Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 December, 2009

Projek sawit di Bt Lintang, Sri Aman bakal ubah hidup rakyat - Harden


Caption: INGIN CUBA...Harden sedang menguji mesin pemproses getah sambil disaksikan oleh penduduk ketika berlangsungnya majlis di situ kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (10 Dis) – Hidup penduduk dari kawasan Batu Lintang, Sri Aman bakal berubah selepas ini dengan adanya projek penanaman sawit yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan di situ menerusi syarikat SOP Pelita Undop Batu Lintang sekarang.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata sehingga kini sejumlah 1,200 hektar tanah di kawasan Blok Estate 1 Undop Batu Lintang sudah pun ditanam dengan anak kelapa sawit.

“Kerajaan menerusi syarikat itu kini sedang mengusahakan penanaman anak kelapa sawit di atas tanah berkeluasan 500 hektar dalam kawasan Blok Estate 2 Undop Batu Lintang sekarang.

“Dengan kata lain kita sudah pun mengusahakan penanaman kelapa sawit di atas tanah berkeluasan 1,700 hektar di kawasan Blok Estate 1 dan 2, Undop Batu Lintang semenjak usaha ini dimulakan pada tahun 2004 dahulu,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen P.202 Sri Aman di Rumah Pilit, Kaong Undop, Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.

Selain itu kerajaan menerusi syarikat terbabit katanya akan mengusahakan projek penanaman kelapa sawit dalam kawasan Blok Estate 3 dan 4, Undop Batu Lintang selepas selesai projek yang sama dalam kawasan Blok Estate 2 selepas ini.

Apabila projek ini membuahkan hasil kelak, pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dari 31 buah rumah panjang dalam kawasan Batu Lintang bakal menikmati peningkatan taraf hidup yang lebih baik di masa akan datang.

“Justeru adalah sangat penting bagi semua penduduk untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan syarikat SOP Pelita Undop Batu Lintang bagi menjayakan projek penanaman sawit di situ selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai KEMAS Sri Aman, Hairaini Solo, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Henry Kerang, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Jimmy Chong, para wakil ketua jabatan dan ketua kaum dari kawasan Sri Aman.

Terdahulu Harden menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan sijil perlantikan Tuai Rumah kepada 14 orang Ketua Kaum dalam kawasan itu sebelum menyempurnakan majlis penyerahan 30 buah mesin getah kepada 11 buah rumah panjang dan individu kaum Cina dalam kawasan Undop, Batu Lintang.

Tamat.






No comments:

Post a Comment