Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 December, 2009

Seminar Keusahawanan di dwn suarah 3 Disember ini

SRI AMAN, Rabu (2 Dis) – Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Sri Aman dan MARA Sarawak akan mengadakan Seminar Keusahawanan bertempat di Dewan Suarah Sri Aman pada 3 Disember ini.

Pengerusi MPUB Sri Aman, Desmond Douglas Jerukan berkata seminar ini bertujuan untuk mengumpul maklumat dan berkongsi pengetahuan mengenai perancangan rapi kerajaan terhadap peluang dan cabaran yang bakal dihadapi oleh usahawan Bahagian Sri Aman menjelang Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10.

“Seminar Keusahawanan yang bertemakan 'Ke Arah Memperkasakan Semangat Keusahawanan dan Menjana Jaringan Usahawan Menjelang RMK-10 ini akan disertai seramai 250 orang usahawan Sri Aman bermula jam 8 pagi hingga 5 petang pada tarikh yang dinyatakan.

“Seminar ini bakal mendedahkan golongan usahawan baru terhadap perancangan bidang perniagaan yang diminati dan maklumat tentang sokongan institusi yang sedia ada dengan tujuan untuk melonjakkan keupayaan mereka di tempoh perlaksanaan akan datang,” menurut beliau.

Beliau yang juga Timbalan Residen Sri Aman menjelaskan bahawa konsep seminar ini nanti akan tertumpu kepada teras pembangunan Bahagian Sri Aman khususnya di dalam bidang pertanian dan pelancongan semulajadi selain daripada bidang-bidang sokongan yang lain.

Ini kerana kerajaan menurut Desmond dijangka mempergiatkan sektor pertanian menerusi RMK-10 setelah memperkenalkan konsep 'Pertanian Baharu' menerusi RMK-9 yang menzahirkan misi pertanian sebagai perniagaan yang menekankan aspek perkembangan pertanian berskala besar secara komersial.

“Malahan konsep 'Pertanian Baharu' itu juga menzahirkan misi pertanian sebagai perniagaan berkualiti tinggi dengan pemprosesan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi serta bioteknologi.

“Tambahan pula dengan adanya infrastruktur pelancongan yang sedang didirikan di Bahagian Sri Aman dan program pelancongan yang menarik seminar ini dijangka dapat membuka mata usahawan kita untuk mengambil peluang dalam industri ini,”katanya.

Justeru usahawan yang berminat untuk menyertai seminar ini nanti boleh berhubung Sekterariat seminar iaitu MARA Sri Aman menerusi talian 083-322221. “Bagaimanapun penyertaan seminar ini adalah terhad.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshudin Abang Seruji dijangka akan hadir bagi menutup rasmi seminar ini pada jam 4 petang, 3 Disember ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment