Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 December, 2009

Klinik Lubok Antu kurang pil panadol

By Edwin Raoh

LUBOK ANTU, Isnin (14 Dis) – Penduduk daerah Lubok Antu kini terpaksa bergantung kepada Poliklinik di bandar Sri Aman untuk mendapatkan bekalan ubat jenis pil Panadol gara-gara kegagalan Klinik Kesihatan Desa Lubok Antu untuk menyediakan bekalan ubat berkenaan semenjak tiga bulan lalu.

Pergantungan terhadap ubat pil Panadol oleh penduduk Lubok Antu begitu tinggi buat masa sekarang berikutan penularan wabak penyakit Chikungunya.yang sedang melanda kawasan pedalaman itu sekarang.

Panel Penasihat Kesihatan Daerah Lubok Antu, Kapitan Tay Choo Meng ketika dihubungi berkata Klinik Kesihatan Desa Lubok Antu mengalami ketiadaan ubat jenis Panadol dan sekaligus menimbulkan masalah kepada para penduduk dalam daerah itu.

“Saya merayu pihak berkuasa agar membekalkan segera ubat Panadol ke Klinik Kesihatan Desa Lubok Antu memandangkan penduduk di sini amat memerlukan ubat jenis itu bagi mengurangkan kesakitan bagi mereka yang menghidap penyakit Chikungunya,” katanya.

Selain itu Tay juga merayu kepada Kementerian Kesihatan untuk menyediakan sebuah kereta Ambulan kepada Klinik Kesihatan Desa Lubok Antu bagi membawa pesakit yang kritikal ke Hospital Sri Aman bagi rawatan segera.

“Hospital Bahagian Sri Aman terletak kira-kira 86 kilometer jauhnya dari Pekan Lubok Antu dan atas sebab ini pihak kementerian perlu memperuntukan sebuah kenderaan Ambulan bagi tujuan penghantaran pesakit.

“Justeru saya berharap agar pihak yang bertanggungjawab mengenai masalah ini untuk memberi perhatian serius bagi menyelesaikan isu kesihatan yang melanda penduduk di kawasan daerah Lubok Antu,” katanya.

Tamat….

No comments:

Post a Comment