Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 December, 2009

K-Masjid perapat jurang ICT luar bandar - Masir


Caption: MANFAATKAN...Masir (kiri) menyampaikan cek tunai (dalam sampul) kepada Abang Sulaiman ketika berlangsungnya kempen kebersihan di RTM Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (4 Dis) – Masjid Balai Ringin muncul sebagai institusi keagamaan yang pertama dalam kawasan Parlimen Sri Aman untuk dimasukkan dalam program K-Masjid selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat ketika ditemui pemberita pada Kempen Gotong-Royong dan Anti Denggi di Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman hari ini berkata, kerajaan akan melaksanakan program terbabit di Masjid Balai Ringin pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

“K-Masjid adalah merupakan sebuah program yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi untuk merapatkan jurang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) antara penduduk kawasan dalam dan luar bandar bagi setiap kawasan parlimen dalam negara ini menerusi institusi keagamaan.

“Justeru Masjid Balai Ringin telah terpilih untuk tujuan ini dan program yang dijangka menelan kos antara RM30,000 hingga RM100,000 itu bakal dilaksanakan pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya.

Selain itu kerajaan menurut Masir juga akan memperluaskan lagi program K-Masjid ini ke lain-lain masjid atau gereja dalam kawasan Parlimen Sri Aman setelah perlaksanaan program itu di Masjid Balai Ringin berjaya kelak.

Menerusi perlaksanaan program K (pengetahuan) Masjid atau Gereja ini, penduduk khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar katanya akan mempunyai akses lebih baik terhadap kemudahan internet di masa akan datang.

“Malahan penubuhan K-Masjid atau K-Gereja ini juga membolehkan penduduk menyimpan data mengenai profail kampung atau rumah panjang masing-masing menerusi kemudahan ICT yang disediakan di situ.

“Oleh yang demikian diharapkan agar penduduk memanfaatkan kemudahan internet dan komputer yang bakal disediakan di masjid atau gereja mereka menerusi program itu nanti demi mempertingkatkan pengetahuan diri masing-masing selepas ini,” katanya.

Hadir sama dalam kempen tersebut ialah Pengurus Penyiaran, RTM Sri Aman, Abang Sulaiman Haji Abang Joh, wakil Residen Sri Aman, Encik Rickson, pemangku Ketua Bahagian Rancangan RTM Sri Aman, Ruth Apong dan para kakitangan RTM Sri Aman yang lain.

Masir menerusi kempen tersebut telah menyampaikan cek tunai bernilai RM2,000 kepada pihak RTM Sri Aman bagi membantu mengindahkan kawasan stesen radio terbabit selepas ini.

Tamat


No comments:

Post a Comment