidmat keselamatan di bandar ini iaitu Dismas, 30, kini sedang bersedia untuk mengumpul duit simpanannya sendiri sekiranya impak kegawatan ekonomi ini menjadi semakin teruk dalam negara ini pada masa akan datang.

“Saya ada membaca suratkhabar pada waktu pagi hari ini yang menyatakan bahawa sejumlah 500,000 pekerja dalam negara akan dibuang kerja disebabkan oleh krisis kegawatan ekonomi pada masa sekarang.

“Saya bimbang perkara ini akan membabitkan saya. Justeru saya terpaksa bertindak sekarang untuk merancang untuk memulakan perniagaan sendiri sekiranya perkara ini berlaku terhadap diri saya kelak,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Terdahulu, Amerika Syarikat bakal menyediakan pelan tindakan ekonominya sendiri apabila Barrack Obama, iaitu bakal Presiden Amerika Syarikat yang Ke-44 mengangkat sumpah sebagai presiden barunya esok (21 Januari).

Tamat.

Album terbaru Jeraki dapat sambutan memberangsangkan


Caption: TERUS HIT! Album Pantun Rakyat terbitan syarikat Golden Pearl nyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat apabila album itu kini sudah terjual melebihi 5,000 unit dalam tempoh kurang dari satu bulan.

20 Jan

Artis rakaman terkenal dari syarikat Golden Pearl Recording Studio (GPRS) iaitu Jennarino Jeraki melahirkan rasa gembira apabila album terbarunya yang berjudul Pantun Rakyat terjual melebihi 5,000 unit semenjak ianya berada di pasaran seluruh negeri ini pada 24 Disember tahun lepas.

Anak jati kelahiran Kampung Munggu Lalang, Simunjan yang terkenal menerusi lagu berjudul Endena ketika dihubungi menjelaskan bahawa album Pantun Rakyat kali menampilkan kelainan berbanding album solo beliau yang sebelumnya.

“Disamping penggunaan elemen muzik Dangdut, Twist dan Agogo, album Pantun Rakyat juga turut menyerapkan elemen muzik Irama Malaysia iaitu Rentak Gendang yang sebelum ini tidak pernah diserapkan dalam album saya sebelum ini.

“Dua buah lagu yang menggunakan elemen muzik Irama Malaysia atau Rentak Gendang dalam album terbaru saya ini ialah lagu Pantun Rakyat dan YB Menang Di Undi,” katanya sambil merakamkan penghargaan terhadap semua peminat lagu Iban tempatan yang telah membeli album terbarunya sebelum ini dan juga kepada juruhebah stesen radio yang juga pernah memutarkan lagu beliau untuk dendangan pendengar.

Album Pantun Rakyat menurut Jeraki telah menampilkan 10 buah lagu antaranya ialah Pantun Rakyat, Buya Berimbai Enda Bepegai, Aram Bedangdut, Joget Keruk, Badu Ringat Ke Aku Sulu, Badu Bekendak Agi, Udah Luya Buai Sengapa, YB Menang Di Undi, Anang Cemburu Buta dan Anang Sebarang Tunda.

Menerusi album terbaru keluaran syarikat GPRS ini, Jeraki yakin bahawa lagu Pantun Rakyat, Buya Berimbai Enda Bepegai dan Cemburu Buta bakal menjadi lagu hit dikalangan peminat lagu Iban tempatan di negeri ini.

“Empat daripada 10 buah lagu ini telah dicipta oleh saya sendiri iaitu Pantun Rakyat, Aram Bedangdut, YB Menang Di Undi dan Anang Sebarang Tunda manakala lagu Buya Berimbai Enda Bepegai, Joget Keruk, Badu Ringat Ke Aku Sulu, Badu Bekendak Agi, Udah Luya Buai Sengapa dan Anang Cemburu Buta pula dicipta oleh Lakuang Ading.

“Kesemua program muzik terhadap 10 buah lagu ini telah dikendalikan oleh Hillary manakala modeling dalam klip video ini pula dijayakan oleh Morgan, Rimong, Mathew Abu, Telen Munci, Caroline, Helen, Misheal, Lakuang Ading dan Hilary itu sendiri,” katanya.

