Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 December, 2009

Projek Kampung Baru Seduku pemangkin pembangunan Batang Lupar - Rohani


Slug: SIMBOLIK...Rohani (tengah) sambil disaksikan oleh Simoi (kiri) dan Nasir (kanan) sedang menyempurnakan simbolik pembinaan rumah baru di tapak projek Kampung Baru Seduku hari ini.

LINGGA, Isnin (21 Dis) – Pembinaan Kampung Baru Seduku yang kini sedang giat dilaksanakan dalam kawasan Lingga sekarang bakal menjadi pemangkin utama terhadap kerancakkan proses pembangunan dalam kawasan Parlimen P.201 Batang Lupar di masa akan datang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kesyukuran bersempena perlaksanaan Program Bantuan Rumah (PBR) Kampung Baru Seduku Batang Lupar di Lingga hari ini.

Ini kerana projek pembinaan Kampung Baru Seduku di atas berkeluasan tiga hektar yang menelan kos bernilai RM46 juta itu menurut beliau akan membuka ‘jalan’ kepada perlaksanaan projek agropolitan dalam kawasan Parlimen Batang Lupar selepas ini.

“Kos pembinaan Kampung Baru Seduku bernilai RM46 juta itu juga turut mencakupi perlaksanaan projek Ladang Sejahtera iaitu pembukaan ladang sawit di atas tanah berkeluasan 1,600 hektar berdekatan penempatan baru terbabit.

“Projek Ladang Sejahtera ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan taraf hidup di kawasan Parlimen Batang Lupar disamping lain-lain projek agropolitan yang bakal menyusul selepas itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen bagi kawasan P.201 Batang Lupar.

Rohani juga turut menambah bahawa kerancakan proses pembangunan di kawasan parlimen beliau bakal diperhebatkan lagi dengan cadangan pembukaan Taman Pemuliharaan Buaya di Pulau Seduku, projek pengeluaran padi di Stumbin – Bijat dan kawasan Batang Lupar sebagai salah satu hab pengeluaran utama makanan di negara ini.

Lagipun beliau juga turut bercadang untuk menubuhkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan di kawasan parlimen berkenaan disamping mensasarkan Sarawak sebagai pengeksport beras utama negara menerusi projek pengeluaran padi di Stumbin – Bijat selepas dua pembentangan Rancangan Malaysia akan datang.

“Justeru saya berharap agar penduduk dalam kawasan Parlimen P.201 Batang Lupar tidak menganggap kerajaan meluahkan janji palsu kepada mereka selepas ini dengan adanya perlaksanaan projek pembangunan berkenaan,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Presiden FELCRA Berhad, Dato Haji Mohd Nasir Baba, Timbalan Pengarah Unit Perancangan Negeri, Noriah Ahmad, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai jabatan dan penduduk di kawasan Lingga.

Kerajaan menerusi FELCRA akan membina kediaman baru untuk 145 buah keluarga dari kawasan Pulau Seduku di tapak baru berkeluasan tiga hektar yang dijangka siap menjelang bulan Mac tahun hadapan.

Projek pembinaan Kampung Baru Seduku ini akan membolehkan penduduk Pulau Seduku berpindah ke situ dan setiap keluarga bakal diberi tanah berkeluasan tiga ekar untuk tujuan sara hidup.

Tamat.


No comments:

Post a Comment