Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 December, 2009

Sedia hadapi cabaran global - Abang Jo


Caption: APA KHABAR? Zohari sedang bersalaman dengan ahli PBB Lingga sambil diiringi oleh Simoi (kiri), Wahab (belakang kanan) dan Abu Seman (belakang tengah) sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis berkenaan hari ini.

SRI AMAN, Selasa (22 Dis) – Barisan pemimpin dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dinasihat agar bersiap sedia untuk menghadapi saingan dan cabaran global mulai masa sekarang demikian menurut Timbalan Presiden II PBB, Datuk Amar Haji Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg.

Ini kerana Ketua Menteri merangkap presiden parti terbabit iaitu Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah mengarahkan semua pemimpin dan ahli parti untuk memfokuskan PBB sebagai parti yang memperjuangkan kebajikan hidup penduduk Bumiputera menerusi gelombang politik pembangunan yang kedua selepas ini.

“Cabaran global ini mulai tampak perbezaannya apabila kemudahan Teknologi Komunikasi dan Internet (ICT) wujud dengan meluas dalam perlaksanaan gelombang politik pembangunan yang kedua berbanding dengan gelombang politik pembangunan yang pertama dahulu.

“Atas sebab ini demi membolehkan Sarawak bersaing dari segi kemajuan berbanding orang luar kelak maka semua ahli PBB termasuk barisan pemimpin harus memperlengkapi diri masing-masing dengan ilmu ICT terbabit mulai masa sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tri Tahunan PBB cawangan N.23 Lingga bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu Zohari juga mahu semua ahli PBB untuk mempertahankan budaya politik halus dalam negeri ini demi membolehkan Sarawak mencapai sasaran sebagai sebuah negeri maju dalam Malaysia menjelang tahun 2030.

“Rahsia kejayaan pembangunan dalam negeri kita sebenarnya terletak pada kekuatan PBB sebagai tulang belakang Kerajaan Negeri yang berjaya membuktikan kepada ‘orang luar’ bahawa kita bersama komponen parti Barisan Nasional (BN) yang lain mampu mengamalkan budaya politik yang halus di sini selama ini.

“Justeru adalah amat penting bagi semua ahli PBB untuk terus mempertahankan budaya politik halus ini agar kita mampu melaksanakan usaha pembangunan dalam negeri ini bersama komponen parti BN negeri yang lain,” katanya.

Hadir sama ialah Naib Presiden Kanan PBB, Haji Abdul Wahad Aziz, Timbalan Setiausaha Agung PBB, Abu Seman Jahwie, Ketua cawangan PBB N.23 Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Haji Abdul Karim Hamzah, para pemimpin cawangan dan ahli PBB Lingga.

Tamat.


No comments:

Post a Comment