Jeraki, 34, sebelum ini pernah muncul menerusi tujuh buah album antaranya ialah Endena, Hei Aku Palau, Nastiana, Enchungki Enggai Ka Puni, Enjoy Sebulan Sekali, Dara Nemu Kuntau dan Pemanis Senggalang Burung.

Album Pantun Rakyat yang terjual melebihi 5,000 unit dalam tempoh kurang satu bulan membuktikan bahawa Jennarino Jeraki masih lagi tergolong dalam artis rakaman popular dalam negeri ini.

Selain itu syarikat GPRS juga kini bakal membariskan tiga muka baru dalam industri lagu Iban tempatan antaranya ialah Windy, Catherine dan Emil Hamlen.

Tamat.

18 January, 2009

Chee Chuan Khor hulur sumbangan TBC kepada Warga Emas


Caption: UNTUK ALBUM...Harden (tengah bercermin mata) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para penerima dan ahli persatuan berkenaan ketika berlangsungnya majlis di sini semalam.

SRI AMAN, Isnin (19 Jan) – Seramai 16 orang Warga Emas dari sekitar daerah Sri Aman menerima Angpow dan hamper barangan makanan hasil sumbangan Persatuan Chee Chuan Khor (Moral Uplifting Society) Sri Aman bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2009 ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Francis Harden anak Hollis telah menyampaikan Angpow dan hamper barangan makanan hasil sumbangan persatuan terbabit menerusi sebuah majlis yang berlangsung di sini kelmarin.

Presiden Persatuan Chee Chuan Khor Sri Aman, Kapitan Kueh Aik Seng berkata sumbangan terbabit bertujuan untuk membolehkan golongan Warga Emas sama-sama menikmati suasana kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina pada 25 dan 26 Januari ini kelak.

“Selain Angpow, sumbangan berupa barang makanan seperti beras, gula, air minuman, minyak masak, susu pekat dan biskut oleh pihak persatuan ini secara tidak langsung dapat menambah barang keperluan makanan mereka di rumah.

“Justeru pihak kami berharap agar pihak kesemua 16 orang penerima ini dapat memanfaatkan sumbangan Angpow dan hamper barangan makanan ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

Selain itu sumbangan terbabit kata Kueh juga sekaligus membolehkan golongan Warga Emas tidak berasa terpinggir di kalangan anggota masyarakat dalam bandar ini yang bakal memeriahkan suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina kelak.

“Chee Chuan Khor adalah merupakan sebuah persatuan yang begitu prihatin terhadap kebajikan hidup penduduk dalam bandar Sri Aman selama ini dan kita akan sentiasa tampil untuk membantu mereka yang amat memerlukan bantuan.

“Jadi saya berharap agar aktiviti sosial yang dilaksanakan oleh pihak persatuan kami selama ini dapat mengalakkan lebih banyak persatuan untuk turun padang bagi membantu golongan penduduk yang amat memerlukan sumbangan kita,” katanya.

Hadir sama ialah timbalannya, Pemanca Tay Ban Cho, naib presiden, Penghulu Lee Shiang Hua, ketua pergerakan wanita persatuan terbabit, Lim Shiang Ngo, para ketua kaum dan ahli persatuan itu sendiri.

Tamat.

Penduduk digalak berpersatuan kata Mong

SRI AMAN, Isnin (19 Jan) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang Masyarakat menasihatkan penduduk untuk lebih aktif dalam menubuhkan persatuan atau kesatuan dalam kawasan masing-masing di negeri ini.

Menurut beliau penubuhan persatuan di kawasan masing-masing adalah amat penting demi membantu menaiktaraf hidup penduduk di negeri ini disamping mengeratkan lagi hubungan perpaduan di kalangan mereka.

“Saya amat menyokong penuh penubuhan mana-mana persatuan terutama sekali yang membabitkan penyertaan kaum Dayak kerana ianya secara tidak langsung dapat membantu mengukuhkan kehormanian serta mencari dana untuk memajukan rumah panjang masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Makan Malam bersempena dengan Penubuhan Unit Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Rumah Untol Batu Besai di Mini Stadium Sri Aman baru-baru ini.

Untuk memajukan sesebuah rumah panjang terbabit, Mong menasihatkan golongan cerdik pandai agar ‘tidak kedekut’ untuk membantu penduduk yang kurang mahir bagi memajukan kawasan masing-masing.

Dengan kata lain Mong menekankan tentang betapa pentingnya faktor kerjasama di kalangan penduduk untuk membangunkan kawasan rumah panjang masing-masing menerusi aktiviti persatuan.

“Penduduk terutamanya kaum Dayak di negeri ini perlu mengambil peluang untuk menubuhkan persatuan ke arah mendidik mereka ini agar lebih berdikari dan proaktif untuk memajukan kawasan masing-masing.

“Menerusi persatuan ini juga, penduduk secara tidak langsung dapat mewujudkan saluran untuk berhubung dengan kerajaan atau wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk urusan yang berkaitan dengan aktiviti pembangunan,” katanya.

Dalam majlis itu Mong telah memperuntukkan Projek Pembangunan Luar bandar (MRP) bernilai RM2,000 kepada Unit SIDS Rumah Untol, Batu Besai.

Majlis ini yang telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir anak Kujat turut dihadiri oleh Pengerusi SIDS cawangan Sri Aman, Roselyn Abunawas, Pegawai Penerangan Parlimen Sri Aman dan Lubok Antu, Whelton Lumpoi dan Geoffery Baja.

Tamat.....



Masir ingatkan pesara kerajaan agar 'kembali ke pangkal jalan'


Caption: APA KHABAR?Masir (dua dari kiri) sedang bersalaman dengan seorang ketua kaum ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini Turut kelihatan ialah Mong Dagang (kanan sekali.

SRI AMAN, Isnin (19 Jan) – Pesara kerajaan terutamanya mereka yang kini sedang bergiat aktif dalam parti politik pembangkang diminta untuk menilai kembali sumbangan Barisan Nasional (BN) terhadap hidup mereka ketika masih berkhidmat dalam jabatan kerajaan sebelum ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersempena dan seterusnya perasmian Unit Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Rumah Untol Batu Besai bertempat di Mini Stadium Sri Aman baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan di bawah teraju BN telah membantu menjaga kebajikan dan taraf hidup setiap individu yang berkhidmat dalam mana-mana jabatan kerajaan sebelum ini.

“Kita (kerajaan) telah memberikan pelbagai kesenangan kepada mereka (kakitangan kerajaan) ketika mereka masih berkhidmat dalam mana-mana jabatan kerajaan dalam negara ini.

“Adalah amat mengecewakan apabila sumbangan yang kita berikan terhadap mereka sebelum ini dibalas semula dengan penyertaan masing-masing ke dalam parti politik pembangkang demi menentang kerajaan,” katanya.

Pesara kerajaan kata Masir seharusnya turun padang untuk membantu BN mempertingkat taraf hidup penduduk dari kawasan dalam serta luar bandar negeri ini dan bukannya bertindak menghasut mereka untuk menentang BN.

Tindakan menghasut penduduk hasil bimbingan parti pembangkang menurut beliau lagi secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha BN untuk melaksana pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

“Berhentilah ‘berteman’ dengan pihak pembangkang kerana tindakan sedemikian tidak akan membuahkan hasil kepada diri sendiri dan penduduk di kawasan anda,” katanya sambil menyatakan bahawa bekas ahli politik BN yang berbuat demikian juga harus memikirkan kembali sumbangan BN terhadap mereka selama ini.

Masir menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada SIDS Unit Rumah Untol Batu Besai.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang, Pengerusi SIDS cawangan Sri Aman, Roselyn Abunawas, Pegawai Penerangan Parlimen Sri Aman dan Lubok Antu, Welton Lumpoi dan Geoffery Baja anak Ricky Maba.

Tamat.....



Ellison - musim banjir sebabkan bisnes restoran alami kerugian

Mugshot: ELLISON ANAK LINGOH

SRI AMAN, Jumaat (16 Jan) – Seorang pemilik restoran makanan laut yang terletak di kawasan Jalan Hospital dalam bandar Sri Aman mendakwa bahawa kejadian hujan lebat tanpa henti yang melanda seluruh Sarawak semenjak hari Sabtu lalu telah memberi kesan terhadap perniagaannya.

Ellison anak Lingoh, 47, ketika ditemui berkata cuaca buruk yang melanda bandar ini sehingga menyebabkan berlakunya banjir di beberapa buah kawasan menyebabkan kadar keuntungan operasi restorannya merosot berbanding hari biasa.

“Hujan lebat yang berlaku sepanjang masa di bandar ini sebelum ianya berakhir pada hari Rabu lepas menyebabkan tidak ramai pelanggan yang datang ke restoran makanan laut saya ini.

“Boleh dikatakan dalam sehari tidak lebih daripada 20 pelanggan yang datang ke restoran ini berbanding pada hari biasa apabila jumlah kedatangan pelanggan melebihi kadar 100 orang sehari untuk hari biasa,” katanya.

Beliau yang enggan mendedahkan jumlah kerugian akibat cuaca buruk yang melanda negeri ini semenjak minggu lepas juga yakin bahawa cuaca buruk ini juga turut memberi kesan terhadap permis perniagaan yang lain dalam bandar ini.

“Ini merupakan pengalaman yang berharga buat diri saya dan keluarga. Sekurang-kurangnya saya akan melakukan persiapan lebih awal untuk menghadapi kejadian banjir seperti ini di masa akan datang,” katanya.

Cuaca buruk yang melanda negeri ini khususnya di bandar Sri Aman semenjak minggu lepas telah menyebabkan berlakunya banjir sehingga mencecah paras kedalaman satu kaki di beberapa kawasan dalam bandar ini.

Malahan beberapa buah premis perniagaan turut dinaiki air berikutan berlakunya fenomena air pasang di Sungai Batang Lupar bermula hari Isnin sehingga hari Selasa lalu.

Ellison Seafood Restaurant, premis makanan laut milik Ellison di kawasan Jalan Hospital juga dinaiki air sehingga mencapai paras kedalaman setengah kaki. Kejadian ini menyebabkan kawasan operasi perniagaannya menjadi terhad.

Tamat.



SK Tanjung Bijat dibuka semula


Caption: TURUN PADANG...Thomas Sumbang (kanan) bersama rakan turun padang untuk memastikan kawasan dan harta benda sekolah yang dinaiki banjir baru-baru ini berada dalam keadaan selamat.

SRI AMAN, Jumaat (16 Jan) - Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat di daerah kecil Lingga, Sri Aman terpaksa ditutup buat sementara waktu berikutan kawasan sekolah itu termasuk dua pra sekolah, dewan makan, bilik guru, asrama murid dinaiki air.

Penolong Kanan 1 SK Tanjung Bijat Encik Thomas Sumbang anak Jilom ketika ditemui berkata sekolah terbabit terpaksa ditutup bermula hari Isnin lalu hingga hari Khamis lepas apabila kawasan sekolah berkenaan dinaiki air setinggi empat kaki.

“SK Tanjung Bijat ditenggelami banjir apabila air dari kawasan sungai yang berdekatan melimpah keluar disebabkan oleh berlakunya fenomena air pasang bermula hari Isnin lalu.

“Apabila paras air banjir mencecah kedalaman empat kaki, pihak sekolah akhirnya mengambil keputusan untuk menutup sekolah ini buat sementara waktu demi keselamatan kakitangan dan para muridnya,” kata beliau.

SK Tanjung Bijat tambah beliau pada mulanya dilanda banjir pada hari Isnin lalu apabila berlakunya fenomena air pasang pada jam 6.35 petang di sungai yang berdekatan dan surut kembali pada jam 10 malam.

Manakala pada hari Selasa pula, fenomena air pasang di sungai terbabit telah berlaku pada jam 7.20 petang sehingga 10.30 malam sehingga menyebabkan kawasan sekolah ditenggelami air sedalam empat kaki.

“Keadaan semakin bertambah pulih pada hari yang berikutnya (Rabu) dan pada hari Khamis pihak kami telah pun membuka kembali SK Tanjung Bijat bagi tujuan sesi pembelajaran seperti biasa.

“Banjir terbabit telah menyebabkan kawasan sekolah menjadi amat kotor sehingga menyebabkan pihak kami melaksanakan kerja pembersihan untuk membuang mendapan lumpur hasil dari kesan limpahan air sungai berkenaan,” katanya.

Pihak SK Tanjung Bijat jelas beliau lagi telah pun meminta bantuan ibubapa murid untuk membersihkan kembali kawasan sekolah akibat kejadian banjir yang dianggap paling buruk melanda sekolah terbabit selama ini.

“Justeru pihak kami berharap agar kejadian banjir yang melanda SK Tanjung Bijat tidak akan berulang kembali di masa akan datang,” katanya.

Tamat….